Friday, January 09, 2009

Siasah yang kian pragmatik.
(ada trobit rencana ini dalam Mingguan Wasilah terbaru entah berapa tarikhnya.)

Kata pragmatik di sini merujuk dan memberi makna; (mempunyai sifat atau pendirian yang) lebih mementingkan (mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori dan sebagainya, bersifat praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan akibat yang sebenarnya terdapat atau akan timbul (Kamus Dewan, Edisi Keempat).

Kelansungan pragmatik politik di Malaysia sangat ditunggu di kalangan pemerhati dan khalayak politik yang menantikan bagaimana sebuah negara membangun dan majmuk sifat masyarakatnya mampu menangani persoalan politik semasa dengan caranya.

Siasah negara secara umumnya sudah mengalami perubahan tetapi masih dalam linkungan yang perlahan. Jika dikatakan sudah berlaku ‘transformasi’, (pada sesetengah orang) ini kurang tepat dari segi logiknya kerana tranformasi ini pada kebiasaannya berlaku dengan drastik. Sedang yang berlaku baru-baru ini belum cukup mendalam kesannya. Namun pada satu pihak, ada yang menyatakan ia sudah berlaku dan perkara sedemikian masih dalam proses menunggu perubahan yang bakal menyusul di samping menghadapi masalah-masalah yang sedia ada.

Apapun segala perubahan yang positif berupa pemikiran, kematangan dan rasionaliti berpolitik harus diteruskan kerana sebuah bangsa yang menuju ke arah negara maju, akan menerima pelbagai perubahan yang dihadapi. Politik adalah salah satu juzu’ perubahan yang berlaku pada setiap negara membangun dan akan mengalami pelbagai ransangan-ransangan yang mengarah kepada kecenderungan-kecenderungan tertentu yang kadang-kadang tidak dibaca dengan akal fikiran. Tambahan sistem pemerintahan yang berteraskan demokrasi sentiasa membuka kemungkinan perubahan hadir dengan sendirinya.

Sebuah perubahan biasanya memberikan impak negatif dan positifnya. Namun ia tetap berlaku dan menemukan satu wajah perubahan yang sebenar atau sebuah lakaran yang realiti yang makin mengikut jalur yang difikirkan perlu. Dan akhirnya manusia dalam masyarakat itu harus menerima bahawa perubahan adalah satu sifat yang berbetulan dengan kemanusiaan dan tabiinya dan bukan bertujuan kehancuran. Jadi, jatuh bangun bangsa itu juga berkaitan dengan perubahan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara itu. semua ini hanya berlaku dengan keizinan daripada rakyat yang berada sebagai penetu kepada perubahan yang dimahukan.

Sebagai contoh, perubahan sosial dalam masyarakat yang berlaku pada abad-abad yang lalu daripada pertanian kepada industri adalah satu kelansungan perubahan yang tidak dapat dielakkan. Perubahan yang menganjalkan budaya hidup masyarakat dan cara berfikir membentuk kepada sikap yang berbeza daripada nilai tradisi sebelumnya dan selalunya masyarakat diminta bersedia menghadapinya. Perubahan sosial dan ekonomi selalu mempunyai kaitan atau parallel dengan perubahan politik.

Misalnya kelemahan sesebuah pemerintahan dalam mentadbir negara segala kelihatan ‘simptom’nya dalam sosial dan ekonomi. Kemunduran pemikiran dan media juga mengisyaratkan kelemahan kerajaan yang membawa kepada gerakan yang membebaskan kemelut ini daripada berpanjangan. Politik salah satu jalan untuk menemukan perubahan ini supaya berlansung dalam serba berkeseimbangan dan terurus. Dan perubahan ini tidak berlaku secara sendiri dan mudah, malah terkadang kuasa politik yang ada selalu bertampuk lama dan hanya apabila keadaan terlalu teruk, barulah perubahan itu menyusul mendadak seperti yang dilihat daripada negara Thailand yang dikatakan akan mempunyai wajah yang baharu dan menemui kestabilannya. Namun ini masih dalam hipotesis.

Apabila sesebuah masyarakat sudah menerima nilai-nilai demokrasi yang sebenar, penghayatan kepada hak asasi, kuasa rakyat, metode perubahan dan sistem nilai kebebasan yang diterima selain nilai-nilai universal seperti keamanan, kemanusiaan, keadilan dan sebagainya akan melancarkan kehidupan masyarakat itu dalam negara mengikut dasar-dasar yang dibentuk dengan munasabah.

Pandangan pragmatik akan membenturkan pemikiran rakyat atau masyarakat supaya mendekati cara yang praktikal dan bersifat realis dalam menimbangkan keputusan politik bagi pihak yang melaksanakan kuasa rakyat. Dalam memilih pemimpin misalnya, pemikiran yang melihat kepada masa hadapan dan apa yang sepatutnya berlaku akan mempengaruhi pemikiran ini dan selalu memandang masa lalu sebagai satu kaedah membina iktibar dan pengajaran bukan dijadikan pertimbangan sesebuah keputusan politik. Lalu keputusan daripada emosi atau takliq yang membuta, hanya merugikan rakyat. Maka, di sini rakyat perlu belajar membangunkan kesedaran untuk memahami realiti yang berlaku dan bertindak memilih perubahan yang sesuai baginya.

Masa lalu tidak banyak menunjukkan politik pada masa ini. Perbezaan faktor masa ini selalu timbul apabila pemikiran politik tradisional atau klasikal, yang cenderung kepada pengekalan sesebuah kuasa atau organisasi yang agak sejarah sifatnya tidak banyak mencerminkan realiti politik semasa.
Sejarah lalu selalunya berada dalam sempadannya dan masa hadapan akan mengambilalih dan membentuk keperluan baharu bagi keperluan masyarakatnya dan pemimpinnya. Perubahan saja yang akan menanggani persoalan tradisional dan transformasi ini.

Dilihat masyarakat kian pragmatik dalam menilai politik kerana politik tidak lagi dipandang daripada satu pihak sahaja. Sebelum ini, aura politik selalu berpihak kepada satu jalur pandangan yang premium atau perdana lalu membentuk majoriti. Tetapi tidak semestinya sifat dominan sokongan daripada rakyat atau masyarakat pada sebuah pihak atau golongan pada ketika itu bersetuju dengan sepenuhnya.

Jika dalam masyarakat demokrasi yant telus, perbezaan nilai dan keputusan politik diambilkira dan dipertimbangkan. Pertentangan antara satu pihak dengan yang lain adalah keadaan yang biasa tetapi bertujuan membentuk kepada suara bulat rakyat yang sebenarnya. Walaupun selepas separuh abad, suara politik yang sejati masih dicari dan kematangan ini perlu dihadirkan untuk kelansungan demokrasi yang pragmatik dan membolehkan politik berada dalam kerangka fikir.

Dan proses membentuk peribadi pragmatik (apabila individu itu berinteraksi dengan isu sosial, politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa, undang-undang dan sebagainya dengan berhemah) seorang individu mempunyai pertimbangan yang seimbang dari diri sendiri dan tidak mendapat ransangan atau pengaruh daripada luar. Rata-rata masyarakat membangun menghadapi permasalahan atau krisis politik disebabkan ketidakjelasan imej atau watak sempurna bagi seorang warganegara yang mempunyai hak dalam menentukan keputusan politik nasional.

Kemungkinan banyak faktor lain juga yang memperlahankan sikap pragmatik dalam sesebuah masyarakat sebagai contohnya kekurangan sikap mengambiltahu atau keperihatinan dalam hal-hal di persekitaran. Ini juga dapat dilihat daripada bilangan undi yang masih ada kecicirannya (bilangan tidak keluar mengundi) atau keadaan di mana rakyat mengundi kerana keadaan yang terdesak atau keadaan kurang mengetahui perihal politik semasa. Maka pertimbangan di tangannya tentu sahaja berlainan daripada realiti dan keputusan politik yang sepatutnya lahir daripada sikap pragmatik. Sikap terlalu selesa dengan keadaan sosial dan negara, menyebabkan pemikiran kritikal tidak diperlukan untuk meningkatkan keadaan sedia ada.

Negara yang menuju kemajuan memerlukan aset politik pragmatik bagi membina sebuah negara yang mempunyai keseimbangan dalam keputusan politik tanpa ada permainan sentimen atau nilai-nilai yang lain. Pragmatik tidak sahaja dalam idea yang dilontarkan yang kebanyakkan tidak menjurus kepada persoalan pokok, tetapi harus ada perasaan pada setiap warganegara ini untuk membetulkan dengan kesedaran yang ada pada diri sendiri.

Sikap pramatik seperti terbuka dalam melihat perbezaan politik dan pertentangan idelaisme sebenarnya akan membantu mencambahkan gambaran bagi sesuatu isu. Dan ini banyak membantu rakyat untuk menilai isu dan tidak hanya mendengar daripada satu pihak. Maka, debat atau forum yang baru menemui bibit-bibitnya yang diadakan sama ada temanya politik atau bukan politik, tetapi ditanggani oleh orang politik daripada dua hala (pemerintah dan pembangkang) akan cukup menyedarkan dan membuka minda rakyat dalam menghayati isu sebenarnya.

Ini ransangan ini bukan memberikan kesan buruk atau negatif kepada suasana harmoni kerana pokoknya bagaimana warganegaranya atau rakyat bijak mengendalikan penglibatan diri dalam suasana pragmatik ini melalui perbincangan dan debat, bukan mengadakannya bertujuan untuk memenuhi kehendak politik semata-mata.

Jika debat terus dan berkembang lebih banyak seperti yang ada sekarang. Dengan tatacara beradab dan rasional, rakyat akan terbuka mindanya kepada permasalahan dan lebih bersifat natural dalam menimbang sesuatu. Pemilihan atau keputusan politik biarlah ditinggalkan kepada rakyat untuk menyatakan pendirian itu tetapi di pihak pemain politik dan kerajaan, mengapa tidak hal ini diransangan dan diviarasikan kerana ini berupa vitaman kepada politik pragmatik yang mementingkan nilai pemikiran yang sesuai dengan kewujudan negara ini yang majmuk dan berbagai fahaman politik. Politik kita akan lebih matang secara automatiknya apabila hal ini berjalan dan diberikan ruang mengikut kepada hukum hak asasi manusia.
.
soalan tanpa penyoal;
kenapa saudara tulis politik?
kerana politik banyak benda segar -bugar
tiap jam ada cerita baru politik
idea kita akan mudah menyimpulkannya
tak perlu angka tak perlu mata
tapi fikiran perlu ada!
tunggu!
politik kita makin rakus
kerana itu saya tulis politik
politik kita rakus tanpa arah
kerana itu saya rakus membaca arah
tunggu! tunggu!
politik sedang amarah
tapi kita masih waras menimbang
jangan cepat pasrah
ada jalannya, kita wajari ubah
.

No comments: