Thursday, January 08, 2009



Igauan Burung Kakak Tua Dalam Isu Palestin

Burung kakak tua yang sudah diajar setiap hari untuk berbicara, lambat laun ia akan mampu menuturkannya. Selamat pagi !. Selamat datang !. Apa khabar?. Apa nama awak? Aku cinta kepadamu dan sebagainya yang menunjukkan pertuturan yang persis seorang manusia kala berdepan dengan manusia yang lain. Cuma perbezaannya adalah burung kakak tua itu bukan manusia yang mempunyai akal fikiran yang boleh memikirkan sesuatu dan menanggapinya dari luar persoalan mujarad malah menganalisisnya melahirkan sesuatu yang baharu dan digunakan untuk dirinya atau dalam satu kelompok kolektif.
Namun kejujuran burung kakak tua dan kesungguhannya mendapat pujian. Adakah bisa ia memahami pujian dan rasa takjub manusia kepadanya ?. Apakah sesuatu ungkapan berbaur perasaan misalnya dapat dibalasnya kepada manusia penutur selari dengan maksudnya itu.

Malah terkadang kata-kata yang streotaip dan pengulangan yang disengajakan ini boleh sahaja membentuk igauan. Igauan yang memberikan ketidakselesaan dan rasa kehambaran kepada situasi yang akhirnya melahirkan nilaian sifar kepada burung kakak tua yang dikatakan pintar berbicara tetapi terkurung dalam hakikat bahawa ia hanya seekor burung yang dijadikan untuk berbicara apabila diajarkan malah dibiasakan baginya atas tujuan tertentu. Tujuan itu boleh sahaja untuk menarik perhatian, menimbulkan keceriaan, mengkocakkan rasa takjub dan menghiburkan manusia di kala perlu.

Dan apabila disebut dalam ilmu mantiq yang menyatakan ‘manusia itu haiwan (makhluk) yang bertuturbicara’, seakan wujud perngabsahan daripada satu aliran pemikiran bahawa manusia itu adalah haiwan dan sifatnya berbicara. Kebolehbicaraan manusia di sini membezakan antara seorang manusia dan makhluk lain yang ada di alam ini. Perbezaan yang berupa zati atau batini (dalaman) ini tidak pula segera disamakan dengan makhluk yang lain yang boleh bertuturbicara seperti burung kakak tua tadi. Tetapi bagi para ulama bidang mantiq itu, dalam menghuraikan manusia itu haiwan yang bertuturbicara, kesimpulan yang kukuh sudah disediakan selepas huraian yang panjang lebar lalu membentuk satu pandangan bahawa sifat kebolehbicaraan manusia itu adalah terkandung dengan kemampuan akliah untuk berfikir dan menganjurkan ke suatu arah atau sesuatu perkara. Nilai berfikirlah yang membezakan antara manusia dengan bukan manusia malah nilai fikir juga menyediakan perbezaan antara status manusia itu dengan yang lain dalam satu status ketamadunan.

Keperluan kepada berfikir tidak hanya terhad dalam ruang menilai dan mempelajari sesuatu, kerana ia harus digunakan untuk tujuan yang pelbagai seperti melahirkan gagasan dan bertindak daripadanya. Dari berfikir lahir sikap mahu menjelmakan tindakan yang rasional dan seterusnya mengalurkan bentuk keupayaan untuk mencipta sesuatu yang elok atau bermanafaat. Dengan cara berfikirlah mekanisme itu dihasilkan dan diupayakan dengan kemantapan usaha kolektif sehinggalah mendirikan satu pandangan dan kekuatan bagi membina peribadi kemanusiaan, budaya dan sikap yang bertamadun dalam dunia ini.

Persoalan Palestin yang sentiasa bergelora itu merupakan salah satu isu yang berulangkali tetapi tidak menemukan penyelesaiannya yang lurus. Di mata dunia Barat, isu Palestin masih kekal dalam kelas eksklusifnya yang tersendiri. Sehingga kerana sifat isu yang eksklusif ini, maka tidak banyak perubahan yang dialaminya dari satu tempoh masa ke masa yang lain.

Saban tahun kedengaran usaha dan persepakatan daripada pelbagai aliran atau organisasi untuk membawa keamanan dan penyelesaian isu ini, namun akhirnya ia menemukan nilai yang nihil dan tidak mengurangkan keadaan serta tekanan yang ada.

Selain itu isu Palestin seakan berada dalam zon ‘vakum’nya yang tersendiri yang mana tidak diberikan perisian yang sempurna atau berlakunya proses yang berperingkat membawa kepada penyelesaiannya yang berjalan walaupun lambat. Namun setakat ini kevakuman ini jelas dan terlalu terpinggir pula dari ruang campurtangan negara-negara tertentu yang mampu membantu untuk menemuikan peleraian plot-plot ngeri yang panjang bagi bangsa dan rakyat di Palestin.

Usaha yang tidak putus daripada Israel yang bukan sahaja mendominasi kedudukan Palestin yang diharapkan akan menempuh kepada kekuasaan mutlak baginya, berlaku tanpa sekatan dari mana-mana kuasa sehinggalah Palestin hanyalah sebahagian daripada isu yang tertutup dan bersifat seolah-olah illegal.

Bentuk-bentuk tanggapan ini disengajakan oleh Israel dan tompok besar kuasa Amerika yang tidak sahaja seolah berlakon sebagai ‘kuasa dunia’ yang secara tidak sengaja memberikan ruang kepada penjajahan baharu dalam dunia yang bertamadun yang dikatakan sebahagian daripada persoalan ruwet clash of civilization yang merupakan satu tanda sokongannya yang disembunyikan malah menggunakan autoritinya untuk melengahkan keadaan supaya setiap berlaku adalah kesan atau timbale balik daripada penderitaan bangsa Yahudi di bawah Nazi seperti yang dikenang sebagai Holocaust. Di sebalik ruang wajah yang berupa demokrasi dan kebebasan itu, Amerika hanya mahu Israel terus mengadakan kekacauan di atas Palestin kerana hak yang sudah ditetapkan dan tujuannya tidak lain menjaga hubungan dengan Israel dan memperluaskan empayarnya atas nama persaudaraan yang diselubungi topeng konspirasi.

Bagi kebanyakan negara membangun dan negara-negara Islam yang lain, hanyalah menjadi burung kakak tua yang tidak mampu memberikan reaksi yang mengugat persepsi atau igauan buruk di Palestin. Terdapat usaha yang kecil dan bersifat ‘bantuan sementara’ untuk meringankan bebanan derita di Palestin tetapi di sana wujud pendombrakan yang maha dahsyat dalam tamadun dunia.

Bagaimana sikap bertuturbicara seekor burung kakak tua ini sudah melarat daripada pemimpin negara-negara Arab yang kebanyakkan hanya boleh mengutuk dan merejam dengan kenyataan-kenyataan tetapi tidak keluar daripada kepompong penyelaran yang pasif. Sikap yang membendung tindakan dan hanya menyuarakan pandangan melalui perkataan yang berulangan hanya mengaibkan maruah dan peribadi bangsa Arab yang luas tanah dan kekayaannya.

Bagaimana mandiri ini boleh digugat dengan sangat mudah apabila sikap individulisme tegar menyelaputi diri bangsa Arab yang tidak boleh menunjukkan sikap yang lebih kritikal dalam persoalan Palestin. Tidak wujud kebangkitan peribadi dan kesedaran yang tekad apabila negara dijajah Israel itu terus-terusan kebimbangan dan penaklukan yang tidak dapat dibayangkan dalam era globalisasi yang bertamadun.

Entiti undang-undang dan organisasi antara bangsa juga tidak serius menangani percegahan peperangan dan serangan untuk terus berlaku menampakkan imej konspirasi yang tegar berlaku di antara kuasa besar Amerika dan Israel yang sudah semakin menunjukkan pendiriannya yang hakiki. Sikap berdolak-dalik dan hanya bermain dengan persetujuan yang tidak membawa kepenyelesaian dan malah atas nama keamanan global, sikap dan slogan ini seperti ini hanya bermain dalam kotak politik helah dan berdolak-dalik.

Bagaimana mahu mencari penyelesaian apabila terlalu banyak atau sikap yang mengikut arus dan tidak mampu mengeluarkan permasalahan lalu mengungkapnya dalam realiti. Harus sikap burung kakak tua ini tidak mengurung peribadi kita khususnya umat Islam yang mana hari ini berdiri di atas tembok keselesaan sendiri, dan tidak jujur kepada diri dengan mengatakan diri seorang muslim.

Gejala burung kakak tua ini pada hari ini seakan menjadi tipa atau bentuk kukuh sepert mana patung yang ada pada diri kebanyakkan pemimpin muslim. Rata-ratanya mengatakan dari jauh pengutukan dan selaran terhadap Israel yang menyerang tidak henti-henti. Malangnya sejurus daripada berbicara dengan lantang tinggallah hanya noktah yang tertinggal di hujungnya tanpa sebarang tindakan.

Ini memberi kesan kepada Israel yang tentu sahaja sudah menjadi tipa seekor gajah liar yang sentiasa datang mengasari dan merempuh sahaja pihak lawannya untuk mencapai kemenangan dan penaklukan. Di tambah dengan krisis pada diri dan minda muslim bagi menghadapi musuh fizikal yang ditatap setiap hari sudah semakin membesar dan lebar. Tidak hairanlah sikap ini sudah mengukuh dalam peribadi muslim dalam isu-isu yang lain.
Maka apakah kita hanya mampu melihat episod demi episod tragis ini terus mengamit emosi tetapi tidak membenihkan rasa benci kepada kezaliman dan tidak melahirkan melalui tindakan. Di mana silap dan puncanya?. Apakah ini semua musibah yang melanda kepada masyarakat muslim moden hari ini yang dipaliti dengan serba-serba kelemahan dan kemunduran yang membimbangkan. Masihkah kita terlalu bernostalgia dengan imbauan waktu yang dahulu, tetapi tidak melansung apa-apa makna perjuangan yang sebenarnya selari dengan keadaan semasa. Apakah kita hanya mahu terus menjadi burung kakak tua yang hanya boleh mengutuk dan membenci dari mulut tapi di hati berbelah pendirian serta sangsi.
takbirrrr

Allahu akbar

.

No comments: