Thursday, August 14, 2008


Mengenali kebenaran mutlak
Tinta KritisBersama Azman Ismailadik1102@yahoo.com


ADA sekelompok orang buta. Mereka dibawa ke sebuah zoo untuk mengenali seekor gajah (pastinya dengan sentuhan). Yang pertama meraba kakinya dan mengatakan bahawa gajah adalah tiang raksasa hidup yang hebat.


Si buta kedua meraba belalai haiwan itu dan menyebutkan gajah sebagai ular raksasa yang tidak bersisik, manakala yang ketiga mengatakan gajah seperti sebilah bajak raksasa yang sangat tajam dan kuat (selepas meraba gadingnya).


Begitu juga apabila mereka meraba ekor, telinga dan badan haiwan itu, semuanya memberi penafsiran tersendiri seperti kipas, tali dan sebagainya. Akhirnya mereka bertengkar kerana masing-masing mendakwa pendapat masing-masing paling tepat.


Sebenarnya analogi kumpulan orang buta mengenali gajah adalah wacana tentang kebenaran mutlak, sebuah pendapat yang tidak benar-benar tepat tetapi tidak ada satu pun yang salah.


Ini kerana kebenaran mutlak adalah subjektif. Setiap orang belajar melihat pelbagai aspek melalui pemikiran dan naluri masing-masing termasuk pengalaman masa lalu yang membantu mereka untuk menentukan pendapat terhadap berbagai masalah dan objek yang ditemui.
Kemampuan memahami objek adalah kerana setiap individu memiliki pemikiran dan naluri. Oleh itu, persepsi yang ditemui merupakan kebenaran, bukan sebuah kesalahan.


Bagaimanapun, untuk menentukan sesebuah kebenaran ia terlalu sukar. Mungkin juga mustahil. Persepsi kita dalam menilai suatu kenyataan pasti berbeza dengan individu lain kerana kebenaran dapat diraih melalui konsep dan bukan melalui objek itu sendiri.


Semua konsep sangat dinamik. Kebenaran bagi seseorang yang mempercayai pandangan mereka nampak ironis bagi dirinya. Seseorang mungkin percaya bahawa televisyen merupakan sumber kepada keganasan kanak-kanak dan penggunaan bahasa rojak.


Kelompok lain lain mungkin percaya bahawa televisyen merupakan medium pendidikan dan pembinaan minda kanak-kanak yang baik. Meskipun kedua-duanya mempunyai kebenaran tetapi ia tetap sangat kontradiktif.


Kontradiktif konsep sastera, politik dan lain-lain disiplin juga sama. Boleh sahaja sesebuah teks sastera dianggap tidak bermutu dan picisan tetapi di sisi lain ada kelompok yang menganggapnya sebagai karya yang memukau.


Begitu juga dalam politik, boleh sahaja sesebuah parti mengatakan konsep perjuangan mereka telah memasuki sebuah wacana kebenaran sedangkan pihak lain menganggapnya sebagai ‘sampah’ untuk meraih simpati khalayak.


Jika kumpulan orang buta menghabiskan waktu yang begitu lama semata-mata untuk memahami kebenaran dan membuktikan pendapat yang paling benar, maka gajah tetap akan menjadi sebuah tiang raksasa yang hidup, ular gergasi atau bajak besar yang sangat tajam.
Mungkin juga mereka membuat kesimpulan bahawa gajah bukan salah satu dari gambaran yang telah disebutkan kerana mereka melihat dari perspektif yang berbeza padahal bagi orang normal gajah itu tetap sahaja sama.


“Konsep kebenaran mutlak adalah pencarian makna yang ditandai dengan pendekatan ilmiah misalnya, agama serta sains diletakkan dalam sebuah ruang yang sama.
“Manusia akan menafsir dan memberi pandangan masing-masing tentang sesuatu objek mengikut logik serta kemampuan berfikir masing-masing,” tulis Karl R. Popper dalam The Logic of Scientific Discovery.


Popper melihat kecenderungan untuk meletakkan agama dan sains secara bersama itu menyebabkan kebenaran mutlak menjadi sangat subjektif hingga individu melihat kebenaran mutlak sebagai data-data empiris yang lengkap serta sempurna. Dalam erti kata lain, mereka sentiasa meletakkan diri dalam kelompok yang dianggap benar.


Pandangan tersebut turut dikupas oleh Hans-Georg Gadamer yang melihat keberadaan manusia sebagai pencipta simbol yang dikaitkan dengan pengetahuan manusia yang terbentuk hasil daripada pengalaman hidup sebagai makhluk sejarah.


“Wujudnya subjektif dalam menafsir kebenaran mutlak adalah disebabkan oleh perluasan daripada bahagian sejarah yang terbentang dalam tradisi manusia yang seterusnya membentuk perilaku bahkan ideologi mereka,” tulis Gadamer dalam Truth and Method (1989).
Tradisi dalam hal tersebut dapat dilihat sebagai pengalaman-pengalaman yang terus-menerus bersifat konfrontatif. Ini mungkin dapat dikaitkan dengan proses dialektika dalam perjalanan hidup manusia.


Sebenarnya, kontradiktif dan konfrontatif tersebut bukanlah satu halangan untuk mewujudkan keharmonian. Justeru, ia merupakan sebuah dialog untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan aman.


Ideologi politik misalnya, menurut Gadamer hanyalah sebuah teori. Perbezaan-perbezaan tersebut mampu dimanipulasi menjadi sebuah kesepakatan (jika keangkuhan dan kesombongan disisihkan).


Malah, jika ia mampu direalisasikan, tidak ada lagi pelbagai persepsi oleh ‘orang buta’ tentang seekor gajah sama ada ia sebuah tiang gergasi, kipas raksasa, bajak besar dan sebagainya.

-->




1 comment:

penny stock com said...

its good to know about it? where did you get that information?