Saturday, December 20, 2008

Kasut terbang...legasi peninggalan Bush
Oleh Nurul Adlina Kamaludin

IMEJ yang menjadi paparan media antarabangsa menunjukkan Presiden Bush mengelak kasut dibaling wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi, sambil diperhatikan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.

Sepatu kini sinonim kegagalan dasar, pemerintahan AS di Iraq JIKA isteri bekas Presiden Filipina, Imelda Marcos terkenal dengan gelaran mengaibkan sebagai Ratu Kasut kerana memiliki lebih 2,000 pasang kasut, beliau kini sudah bertemu dengan pencabar yang tidak kurang hebatnya - Presiden George W Bush. Bezanya, Imelda dikenali dengan koleksi kasut miliknya, Bush sebaliknya diaibkan kerana kasut milik orang lain selepas dilontar sepasang kasut oleh seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi di Baghdad, Isnin lalu.

“Inilah ucapan selamat tinggal untuk anda, anjing,” kata Zaidi sambil membaling bukan satu, tapi sepasang kasutnya ke arah Bush yang dengan cekap dapat mengelaknya. Insiden memalukan ketika sidang media bersama Bush dengan Perdana Menteri Nuri al-Maliki di zon selamat Baghdad, sudah cukup menconteng imej Bush yang mentadbir Amerika sejak 20 Januari 2001. Drama yang tidak sampai lima minit, tetapi pasti dikenang sampai bila-bila kerana membabitkan penggunaan kasut - lambang penghinaan bukan saja di Arab, tetapi kebanyakan negara lain.

PENDUDUK Pakistan sanggup mengusung kasut gergasi dalam demonstrasi menyokong tindakan wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi yang membaling kasut kepada Bush.

Biarpun Bush boleh berseloroh dan berbangga dengan kemampuannya mengelak lontaran Zaidi, ia tidak mungkin memadamkan bahana kasut terbang itu terhadap imejnya yang sudah sedia tercalar. Dalam sekelip mata, pentadbiran tujuh tahun Bush yang sudah pun di saat-saat akhirnya, kini sinonim dengan insiden kasut terbang. Kejadian yang menjadi ucapan selamat tinggal mengaibkan bagi Bush. Apatah lagi, pada awalnya, Bush yang melakukan kunjungan mengejut di Iraq - negara yang diceroboh tentera Amerika atas alasan menggulingkan pentadbiran bekas Presiden Saddam Hussein pada 2003, sebaliknya menyaksikan Bush yang menjadi mangsa kejutan. Harapan Bush yang menagih pujian terhadapnya hasil apa digelarnya sebagai ‘proses demokrasi’ di Iraq yang mahu ditebarkan ke rantau lain Arab terbukti mengundang padah apabila Zaidi, wartawan yang tidak dikenali, sebaliknya menjadi wira hingga ke hari ini.

PEMIMPIN Kesatuan Pekerja Awam Turki Mustafa Kir (kanan) memegang sepasang kasut dalam demonstrasi menyokong Zaidi di luar pejabat kedutaan Iraq di Ankara.

Berikutan itu, bantahan demi bantahan, dari jalan raya di sekitar Iraq, Palestin, Pakistan, India hingga ke bumi Amerika sendiri, termasuk di depan Rumah Putih, terus diadakan sebagai menyokong tindakan Zaidi. Malah populariti Zaidi yang kini ditahan pihak berkuasa terbukti membuak-buak sehinggakan pencarian mengenai ‘Bush, Shoes’ mencatatkan lebih 15 juta hasil dalam bentuk forum, berita dan rencana mengenainya. Ini termasuk permainan baru yang memerlukan pemain membaling kasut bagi mendapatkan mata yang menerima 2.2 juta pengunjung sejak dilancarkan Selasa lalu.
Tidak cukup dengan mainan, wujud pula beratus-ratus lakaran dengan karikatur terbaik dipaparkan media Amerika sendiri. Selain itu, deretan kemeja-T dan cawan mengenai insiden sepatu terbang itu kini siap untuk dijual. Zaidi yang biarpun cedera dibelasah ejen keselamatan Iraq terbukti menjadi wira manakala Bush terus ditertawa. Seorang lelaki Saudi, Hassan Mohammed Makhafa pula sanggup menawarkan AS$10 juta (RM36 juta) bagi membeli kasut bersaiz 10 milik Zaidi yang dilabelkan Makhafa sebagai ‘pingat kebebasan’. Malangnya, sepatu itu dilaporkan sudah dimusnahkan pihak berkuasa Iraq.
Pemimpin asing daripada Presiden Venezuela, Hugo Chavez dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, pula menjadikan kejadian kasut terbang itu bahan jenaka dengan wartawan. “Keadaan agak panas di sini. Jika anda buka kasut, cuaca panas di sini akan menyebabkan tempat ini bau busuk,” kata Lula. Ini daripada sudut jenaka, tetapi bagi masyarakat antarabangsa amnya dan rakyat Arab khususnya, insiden itu bukanlah satu peristiwa biasa biarpun Amerika beriya-iya enggan membesarkan kejadian itu atas alasan ia bukti kebebasan bersuara di Iraq hasil campur tangan Amerika. Tetapi Amerika lupa, kejadian itu membuktikan apa yang sememangnya sudah dijangka.
Kehadiran Amerika dan dasar Bush sememangnya gagal memenangi hati penduduk Iraq mahu pun rakyat Arab secara keseluruhannya. Lebih tepat lagi, Amerika sudah gagal di Iraq dan tidak mustahil akan turut disusuli di Afghanistan selain menjejaskan kempen antikeganasan yang ditebarkan Washington ke seluruh dunia.
Apakah wajar Zaidi dipersalahkan? Sudah pasti tidak kerana Zaidi mewakili kelompok masyarakat biasa Iraq, bukannya anggota militan. Drama ‘kasut terbang’ bukan lagi isu dendam kesumat Zaidi yang pernah merengkok dalam penjara Iraq, tetapi bukti kemarahan rakyat awam Iraq yang tidak pernah mengakui Amerika sebagai sahabat, sebaliknya musuh. Ia juga menjadi peringatan kepada rakyat Amerika khususnya bakal Presiden Barack Obama betapa imej negara yang mencanang dirinya sebagai jaguh demokrasi dunia, sudah terjejas teruk di bawah Bush.
Suka atau tidak, mulai 20 Januari depan, Obama perlu menggalas tugas penting memulihkan imej dasar luar negara Washington untuk memenangi hati masyarakat antarabangsa atau terus digelar pengikut dasar gagal Bush. Drama kasut terbang itu juga menjadi amaran kepada pemimpin Arab yang mereka tidak boleh berterusan menjadi boneka Barat atau berdepan kemungkinan menyaksikan rakyat biasanya bertindak sendiri, termasuk melakukan perkara yang mengaibkan.
“Bush mahu mengakhiri kepemimpinannya dengan pujian dan kata-kata aluan daripada konconya di negara Arab dan Islam. Tetapi kasut pula diterimanya daripada seorang lelaki sejati Arab yang menandakan sejarah hitam Bush dan membolehkan orang Arab berasa bangga semula,” kata Profesor Sains Politik Universiti An-Najah di Tebing Barat, Abdel-Sattar Qassem. Benarlah kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Malang bagi Bush, nama dan legasinya kini sinonim dengan insiden ‘kasut terbang’ yang pasti segar dalam ingatan ramai biarpun selepas pengunduran tentera Amerika dari bumi Iraq dan selepas beliau menutup mata. Lebih ironi, senjata memalukan Bush dan Amerika bukannya menggunakan pena mahu pun serangan roket bertubi-tubi, tetapi memadailah dengan sepasang kasut kulit bersaiz 10. I
INFO 'Drama kasut'

1960 Pemimpin Kesatuan Soviet Nikita Khrushchev yang marah, menggunakan kasutnya mengetuk meja sebagai tanda protes pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

1987 Isteri bekas Presiden Filipina, Imelda Marcos menafikan pernah memiliki lebih 3,000 pasang kasut, sebaliknya mengakui koleksinya cuma 1,060 pasang kasut.

1979 Pemain Amerika dari pasukan Boston Bruins, Mike Milbury yang marah dengan seorang penonton, bertindak merampas kasut lelaki itu bagi membelasahnya.

1995 Supermodel Naomi Campbell jatuh tersungkur di pentas peragaan di Paris kerana kasut tumit tingginya lebih enam inci dan menjadi antara tajuk utama akhbar

2001 'Pengebom kasut' Richard Reid, ditahan ketika cuba meletupkan bahan letupan dalam kasutnya ketika menaiki sebuah pesawat Britain.

2003 Penduduk Baghdad menggunakan kasut bagi memukul patung bekas Presiden Iraq Saddam Hussein yang ditumbangkan.

2007 Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair didakwa memiliki sepasang kasut 'bertuah' yang dipakainya selama 10 tahun.

2008 Presiden George W Bush menjadi bahan persenda selepas mengelak kasut terbang dibaling wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi.
Sumber; Berita Harian bertarikh 21.12.2008
.

No comments: