Wednesday, November 18, 2009


Nilai Tinggi Dan Masyarakat Media Cetak

Premis ‘seorang individu dilihat daripada apa yang dibacanya’ mungkin boleh diaplikasikan dengan premis berikutnya berkaitan kelompok lebih besar iaitu ‘masyarakat dilihat daripada apa yang dibaca (bahan) oleh mereka’. Premis ini tidak prejudis kepada sesiapa, malah memberikan beberapa pandangan dan renungan munasabah untuk dikongsi bersama berkenaan media cetak dan khalayak masyarakat.

Dalam struktur masyarakat, tentulah masyarakat bawahan yang berada dalam majoriti teramai dan diikuti dengan golongan pertengahan. Kebiasaannya mereka terdiri daripada pekerja tangan, buruh kasar, petani, nelayan, pekerja awam, pengganggur dan sebagainya. Tetapi di sebalik perbincangan berkenaan dengan peningkatan budaya dan nilai-nilai, selalunya konteks golongan ini selalu tenggelam.

Ada kemungkinan golongan ini ataupun pengkategorian ini berlaku dengan sengaja disebabkan faktor ekonomi, tahap pendapatan dan kualiti hidup. Dari segi penerapan sesuatu gagasan dan budaya misalnya, golongan ini mungkin termasuk dalam agenda yang dibentuk oleh pihak-pihak tertentu, tidak mempunyai perinciannya secara teliti atau selalu terpisah.

Mungkin salah satu kemungkinan hal ini berlaku disebabkan jumlah penduduk yang ramai, manakala agenda yang disediakan tidak mampu mengarap objektifnya secara keseluruhan dan mendasar ke bawah. Lalu beberapa kesan tertentu yang boleh terpapar dalam atau terkadang dilihat polos dalam realiti masyarakat.

Secara umumnya, tugas menyuntik dan menarik golongan ini ke dalam penghayatan budaya dan pemikiran nilai-nilai tidak selalu berjalan dengan licin dan mudah. Terlalu banyak halangan-halangan yang berlaku dalam mewujudkan masyarakat mesra nilai-nilai murni, mesra budaya ilmu, mesra membaca dan sebagainya. Atau selalu pula gagasan ini dipandang utopia lantaran persepsi politik atau ekonomi yang menyuguhkannya, mungkin saja.

Kempen membaca buku misalnya mengunjurkan beberapa petanda asas berkenaan dengan penerimaan masyarakat umum terhadap program sedemikian. Mungkin tahap penerimaan telah bertambah lantaran sudah berlaku perubahan dan transisi generasi dalam masyarakat yang perlahan-lahan menerima anjuran sesuatu agenda yang positif, tetapi tetap ada kelompok-kelompoknya dengan beberapa masalah dan kesan-kesan yang sebetulnya tidak menggembirakan bagi penduduk negara yang berada dalam landasan menuju ke Wawasan 2020.

Masyarakat hari ini begitu akrab dengan media massa khususnya media baharu (internet) dan media visual (televisyen). Tetapi media cetak seperti akhbar, majalah, tabloid dan sebagainya masih diterima ramai malah semakin bertambah dari segi pengeluaran majalah atau akhbar penerbitan. Meskipun majalah-majalah dan akhbar ini dicetak pelbagai skop atau temanya, daripada hiburan ke sukan, daripada agama hingga berkenaan wanita, remaja dan masak-memasak, kerjaya dan sebagainya, namun kerana agak terlalu sarat penghasilannya yang secara logik umum akan meransang minat masyarakat membaca pelbagai umur dan peringkat, tetapi tidak dapat juga menolak kemungkinan wujudnya gejala lain iaitu antaranya berkenaan kualiti pembacaan itu. adakah bahan bacaan tersebut memberikan maklumat yang berkualiti kepada pembaca dan sesuai dengan keperluan akliahnya.

Dari satu sudut, ransangan budaya membaca dan membeli bahan bacaan menunjukkan realiti yang selaras dengan status bakal warga negara maju. Dari segi kuantiti pembacaan tentu akan bertambah daripada satu tahun ke tahun yang lain. Bahkan media cetak sebegini telah berjaya membina jaringan khalayak atau peminatnya yang tersendiri. Segi ekonomi pula, ia sudah tentu memberikan sumbangan dalam menjana ekonomi negara selain menyediakan peluang untuk penerbit dan pencetak mendapat pendapatan yang stabil.

Namun beberapa masalah atau renungan tertentu timbul daripada fenomena lambakan majalah-majalah dan akhbar-akhbar rencam sebegini yang akan membuatkan sesetengah khalayak berfikir akan implikasinya kepada perkembangan ‘masyarakat pembaca ini’ secara lansung atau tidak lansung. Di sinilah titik pro dan kontranya sesuatu penerbitan yang mempunyai multi-tujuan yang tidak dielakkan selain daripada membekal maklumat dan informasi kepada para pembaca dan masyarakat, namun beberapa aspek yang barangkali pinggiran, tetapi semakin hari semakin berleluasa menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan atau sekurang-kurang kesaratan dalam maksud untuk memenuhi keperluan informasi dan inkuiri para pembaca/pengguna yang sebenar.

Mungkin ini salah satu bentuk atau masalah yang sentiasa berbangkit dalam negara membangun yang mempunyai survival ke arah ekonomi yang lebih baik dan keterbukaan yang sesekali diberikan kepada ruang-ruang penerbitan dan kemudiannya menjadi keterlaluan lalu mendedahkan kepolosan.

Akhbar atau majalah politik misalnya yang mengetengahkan tema atau subjek politik tempatan kepada pembacanya, ia masih dalam rasionaliti dan bertaut pula akan hak-hak demokrasi. Ia mungkin salah satu daripada manifestasi perubahan minda dan cetusan-cetusan tertentu yang mana saling menyokong pembangunan negara dan mengisi keperluan politik massa yang menyeluruh. Kewajaran memberikan ruang-ruang tertentu kepada akhbar, tabloid atau majalah sedemikian mungkin mempunyai manafaatnya kerana pemikiran rakyat seperti dikatakan kebanyakkan pemimpin negara, semakin bijak menilai keadaan politik. Malah politik pula sifatnya wacana yang berhubungan dengan pembinaan peradaban bangsa dan tamadun.

Barangkali masalah akhbar-akhbar, tabloid atau majalah sedemikian tidak timbul kecuali sekiranya berlakunya fitnah dan pembohongan yang tidak terkawal dilakukan disebabkan wujud anasir yang mengambil kesempatan ke atas individu atau golongan tertentu dalam sesuatu masa tertentu. Hal ini selalu berlaku disebabkan kewarasanpolitik yang melanda tanpa ditanda musimnnya. Secara amnya ia tidak mengugat jati diri atau kemandirian sesebuah bangsa jauh sekali untuk memudaratkan selagi masing-masing yang terlibat dalam penerbitan majalah atau akhbar tersebut berpegang kepada prinsip dan etika yang betul.

Berbeza isunya dengan yang boleh dikatakan ‘sarat’ dan agak ‘redundancy’ pada majalah-majalah, tabloid-tabloid dan akhbar-akbar yang berbentuk picisan, tahyul dan lucah yang mana akhir-akhir ini tampak disajikan dengan begitu bercita rasa dan berbagai-bagai versinya. Walaupun media cetak sebegini tidak dibaca atau dibeli oleh mereka yang tahu menilai isi kandungan, tetapi masalahnya sekiranya ia tidak diimbangi dengan nilai-nilai, akan memberikan implikasinya.

Bahan bacaan yang menarik dan sensasi sifatnya selalu menarik inkuiri kepada golongan yang ingin tahu dari pelbagai usia. Jikapun ada masih batasan dan hadnya, terdapat juga media tanpa disedari barangkali menyodorkan atau menyelitkan sesuatu negatif pada bahan-bahan cetakan media yang disediakan. Ungkapan-ungkapan, teks-teks, ilustrasi dan cerita yang disajikan yang berbentuk lucah, mistik, sensasi dan tahyul (baca: picisan) akan mempengaruhi minda dan sahsiah pembaca dan pengikutnya. Walaupun belum ada pembuktian dengan jelas kesongsangan daripada pembacaan yang barangkali ringan dan bersifat tidaklah keterlaluan ‘suhu sensasinya’, namun ia dengan jelas tidak memberikan informasi yang bermanafaat dan tidak juga mematang minda pembacanya.

Kebanyakkan bahan bacaan sebegini akan memainkan pembawaan emosi dan imaginasi yang tidak sihat atau sekurang-kurangnya tidak membina akal budi pembacanya. Contohnya apabila seorang pembaca membaca berkenaan liputan sesuatu budaya songsang, adakah ia dijamin akan memberikan input yang bersifat pencegahan menjauhkan diri atau secara tidak sedar akan menyodorkan rasa ingin tahu yang lanjut daripada perolehan atau pembacaan yang pertama tadi. Adakah mungkin pembaca terjamin daripada mahu mengalaminya sendiri atau mencuba setelah membaca bacaan tersebut?. Hal inilah yang menjadi tanya tanda dan keraguan dalam kelambakan media yang berbentuk sebegini. Dan media cetak merupakan bahan yang paling mudah di dapati dan meluas berbanding yang lain.

Kemungkinan kerisauan ini tidak untuk bagi golongan yang dewasa, tetapi bagi golongan kanak-kanak dan remaja yang menerima pembudayaan secara tidak lansung ini khususnya pada ketika ini dari pelbagai bentuk media massa, akan mempercepatkan gejala negatif seperti yang sudah zahir dari sehari ke sehari.

Bahan bacaan berupa mistik, tahyul dan sensasi juga menyumbang secara tidak lansung kepada budaya fikir yang tidak sihat terutama apabila subjek yang mistik akan membelakangkan tentang perkara-perkara utama lain. Misalannya, bahan tahyul yang wajar dikecilkan ruangnya di media massa bukan kerana ketidakpercayaan kepada hal itu atau sebaliknya, tetapi kerana bentuk nilai dan sikap yang dipapar menjuruskan kepada kelekaan, terbentuk daripada persekitaran atau timbul dari diri dan memberatkan hal-hal yang tidak memberi sumbangan pembinaan peribadi dan sahsiah pembacanya. Selalunya hal-hal ini berbentuk andaian dan terjerumus juga kepada rekaan kerana bertujuan publisiti. Agak sukar untuk menerima logik bahawa terdapat nilai ilmu dalam mistik/tahyul yang disajikan dalam media bercetak di pasaran. Juga berkaitan dengan sensasi dunia yang hiburan yang mempengaruhi minat pembaca dan terbawa-bawa kepada fantasi budaya popular yang kurang manafaatnya kepada realiti semasa. Kisah hidup yang berantakan juga turut memuati muka surat-muka surat majalah yang tidak diketahui peranannya dalam kecemerlangan tamadun.

Majoriti khalayak media bercetak arus picisan ini adalah datangnya golongan bawahan dan pertengahan yang mana kurang perhatian dan fokus terhadap pembudayaan dan nilai-nilai yang sepatutnya. Seakan kewujudan media arus ini suatu daerah ‘escapism’ untuk melayani naluri mereka yang tidak ‘bernilai tinggi’, punya tahap estetika dan pemikiran yang dangkal. Walaupun sebenarnya pembudayaan nilai-nilai luhur itu seharusnya menyeluruh dan tidak pernah mengkesampingkan mana-mana golongan, tetapi persepsi ini boleh sahaja dijadikan alasan sebagai apologetik pula kepada pihak wewenang. Tentu masalah ini boleh ‘diperbaharui’ lantaran tampuk politik baharu yang mempunyai azam untuk memandang jauh ke hadapan dengan harapan yang bermakna. Dan ‘golongan sasaran’ jangan pula dijadikan tempat menuding jadi lantaran wujud persekitaran yang menyogoknya.

Masyarakat perlu tahu dan access kepada maklumat yang sahih dan bermutu. Mengeluti perihal yang picisan menjadikan pembaca dari kalangan masyarakat kita mudah digula-gulakan dengan mimpi populariti individu tertentu dan perkara-perkara yang diada-adakan. Akibatnya masyarakat menjadi terpinggir suasana kebudayaan positif yang menunjangi bangsa dan jauh daripada realiti pemikiran semasa. Media massa bercetak perlu melihat kepada ‘nilai tinggi’ yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ke-6 yang hendak dibawa kepada rakyat negara ini. nilai tinggi itu kemungkinan tidak sahaja berkenaan dengan medan ekonomi, politik dan intelektual.

Namun dari segi sosio-medianya harus ada dan hidup sebagai satu agenda yang benar-benar absah. Sekiranya perubahan dari nilai rendah atau picisan ke nilai tinggi ini berlaku, logiknya ia memberikan gambaran kepada masyarakat tentang persoalan pembinaan sahsiah bangsa yang unggul secara meluas. Dan media massa tentu dikatakan merupakan enjin kepada kemajuan ekonomi, tetapi ia juga membawa beban “tanggungjawab sosial-politik-nilai-nilai” kepada masyarakat dan bangsanya.

Media massa harus juga memberikan dorongan kepada masyarakat dalam membina peribadi individu hingga ke unit besarnya iaitu bangsa itu untuk berada dalam satu horizon moral dan pemikiran yang sesuai dengan akal budi agama dan bangsa. Penyediaan input-input dan informasi yang menyegarkan minda sekaligus rohani akan menggerakkan masyarakat satu kebudayaan yang menekankan kejujuran, akhlak, akal budi dan bertanggungjawab bukan dengan cara kapitalis yang memberikan keutamaan kepada keuntungan di sebalik kepijaran budaya sugul pada masyarakat. Masa depan memerlukan sokongan pembaca berhemah dan berilmu, bukan pembaca yang membaca dari titik kosong kepada titik kosong yang lain; tidak memberikannya sebarang anjakan dari pembacaannya dan tidak lansung mendorong menanamkan kebudayaan nilai tinggi yang diharapkan.

Pihak kerajaan mungkin perlu memantau supaya kerjasama pembersihan budaya membaca kepada memilih pembudayaan bacaan positif yang dipersetujui daripada semua peringkat kepimpinan; iaitu daripada peringkat atasan yang memberikan penekanan kepada pembudayaan bermaklumat baharu ini dan diturunkan kepada penerbit-penerbit atau golongan tertentu sehinggalah khalayak di bawah. Di samping di setiap masa perlu adanya sikap untuk membaca yang baik daripada bacaan negatif yang boleh mempengaruhi minda dan jati diri. Agar semua yang mengikuti agenda membaca dan membudayakan pembacaan yang berfaedah menjadi tradisi sebagaimana yang ditegaskan dalam wahyu pertama dalam Surah Al-Alaq ayat satu bermaksud: “Baca ! dengan nama Tuhan yang menciptakan”. Konsep pembacaan secara tauhid dan berpaksikan taklif, menjadi seseorang perlu membaca sesuatu yang baik dan bertanggungjawab di samping menyediakan dirinya menjadi insan yang mengambil berat kepada perkara-perkara yang penting, sekaligus meninggalkan hal-hal yang tidak penting.


.