Wednesday, August 13, 2008

Raja Muda Perak setuju Nik Aziz, Hadi Awang beri khutbah Jumaat

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bersetuju Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing menyampaikan khutbah Jumaat, di sini. Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata perkenan itu adalah tanda penghormatan kepada kedua-dua tokoh pemimpin Pas itu yang menghadiri Muktamar Pas ke-54 di sini sebagai tetamu kerajaan negeri. “(Datuk) Nik Abdul Aziz akan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri manakala (Datuk Seri) Abdul Hadi pula menyampaikan di Masjid Sultan Azlan Shah berhampiran dengan Institut Tadbiran Islam Perak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, Raja Dr Nazrin menyampaikan perkenan itu melaluinya semasa menerima mengadap sebelum mengadakan mesyuarat mingguan berkenaan. Nizar berkata Raja Muda Perak turut menerima mengadap 12 pemimpin tertinggi parti itu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, jam 11 pagi esok. Muktamar Pas ke-54 yang akan bersidang di Stadium Indera Mulia pada Jumaat hingga Ahad ini akan dimulakan dengan Muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat selama dua hari mulai hari ini.
Dewan Ulamak akan bersidang di Dewan Bandaraya Ipoh, sementara Dewan Muslimat di Hotel Hillcity mulai 8 pagi esok. — Bernama
Berita Harian Online 13.08.08

No comments: