Sunday, March 22, 2009



Fundamentalisme Bahasa



Tidak menjadi menjadi kesalahan bagi seseorang itu ingin menjadi seorang fundamentalis agama misalnya, kerana berpegang kepada agama itu suatu yang bersifat manusiawi dan fitrah sifatnya. Tetapi kerana perkataan fundamentalisme itu sendiri disalah ertikan dengan tafsiran lain yang mengganggu misalnya, tidak mustahil berpegang kepada yang asas, pokok dan dasar juga berpersalahkan kerana terlalu berlebih-lebihan dalam tindakan atau pendirian.

Samalah juga dengan bahasa yang boleh dikatakan perkara pokok dan dasar dalam sesebuah peradaban bangsa dan agama, tidak mustahil dikatakan mempertahankan dasar sesuatu bahasa yang telah ditetapkan sejak sekian lama menjadi satu kesalahan kepada golongan yang memperjuangkannya. Malahan apabila mempertikaikan golongan yang berpandangan yang berlawanan dengan golongan ini, terus dikatakan taksub, melebihi batas, anti kemajuan dan emosional. Seolah-olah bersikap fundamentalis dalam agama misalnya adalah negatif dan apa pula bezanya dengan fundamentalis bahasa kalau ia boleh digunakan di sini.


Bersifat pro-gerakan kepada mempertahankan dasar bahasa ibunda sesuatu yang positif dan asalkan ia tidak memudaratkan pihak lain. Malah jika hujah dan bukti yang diberikan begitu absah, mengapa masih berlaku kekeliruan dalam mencari kata putus ataupun penyelesaian yang murni dalam hal sebegini. Kemungkinan hal ini belum jelas dari pihak yang terbabit tentang faham peri pentingnya bahasa ibunda bagi sesuatu bangsa dan kurang memberikan perhatian atau merujuk perkara ini daripada mereka yang ahli. Mengapa tidak dibuat perbincangan sebelum mana-mana dasar atau keputusan diambil khususnya berkaitan yang dikatakan ‘dasar/pokok’ ini. Lantaran sebelum isu ini menjadi lebih parah dan mengambil sikap berhati-hati dan berhemah, tindakan seperti membuat kajian yang rasional bagi menguji kemapanan sesuatu tindakan sebelum melaksanakannya secara rasmi.


Bagi rakyat biasa, mereka perlu diberikan kefahaman bagi mengetahui tentang isu yang sebenar, dan adalah terlalu awal untuk membuat penetapan bahawa ia bakal berjaya kerana pada banyak perbincangan semasa menitikberatkan bukti tentang belajar dalam bahasa ibunda lebih alamiah dan tabie sifatnya. Antara logik menyanggah PPSMI ialah logika akal menyatakan dengan bahasa ibundalah lahirnya kemampuan untuk berkehidupan seperti manusia yang normal yang lain. Bakat pertama inilah yang berkembang dan menyusun kudrat akliah lewat bahasa ibunda untuk berinteraksi dengan alam dengan fikiran. Disambung daripada itu logika lainnya iaitu ;


Kita mungkin tidak perasan kepentingan ini apabila sudah meningkat dewasa dan sudah berumur misalnya, kerana bahasa itu sebahagian daripada proses yang tabie sifatnya dalam kehidupan dan sesuatu yang terkadang implisit kesannya, tidak dilihat sebagaimana tumbusaran fizikal /biologi misalnya. Dan mungkin pembaca tidak menyedari di mana ilmu yang berkembang diajarkan difahami dan menjadi pegangan selama ini disampaikan dengan bahasa ibunda. Pertuturan seharian, pembacaan dan penulisan sehari-hari kita selalu akan menghubungkan secara lansung dengan bahasa ibunda yang diperolehi daripada masa kanak-kanak lagi yang menurut pendapat kajian di mana wujud tabula rasa dalam sistem pemikiran manusia yang menjadi pengembang potensi manusia berbahasa.


Bagi mereka sudah menguasai lebih daripada satu bahasa misalnya, mungkin satu, dua atau lebih bahasa asing, akan timbul persoalan yang bersifat teoritikal yang hanya sesekali dipertanyakan iaitu ‘dengan bahasa apa awak berfikir ?’. Kebanyakkan penulis bukan bahasa Inggeris tetapi menulis Bahasa Inggeris sendiri, selalu dipertanyakan soalan ini misalnya seorang penulis dari Somalia, Nuruddin Farah yang menulis novel-novelnya antaranya trilogi Blood in the Sun ( Maps (1986), Gifts (1993), Secrets (1998) dan trilogi Viariations On The Theme Of An African Dictatorship ( Sweet and Sour Milk(1979), Sardines(1981) dan Close Sesame(1983) dalam Bahasa Inggeris. Jawapannya mungkin subjektif diberikan dan sememangnya seperti dinyatakan oleh pengarang ini, beliau berfikir dalam bahasa ibundanya, sama seperti mana beliau menuangkan fakta-fakta, gambaran, budaya dan inti pemikiran yang dididik daripada kecilnya, iaitu lewat budaya dan dan bahasa Somalia.


Barangkali penulis sebegini walaupun sudah menulis dalam bahasa asing namun tidak pula melupakan bahasa ibunda yang menjadi latar kehidupan sedari usia kecil dan remajanya.
Begitu akrab bahasa ibunda dan pemikiran dalam menentukan satu-satu corak kehidupan yang lansung daripada realiti. Apabila menyebutkan bahasa ibunda selalunya atau kebanyakkan orang kurang memberikan perhatian ini secara khusus kerana bahasa ibunda hanyalah sebagai alat perhubuangan pada satu-satu masa atau tempoh. Selepas daripada tempoh dan waktu yang seterusnya, terdapat golongan yang membesar dengan lebih daripada bahasa ibundanya. Pun begitu bahasa ibunda tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam menentukan penglibatan tumbusaran awal sebagai manusia, dan bahasa ibunda atau bahasa pertamalah yang menjadi wadah kepada manusia sebelum mencapai pengalaman lain dengan bahasa kedua dan ketiga.


Proses ini sangat subjektif tetapi jika dilihat dengan mendalam, bahasa ibunda mempunyai entiti yang menunjukkan identiti, peribadi dan membantu kepada pengecaman pengalaman kemanusiaan awal bagi seseorang. Kerana bahasa itu jugalah yang mempertalikan manusia itu dengan yang lain di peringkat pertamanya. Dan dengan bahasa ibundalah pengetahuan dipindahkan melalui proses pembelajaran lansung maupun tidak lansung, malah pengungkapan yang awal juga melibatkan bahasa ibunda ini sehingga mencantumkan sesuatu yang bersifat abstrak dengan bahasa pertuturan atau perkataan, membantu untuk menterjemahkan rasa kasih sayang, gembira, benci, rasa indah, takjub, bersungguh-sungguh, sedih dan sebagainya.
Dalam persuratan atau penulisan pula, di mana bahasa ibundalah yang memulai proses penyerapan gagasan atau idea melalui tanda-tanda pada penulisan lalu difahami mengikut peaturan atau sistem yang ditentukan. Kalaupun seseorang itu dididik secara formal cenderung dalam bahasa asing, tentu asas-asas pengetahuan sekurang-kurangnya diperolehi dnegan bahasa ibunda pada kelazimananya.


Apa yang kontradiknya pada isu PPSMI bagi fundamentalis bahasa sehingga mencetuskan seolah-olah penentangan dari kalangan pejuang bahasa, pecinta bahasa dan badan-badan bukan kerajaan dan individu persendirian yang membangkitkan seolah prostes, adalah disebabkan perihal bahasa ini tidak diinsafi terlebih awal kerana faktor-faktor tabie ini tidak dilihat dan ditelaah sedari awal malah kelihatan seperti dikesampingkan. Ia tidak diberikan perhatian atau tumpuan sebelum sesuatu dasar seperti PPSMI itu sendiri digubah. Pihak terbabit tidak melihat gagasan dan teori yang mendukungi maksud terbinanya sesuatu bangsa yang bermaruah dan berjati diri adalah antaranya dengan bahasa ibundanya yang lebih tulen dan akrab dengan alam pemikiran bangsa itu. Perkara yang bersifat sejarawi sebeginipun tidak dirujuk dengan berhati-hati dan disebabkan menyebabkan rasa terguris dan terasa kepada fundamentalis ini bukan kepalang lagi.


Kemungkinan juga faktor-faktor lain antara pemilihan mata pelajaran Matematik dan Sains itu sebetulnya satu pernyataan realiti yang relatif dengan mitos dengan ketidakmampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi dan sains. Malah tersirat juga isu-isu lain yang tidak dapat tidak dikait dengan dasar dan persoalan pokok yang berkaitan dengan masa depan bangsa dan negara. Hari inipun memang realitinya rata-rata generasi baru Melayu tidak baik dalam bahasa Inggeris dengan merujuk kepada sekitar permasalahan yang ditimbulkan sedari awal tahun 2000-an. Punca itu terlalu umum dan rawak sifatnya kerana tidak disebutkan bersama isu tersebut kajian yang menyatakan persoalan atau sintesis mengapa bangsa muda Melayu kurang mencapai kepujian atau baik dalam subjek Bahasa Inggeris.


Maka persoalan itu (suatu ketika tidak berapa dulu) tergantung pada satu tahap dan tidak pula ditelusuri dengan mendalam. Bahasa Melayu pula dimomokkan dengan masalah-masalah tertentu, walaupun hakikatnya masalah itu masalah yang pelbagai puncanya bukan hanya daripada kelemahan yang ‘ditelunjukkan’ kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Kerana setahu penulis, keazaman, keperihatinan dan pemberatan kepada Bahasa Melayu adalah bukan sahaja iltizam instituisi atau badan tertentu yang dilantik, malah ia satu peranan yang umum dan luas massanya. Khalayaknya adalah penuturnya dan jika dikhususkan kepada sesuatu badan sahaja, tentu kemampuan dan tanggungjawab besar ini tidak boleh dipikul sendirian. Ia perlu ditanggani secara sosial, politik dan ekonomi secara serentak dan bersama. Dan belum ada bangsa yang meminggirkan bahasa ibundanya sendiri walaupun bahasa itu kecil penuturnya dan tidak meluas penggunaannya.


Dalam isu Bahasa Melayu, yang penting iltizamnya harus diperbetulkan dan disatukan semula semuanya dari rakyat biasa kepada pemerintah untuk melihat kewujudan Bahasa Melayu terus makmur dan subur. PPSMI juga satu langkah untuk menaiktaraf murid kepada satu tahap atau anjakan paradigma Bahasa Inggeris buat pelajar Melayu, tetapi apabila banyak dikritik secara besar-besaran tentunya akan memperlihatkan situasi yang tidak seimbang yang terhasil bukan seperti mana diharapkan. Mungkin sahaja isu ini sifatnya masih terdedah kepada perbincangan bersama dan dihalusi untuk menjadikannya bukan sesuatu yang beban kepada Bahasa Melayu dan bangsa Melayu itu sendiri.


Orang yang fundamentalis bahasa rasanya tidak menentang dengan tangan yang kosong dan dalam kehilangan fikiran waras, kerana di tangan mereka punya hujah-hujah yang harus juga dilihat dan diteliti. Fundamentalis bahasa ini tentu sahaja sudah membaca dan melihat kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan yang zahir pada sesuatu dasar yang pada mereka merugikan banyak segi. Malah ia juga seolah satu pertindanan kepada yang ada sebelum ini, yang tidak seharusnya berlaku.


Akhirnya rakyat dan pemimpin perlu sedar bahawa Bahasa Melayu sesuatu yang boleh digunakan untuk kemajuan peradaban bangsa, tapi masalah yang sedia ada haruslah diselesaikan sehingga Bahasa Melayu bersedia untuk bangun sebagai bahasa yang mapan berhadapan peranan semasa dan masa depan. Apakah salahnya fundamentalis bahsa kalau dasar, hujah dan pandangan ini menjadi tulang perjuangan mereka pada 7 Mac lalu. Akuilah, slogan kita ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.
.
Ditulis dan telah dikirimkan. Tapi tidak disiarkan.
Selamat membaca.
.

2 comments:

Zamri Mohamad said...

Kirim di mana?

Dewan bahasa ke?

fadzil yusof said...

Kirim ke siasah. Tapi, bila dibaca semula, banyak kesilapan tatabahasanya. Maaf.