Thursday, June 04, 2009


Politik perkauman dalam lembaran lembaran politik baharu

Orang Melayu secara umumnya (merujuk sejarah lalu) merupakan manusia yang berada di bawah sistem politik dan tidak banyak mempunyai peluang mengalaminya secara real asam-garam politik rakyat itu sendiri. Apa yang wujud pada masa itu adalah politik tradisional berpaksikan istana kerana sultanlah yang menjadi ketua kepada semua rakyat jelata. Hanya pada era pra-Kemerdekaan, pada pandangan penulis, politik itu datang kepada orang Melayu dan politik itu sendiri sedikit demi sedikit menghablurkan kengkangan politik dari sistem lama melalui sistem baharu, yang didatangkan modelnya daripada Barat.

Kalau ditimbulkan pertanyaan bagaimana dengan pejuang sepeti Dato’ Maharajalela, Tok Janggut dan Dato’ Bahaman dan sebagainya. Kita boleh berpandangan pada masa itu pejuang kemerdekaan ini belum melihat perjuangan mereka itu adalah bersifat politik. Memang wujud semacam bayangan tindakan daripada kerangka politik itu sendiri, iaitu pembebasan penjajahan dan anti-penjajahan serta tidak mahu bangsa asing mengambilalih pentadbiran. Pejuang-pejuang ini tidak mahu cukai, pengurusan pentadbiran negeri dan kuasa raja-raja dimonopoli penjajah – tetapi hakikatnya, di sini politik itu tidak terserlah lebih jauh, kerana semangat melawan penjajah itu yang jauh mengungguli perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa itu.

Pada masa itu, semacam belum ada pemikiran mahu menguasai ilmu politik dan kuasa politik itu sendiri untuk membolehkan mereka menjadi tuan kepada tanahair ini. Sebab itu orang Melayu berada dalam penjajahan lebih daripada lima ratus tahun, disebabkan orang Melayu tidak mempunyai kehendak politik yang nekad seperti mana yang dimiliki oleh bangsa asing yang tekad menjajah – kerana fundamental imprealisme itu berlaku bertolak daripada wujudnya idea dan kehendak politik dalam pemikiran mereka.

Justeru, orang Melayu pada awal abad-19, pemikiran politik tradisi yang ada pada mereka berupa satu kerencatan kepada pembaharuan dan pembangunan orang Melayu lantaran terdapat pembentukan sangkar minda politik yang dibina secara psikologi dan sosial dengan kehadiran penjajah. Ini mungkin berlaku di India, Indonesia dan negara-negara lain yang terjajah. Orang Barat pula pada masa itu sudah bersedia lebih daripada sepatutnya pengetahuan berkaitan politik dan antaranya yang paling berjaya dilaksanakan ialah apa yang boleh disebut sebagai politik imprealisme. Barangkali ketika bangsa Barat berfikir tentang penjajahan melalui politik, orang Melayu baharu mengenal belahan dunia yang ada di luar. Orang Melayu baru mengerti tentang ekonomi ‘moden’ walaupun dari segi kebudayaan dan etika – orang Melayu Nusantara cukup kaya dan mewah dengan hasil persuratan ilmu, pelayaran dan pemikiran sastera yang sehingga ke hari ini belum habis dikaji. Malah melalui pendidikan ketika zaman penjajahan, orang Melayu tidak berpeluang untuk menimba sesuatu yang besar dan melansungkan ‘sifat berdikari’ bagi diri atau bangsa mereka. Skala ruang dan peluang itu dikecilkan kerana status sebagai bangsa yang berada dalam kelas penjajahan.

Idea dan pengalaman politik orang Melayu hanya berlaku dan berkesan apabila wujudnya fahaman pemikiran dari Timur Tengah yang memulakan penentangan terhadap Barat dan penjajahan melalui cara yang formal, walaupun belum ada sistem politiknya yang mandiri. Sudah ada pada masa itu pengarang-pengarang, pemikir-pemikir dan orang agama menceburkan diri dalam masyarakat dan memasyarakatkan politik dengan cara yang pelbagai. Penerbitan suratkhabar seperti Al-Imam misalnya, satu daripada pemulaan untuk membangkitkan peribumi bagi menentang penjajah yang melanda di negara-negara Timur Tengah sampai ke Nusantara. Seruan memperbetulkan pemikiran dan sikap, merupakan salah satu daripada pendidikan politik yang berlaku secara tidak lansung, dan memberikan keyakinan kepada bangsa peribumi untuk melawan penjajahan dengan secara menolak ideologi penjajahan yang hanya mahu memonapoli kekayaan di bumi dan menyekat kebangkitan bangsa daripada menjadi pemerintah.

Tetapi episod sejarah ini bergerak lamban, hanya selepas daripada tertubuhnya pelbagai pertubuhan antara PKMM, API, AWAS dan lain-lain yang dikatakan daripada gerakan politik kiri, (selepas mendapat pengaruh daripada perjuangan Kemerdekaan di Indonesia) barulah orang Melayu didedahkan dengan politik yang lebih jelas. Apabila UMNO ditubuhkan dengan usaha Dato Onn Jaafar, yang mana menjadi parti politik yang paling ramai dipersetujui pada ketika itu bagi menentang Malayan Union, orang Melayu semakin disedarkan dengan perkataan politik, dan kengkangan yang wujud sebelum ini mulai hilang. UMNO dipercayai sebagai penerus kepada kesedaran politik menentang imprealisme kepada kewujudan instituisi pentadbiran di bawah peribumi selepas daripada Kemerdekaan.

Pelajaran politik orang Melayu pada masa itu cukup besar kerana dengan politik, kuasa memerintah negara boleh beralihtangan kepada anak peribumi, yang mungkin sebelum abad ke-19 dan ke-20, untuk memerintah negara sendiri adalah mustahil dan hanya mimpi sahaja. Pengaruh politik dalam kehidupan orang Melayu makin meluas nyata. Peluang berpolitik semakin rencam dan menampakkan demokrasi. Orang Melayu tidak segan-silu dengan penglibatannya dalam politik sama ada UMNO atau bukan kerajaan. Malah sebelumnya, dengan adanya istilah ‘gerakan kiri’ orang Melayu lebih menghayati maksud perjuangan politik yang tulus sifatnya. Sungguhpun gerakan kiri ini tidak berjaya mendapatkan Kemerdekaan bagai Tanah Melayu seperti yang dilakukan oleh UMNO daripada penjajah British, tetapi perjuangan itu disambung bagi membela nasib rakyat di akar umbi. UMNO tidak semestinya baik dalam semua perkara. Maka dengan adanya parti-parti politik Melayu lain, ia akan menambahkan viarasi suara dan pandangan dalam pemerintahan sendiri di awal sejarah Kemerdekaan. Kuasa politik di tangan orang Melayu lebih besar dan berpengaruh. Tetapi untuk mencari pengaruh yang lebih akrab, UMNO bersama dengan parti bukan Melayu seperi MIC dan MCA. Kesedaran tentang politik majmuk ini setakat tidak begitu nyata, hanya bersama dalam Perikatan. Kerana sikap atau aliran politik perkauman masih pekat seperti yang dapat dilihat daripada pembentukan parti-parti politik berasaskan senstiviti perkauman. Maka dalam peristiwa 13 Mei misalnya merupakan manifestasi daripada situasi ketaksamaan dalam kemajmukan atau perbezaan yang ketara dari pelbagai segi, menyebabkan tragedi itu terjadi dan meninggalkan kesan yang amat dalam dalam sejarah. Sehingga parti-parti politik umumnya dibentuk daripada kaum-kaum sebangsa.

Cuma dalam pengamatan untuk politik mutakhir, sudah berlakunya perubahan pemikiran tentang stigma politik perkauman ini. Sudah ada tanda-tanda penerimaan sesuatu kaum terhadap kaum yang lain, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa siri pilihanraya yang baru-baru ini. Sokongan terhadap kaum sudah semakin kurang, malah ada petunjuk rakyat yang bukan Melayu mengundi pemimpin Melayu dan begitulah sebaliknya. Walaupun masih ‘baharu’ sifatnya, tetapi ini petunjuk kepada positif yang mana rakyat semakin akur dengan wacana atau idea perpaduan khususnya dalam politik. Tidak ada perbezaan perkauman dalam menentukan sesebuah keputusan politik, kerana setiap yang berhak sepatutnya boleh mendapatkan haknya. Tidak ada lagi perbezaan kaum dan bangsa dalam menilai antara maksud politik dan pilihan rakyat.

Mungkin ramai tidak menyedari, apakah signifikannya Pas yang dahulunya hanya disertai oleh orang Melayu sahaja, tetapi hari ini telah memiliki Kelab Penyokong Pas terdiri daripada kaum India dan Cina. Hal ini tidak mudah dibaca secara munasabah dari pengalaman politik lama yang barangkali juga kesan daripada pelbagai faktor sosio budaya, pendidikan dan lain-lain. Tetapi hal ini sudah menunjukkan suatu petanda yang nyata tentang penerimaan kaum terhadap kaum yang lain dalam arena politik, tanpa mengira batasan streotaip lagi. Justeru, slogan Satu Malaysia yang diwar-warkan itu, berupa satu daripada kesan perubahan sikap atau norma politik yang boleh dikatakan semakin berkesan dan meluas di kalangan rakyat. Dan pernah dahulu dikata parti KeAdiLan, tidak akan lama umurnya disebabkan penubuhannya bersabit sebab tertentu, tetapi pada kala ini mendapat liputan dan penerimaan daripada pelbagai kaum yang boleh dikatakan memberansangkan. Umum mengetahui parti tersebut yang juga komponen dalam Pakatan Rakyat DAP-Pas, terdiri daripada pelbagai kaum dan pemimpinnya juga daripada pelbagai kaum. Ini satu petunjuk bahawa politik perkauman semakin lama, dianggap satu idea politik yang karat dan tidak lagi relevan. Malah sudah ada senario yang menunjukkan penerima pelbagai kaum itu lebih baik sehingga mengabsahkan Satu Malaysia pada masa kini sebagai formula daripada pihak UMNO kepada semua rakyat, dengan, menyakinkan agenda baharu untuk seluruh rakyat di negara ini.

Mingguan Wasilah, 7-13 Jun 2009
.

Monday, June 01, 2009

buku sebahagian daripada keseronokan. kita sering lupa bahawa kita sebenarnya harus banyak membaca. bacalah kerana Tuhan telah menyuruhmu membaca. -


Iltizam dalam Sastera Islam.

Sastera Islam sudah tidak asing lagi di Malaysia. Perbicaraannya telahpun menjadi sebahagian sejarah perkembangan sastera. Pada dekad 80-an misalnya, merupakan dekad yang penting bagi sastera Islam Melayu di negara kita. Sudah menjadi kelaziman di negara yang memilih Islam menjadi agama rasmi negara, maka banyak bidang yang cuba didekati melalui Islam.

Selain daripada bidang pendidikan, sains dan teknologi dan sebagainya sudahpun dibicarakan dan cuba dikaitkan malah cuba menghasilkan pelajaran yang mempunyai unsur-unsur agama. Keadaan begini harus dilihat positif kerana manusia perlu melihat semula situasi mereka dan ia amat penting untuk keadaan yang mendatang.

Sastera Islam dalam konteks moden jika boleh disentuh pada peringkat awalnya dibanghkitkan di Timur Tengah, iaitu negara Arab seperti Mesir dan lain-lain. Permulaan di sana amat baik kerana golongan intelektual melihat bahawa karya sastera juga harus mempunyai persepsinya tersendiri yang dilihat daripada kaca mata Islam. Ternyata bukan ia harus dilihat dengan sudut-sudut pinggiran sahaja tapi sastera Islam harus dibangunkan dan diusahakan menjadi satu aliran yang tersendiri.

Maka penulis-penulis pada dekad 70-an sudah menampakkan suasana ini malah dikira satu gelombang baharu yang muncul iaitu sastera yang ingin dikaitkan dengan Islam. Di Mesir khusus sebuah gerakan Islam telah muncul iaitu Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hasan Al-Banna salah seorang. Gerakan Islam ini telah mendapat perhatian dan amat popular sekali kerana ia sebuah gerakan yang mendekatkan umat Islam pada ketika pada persoalan-persoalan Islam yang sebenar. Hasan Al-Banna membawa pendekatan-pendekatan terbaharu iaitu semacam satu resolusi terhadap masalah-malah umat islam pada ketika itu. Harus diingat, pada tahun dekat 40-an dan 50-an keadaan kebanyakkan negara-negara Islam masih dalam penjajahan. Negara Mesir sendiri dijajah oleh Inggeris.

Hasan Al-Banna dengan Ikhwan Muslimin telah mendekati masyarakat Mesir ketika dan cuba mendekatkan mereka kepada Islam yang syumul sifatnya dan tidak lagi dilihat satu agama yang kolot semata-mata. Islam yang meliputi setiap aspek kehidupan, politik, sosial, pemikiran, ekonomi, ketenteraaan dan sebagainya. Islam agama logik, kehidupan, budaya, falsafah, tamadun dan keseniaan. Maka tidak ada pecahan dan penjuzu’an dalam Islam. Ia harus bersatu dan berkait antara satu sama lain. Selain itu Ikhwan Al-Muslimin juga menekankan persoalan jemaah, perpaduan dan khilafah yang telah terkubur dari realiti umat Islam, selain menekan penyelesaian-penyelesaian terhadap masalah umat Islam ketika itu.

Ia memberi kesan secara tidak lansung terhadap karya-karya sastera yang mana di negara-negara umat Islam terdapat penulis-penulis yang menulis namun tidak lagi mencerminkan pemikiran dan kebudayaan umat Islam. Maka inilah saat dan ketika yang sesuai mengembalikan kedudukan penulisan yang mengambarkan Islam ke tempatnya. Justeru, kewujudan penulis-penulis dari gelombang ini muncullah Syed Qutb, Muhammad Qutb, Muhammad Al-Ghazali, Yusuf Al-Qardhawi dan seumpamanya yang menjadi teras kepada pemikiran Islam yang baharu. Corak pemikiran yang dibawa adalah lebih kepada mendekatkan umat Islam kepada persoalan umat Islam semasa. Antara yang paling menonjol ialah Syed Qutb iaitu penulis Fi Zilalil Quran dan Maalim Fil Tariq.

Latar belakang Syed Qutb sangat menarik jika ingin disemak dan ditelaah. Tapi di sini penulis hanya menyebutkan bahawa Syed Qutb sebelum menjadi ahli kepada Ikhwan Al-Muslimin, beliau merupakan salah seorang penulis yang aktif dalam lapangan sastera dan kritikan. Ia jelas apabila beliau pernah menghasilkan puisi, novel dan juga kritikan sastera. Penulisannya pada ketika itu, sezaman dengan Aqqad, Tawfiq Hakim, dan penulis- penulis lain. Walaupun Syed Qutb masih muda ketika itu dan dikira menjadi anak murid kepada Aqqad kerana banyak dipengaruhi oleh Aqqad dalam lapangan sastera dan pernah menulis kritikan terhadap orang yang mengkritik Aqqad. Namun di ketika Ikhwan Al-Muslimin mulai dikenali di Mesir selain mempunyai pengaruh yang berbeza di sana khususnya dalam sosial, setelah Hasan Al-Banna meninggal dunia Syed Qutb telah mengabungkan dirinya kepada gerakan Islam yang besar itu.

Syed Qutb dilantik menjadi ketua pengarang untuk surat surat khabar Ikhwan Muslimin. Syed Qutb sebelumnya seorang yang hafaz al-Quran sejak kecil telah banyak mendorongnya menjadi ahli dalam gerakan Islam itu. Dan beliau banyak menulis buku tentang Al-Quran antaranya Al-Taswir Al-Fanni Fi al-Quran iaitu sebuah buku yang mengetengahkan kritikan sastera dalam Al-Quran sebagai salah satu pendekatan melihat teks Al-Quran sebagai wahyu teragung. Di kemuncak kariernya sebagai seorang penulis dan salah seorang pemimpin gerakan Islam, juga seorang pemikir beliau telah menghasilkan sebuah tafsir Al-Quran yang diberi judul Fi Zilal Al-Quran (Dalam Bayangan Al-Quran). Sebahagian pengkaji menyatakan tafsir ini berbentuk tafsir haraki iaitu sebuah tafsir mrngambil kira peranan gerakan Islam yang disentuh dalam tafsir ini.

Kesinambungan penulisan sastera Islam semakin diterima dan menghairahkan sesetengah golongan antaranya penulis-penulis yang mempunyai hubungan secara lansung dengan Ikhwan dan prinsip-prinsip ini terus dilanjutkan dengan penulisan buku tentang sastera, sejarah, pemikiran dan sebagainya yang menggunakan manhaj atau metode yang digunakan dan diperkenalkan oleh Syed Qutb. Usaha sebegini dilakukan antaranya Najib Kilani salah seorang penulis novel-novel dan puisi Sastera Islam. Hasilnya beliau juga melibatkan diri dalam penulisan teori dan kritikan Sastera Islam. Hal ini amat positif kesannya kerana jejak Najib Kilani diikuti oleh penulis-penulis lain seperti Imamuddin Al-Khalil.

Teori dan kritikan Sastera Islam Arab dianggap menjadi titik tolak kepada kelahiran aliran baharu dalam sastera. Namun ia sebenarnya bukan suatu yang baru kerana sastera Islam telahpun wujud sejak daripada zaman dakwah Rasulullah s.a.w. melihat kepada penglibatan beberapa orang Sahabat Nabi Muhammad s.a.w mempertahankan Islam dan dakwah dengan puisi-puisi yang mereka hasilkan.


Puisi-puisi mereka yang menggambarkan keagungan Islam sebagai wahyu terakhir, pujian terhadap Nabi s.a.w dan kesatuan dan keluhuran budi kaum Muslimin mempertahankan Islam menjadi tema penting pengkaryaan mereka. Ia menjadikan di sini permulaan yang hakiki tentang sastera Islam.

Iltizam

Barangkali antara subjek yang paling menjadi teras kepada sastera Islam yang ditulis oleh penulis-penulis Arab ialah Iltizam iaitu salah sebuah prinsip kepada teori Sastera Islam Arab. Najib Kilani mengakui iltizam yang membezakan antara sastera Islam dengan sastera yang lain. Sastera selain mempunyai sifat-sifat kerohanian namun pada dasarnya Iltizam akan menjadi teras kepada perbicaraan sebuah karya sastera Islam.

Iltizam satu konsep mengenai tanggungjawab seorang penulis sastera Islam terhadap karya yang dihasilkan. Tanggungjawab ini bermaksud menggunakan mata pena, bakat, idea, intelektual, kreativiti, pancaindera yang dikurniakan untuk menciptakan atau menghasilkan karya yang sejalur dengan syariat. Karya ini tidak semestinya melambangkan sepenuhnya tentang keagamaan tapi memiliki nilai-nilai Islam yang universal.

Sastera Islam juga harus menekankan nilai-nilai murni, kemanusiaan, keamanan, kasih sayang, nilai pemikiran ynag sepadan dengan agama, falsafah hidup Islam dan akhirnya mempunyai keyakinan akan kekuasaan Allah Taala.

Dalam kerangka Iltizam yang menerapkan nilai pengajaran dan akhlaq mulia sastera Islam perlu juga mengambil kira struktur dan estetika yang mampu mengayakan karya supaya didekati dengan baik oleh pembaca. Aspek seni mengadun cerita harus diambil kira kerana ia menjadi alat untuk menyampaikan mesej iltizam seorang pengarang.


koleksi tulisan lama yang tidak disiarkan di mana-mana.
.