Friday, May 01, 2009

Buku itu memanusiakan menurut Puan Ainon & Lessing

Penulis berkesempatan mengikuti satu bual bicara di kaca televisyen di tengah bulan April lalu. Menerusi rancangan tersebut, gambaran tentang buku dan realiti kehadirannya dalam masyarakat disentuh serba sedikit setiap panelnya. Salah seorang panel yang dijemput ialah Puan Ainon Mohd, seorang yang terkenal dalam menulis dan menterjemah buku, dan kapasiti beliau sebagai orang besar industri penerbitan di bawah penerbit buku major negara PTS, yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Kerana itulah kali pertama penulis mendengar sendiri Puan Ainon berbicara secara lansung, seakan hal yang ditimbulkan menarik untuk dipolemikkan kepada pembaca.

Kalau hendak diukur daripada yang telah diwacanakan pada malam itu secara lansung, memang menunjukkan bahawa terdapat beberapa masalah utama yang kurang diberikan perhatian oleh pihak wewenang dalam maksud bercita-cita atau mensasarkan penncapaian negara maju pada tahun 2020 kelak. Ukuran itu walaupun tidak dijelaskan melalui statistik khusus berpintal-pintal (kecuali statistik pengeluaran buku dan penerimaannya dari kalangan rakyat yang telah dihebahkan para panel), namun perkara yang sama yang perlu dinyatakan di sini ialah tentang betapa bermasalahnya warganegara tempatan untuk berhadapan dengan keadaan persaingan globalisasi yang diuar-uarkan.

Persaingan globalisasi di sini maksudnya, (selain daripada kerisauan tentang gelombang runtuhan budaya) ialah ketidakmapanan bangsa dalam sesuatu negara (baca:negara membangun) untuk menghadapi era maklumat yang saling bergeseran dengan amat pantas. Kerana itulah penerbitan dan penterjemahan buku, dari rasional umum dan rawaknya, jika tidak mampu untuk menghasilkan sekian-sekian buku mengikut jumlah penduduk negara yang ada-masalah tidak cukup atau tidak mampu menampung ruang vakum pembacaan, akan melambatkan penyebaran maklumat. Selain itu, akan berlaku pergerakan yang lambat bagi bangsa itu untuk bersaing, sehingga pada satu tahap wujud jurang yang jauh antara kemajuan negara bangsa A dan negara bangsa B. Kalaulah logik ini munasabah dan boleh dijadikan ukuran, maka masalah atau krisis pengetahuan bagi masyarakat negara membangun dalam era globalisasi sememang timbul dan amat nyata sekali.

Buku adalah khazanah bangsa yang cukup besar. Buku harus dijadikan satu tumpuan kerana tamadun yang tidak mempunyai buku, tidak mungkin mampu membesar dan survival lama. Pemikiran hanya dapat dikekalkan kelestariannya melalui penulisan buku dan penterjemahan. Proses pembelajaran dan pematangan sesuatu bangsa, dilihat pada buku-buku kerana bukulah merupakan wadah pemikiran dan falsafah yang tidak ada tolok bandingnya. Hal ini iaitu hubungan antara buku, peradaban dan pembinaan bangsa memang tidak mudah dideskriptifkan dalam mana-mana wacana atau tulisan. Ia tidak mudah diisukan kerana pada masa kini keperluan yang lebih dilihat adalah pembangunan material dan struktur. Pembangunan nilai dan intelektual, adalah sejarah sifatnya.
Wujud mazhab pemikiran (tidak disedari biasanya) semacam tugas membaca, menterjemah dan menghasilkan buku adalah klasikal sifatnya dan bertempoh. Padahal kita mungkin terlepas pandang berkenaan sejarah peradaban Islam atau Eropah, masing-masing bermula daripada asas-asas ini sehinggalah sekarang yang menjadikan membaca dan menghasilkan buku satu kebudayaan. Kerana itulah kemajuan hari ini, pada dasarnya adalah daripada penghadaman ilmu yang tidak dapat tidak melalui proses buku-membaca, menelaah, menterjemah dan menulisnya. Ini peringkat biasa dan normal pada mana-mana tamadun. Kalau dikatakan tamadun itu pada material, maka selama mana tamadun itu mampu bertahan kerana tidak melalui proses asas yang normal ini.

Apa yang disebut Puan Ainon (perlu sangat difahami) adalah suatu realistik, bukan idealistik. Ia satu saranan yang paling fundamental bagi pembinaan tamadun. Sebegitulah juga apa yang disebut tentang penterjemahan dan psikologi pemilikan pengetahuan yang signifikan bagi kita yang merupakan bekas negara kolonial. Dan Pandangan Puan Ainon ini sebetulnya satu daripada juzuk atau intipati penting dalam Minda Kelas Pertama dan ‘Negara Maju’ seperti yang disodorkan para pemimpin negara. Kerana tamadun adalah bergantung kepada ilmu. Dan ilmu sangat bergantung kepada penuntut dan pengembangnya. Dan hal inilah yang telah disebut oleh Doris Lessing, Penerima /Pemenang Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan tahun 2007 lewat syarahan Nobel yang disampaikannya yang berjudul - ‘On not winning the Nobel Prize’.

Namun perbezaan latar yang ditimbulkan Lessing sebagai model atau tipa adalah dari salah sebuah negara Afrika, di Utara Zimbabwe yang serba kemiskinan dan kekurangan, melalui pengalaman beliau berada di sana sekitar 1956. Antara ungkapan yang ajaib dan menarik dari syarahan itu, mengikut konteks yang dibicarakan ini; “As I sit with my friend in his room, people drop in shyly, and anyone begs for books. “Please send us books when you get bacak to London,” one man says. “They taught us read but we have no books.” Everyone I met, everyone, begged for books.”

Beliau menganjurkan paradoks pula dengan membandingkan kunjungan beliau ke London, selepas balik sana dan menyampaikan ucapan di salah sebuah sekolah terkenal. Ditanyanya tentang penggunaan perpustakaan, salah seorang gurunya memberitahu “You know how it is, …a lot of the boys have never read at all, and the library is only half used”.

Malah Lessing begitu menyedari bahawa kepentingan massa terhadap buku semakin merosot kerana beralih perhatian kepada komputer. Pada Lessing, “reading, books, used to be part of a general education”. Namun hal ini semakin kurang ditekankan malahan semakin dipinggirkan. Pengalamannya membekal buku ke desa-desa melalui organisasi diceritakannya dan pengelandanggan ini membenih kesedaran bahawa wujudnya serba kemudahan belum tentu, dihargai dengan sebaiknya. Malah ada di kalangan yang tidak memiliki buku dan kemudahan lain misalnya, sangat memerlukannya sama seperti yang berpeluang. Gambarannya seperti berikut - “Our organisation was helped from the very start by Norway, and then by Sweden. Without this kind of support our supplies of books would have dried up. We got books from wherever we could. Remember, a good paperback from England costs a month's wages in Zimbabwe: that was before Mugabe's reign of terror. Now with inflation, it would cost several years' wages. But having taken a box of books out to a village - and remember there is a terrible shortage of petrol - I can tell you that the box was greeted with tears. The library may be a plank on bricks under a tree. And within a week there will be literacy classes - people who can read teaching those who can't, citizenship classes - and in one remote village, since there were no novels written in the language Tonga, a couple of lads sat down to write novels in Tonga. There are six or so main languages in Zimbabwe and there are novels in all of them: violent, incestuous, full of crime and murder.”

Keperluan buku bagi negara yang tertindas dan terpinggir dari arus perubahan zaman inilah yang menyentuh Lessing menjadi bahannya untuk difikirkan bersama. Ketiadaan buku dan kelaparan ilmu diungkapkan dari cerita-cerita yang benar berlaku dari beberapa negara di Afika. Pendidikan yang tidak dibantu dan semacam wujudnya vakum tersia-sia dengan harapan untuk terus duduk sama tinggi dengan banga lain. Harapan itu dibenihkan daripada keinginan untuk membaca buku, memiliki buku dan berada dalam perpustakaan. Tetapi kesukaran inilah yang membuatkan wujud pergorbanan untuk keluar dari kepompong ini, sehingga melahirkan penulis-penulis dari Afrika yang menuntut di negara luar.

Babak-babak itu yang jauh daripada realiti semasa kita di negara ini. Tentu sahaja akan menimbulkan satu perasaan kebertuahan berada di negara makmur seperti ini. Timbul rasa simpati kepada negara yang jauh kebelakang dari garisan kemajuan yang sebenar. Himpitan politik dan kemiskinan tegar membaluti mimpi-mimpi masa depan mereka untuk melihat kejayaan –keluar daripada masalah yang dihadapi.

Namun, hal ini memulang pertanyaan ironis kepada semua dari warganegara Malaysia, adakah kita kekurangan material untuk menyumbang kekukuhan wacana ilmu dan intelektual di negara sendiri?. Atau ketidakmampuan menyediakan bahan bacaan yang bermutu dan meransang minat membaca di kalangan rakyat negara kita?. Malah dapat diamati bagaimana pembacaan yang diuliti sebahagian besar pembaca, adalah citrasa yang bersifat sederhana, berasa asing dari bacaan ilmiah dan bermanafaat meransang untuk berfikir. Dan masalah atau fenomena keterbalikan ini justeru tidak wajar berlaku umpamanya tidak menghargai bahan bacaan, tidak membudayakan atau dahaga buku (di Zimbabwe, Afrika mereka lapar seperti disebut Lessing), tidak membudayakan membaca di peringkat awal dan seumpamanya.

Apa yang disebut oleh Puan Ainon Mohd tentang masalah buku dan industri buku sebetulnya hampir ‘parallel’ dengan realiti yang dijadikan syarahan oleh Doris Lessing di sempena penganugerahannya ‘Nobel Laureate’. Ia sinonim tentang semangat membaca dan menghargai bahan bacaan dalam erti yang halus, untuk membangun peradaban dan negara bangsa, sekaligus membunuh ‘kegelapan minda’ yang menghantui sesebuah negara bangsa itu. Tetapi yang lebih simpatik, adalah warganegara kita lebih selesa tidak membaca dalam kekayaan material, tidak didorong membaca walau dalam sistem pendidikan yang diberikan sokongan kemudahan dan peralatan yang canggih, didogmakan dengan budaya fikir yang linear-tidak perlu membaca yang luar misalnya dan lain-lain. Dan ini sebenarnya, paradoks yang sangat simpatik bagi negara yang mahukan status ‘negara maju’ sedekad dari sekarang.
.
Wasilah 3-9 Mei 2009
.

No comments: