Wednesday, December 10, 2008

Pas, Idealisme Dan Pembaharuan

Selepas musim bergelutan tentang jawatan yang dipertandingkan; Ketua Wanita UMNO yang dianggap umpama perang dingin, medan politik semasa menghidu konflik yang dikatakan seakan-akan satu pertentangan iaitu yang berlaku perlucutan jawatan beberapa pimpinan Pas di Selangor. Isu ini tidak besar jika dibandingkan dengan isu perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO yang baru berlaku. Namun tulisan ini untuk menyorot perihal Pas yang akhir-akhir ini menemukan titik-titik ‘catalyst’nya.

Sekali imbas, Pas merupakan sebuah parti Islam-Melayu yang wujud atas kapasiti sebuah gerakan politik yang berbeza daripada parti-parti yang wujud sebelum atau selepas kemerdekaan daripada pelbagai parti yang berjuang dengan pelbagai tujuan yang sebahagiannya bersifat kebangsaan, sosialis dan perkauman. Jika dilihat entiti Pas sebagai gerakan politik Islam yang tunggal di Malaysia sekarang ini, telah memberikan impaknya yang berbeza kerana wadah yang diperjuangkan Islam sebagai nilai utama dalam perjuangannya dan Melayu sebagai nilai kedua. Maknanya Pas menanggani dualisme perjuangan politik ini secara serentak dalam politik nasional.
Idealisme Pas ini berterusan daripada penubuhannya yang pada asasnya bersifat kebangsaan yang ketara seperti di zaman Dr Burhanuddin Al Helmy. Namun dalam pada sifat kebangsaan itu, sifat Islam sebagai agama yang universal memberikan aura yang lebih luwes kepada gerakan tersebut khususnya pada era 80-an, di mana pada masa itu kepimpinanannya sudah semakin diterajui oleh golongan ulama tulen.

Pas dilihat bijaksana melaksanakan tugas dan peranannya dalam politik tetapi kadang-kala dilihat parti yang melawan arus terutama sikapnya ‘pembangkang’ yang ada padanya memberikannya lesen untuk mengkritik kerajaan dalam apa jua persoalan. Sikap kekiriannya menyebabkannya agak kritikal pada kebanyakkan situasi sehingga sering dianggap sebuah parti ‘penganggu’, anti-pembangunan dan sebagainya.

Hanya selepas 1998, Pas berdiri lebih teguh sebagai pembangkang yang boleh dikatakan berada di tahap rasional dan realis kerana menjadi salah sebuah elemen kepada perubahan peta politik nasional. Pas menjadi sebuah parti pendesak kerajaan yang pada ketika itu yang telah menggunakan jenteranya untuk mewujud suasana politik yang tidak stabil, iaitu selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Pemecatan itu menjadi satu peristiwa penting bagi parti pembangkang khususnya yang dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai parti kedua terbesar. Peranan yang dimainkan selain daripada platform kepada masalah konflik Anwar-Mahathir ketika itu.
Pas juga mengendurkan tali ikatannya untuk bergabung bersama dengan PKR dan DAP yang dikatakan zaman ngeri bagi politik negara di mana rakyat memberi reaksi yang negatif kepada kepimpinan UMNO dan negara. ‘Politik tidak menentu’ yang berpunca daripada tindakan kerajaan itulah membuka ruang kepada parti-parti pembangkang seperti Pas-PKR-DAP bersama dalam satu pakatan yang hari ini menjadi alternatif kepada suara rakyat pada hari ini.
Dengan itu, Pas hari ini sudah menjadi ‘mata pandang’ kepada khalayak kerana hanya Pas yang mampu mengemukan persoalan nasional atau antarabangsa, terutamanya tentang Islam dan persoalan Melayu. Siasah Pas walaupun pada satu ketika dilihat mendatar, tetapi di ketika yang lain agak mengejutkan seperti di awal tahun 2000, yang mana Pas berupaya menjadi ‘master mind’ kepada Pakatan Rakyat pada hari ini.

Sehinggalah pengabungan golongan profesional yang mengubah imej Pas daripada sebuah parti yang didukungi dominan ulama tetapi kini berbilang golongan yang ada dalamnya. Golongan profesional pula yang menyertai parti itu adalah daripada kalangan figur yang pernah mendapat perhatian rakyat dan mempunyai kedudukan yang penting dalam kerajaan. Penghijrahan itu mengubah persepsi khalayak politik tentang dasar Pas dan perjuangannya yang seakan-akan menemui wajahnya yang baharu. Dan apabila Pas mengambil pendekatan mengutamakan golongan profesional dan menyatukannya di bawah sebuah parti Islam, Pas seolah-olah mengalami proses pendewasaan yang signifikan.

Sejarahnya juga penting bilamana Pas pernah memiliki tokoh-tokoh yang terpandang dalam organisasi politik itu seperti Dr Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Dato Asri, Dr Harun Din dan sebagainya. Dalam tahun-tahun penuh cabaran iaitu sejak awal 2000 dan seterusnya, Pas selalu mencari pendekatan-pendekatan baru untuk menarik perhatian khalayak untuk bersama dengan parti itu. Pas juga melakar kejayaan-kejayaan selain menambahbaik kedudukannya sebagai parti pembangkang.

Namun, selepas setelah lama sebagai pembangkang, Masalah-masalah mungkin wujud bagi sebuah parti yang berteras kepada alternatif untuk menjadi sebuah parti pemerintah contohnya apabila berada di negeri-negeri. Pas yang agak selesa di Kelatan tidak semestinya menyamai dengan Kedah dan Perak di ketika ini. Walaupun sudah mampu mendirikan kerajaan Pakatan Rakyat bersama parti KeADILan dan DAP di dua negeri itu, namun masalah yang dihadapi wujud dan tentu sahaja memberi ruang kerajaan pusat atau pembangkang di negeri untuk membuat kritikan dan desakan.

Dalam perkembangan akhir-akhir ini, Pas semakin dilihat berbeza dengan banyak mengambil sikap diam dan senyap dalam kebanyakkan isu yang timbul. Walaupun sikap ini dianggap sikap yang selamat, tetapi menenggelamkan peranan Pas beberapa keadaan dan menyebabkan pandangan rakyat Pas sudah mulai longgar. Pas sebagai parti yang setakat ini paling ‘selesa’ dengan kedudukannya seharusnya tidak terus mendiamkan lantaran masih banyak peranan yang harus dimainkan bagi membentuk suasana politik yang matang.

Pembaharuan- seperti yang disebut beberapa pimpinannya merupakan salah satu agenda yang akan memulihkan keadaan Pas sekiranya parti Islam itu ingin terus berada dalam landasan perjuangan yang stabil seperti hari ini. Justeru, antara yang paling ketara adalah mewujudkan sebuah dewan jawatankuasa bagi non-muslim misalnya salah satu langkah yang bijaksana untuk menyeragamkan atau memperbaharui peranan Pas sebagai parti yang sesuai dengan semasa. Kewujudan dewan bagi bukan muslim tentu salah satu cabang pembaharuan yang unik dan menarik, tetapi memberi ransangan yang pintar untuk Pas lebih bergerak jauh.

Pas juga memerlukan pemikiran-pemikiran yang ‘besar’ untuk diketengahkan dalam pergerakan. Idea-idea segar dan baharu seharusnya dicarigali untuk membajukan Pas dengan wataknya yang lebih anjal bagi mengatasi persoalan semasa kerana Pas tidak sahaja memiliki potensi yang besar dalam arena politik (juga jika direnung sejarah kewujudannya) malah mampu memberikan saranan yang pintar menangani persoalan semasa.

Kelambanan Pas dalam mencari kata putus sesuatu isu yang melibatkan kaum atau bangsa lain menyebabkan Pas dilihat terlalu ‘bersendiri’ dan membataskan peranannya dalam isu-isu berkaitan Islam dan Melayu-konvensional. Padahal ruang lingkup isu yang tersediakan sudah terbuka cuma menanti kesediaan Pas untuk memainkan peranan. Sesetengahnya beranggapan Pas terlalu yakin dengan kemampuan dan kualiti dirinya dalam menanggani sesuatu juga jelas dalam banyak keadaan, malah sebetulnya Pas harus memiliki dan mampu ‘performance’ kepada permasalahan yang ada.

Kepercayaan rakyat kepada Pas dan gaya politik masih ada kerana Pas dilihat jujur dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan suara rakyat, namun seolah-olah ini tidak cukup atau memadai bagi melansungkan politik Islam yang lebih nyata dalam negara majmuk kaumnya. Pas harus lebih berani mengadakan perubahan yang ketara dalam strategi dan gayanya untuk mencari watak Pas yang lebih dihormati seperti yang pernah dilaluinya. Prestasi Pas walaupun dilihat agak normal tetapi terlalu mendatar menyebabkan seolah-olah terkadang Pas tidak ada tempatnya lagi dalam real politik.

Pembaharuan segi pemikiran, idea, rasionaliti dan sebagainya amat perlu supaya mampu bergandingan dengan zaman yang sangat terbuka dengan serba-serbi kepesatan akal politik. Mungkin sahaja saranan untuk membangunkan Pas dan membuat pembaharuan dalamnya perlu buat masa ini untuk masa depan yang panjang. Tetapi nilai tradisi dalam Pas seperti tarbiyah yang ada, tentu masih relevan cuma bagaimana ia mampu dinaiktaraf supaya mampu menghadapi politik baharu dan pilihanraya ke-13 yang hanya menunggu pelbagai risiko dan cabarannya. Mampukah Pas menyahut cabaran ini?.
.

No comments: