Wednesday, December 31, 2008

Mahathirisme Pasca Demokrasi Pak Lah

Selepas PRU ke-12 yang lalu, bibit-bibit demokrasi dikatakan mulai kelihatan dari sisi UMNO. UMNO tidak mengekalkan prestasi unggulnya sebagainya sebuah parti pemerintah yang bertahan lantaran perubahan yang sedikit ketara pada keputusan yang dibuat oleh rakyat.
Umno sudah mengumumkan, wujud bab baru dalam sejarah UMNO dan usaha-usaha tertentu diperlukan untuk membetulkan keadaan parti kebangsaan yang semakin hilang kerelevanannya.
Gaya politik Mahathir, antara sebab yang mengubah rentak politk UMNO dan menyebabkan keunggulan bongkah ais UMNO itu mencair sedikit. Mahathir sebagai seorang bekas pemimpin UMNO dilihat mempunyai motif-motif tersendiri dalam menyatakan pandangannya yang kadang-kadang menentang arus semasa.

Kedudukan UMNO juga dipercayai sedikit tergugat dengan legasi politik yang membekas dalam UMNO sehinggakan beberapa keputusan atau kenyataan yang dibuat Mahathir sudah mengheret UMNO kepada masalah-masalah tertentu. Kritikan Mahathir walau dilihat prejudis sesetegah pihak, ia mempunyai implikasinya dalam politik UMNO khususnya Pak Lah.

Hal Mahathir keluar daripada UMNO bukan satu sejarah tunggal yang menanda bahawa pemimpin UMNO keluar daripada kepompong parti, kerana sebelum ini sudah banyak sejarah menunjukkan pendirian sedemikian. Yang terawal barangkali dalam ingatan kita adalah Dato Onn Jaafar yang keluar daripada UMNO yang diasaskannya sendiri dengan meletakkan jawatannya pada 25 dan 26 Ogos 1951 dalam Majlis Mesyuarat Agung Ke-6.

Perletakkan jawatan itu disebabkan pendirian beliau untuk membuka kerjasama UMNO kepada kaum lain ditolak oleh ahli parti ketika itu. Dato Onn kemudiannya menubuhkan Independent Malayan Party (IMP) pada 16 September 1951. Tetapi parti ini tidak berjaya mencapai tujuan politik yang disasarkan. Pada Febuari 1954, Parti Negara (PN) ditubuhkan oleh Dato Onn sebagai kesinambungan cita-cita politiknya dan perjuangan bagi menuntut kemerdekaan. Dengan PN, Dato Onn bertanding dalam pilihanraya umum yang pertama iaitu pada tahun 1955.
Hanya pada tahun 1959, Dato Onn memenangi pilihanraya di Parlimen Kuala Terengganu Selatan dan seterusnya menjadi ketua pembangkang di parlimen bersama dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang lain seperti PAS antaranya Dr Burhanuddin Helmi, Khadijah Sidek dan lain-lain. PN parti Dato Onn pada ketika itu bersama dengan parti politik PAS ketika berhadapan dengan Parti Perikatan pada pilihanraya.

Perjuangan Dato Onn diteruskan dalam parlimen dengan menyatakan pandangan dan suaranya dalam pelbagai isu. Dato Onn pada ketika itu dikatakan merupakan ketua pembangkang yang berwibawa selain daripada ahli parlimen parti pembangkang berkualiti yang lain seperti Dr Burhanuddin Helmi.

Kembali kepada hal politik Mahathir yang tidak sama dengan Dato Onn, walaupun kedua-duanya meninggalkan parti yang ditubuhkan dan didukunginya sendiri, tetapi Mahathir mengambil sikap tidak menyertai Pakatan Rakyat ataupun menubuhkan parti yang baru seperti mana Dato Onn.

Pendirian ini barangkali dilihat dari segi usia dan fizikal serta tidak dinafikan mungkin wujud sebab-sebab lain yang tidak dimaklumkannya. Mahathir yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang telah lama berada UMNO secara tiba-tiba pada beberapa bulan lalu menyatakan pendiriannya keluar daripada parti tatkala UMNO dikepalai oleh Pak Lah.

Memang kelihatan pertembungan itu wujud dan kritikan-kritikan Mahathir menjelaskan bahawa beberapa permasalahan yang timbul dalam UMNO pasca demokrasi Pak Lah akan menemui jalan buntu sekiranya parti kebangsaan itu masih dalam kepimpinan sekarang ini.

Dalam pada itu, Mahathir tidak pula kelihatan berkecenderungan terhadap politik Pakatan Rakyat yang mungkin disebabkan ia dikepalai oleh bekas timbalan perdana menterinya iaitu Anwar. Kemungkinan ini memang jelas apabila ‘perang dingin’ yang wujud antara kedua-duanya dalam tempoh pasca demokrasi Pak Lah. Sebahagian melihat semacam ada petentangan atau perang politik tiga penjuru yang wujud secara tidak lansung. Pun begitu, natihahnya tidak sangat terasa kerana ia sekadar ‘perang mulut’ yang bersifat politik ‘kemelayuan’. Masing-masing berhujah dengan hujah-hujah yang boleh dikatakan hanya untuk mengisi ruang masa dan individualistik.

Mahathir juga mungkin tidak merasakan penting untuk menubuhkan parti baru kerana ia hanya tindakan yang kontroversi bermusim yang tidak akan mendapat simpati rakyat. Lagipun, siapakah bakal pendukung parti baru yang diwujudkan itu secara jelasnya. Walaupun pengaruh politik Mahathir masih ada kerana beliau mempunyai prestasi yang sangat baik dalam dunia politik Melayu sebelum ini di tambah dengan kejayaan-kejayaannya yang bersifat ‘grand’ namun hal ini tidak berlaku.

Walaupun dateline kepimpinannya sudah jelas ada, beberapa faktor menunjukkan suara Mahathir masih relevan contohnya apabila beliau menyatakan pandangannya terhadap Pak Lah yang disambut dengan positif oleh penyokong-penyokong yang tertentu. Ini menyedarkan diri Pak Lah yang seakan-akan diliaht masih berhoneymoon.

Mahathir juga nampaknya tidak berminat dengan politik Pakatan Rakyat apatah lagi mahu menyertainya. Tidak seperti spekulasi yang wujud dulu, bila Mahathir mengecam kepimpinan Pak Lah, dikatakan Mahathir seolah-olah menyebelahi pembangkang (ketika itu sebelum PRU 12). Ketidakcenderungan politik Mahathir itu sebenarnya memang beralasan dan yang paling ketara apabila wujud kenyataan dan suasana pertentangan antara Mahathir-Anwar seolah-olah sudah ditakdirkan.

Oleh itu, Mahathir kelihatan tidak mengambil pusing dengan apa juga tindak-tanduk parti PR. Kalaupun ditanya tentang hal itu, yang jelas melalui kenyataan-kenyataannya sebelum ini, hampir kesemuanya bersifat negatif dan pandangan balas yang sinis. Mahathir seolah-olah tidak mahu lansung bersengkongkol dengan PR walau dalam satu isupun. Pendirian inilah yang mungkin ada dalam diri dan minda Mahathir iaitu kali ini beliau mahu bersifat neutral. Atas alasan apa beliau cenderung dengan sikap ini, memang menimbulkan kemusykilan di kalangan khalayak politik tempatan.

Sebelum ini Mahathir memang terkenal dengan sifatnya yang keras dan jujur pada satu-satu masa pada awal penglibatannya dalam politik UMNO. Misalannya penulisannya The Malay Dilemma, yang merakamkan kelemahan bangsa Melayu pada ketika itu dengan beberapa sintesis atau hipotesis. Walaupun pada hakikatnya tulisan ini dipengaruhi dengan suasana politik Mahathir ketika itu. Pada ketika itu, akhir 60-an Mahathir yang kuat mengkritik pandangan Tunku dalam hal-hal politik sudah mencetuskan krisis sehingga pemecatannya daripada UMNO.
Dikatakan pendiriannya yang kritikal itu telah membawanya kepada penulisan The Malay Dilemma yang secara implisit mengkritik sistem nilai UMNO bawah Tunku. Justeru, pertentangan Mahathir dengan orang atasan UMNO memang sudah disebut dalam sejarah.
Walaupun hari ini sedikit berbeza dengan yang dulu, tetapi dapat dilihat bagaimana Mahathir dengan gaya politik yang ‘luar biasa’ berani mencabar dan mengugat kedudukan kepimpinan UMNO.

Dalam pentadbiran pula, Mahathir begitu selesa dengan gaya pragmatisme yang dimanifestasikannya dalam pelbagai bidang melalui beberapa dasar yang besar dan mengubah lanskap pembangunan negara. Hal pembangunan dan Mahathir sangat jelas tetapi di satu segi Mahathir mempunyai pembaziran. Mahathir melihat ini satu langkah untuk ke hadapan seperti mana disasarkannya dalam Wawasan 2020. Pun begitu, apabila pasca demokrasi Pak Lah, wawasan itu seakan sedikit ‘dilembapkan’ dalam beberapa hal.

Barangkali inilah yang dirasai oleh sensitiviti Mahathir. Tidak peliklah, jika pandangan Mahathir terhadap Pak Lah pada tempoh ini hampir semuanya negatif. Mahathir mahukan legasinya berpanjangan melalui kepimpinan Pak Lah tetapi ia tidak wujud kerana Pak Lah mempunyai pendekatannya yang tersendiri. Malah memang Mahathir dilihat tidak menerima hakikat perubahan tampuk kepimpinan ini.

Ini mungkin disebabkan sikap Mahathir yang determined dalam banyak perkara tidak kiralah isu politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Mahathir bercakap selaku kapasiti seorang bekas PM, sesekali seorang pejuang hak asasi, kadang-kadang seorang politikus dan lain-lain. Ia menimbulkan rasa pening di kalangan khalayak sikap Mahathir yang suka campur tangan dalam banyak hal walaupun pada satu-satu ketika memang pandangan sedemikian ada kesahihannya.
Gaya politiknya pasca demokrasi Pak Lah yang lebih independen nampaknya berani mempersoalkan banyak perkara termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan UMNO, ketuanan Melayu (tapi tidak bahasa Melayu), sistem kehakiman baru-baru ini dan sebagainya. Sejauh mana kemampuan mantan PM itu untuk memberikan buah fikiran itu mungkinlah kembali kepada judul puisinya yang sangat mashyur itu iaitu Perjuangan Belum Selesai. Tetapi dapat dilihat juga Mahathir bukan seorang yang pelupa, ia nampaknya sedikit ironi daripada puisinya tentang ‘Melayu Mudah Lupa’.

Mungkin Mahathir mempunyai alasan yang kuat kenapa beliau bertindak sendirian sekalipun menerima kritikan dari pelbagai pihak, yang jelas beliau mempunyai pandangan-pandangan yang kadang-kadang tidak terlintas di fikiran.
.

Thursday, December 25, 2008

Siaran Wasilah 21-27 Dis 2008. Bil 90.

Antara Politik Kebangsaan Dan Keagamaan

Agama dan politik tidak dipisahkan. Bangsa dan agama juga hampir tidak dapat diceraikan walau terdapat sesetengah isu atau keadaan mengugah sistesis ini. Apabila Melayu diakrabkan dengan Islam dalam satu bekas, seperti yang dilihat hari ini Islam dan Melayu tidak mungkin dipisahkan. Isyarat ini bukan daripada dogma tertentu yang menetapkan atau mengabsahkan hubungan bangsa dengan agama itu adalah tuntas muktamad atau realiti ini tidak jelas dalam mana-mana pandangan sosiologi atau sebagainya yang pantas untuk dirujuk, namun nilainya sudah tercermin dalam fikiran waras dan tindakan.

Namun apabila bercakap tentang agama dan bangsa dari sudut Melayu, ia hampir menemui titik temu itu. Dan inilah keunikan yang ada pada sistem perlembangaan negara dan realiti di negara ini. Jika disingkap karya Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, ditunjukkan lebih jelas lagi bagaimana Islam-Melayu dipadukan sejarahnya, tatatertibnya, perkembangannya, pemikirannya, nilainya, pemeritahannya dan lain-lain. Kerana itu Melayu dan Islam seakan tidak berpisah pada tahap keunggulannya. Sehinggalah kecocokan kateristik itu diserlahkan dalam banyak medan dialog dan wacana ilmiah.

Entiti Melayu-Islam sudah mendarahdagingkan hal ini dalam politik kita secara jelas. Melayu-Islam adalah semacam hampir kepada satu kepastian tunggal, kerana selama ini belum ada Melayu digunapakai untuk politik lain. Seorang pemimpin Melayu misalnya hari ini selalu menyatakan bahawa dirinya adalah Melayu dan Islam dan akan memperjuangkan kedua-dua entiti ini selama mana dirinya berada dalam politik. Oleh itu, selalu disebut bahawa Melayu-Islam secara bersama di Malaysia khususnya sebagai salah satu ciri politik seseorang kerana penerimaan faham nilai itu sudah lazim dan tertanam dalam minda orang Melayu.

Kepimpinan Melayu-Islam jelas kedudukannya dan kehadirannya dalam masyrakat majmuk ini. Dengan itu timbullah ungkapan Ketuanan Melayu yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini dalam menemukan semula wajahnya (seolah-olah) padahal sebelum ini Ketuanan Melayu bukanlah isu besar dalam mana-mana bicara politik !. Bagaimana mahu memahami tentang Ketuanan Melayu yang terlalu dikaburi dengan pandangan-pandangan yang bertindan sana-sini dari pelbagai pihak. Sekarang definasi Ketuanan Melayu menemui titik kalutnya, dan tidak pula ditanggani secara bijaksana dan rasional.

Apabila bercakap politik Melayu-Islam, kita mungkin terlupa bagaimana rangka politik Melayu-Islam itu terbina. Yang pada asalnya berada daripada kesedaran bahawa setiap urusan haruslah mempunyai asas identiti, pokok perbicaraan, tajuk utama yang rujuk kepada entiti bangsa dan agama. Entiti Melayu-Islam paling asas timbul sebelum kemerdekaan malah lebih jauh daripada tempoh itu. Jika sekiranya (seperti selalu disebut) Kerajaan Melayu Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain ditimbulkan dan dihubungkan dengan isu Melayu-Islam, tentulah rentetan atau kesinambungan itu terjalin dengan mata kasar. Misalnya dalam Kerajaan Melayu Melaka yang sudah mulai membina pemerintahan Melayu-Islam dan selepas beberapa lama berdiri dengan naik-turun atau jatuh-bangunnya, menghadapi pula penjajahan selepas temph bertahan itu.
Dari segi sejarah ini, Melayu-Islam wujud sebagai sebuah entiti atau juzu’ yang satu tetapi yang membezakannya adalah adalah penjajahan yang menenggelamkan kerajaan atau pemerintahan sendiri. Tiada kerajaan Melayu-Islam yang kuat, selain serpihan kerajaan yang saling berjauhan disebabkan penjajahan dan faktor-faktor lain. Dan jika diimbau daripada sejarah Islamisasi mengikut pandangan Prof Muhammad Naguib Al-Attas yang mana berlaku kepada Kepulauan Melayu yang menerima Islam sebagai agama dan cara hidup yang bermula sekadar penyebaran sebagai faham agama kemudian melebar dari praktikal ritualnya sehinggalah kepada pemikiran serta nilai kehidupan kepada bangsa Melay pada ketika itu. Dengan adanya kerajaan Melayu, agama diinstituisikan dalam istana dan diterima rakyat kerana wujudnya dakwah secara terbuka dan penyebarannya secara umum.

Tidak hairanlah proses pembinaan tamadun Melayu-Islam yang menyerap secara dalam berbanding agama sebelumnya yang hanya di permukaan tata hidup atau adat. Islam mempengaruhi kehidupan Melayu dan menghalusinya dalam disiplin ilmu dan seni kebudayaan. Maka, tidak hairanlah Islam menjadi pembinaan sahsiah tamadun Melayu yang mandiri namun menemui keretakakan kemudian.

Sehinggalah abad- 19 yang meninggalkan tragedi kebangkitan demi kebangkitan yang ketara sehingga membawa kepada penentangan fizikal dan mental dan akhirnya menemukan wajahnya yang sebenar dalam satu kemerdekaan. Cuma dalam tempoh ini, yang tentu menggariskan perbezaan yang ketara di antara Melayu-Islam pada abad 15 dan abad 20. Yang mana mencatatkan cabaran yang ada selain daripada survival bangsa dan agama, adalah menghidupkan semula ketamadunan dan kerajaan yang stabil atau aman seperti sebelum era penjajahan.
Kenyataan inilah yang sukar untuk ditanggapi sehinggalah pasca kemerdekaan ini melakarkan banyak gejala susut mandiri dan kekeliruan diri pada Melayu-Islam mencari kekuatannya sebagai entiti yang pernah ‘berdiri sebagai bangsa yang dihormati’. Proses membangun semula mungkin lebih sukar daripada dahulu tambahan kekuatan pada ketika itu sudah beralih kepada kuasa Barat yang hampir semua dikenal dengan imperealisme.

Dalam mencari kemerdekaan hakiki itu, gerakan demi gerakan yang daripada Melayu-Islam atau separa Islam-Melayu dan lain-lain gerakan daripada bukan peribumi, mencari tempat yang selesa untuk menghalatujukan bangsa dan negara ini. Jika dilihat apa yang pernah dilakukan dan difikirkan tokoh-tokoh pejuang pada masa kemerdekaan, antaranya Dr Burhanuddin Al Helmy yang memberikan gambaran kateristik Melayu-Islam dan laluan politiknya yang mana menjurus kepada terasnya pengtakrifan dan menemukan wajah semula bentuk Melayu-Islam yang ideal. Walaupun ia agak ‘politik’ memandangkan almarhum seorang politikus kiri dan pejuang, tentu sahaja pandangan ini agak terpinggir tetapi wajar direnungi semula.

Pada almarhum, kepimpinan Melayu-Islam adalah kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Perjuangan kebangsaan merupakan perjuangan yang berasaskan rasional agama juga walaupun kebangsaan pekat ditolak sama sekali. Perjuangan yang bersifat asabiyah misalnya merupakan contoh kepimpinan yang tersasar daripada landasan agama. Peemikiran agama-bangsa harus berjalan seiring sebagai satu wadah yang luwes dan bersifat bukan perkauman sempit.
Penerusan mencari ketulenan Melayu-Islam bukan dengan menguunggulkan kebangsaan semata-mata tetapi mengangkat agama sebagai teruju membina pemerintahan majmuk yang harmoni. Faham bangsa dan agama itu harus difahami dengan baik antaranya kata Dr Burhannuddin“Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat-bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh manrik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan akhirat”.

Justeru, sifat politik Melayu-Islam harus dilihat sebagai pencetus perubahan corak pemikiran yang lebih matang. Pemikiran kebangsaan sahaja mungkin hanya menemui tempoh luputnya dan hanya terkonkong dalam perjuangan yang sehala. Politik Melayu-Islam haruslah berada dalam penerusannya tetapi memerlukan penyerapan nilainya yang lebih mendalam supaya mampu memberi pedoman yang rasional. Politik kebangsaan atau dengan slogan Ketuanan Melayu hanya memendekkan pandangan jauh dan wawasan negara yang bersifat majmuk dan mencari titik temu kebanyakkan isu atau masalah.

Peranan yang harus ada adalah bukan sekadar sebuah gerakan atau pandangan yang mendorong kepada gagasan Melayu per se. Namun mesti berada dalam proses penerokaan semula mandiri dir bangsa Melayu-Islam yang dihormati dan menjaga kaum lain dengan pendirian yang diterima. Masalah polemik Melayu yang timbul dan menjadi mainan politik sehari ke sehari tidak mampu membetulkan keadaan kerana mengharuskan sikap penguasaan kepada entiti yang lain. Kerana sikap yang diambil pada kaum lain kebanyakkannya menerima kepimpinan dan keutamaan Melayu-Islam dalam politik dan jargoan tetapi harus sentimen tidak dimainkan. Maka, hal ini terpulang kepada pemimpin dan politikus untuk menangganinya. Sikap dan pendirian Melayu-Islam bagaimana harus diambil dalam menanggani isu dan masalah perpaduan atau isu-isu politik lain.
.

Saturday, December 20, 2008

Kasut terbang...legasi peninggalan Bush
Oleh Nurul Adlina Kamaludin

IMEJ yang menjadi paparan media antarabangsa menunjukkan Presiden Bush mengelak kasut dibaling wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi, sambil diperhatikan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.

Sepatu kini sinonim kegagalan dasar, pemerintahan AS di Iraq JIKA isteri bekas Presiden Filipina, Imelda Marcos terkenal dengan gelaran mengaibkan sebagai Ratu Kasut kerana memiliki lebih 2,000 pasang kasut, beliau kini sudah bertemu dengan pencabar yang tidak kurang hebatnya - Presiden George W Bush. Bezanya, Imelda dikenali dengan koleksi kasut miliknya, Bush sebaliknya diaibkan kerana kasut milik orang lain selepas dilontar sepasang kasut oleh seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi di Baghdad, Isnin lalu.

“Inilah ucapan selamat tinggal untuk anda, anjing,” kata Zaidi sambil membaling bukan satu, tapi sepasang kasutnya ke arah Bush yang dengan cekap dapat mengelaknya. Insiden memalukan ketika sidang media bersama Bush dengan Perdana Menteri Nuri al-Maliki di zon selamat Baghdad, sudah cukup menconteng imej Bush yang mentadbir Amerika sejak 20 Januari 2001. Drama yang tidak sampai lima minit, tetapi pasti dikenang sampai bila-bila kerana membabitkan penggunaan kasut - lambang penghinaan bukan saja di Arab, tetapi kebanyakan negara lain.

PENDUDUK Pakistan sanggup mengusung kasut gergasi dalam demonstrasi menyokong tindakan wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi yang membaling kasut kepada Bush.

Biarpun Bush boleh berseloroh dan berbangga dengan kemampuannya mengelak lontaran Zaidi, ia tidak mungkin memadamkan bahana kasut terbang itu terhadap imejnya yang sudah sedia tercalar. Dalam sekelip mata, pentadbiran tujuh tahun Bush yang sudah pun di saat-saat akhirnya, kini sinonim dengan insiden kasut terbang. Kejadian yang menjadi ucapan selamat tinggal mengaibkan bagi Bush. Apatah lagi, pada awalnya, Bush yang melakukan kunjungan mengejut di Iraq - negara yang diceroboh tentera Amerika atas alasan menggulingkan pentadbiran bekas Presiden Saddam Hussein pada 2003, sebaliknya menyaksikan Bush yang menjadi mangsa kejutan. Harapan Bush yang menagih pujian terhadapnya hasil apa digelarnya sebagai ‘proses demokrasi’ di Iraq yang mahu ditebarkan ke rantau lain Arab terbukti mengundang padah apabila Zaidi, wartawan yang tidak dikenali, sebaliknya menjadi wira hingga ke hari ini.

PEMIMPIN Kesatuan Pekerja Awam Turki Mustafa Kir (kanan) memegang sepasang kasut dalam demonstrasi menyokong Zaidi di luar pejabat kedutaan Iraq di Ankara.

Berikutan itu, bantahan demi bantahan, dari jalan raya di sekitar Iraq, Palestin, Pakistan, India hingga ke bumi Amerika sendiri, termasuk di depan Rumah Putih, terus diadakan sebagai menyokong tindakan Zaidi. Malah populariti Zaidi yang kini ditahan pihak berkuasa terbukti membuak-buak sehinggakan pencarian mengenai ‘Bush, Shoes’ mencatatkan lebih 15 juta hasil dalam bentuk forum, berita dan rencana mengenainya. Ini termasuk permainan baru yang memerlukan pemain membaling kasut bagi mendapatkan mata yang menerima 2.2 juta pengunjung sejak dilancarkan Selasa lalu.
Tidak cukup dengan mainan, wujud pula beratus-ratus lakaran dengan karikatur terbaik dipaparkan media Amerika sendiri. Selain itu, deretan kemeja-T dan cawan mengenai insiden sepatu terbang itu kini siap untuk dijual. Zaidi yang biarpun cedera dibelasah ejen keselamatan Iraq terbukti menjadi wira manakala Bush terus ditertawa. Seorang lelaki Saudi, Hassan Mohammed Makhafa pula sanggup menawarkan AS$10 juta (RM36 juta) bagi membeli kasut bersaiz 10 milik Zaidi yang dilabelkan Makhafa sebagai ‘pingat kebebasan’. Malangnya, sepatu itu dilaporkan sudah dimusnahkan pihak berkuasa Iraq.
Pemimpin asing daripada Presiden Venezuela, Hugo Chavez dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, pula menjadikan kejadian kasut terbang itu bahan jenaka dengan wartawan. “Keadaan agak panas di sini. Jika anda buka kasut, cuaca panas di sini akan menyebabkan tempat ini bau busuk,” kata Lula. Ini daripada sudut jenaka, tetapi bagi masyarakat antarabangsa amnya dan rakyat Arab khususnya, insiden itu bukanlah satu peristiwa biasa biarpun Amerika beriya-iya enggan membesarkan kejadian itu atas alasan ia bukti kebebasan bersuara di Iraq hasil campur tangan Amerika. Tetapi Amerika lupa, kejadian itu membuktikan apa yang sememangnya sudah dijangka.
Kehadiran Amerika dan dasar Bush sememangnya gagal memenangi hati penduduk Iraq mahu pun rakyat Arab secara keseluruhannya. Lebih tepat lagi, Amerika sudah gagal di Iraq dan tidak mustahil akan turut disusuli di Afghanistan selain menjejaskan kempen antikeganasan yang ditebarkan Washington ke seluruh dunia.
Apakah wajar Zaidi dipersalahkan? Sudah pasti tidak kerana Zaidi mewakili kelompok masyarakat biasa Iraq, bukannya anggota militan. Drama ‘kasut terbang’ bukan lagi isu dendam kesumat Zaidi yang pernah merengkok dalam penjara Iraq, tetapi bukti kemarahan rakyat awam Iraq yang tidak pernah mengakui Amerika sebagai sahabat, sebaliknya musuh. Ia juga menjadi peringatan kepada rakyat Amerika khususnya bakal Presiden Barack Obama betapa imej negara yang mencanang dirinya sebagai jaguh demokrasi dunia, sudah terjejas teruk di bawah Bush.
Suka atau tidak, mulai 20 Januari depan, Obama perlu menggalas tugas penting memulihkan imej dasar luar negara Washington untuk memenangi hati masyarakat antarabangsa atau terus digelar pengikut dasar gagal Bush. Drama kasut terbang itu juga menjadi amaran kepada pemimpin Arab yang mereka tidak boleh berterusan menjadi boneka Barat atau berdepan kemungkinan menyaksikan rakyat biasanya bertindak sendiri, termasuk melakukan perkara yang mengaibkan.
“Bush mahu mengakhiri kepemimpinannya dengan pujian dan kata-kata aluan daripada konconya di negara Arab dan Islam. Tetapi kasut pula diterimanya daripada seorang lelaki sejati Arab yang menandakan sejarah hitam Bush dan membolehkan orang Arab berasa bangga semula,” kata Profesor Sains Politik Universiti An-Najah di Tebing Barat, Abdel-Sattar Qassem. Benarlah kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Malang bagi Bush, nama dan legasinya kini sinonim dengan insiden ‘kasut terbang’ yang pasti segar dalam ingatan ramai biarpun selepas pengunduran tentera Amerika dari bumi Iraq dan selepas beliau menutup mata. Lebih ironi, senjata memalukan Bush dan Amerika bukannya menggunakan pena mahu pun serangan roket bertubi-tubi, tetapi memadailah dengan sepasang kasut kulit bersaiz 10. I
INFO 'Drama kasut'

1960 Pemimpin Kesatuan Soviet Nikita Khrushchev yang marah, menggunakan kasutnya mengetuk meja sebagai tanda protes pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

1987 Isteri bekas Presiden Filipina, Imelda Marcos menafikan pernah memiliki lebih 3,000 pasang kasut, sebaliknya mengakui koleksinya cuma 1,060 pasang kasut.

1979 Pemain Amerika dari pasukan Boston Bruins, Mike Milbury yang marah dengan seorang penonton, bertindak merampas kasut lelaki itu bagi membelasahnya.

1995 Supermodel Naomi Campbell jatuh tersungkur di pentas peragaan di Paris kerana kasut tumit tingginya lebih enam inci dan menjadi antara tajuk utama akhbar

2001 'Pengebom kasut' Richard Reid, ditahan ketika cuba meletupkan bahan letupan dalam kasutnya ketika menaiki sebuah pesawat Britain.

2003 Penduduk Baghdad menggunakan kasut bagi memukul patung bekas Presiden Iraq Saddam Hussein yang ditumbangkan.

2007 Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair didakwa memiliki sepasang kasut 'bertuah' yang dipakainya selama 10 tahun.

2008 Presiden George W Bush menjadi bahan persenda selepas mengelak kasut terbang dibaling wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi.
Sumber; Berita Harian bertarikh 21.12.2008
.

Wednesday, December 10, 2008

Pas, Idealisme Dan Pembaharuan

Selepas musim bergelutan tentang jawatan yang dipertandingkan; Ketua Wanita UMNO yang dianggap umpama perang dingin, medan politik semasa menghidu konflik yang dikatakan seakan-akan satu pertentangan iaitu yang berlaku perlucutan jawatan beberapa pimpinan Pas di Selangor. Isu ini tidak besar jika dibandingkan dengan isu perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO yang baru berlaku. Namun tulisan ini untuk menyorot perihal Pas yang akhir-akhir ini menemukan titik-titik ‘catalyst’nya.

Sekali imbas, Pas merupakan sebuah parti Islam-Melayu yang wujud atas kapasiti sebuah gerakan politik yang berbeza daripada parti-parti yang wujud sebelum atau selepas kemerdekaan daripada pelbagai parti yang berjuang dengan pelbagai tujuan yang sebahagiannya bersifat kebangsaan, sosialis dan perkauman. Jika dilihat entiti Pas sebagai gerakan politik Islam yang tunggal di Malaysia sekarang ini, telah memberikan impaknya yang berbeza kerana wadah yang diperjuangkan Islam sebagai nilai utama dalam perjuangannya dan Melayu sebagai nilai kedua. Maknanya Pas menanggani dualisme perjuangan politik ini secara serentak dalam politik nasional.
Idealisme Pas ini berterusan daripada penubuhannya yang pada asasnya bersifat kebangsaan yang ketara seperti di zaman Dr Burhanuddin Al Helmy. Namun dalam pada sifat kebangsaan itu, sifat Islam sebagai agama yang universal memberikan aura yang lebih luwes kepada gerakan tersebut khususnya pada era 80-an, di mana pada masa itu kepimpinanannya sudah semakin diterajui oleh golongan ulama tulen.

Pas dilihat bijaksana melaksanakan tugas dan peranannya dalam politik tetapi kadang-kala dilihat parti yang melawan arus terutama sikapnya ‘pembangkang’ yang ada padanya memberikannya lesen untuk mengkritik kerajaan dalam apa jua persoalan. Sikap kekiriannya menyebabkannya agak kritikal pada kebanyakkan situasi sehingga sering dianggap sebuah parti ‘penganggu’, anti-pembangunan dan sebagainya.

Hanya selepas 1998, Pas berdiri lebih teguh sebagai pembangkang yang boleh dikatakan berada di tahap rasional dan realis kerana menjadi salah sebuah elemen kepada perubahan peta politik nasional. Pas menjadi sebuah parti pendesak kerajaan yang pada ketika itu yang telah menggunakan jenteranya untuk mewujud suasana politik yang tidak stabil, iaitu selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Pemecatan itu menjadi satu peristiwa penting bagi parti pembangkang khususnya yang dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai parti kedua terbesar. Peranan yang dimainkan selain daripada platform kepada masalah konflik Anwar-Mahathir ketika itu.
Pas juga mengendurkan tali ikatannya untuk bergabung bersama dengan PKR dan DAP yang dikatakan zaman ngeri bagi politik negara di mana rakyat memberi reaksi yang negatif kepada kepimpinan UMNO dan negara. ‘Politik tidak menentu’ yang berpunca daripada tindakan kerajaan itulah membuka ruang kepada parti-parti pembangkang seperti Pas-PKR-DAP bersama dalam satu pakatan yang hari ini menjadi alternatif kepada suara rakyat pada hari ini.
Dengan itu, Pas hari ini sudah menjadi ‘mata pandang’ kepada khalayak kerana hanya Pas yang mampu mengemukan persoalan nasional atau antarabangsa, terutamanya tentang Islam dan persoalan Melayu. Siasah Pas walaupun pada satu ketika dilihat mendatar, tetapi di ketika yang lain agak mengejutkan seperti di awal tahun 2000, yang mana Pas berupaya menjadi ‘master mind’ kepada Pakatan Rakyat pada hari ini.

Sehinggalah pengabungan golongan profesional yang mengubah imej Pas daripada sebuah parti yang didukungi dominan ulama tetapi kini berbilang golongan yang ada dalamnya. Golongan profesional pula yang menyertai parti itu adalah daripada kalangan figur yang pernah mendapat perhatian rakyat dan mempunyai kedudukan yang penting dalam kerajaan. Penghijrahan itu mengubah persepsi khalayak politik tentang dasar Pas dan perjuangannya yang seakan-akan menemui wajahnya yang baharu. Dan apabila Pas mengambil pendekatan mengutamakan golongan profesional dan menyatukannya di bawah sebuah parti Islam, Pas seolah-olah mengalami proses pendewasaan yang signifikan.

Sejarahnya juga penting bilamana Pas pernah memiliki tokoh-tokoh yang terpandang dalam organisasi politik itu seperti Dr Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Dato Asri, Dr Harun Din dan sebagainya. Dalam tahun-tahun penuh cabaran iaitu sejak awal 2000 dan seterusnya, Pas selalu mencari pendekatan-pendekatan baru untuk menarik perhatian khalayak untuk bersama dengan parti itu. Pas juga melakar kejayaan-kejayaan selain menambahbaik kedudukannya sebagai parti pembangkang.

Namun, selepas setelah lama sebagai pembangkang, Masalah-masalah mungkin wujud bagi sebuah parti yang berteras kepada alternatif untuk menjadi sebuah parti pemerintah contohnya apabila berada di negeri-negeri. Pas yang agak selesa di Kelatan tidak semestinya menyamai dengan Kedah dan Perak di ketika ini. Walaupun sudah mampu mendirikan kerajaan Pakatan Rakyat bersama parti KeADILan dan DAP di dua negeri itu, namun masalah yang dihadapi wujud dan tentu sahaja memberi ruang kerajaan pusat atau pembangkang di negeri untuk membuat kritikan dan desakan.

Dalam perkembangan akhir-akhir ini, Pas semakin dilihat berbeza dengan banyak mengambil sikap diam dan senyap dalam kebanyakkan isu yang timbul. Walaupun sikap ini dianggap sikap yang selamat, tetapi menenggelamkan peranan Pas beberapa keadaan dan menyebabkan pandangan rakyat Pas sudah mulai longgar. Pas sebagai parti yang setakat ini paling ‘selesa’ dengan kedudukannya seharusnya tidak terus mendiamkan lantaran masih banyak peranan yang harus dimainkan bagi membentuk suasana politik yang matang.

Pembaharuan- seperti yang disebut beberapa pimpinannya merupakan salah satu agenda yang akan memulihkan keadaan Pas sekiranya parti Islam itu ingin terus berada dalam landasan perjuangan yang stabil seperti hari ini. Justeru, antara yang paling ketara adalah mewujudkan sebuah dewan jawatankuasa bagi non-muslim misalnya salah satu langkah yang bijaksana untuk menyeragamkan atau memperbaharui peranan Pas sebagai parti yang sesuai dengan semasa. Kewujudan dewan bagi bukan muslim tentu salah satu cabang pembaharuan yang unik dan menarik, tetapi memberi ransangan yang pintar untuk Pas lebih bergerak jauh.

Pas juga memerlukan pemikiran-pemikiran yang ‘besar’ untuk diketengahkan dalam pergerakan. Idea-idea segar dan baharu seharusnya dicarigali untuk membajukan Pas dengan wataknya yang lebih anjal bagi mengatasi persoalan semasa kerana Pas tidak sahaja memiliki potensi yang besar dalam arena politik (juga jika direnung sejarah kewujudannya) malah mampu memberikan saranan yang pintar menangani persoalan semasa.

Kelambanan Pas dalam mencari kata putus sesuatu isu yang melibatkan kaum atau bangsa lain menyebabkan Pas dilihat terlalu ‘bersendiri’ dan membataskan peranannya dalam isu-isu berkaitan Islam dan Melayu-konvensional. Padahal ruang lingkup isu yang tersediakan sudah terbuka cuma menanti kesediaan Pas untuk memainkan peranan. Sesetengahnya beranggapan Pas terlalu yakin dengan kemampuan dan kualiti dirinya dalam menanggani sesuatu juga jelas dalam banyak keadaan, malah sebetulnya Pas harus memiliki dan mampu ‘performance’ kepada permasalahan yang ada.

Kepercayaan rakyat kepada Pas dan gaya politik masih ada kerana Pas dilihat jujur dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan suara rakyat, namun seolah-olah ini tidak cukup atau memadai bagi melansungkan politik Islam yang lebih nyata dalam negara majmuk kaumnya. Pas harus lebih berani mengadakan perubahan yang ketara dalam strategi dan gayanya untuk mencari watak Pas yang lebih dihormati seperti yang pernah dilaluinya. Prestasi Pas walaupun dilihat agak normal tetapi terlalu mendatar menyebabkan seolah-olah terkadang Pas tidak ada tempatnya lagi dalam real politik.

Pembaharuan segi pemikiran, idea, rasionaliti dan sebagainya amat perlu supaya mampu bergandingan dengan zaman yang sangat terbuka dengan serba-serbi kepesatan akal politik. Mungkin sahaja saranan untuk membangunkan Pas dan membuat pembaharuan dalamnya perlu buat masa ini untuk masa depan yang panjang. Tetapi nilai tradisi dalam Pas seperti tarbiyah yang ada, tentu masih relevan cuma bagaimana ia mampu dinaiktaraf supaya mampu menghadapi politik baharu dan pilihanraya ke-13 yang hanya menunggu pelbagai risiko dan cabarannya. Mampukah Pas menyahut cabaran ini?.
.

Wednesday, December 03, 2008

Dilema Akhbar Melayu dan Utusan

Sebuah tulisan berjudul Akbar Melayu bakal pupus ? oleh Ahmad Zaki Ismail yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 24 November 2008 sangat elok diberikan perhatian. Tulisan tersebut menyebutkan beberapa dilema yang timbul pada organisasi yang menerbitkan akhbar Melayu (dalam rencana itu menyebutkan Kumpulan Utusan sebagai high light) dan akhbar Melayu, namun realitinya bukan sekadar itu.

Jika disebutkan tentang akhbar Melayu, selalu yang membayangi di fikiran adalah sebahagian akhbar yang bersifat ‘arus perdana’. Akhbar-akhbar itu merupakan media yang memainkan peranan melaporkan berita dan mengemukakan beberapa isu penting dari sudut-sudut yang diperlukan. Namun peranan akhbar Melayu pada sebelum merdeka berfungsi sebagai pembangkit semangat rakyat menentang kemerdekaan, mengubah ‘mind set’ sebagai bangsa yang sedang dijajah kepada bangsa yang merdeka selain menyuarakan pandangan-pandangan daripada sisi rakyat berkenaan pelbagai isu. Sebaliknya, peranan akhbar masa kini sangat berbeza daripada yang sebelumnya dan telah dikemuncupkan oleh kerana beberapa faktor.

Jika dilihat sifat sesebuah akhbar pada zaman sebelum kemerdekaan, peranan yang dimainkan cukup besar bagi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu khususnya Orang Melayu. Kerana itu nama-nama besar seperti Syeikh Ahmad Al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), A. Samad Ismail antara yang paling disinonimkan dengan dunia persuratkhabaran malah persuratan Melayulah yang meransang anak-anak peribumi supaya perihatin terhadap persoalan yang dihadapi pada ketika itu.

Dalam zaman penjajahan British, permasalahan Melayu banyak dan amat menginsafkan. Antaranya persoalan kemiskinan, kemunduran, pendidikan, ekonomi, sikap atau cara berfikir dan pergelutan rasa ‘inferiority complex’, iaitu rasa rendah diri serta minda tertutup dalam isu-isu baharu misalnya penglibatan wanita dalam alam pekerjaan atau lapangan luar.

Para pengarang dan wartawan akhbar membuka halangan-halangan ini sedikit demi sedikit melalui penulisan yang juga sebagai salah satu pencetus kepada kemerdekaan 1957. Dalam keadaan yang serba kekurangan, suratkhabar menjadi penggerak kepada masyarakat supaya bangun menentang penjajahan dan memecahkan tembok ‘inferiority complex’ daripada bangsa terjajah kepada bangsa menuntut kebebasan di atas tanahair sendiri.

Usia semangat ini dipanjangkan sehinggalah akhbar yang sering disebut dalam buku sejarah iaitu Utusan Melayu (diterbitkan tahun 1939) yang menjadi wadah kepada pengungkapan persoalan sosial, agama, politik dan pemikiran pada masa itu. Begitu juga dengan Majlis, Warta Negara dan beberapa akhbar lain sebelumnya (seperti Saudara, Ikhwan dan lain-lain) yang menyedarkan bangsa Melayu tentang persoalan penjajahan. (Untuk lebih detail rujuk Perkembangan Persuratkhabaran Melayu dan Peranan Media oleh Mazlan Nordin dalam buku A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan susunan A. Karim Haji Abdullah. 1991.DBP.).

Kemuncak peranan akhbar Melayu ketika itu adalah memberikan pandangan dan menentang gagasan Malayan Union yang ditaja oleh penjajah. Selain itu pada awal kemerdekaan, Utusan Melayu menjadi suara yang berperanan sebagai ‘check and balance’ terhadap kerajaan yang memerintah.

Pada tahun 1961 berlakunya “pengambilalihan syarikat akhbar Utusan Melayu oleh ahli-ahli dan kumpulan yang rapat dengan UMNO dalam tahun 1961 ialah usaha satu kuasa untuk menguasai kuasa lain; iaitu kuasa politik (yang sudah menjadi kuasa kerajaan) menguasai kuasa akhbar”. (lihat ms 247, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806, Mohd Safar Hasim, Penerbit UM, Terbit Cet. 4, 2004).

Sedari dari itu akhbar Utusan Melayu berada di bawah kuasa kerajaan yang memerintah dan tidak lagi persis wajah awal kemunculannya yang berhasil daripada usaha rakyat. Utusan Melayu dipilih mungkin kerana ia mempunyai daya sensitivity yang kuat untuk melaporkan permasalahan, isu malah kritikal berkenaan persekitaran sosial, ekonomi dan politik dengan kritikal, yang kemudiannya pantas menjadi mangsa kebebasan akhbar yang diperjuangkannya sejak awal. Maksudnya tanpa sebarang campur tangan atasan terhadap Utusan Melayu.

Wajar disebutkan wujudnya pertentangan antara Utusan Melayu dengan UMNO dalam beberapa hal sehingga wakil Utusan Melayu dihalang UMNO untuk membuat liputan Persidangan Agungnya di Johor Bharu pada 2-4 September 1947 (lihat ms 250, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806). Daripada seimbas lalu berkaitan akhbar Melayu, maka peranan akhbar sangat penting dalam politik Melayu tanpa perlu dikelirukan.

Pada abad ke-21 ini, jika hipotesis tentang kepupusan akhbar Melayu mungkin akan berlaku, dan ia tidaklah terlalu mengejutkan rakyat kerana sejarah menunjukkan akhbar bertulisan Jawi, Utusan Melayu sudah berhenti dan sehingga kini hanya dijadikan sebagai sisipan dalam Utusan Malaysia. Jika dilihat pula segi isu kepada Bahasa Melayu yang akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi dan seolah tidak menemui titik kalut penyelesaiannya. Juga faktor-faktor ekonomi, politik dan sosial mengikat persoalan bahasa Melayu selain ada pihak yang memperlihatkan kehambarannya untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bercakap tentang akhbar Melayu, realitinya akhbar arus perdana terjerat dalam satu dilema politik yang dihadapi iaitu kecenderungan akhbar itu yang dilihat amat ketara menyebabkan beberapa pihak lain mulai menolak akhbar Melayu antaranya Utusan Malaysia . Isu ini agak penting walaupun dipolitikkan dan terlalu remeh pula pada satu-satu pihak lain.

Isu pokoknya adalah kebebasan akhbar dan masalah ini menjadi topik sejak tahun 50-an lagi. Bagaimana akhbar mampu berperanan sebagai suara yang diperjuangkan daripada bawah iaitu golongan rakyat dan isu-isu yang diketengahkan haruslah menimbang persoalan yang berlaku dengan cara rasional dan adil. Melaporkan sesuatu yang ‘benar’ juga penting kerana sifat kewartawanan dan persuratkhabaran berkiat dengan amanah dalam menyampaikan sesuatu. Hal ini yang disebut oleh Allahyarham A. Samad Ismail dalam tulisannya.

Pokok bicara yang paling asas juga dalam masalah ini ialah kejujuran dari pihak suratkhabar atau organisasi yang menyelenggaranya haruslah peka dengan kehendak semasa dan mempunyai sikap integriti dalam melakukan sesuatu laporan. Akhbar Melayu harus kembali kepada sikap mandiri dan jatidirinya yang dipelopori oleh para tokoh kewartawanan dan persuratkhabaran terdahulu seperi Abdul Rahim Kajai, Pak Sako dan seumpamanya malah menjadikan mereka idola dalam membentuk falsafah bidang persuratan atau kewartawanan yang lebih baik dan diterima umum.

Sikap tidak berpihak dan mengelakkan sikap ‘bias’ kepada pihak tertentu sebetulnya memberi kesan kepada penerimaan rakyat. Dalam kemerdekaan 51 tahun, akhbar Melayu selayaknya mencapai tahap kematangannya kerana sejarah menunjukkan kemampuan itu ada dan tidak mundur belakang .

Akhirnya, petikan ini mungkin membayangkan harapan seorang tokoh wartawan yang disegani dalam persuratkhabaran Melayu supaya unggul dengan bahasa dan jatidirinya. “Perkembangan bahasa terjamin kalau masyarakat yang menggunakan bahasa itu sendiri giat menjamin perkembangannya. Yang demikian perkembangan bahasa melalui persuratkhabaran bukan sahaja menjadi tanggungjawab satu golongan tertentu, golongan wartawan, tapi segenap lapisan dalam masyarakat….Bagaimanakah pula dengan “penyemaian bahasa Melayu dalam sekolah-sekolah kita?” Adakah penyemaian bahasa Melayu di sekolah-sekolah Melayu sekarang terjamin satu lapangan pembacaan yang lebih luas bagi persuratkhabaran Melayu pada masa depan? Adakah anak-anak di sekolah Melayu melalui pengajaran bahasa Melayunya dipersiapkan untuk menambah luas pembacaan suratkhabar-suratkhabar Melayu pada masa depan?...

Dasar pengajaran di sekolah-sekolah Melayu akan berkesan kepada perkembangan suratkhabar-suratkhabar pada masa depan kerana penyemaian bahasa yang pertama sekali ialah di sekolah. Apa sahaja pengetahuan yang diajarkan di sekolah pada pokoknya adalah persiapan untuk anak-anak sekolah itu menghadapi masa depan” (muka surat 53, A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan susunan A. Karim Haji Abdullah, 1991. DBP ).
siaran Mingguan Wasilah 7-13 Disember 2008 bil 89(52)
.