Politik perkauman dalam lembaran lembaran politik baharu
Orang Melayu secara umumnya (merujuk sejarah lalu) merupakan manusia yang berada di bawah sistem politik dan tidak banyak mempunyai peluang mengalaminya secara real asam-garam politik rakyat itu sendiri. Apa yang wujud pada masa itu adalah politik tradisional berpaksikan istana kerana sultanlah yang menjadi ketua kepada semua rakyat jelata. Hanya pada era pra-Kemerdekaan, pada pandangan penulis, politik itu datang kepada orang Melayu dan politik itu sendiri sedikit demi sedikit menghablurkan kengkangan politik dari sistem lama melalui sistem baharu, yang didatangkan modelnya daripada Barat.
Kalau ditimbulkan pertanyaan bagaimana dengan pejuang sepeti Dato’ Maharajalela, Tok Janggut dan Dato’ Bahaman dan sebagainya. Kita boleh berpandangan pada masa itu pejuang kemerdekaan ini belum melihat perjuangan mereka itu adalah bersifat politik. Memang wujud semacam bayangan tindakan daripada kerangka politik itu sendiri, iaitu pembebasan penjajahan dan anti-penjajahan serta tidak mahu bangsa asing mengambilalih pentadbiran. Pejuang-pejuang ini tidak mahu cukai, pengurusan pentadbiran negeri dan kuasa raja-raja dimonopoli penjajah – tetapi hakikatnya, di sini politik itu tidak terserlah lebih jauh, kerana semangat melawan penjajah itu yang jauh mengungguli perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa itu.
Pada masa itu, semacam belum ada pemikiran mahu menguasai ilmu politik dan kuasa politik itu sendiri untuk membolehkan mereka menjadi tuan kepada tanahair ini. Sebab itu orang Melayu berada dalam penjajahan lebih daripada lima ratus tahun, disebabkan orang Melayu tidak mempunyai kehendak politik yang nekad seperti mana yang dimiliki oleh bangsa asing yang tekad menjajah – kerana fundamental imprealisme itu berlaku bertolak daripada wujudnya idea dan kehendak politik dalam pemikiran mereka.
Justeru, orang Melayu pada awal abad-19, pemikiran politik tradisi yang ada pada mereka berupa satu kerencatan kepada pembaharuan dan pembangunan orang Melayu lantaran terdapat pembentukan sangkar minda politik yang dibina secara psikologi dan sosial dengan kehadiran penjajah. Ini mungkin berlaku di India, Indonesia dan negara-negara lain yang terjajah. Orang Barat pula pada masa itu sudah bersedia lebih daripada sepatutnya pengetahuan berkaitan politik dan antaranya yang paling berjaya dilaksanakan ialah apa yang boleh disebut sebagai politik imprealisme. Barangkali ketika bangsa Barat berfikir tentang penjajahan melalui politik, orang Melayu baharu mengenal belahan dunia yang ada di luar. Orang Melayu baru mengerti tentang ekonomi ‘moden’ walaupun dari segi kebudayaan dan etika – orang Melayu Nusantara cukup kaya dan mewah dengan hasil persuratan ilmu, pelayaran dan pemikiran sastera yang sehingga ke hari ini belum habis dikaji. Malah melalui pendidikan ketika zaman penjajahan, orang Melayu tidak berpeluang untuk menimba sesuatu yang besar dan melansungkan ‘sifat berdikari’ bagi diri atau bangsa mereka. Skala ruang dan peluang itu dikecilkan kerana status sebagai bangsa yang berada dalam kelas penjajahan.
Idea dan pengalaman politik orang Melayu hanya berlaku dan berkesan apabila wujudnya fahaman pemikiran dari Timur Tengah yang memulakan penentangan terhadap Barat dan penjajahan melalui cara yang formal, walaupun belum ada sistem politiknya yang mandiri. Sudah ada pada masa itu pengarang-pengarang, pemikir-pemikir dan orang agama menceburkan diri dalam masyarakat dan memasyarakatkan politik dengan cara yang pelbagai. Penerbitan suratkhabar seperti Al-Imam misalnya, satu daripada pemulaan untuk membangkitkan peribumi bagi menentang penjajah yang melanda di negara-negara Timur Tengah sampai ke Nusantara. Seruan memperbetulkan pemikiran dan sikap, merupakan salah satu daripada pendidikan politik yang berlaku secara tidak lansung, dan memberikan keyakinan kepada bangsa peribumi untuk melawan penjajahan dengan secara menolak ideologi penjajahan yang hanya mahu memonapoli kekayaan di bumi dan menyekat kebangkitan bangsa daripada menjadi pemerintah.
Tetapi episod sejarah ini bergerak lamban, hanya selepas daripada tertubuhnya pelbagai pertubuhan antara PKMM, API, AWAS dan lain-lain yang dikatakan daripada gerakan politik kiri, (selepas mendapat pengaruh daripada perjuangan Kemerdekaan di Indonesia) barulah orang Melayu didedahkan dengan politik yang lebih jelas. Apabila UMNO ditubuhkan dengan usaha Dato Onn Jaafar, yang mana menjadi parti politik yang paling ramai dipersetujui pada ketika itu bagi menentang Malayan Union, orang Melayu semakin disedarkan dengan perkataan politik, dan kengkangan yang wujud sebelum ini mulai hilang. UMNO dipercayai sebagai penerus kepada kesedaran politik menentang imprealisme kepada kewujudan instituisi pentadbiran di bawah peribumi selepas daripada Kemerdekaan.
Pelajaran politik orang Melayu pada masa itu cukup besar kerana dengan politik, kuasa memerintah negara boleh beralihtangan kepada anak peribumi, yang mungkin sebelum abad ke-19 dan ke-20, untuk memerintah negara sendiri adalah mustahil dan hanya mimpi sahaja. Pengaruh politik dalam kehidupan orang Melayu makin meluas nyata. Peluang berpolitik semakin rencam dan menampakkan demokrasi. Orang Melayu tidak segan-silu dengan penglibatannya dalam politik sama ada UMNO atau bukan kerajaan. Malah sebelumnya, dengan adanya istilah ‘gerakan kiri’ orang Melayu lebih menghayati maksud perjuangan politik yang tulus sifatnya. Sungguhpun gerakan kiri ini tidak berjaya mendapatkan Kemerdekaan bagai Tanah Melayu seperti yang dilakukan oleh UMNO daripada penjajah British, tetapi perjuangan itu disambung bagi membela nasib rakyat di akar umbi. UMNO tidak semestinya baik dalam semua perkara. Maka dengan adanya parti-parti politik Melayu lain, ia akan menambahkan viarasi suara dan pandangan dalam pemerintahan sendiri di awal sejarah Kemerdekaan. Kuasa politik di tangan orang Melayu lebih besar dan berpengaruh. Tetapi untuk mencari pengaruh yang lebih akrab, UMNO bersama dengan parti bukan Melayu seperi MIC dan MCA. Kesedaran tentang politik majmuk ini setakat tidak begitu nyata, hanya bersama dalam Perikatan. Kerana sikap atau aliran politik perkauman masih pekat seperti yang dapat dilihat daripada pembentukan parti-parti politik berasaskan senstiviti perkauman. Maka dalam peristiwa 13 Mei misalnya merupakan manifestasi daripada situasi ketaksamaan dalam kemajmukan atau perbezaan yang ketara dari pelbagai segi, menyebabkan tragedi itu terjadi dan meninggalkan kesan yang amat dalam dalam sejarah. Sehingga parti-parti politik umumnya dibentuk daripada kaum-kaum sebangsa.
Cuma dalam pengamatan untuk politik mutakhir, sudah berlakunya perubahan pemikiran tentang stigma politik perkauman ini. Sudah ada tanda-tanda penerimaan sesuatu kaum terhadap kaum yang lain, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa siri pilihanraya yang baru-baru ini. Sokongan terhadap kaum sudah semakin kurang, malah ada petunjuk rakyat yang bukan Melayu mengundi pemimpin Melayu dan begitulah sebaliknya. Walaupun masih ‘baharu’ sifatnya, tetapi ini petunjuk kepada positif yang mana rakyat semakin akur dengan wacana atau idea perpaduan khususnya dalam politik. Tidak ada perbezaan perkauman dalam menentukan sesebuah keputusan politik, kerana setiap yang berhak sepatutnya boleh mendapatkan haknya. Tidak ada lagi perbezaan kaum dan bangsa dalam menilai antara maksud politik dan pilihan rakyat.
Mungkin ramai tidak menyedari, apakah signifikannya Pas yang dahulunya hanya disertai oleh orang Melayu sahaja, tetapi hari ini telah memiliki Kelab Penyokong Pas terdiri daripada kaum India dan Cina. Hal ini tidak mudah dibaca secara munasabah dari pengalaman politik lama yang barangkali juga kesan daripada pelbagai faktor sosio budaya, pendidikan dan lain-lain. Tetapi hal ini sudah menunjukkan suatu petanda yang nyata tentang penerimaan kaum terhadap kaum yang lain dalam arena politik, tanpa mengira batasan streotaip lagi. Justeru, slogan Satu Malaysia yang diwar-warkan itu, berupa satu daripada kesan perubahan sikap atau norma politik yang boleh dikatakan semakin berkesan dan meluas di kalangan rakyat. Dan pernah dahulu dikata parti KeAdiLan, tidak akan lama umurnya disebabkan penubuhannya bersabit sebab tertentu, tetapi pada kala ini mendapat liputan dan penerimaan daripada pelbagai kaum yang boleh dikatakan memberansangkan. Umum mengetahui parti tersebut yang juga komponen dalam Pakatan Rakyat DAP-Pas, terdiri daripada pelbagai kaum dan pemimpinnya juga daripada pelbagai kaum. Ini satu petunjuk bahawa politik perkauman semakin lama, dianggap satu idea politik yang karat dan tidak lagi relevan. Malah sudah ada senario yang menunjukkan penerima pelbagai kaum itu lebih baik sehingga mengabsahkan Satu Malaysia pada masa kini sebagai formula daripada pihak UMNO kepada semua rakyat, dengan, menyakinkan agenda baharu untuk seluruh rakyat di negara ini.
Mingguan Wasilah, 7-13 Jun 2009
.
No comments:
Post a Comment