Saturday, April 25, 2009



Politik Ruang Dan Peluang

Ruang bagi politik, apa yang dikatakan sebagai demokrasi itu sendiri yang mana diwujudkan atas suara teramai atau majoriti. Umumnya, ruang ini tidak memberikan ruang kepada minoriti khalayaknya. Majoriti yang dikatakan ‘berhak’ itupun sebenarnya datang daripada pelbagai pertimbangan logika, mengikut kebiasaan manusia berfikir, yang paling ramai diundi atau dipilih itulah yang positif bagi keputusan itu yang akan membawa kepada peranan tertentu. Kemungkinan daripada suara ramai ini, bermaksud kehendak ramai. Walaupun tidak semestinya, yang mendapat sokongan itu seharusnya mampu bekerja untuk peranan itu.


Negara demokrasi seperti negara ini, memberikan kepada ‘ruang’ kepada orang-orang politik untuk mendapatkan ruangnya dalam parti yang pelbagai peringkat itu seterusnya kepada peringkat tertinggi parti atau kerajaan. Signifikan-signifikan seperti ini biasa dan munasabah mengikut fahaman sedia ada. Sekiranya ‘politik ruang’ ini hendak dikaitkan dengan Pemilihan Agung UMNO yang baharu lepas, dalam kes pemilihan utamanya iaitu Ketua Wanita UMNO dan Ketua Pemuda-dapat dilihat kedudukan politik ruang itu yang secara implisitnya, mempunyai kaitan rapat dengan suara majoriti parti. Petunjuk ini mengabsahkan penentuan majoriti ke atas ruang dua kedudukan penting selaku sayap parti kebangsaan ini; lantas menyodorkan kepada kita bahawa politik ruang ini terbuka kepada pilihan dan peluang yang serba berkemungkinan.


Ruang yang diperolehi itu daripada undian majoriti, menjadikan Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan Khairi Jamaluddin memegang jawatan utama dalam dua entiti cabang besar dalam UMNO. Pemilihan Agung UMNO sangat penting dalam langskap politik negara, dan kedudukan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda itu sendiri akan memberikan pengaruhnya tersendiri dalam realiti politik semasa. Kerana kedudukan itu akan memberikan ‘ruang’ kepada individu itu untuk berada lebih mantap dalam hierarki itu.


Dimensi baharu akan ditempuhi UMNO dengan kepimpinan baharu ini. Walaupun ada muncul nada sinis di sela-sela ungkapan ‘perubahan’, kabinet baharu sudah dibentuk. Kabinet ‘rakyat’ ini merupakan satu ukuran bagi kematangan parti UMNO dan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang bergandingan dengan Datuk Muhyuddin Yasin. Untuk duo kepimpinan ‘baharu’ ini, (persoalannya ?) mungkinkah dapat memecahkan tembok tragedi politik bagi UMNO yang membawa kesan-kesan dari akar umbi iaitu ketakpercayaan rakyat.


Sebelum ini, nama Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyuddin tidak pernah akrab dalam satu ‘team’. Namun inilah corak politik baharu parti kebangsaan yang tampil kepada rakyat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan ini. Penampilan yang seakan tidak ‘secocok’ terkadang dilihat suatu yang menarik untuk diperhatikan. Antara kedua-dua, tentu memerlukan waktu untuk serasi dan sekata dalam berhadapan dengan ragam politik yang rencam. Atau mungkin sahaja ‘duo’ inilah yang bakal membuat perubahan ‘gengsi’ bagai mengembalikan UMNO ke persada politik tanahair dengan tuntas.


Dalam menggarap semula peranan dan agenda sebenar UMNO, tentu langkah-langkah menakrif semula kehendak rakyat buat tatapan UMNO-BN menjadi suatu ‘home work’ yang tidak mudah. Memahami semula survival Melayu dan permasalahannya, merupakan satu kerja yang mungkin memerlukan pemikiran yang teliti dalam membedah persoalan yang meruwati sejarah pembangunan dan pembinaan negara bangsa selama ini. Malah inilah tulang kepada kebangkitan UMNO pada masa akan datang sekiranya hal ini disedari. (Nota pinggir !) Apakah ada tuntutan orang Melayu yang belum ditunaikan oleh UMNO?. Selain memperihalkan dan mengkoreksi semula kewujudan kaum-kaum lain seperti Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain sebagai entiti yang tidak mungkin terpisah daripada peta sosio-politik dan sosio-ekonomi tempatan.



Barangkali sudut-sudut ketidakseimbangan hak dan ketidakpedulian kepada kaum-kaum bukan Melayu sudah memberikan tanda ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran kerajaan hingga masih berlakunya kritikan-kritikan daripada akar umbi dengan amat jelas. (Nota pinggir: Bagaimana kerajaan mengseimbangkan semula keadaan ini supaya lebih terurus dan sekaligus membetulkan semula kerapuhan kepercayaan rakyat daripada kelompok ini).


Maka, melihat semua sudut kerja-kerja memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO-BN, ia merupakan satu cabaran yang besar kepada Perdana Menteri hari ini, merangkap selaku Pengerusi Barisan Nasional. Kepimpinan yang dikehendaki rakyat tentunya daripada para pemimpin yang perihatin terhadap kesukaran dan kehendak rakyat. Alat ukuran dan penilaian politik individu yang ada pada rakyat pula semakin rencam. Rakyat menyedari tentang tanggungjawab menjadi seorang rakyat dalam sesebuah negara.


Politik pula semakin dibundarkan dengan setiap permasalahan semasa dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, bahasa, kebudayaan, sains dan teknologi sehinggalah medan-medan lain. Rakyat mula menyedari politik menjadi pengerak kepada kemajuan bidang-bidang ilmu yang lain. Malahan politik itu sendiri seakan satu juzuk daripada sejarah bangsa dan agama. Ini menjadikan politik dan ceritera kepimpinan (baca: selain gossip, sensasi dan khabar angin) semakin ‘hadir’ dalam benak rakyat, walaupun ruang politik selalu membataskan politik rakyat dan politik elitis misalnya.


Namun sekiranya direnung lebih mendalam akan politik masa kini, semakin hari semakin terbuka dan anjal, secara tidak lansung ia menyediakan kemungkinan-kemungkinan yang munasabah, yang sebelumnya selalu tidak cenderung kepada logik. Situasi sebegini akan menjadi perhatian UMNO-BN dalam menjaga status politiknya. Penolakan UMNO-BN dalam PRU 12 misalnya, pada suatu masa yang dahulunya mungkin tidak munasabah. Tetapi sekarang, agak munasabah dan sudahpun ditunjukkan.


Maksudnya, bacaan politik tidak lagi didirikan tembok pemisahnya antara politik rakyat terbanyak dengan politik elit, yang barangkali sebelumnya, keterpisahan politik antara politik elit dan yang bukan elit jelas lagi ketara. Ruang politik dahulu (baca:dua atau tiga dekad lalu) adalah hanya bagi yang memiliki peluang dan munasabah bagi segolongan manusia. Hakikatnya, ‘politik’ sudah lama pasca-Kemerdekaan berubah konotasi daripada satu proses kepada mentadbir negeri dengan kuasa kepada menggunakan atau memanipulasi kuasa untuk mentadbir negeri. Membangun negeri lewat kuasa sudah terpadam dengan sendirinya perlahan-lahan, dan takrif yang baharu pula bangkit iaitu mengurustadbir negeri dengan kuasa majoriti rakyat lalu memanipulasinya selagi tidak menjadikannya negeri kacau-bilau dan terancam.


Tidak hairanlah sekiranya konotasi ‘politik yang berkuasa’ atau ‘kuasa penuh’ ini sudah menjadi tradisi dan kebiasaan lewat UMNO-BN dalam memerintah negara. Jika sebelum ini, konotasi begini tidak wujud kecuali beberapa dekad pasca-Kemerdekaan. Tahun-tahun pra-Kemerdekaan ataupun selepasnya dalam beberapa tahun, suara rakyat terbanyak sebagai kuasa masih bergema. Surat khabar masih menjadi penyalur kepada perbahasan politik dan sebagai ‘check and balance’ selain menjadi ‘watch dog’ bagi kebajikan rakyat.


Kebanyakan pemimpin pada masa itu juga perihatin terhadap keadaan rakyat yang perlu diberikan pembelaan daripada kerajaan. Maka, tidak hairanlah dengan penyatuan rakyat, kemerdekaan tercapai pada 1957 disodorkan pula suara para pemimpin dan politikus bergema melalui keperihatinan rakyat terhadap penjajahan. dan selepasnya keperihatinan terhadap kemakmuran negeri melalui sokongan terhadap kerajaan di bawah UMNO-BN.


Berlaku pusingan terhadap fungsi kerajaan dan politik ini di bawah UMNO menyebabkan rakyat mulai menyedari kesilapan-kesilapan yang dilakukan selama ini. Untuk men’revivalisme’ parti UMNO secara mutlaknya adalah terbeban di atas bahu tampuk kepimpinan baharu. Di antara Presiden dan Naib Presiden yang baharu, yang baharu sahaja mengangkat ikrar untuk memimpin parti ke arah hari depan yang lebih cerah. Pencerahan ini tidak datang sendiri kerana memerlukan kepada komitmen yang menguji keampuhan UMNO berdiri di atas cabaran yang getir ketika ini. Dalam situasi sebegini, pembaharuan menjadi penawar mujarab. Apakah mampu mengubati kondisi UMNO-BN yang dulunya membezakan politik elit dan politik rakyat ini? Di samping menyatukan semua ahli-ahli yang saling berbeza pandangan dalam banyak hal dan keputusan parti yang lalu?


.

.

Mingguan Wasilah, 26April -2 Mei 2009.

.

Dan sebuah lagi rencana, Tuntutan Politik Baharu


.


Paling penting UMNO perlu membina benteng etika yang sudah runtuh, sekurang-kurangnya membersihkan daripada rasuah politik yang membayangi parti itu pada masa ini. Masihkah UMNO punya masanya sebelum PRU ke-13 nanti !.

No comments: