Wednesday, September 27, 2006

Satu Cerita: Prinsip


-"70 buah buku baru dari New York itu?".
+"Ha..saya tahu. Mahu letakkan dimana.
-"Tolong letakkan di perpustakaan syarikat".
+"Baik. Saya uruskan nanti."
-" Dan tolong pastikan juga siap dengan kod bukunya sekali. Jangan lupa!."
+ "Ditanggung beres".

Alif baru sudah bertanya dengan kawannya. Kerja-kerja itu dipastikannya beres. Dan ia memang tugas mudah.Yang bakal menunggu ialah tulisannya, yang belum disiapkan. Rangka ceritanya sudah padat dan mantap di dalam kepalanya.

Serba sedikit masa yang ada memaksanya untuk menyiapkan kerja-kerja yang banyak tertangguh. Tapi dia telah biasa dengan keadaan begitu. Beberapa hari lepas dia sudah siapkan artikel-artikel yang akan keluar di dalam majalah-majalah kemudian kerja yang lain menunggu antaranya menulis bukunya yang dirancangnya akan siap tidak berapa lama lagi. Dia mahu buku yang ditulisnya siap sebelum isu yang masih hangat diperkatakan. Dia yakin, kali ini lebih mencabar lagi.

Kunjungan Hamid ke New York baru-baru ini, memberikan peluang untuk memesan buku-buku yang baharu untuk digunakan sebagai bahan penulisannya. Kesemua buku dapat dibeli kecuali sebuah buku lagi, yang sudah Hamid usahakan, belum dapat beli. Hamid kata dia sudah carikan di gedung-gedung buku besar, tapi buku itu tidak ada. Buku itu buku lamapun, sudah payah dicari di mana-mana. Kalaupun ada, mungkin pada Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti. 'Itu tidak perlu kau beritahu, kawan!' desis hatinya.

Jam tepat pukul 12.30 tengahari, dia sedang sibuk membuat pembacaan dan penelitian terhadap bahan-bahan yang telah dikumpulkan untuk buku cerita politik luarnya. Nampaknya dia masih kekurangan beberapa perkara. Sebab itu, dia terpaksa pula mencari di internet. Kadang-kadang dia lambat menemui fakta-fakta yang menarik dan sesuai. Kerana itu buku-buku yang ditulis baharu banyak membantu padanya. Dia akan menemui sesuatu yang segar. Tidak kurang juga jurnal-jurnal yang ada di perpustakaan syarikatnya. Boleh dikatakan tiap-tiap bulan ada sahaja buku baharu yang dimasukkan ke situ. Pokoknya minat untuk menjadikan tulisan-tulisan sentiasa baharu, dan berasas.

'Moga-moga buku ini nanti cepat siapnya?' getus hatinya seakan sudah mual dengan kerja menulis subjek yang tidak selesai dari dahulu.

Dua tahun lepas Alif ada menulis tentang politik dalaman. Dia sedikitpun tidak bimbang dengan apa yag ditulisnya. Tambahan dia sudah biasa menulis tentang politik sejak beberapa tahun. Walaupun subjek politik yang ditulisnya kadang-kadang merumitkan dan meletihkan. Bayangkan bagaimana politik yang dia terpaksa ramalkan yang penuh dengan sebarang risiko. Jika menulis tentang politik dan politikus, menteri atau rakyat secara amnya perlukan self determination dan keberanian yang tinggi, seperti kata ketua pengarangnya.

Sebetulnya sudah beberapa kali dia telah dingatkan supaya jangan terlalu gemar menulis perkara yang menyentuh pribadi tertentu. Nanti susah natijahnya. Dia tetap dengan pendiriannya, menulis bukan untuk peribadi, dia menulis untuk pembaca yang bijaksana, dan mampu menilai tulisannya. Cukuplah dengan tujuh tahun bekerja di belakang tabir akhbar yang asyik berpusing dalam linkungan berita yang sama, tidak membangunkan pemikiran pembacanya. Dari satu editor ke editor lain, dia pegang, dan dilepaskan, dan terpaksa hadapi masalah terutama bila mana dia menulis artikel-artikel yang berunsur mengkritik. Dalam mindanya, ada kebebasan menyuarakan pendapat. Kalau dahulu lebih bebas menulis, kenapa tidak sekarang. Di Barat sana, istilah demokrasipun macam tidak memberi apa-apa makna, padahal merekalah yang menpromosi segala bentuk kebebasan dan demokrasi. Dia sudah lama sedar, satu omong-omong kosong.

Dia bukan mahu timbulkan pertentangan dengan golongan tertentu, malah tulisannya tujuh tahun lalu itu tidak berkaitan politikpun. Tapi masih dianggap berbau politik. Dia jadi bosan sekejap, tapi bila difikirkan balik, itulah cabaran menjadi penulis. Dia betul-betul mengimpikan ruang yang bebas untuk menulis.

Tahun lalu, ternyata respon artikel-artikelnya positif. Jualan majalah yag diterbitkan oleh syarikat kongsi itu, meningkat. Memang dapat sambutan dari masyarakat. Secara tidak lansung majalah itu dapat dijadikan saluran yang sesuai menyatakan pendapat dan menyebarkan sesuatu yang selama hari ini terlindung. Isi kandungan tidak berat, tetapi berkesan. Yang penting adanya pihak yang akan menyeimbangkan isu dengan persoalan semasa.

Dulu pernah juga majalah itu diingatkan, jangan terlalu beria-ria untuk dapatkan populariti. Sudah cukup dahulu, beberapa majalah telah 'dibungkuskan' dari dijual. Bagi Alif itu bukan masalahnya, yang penting ialah adanya pihak yang menyatakan pandangan yang kritikal dalam masyarakat. Hanya 25 peratus isu politik disentuh, tapi nisbah yang kecil itulah yang diliaht besar. Selebihnya hanya tentang budaya masyrakat yang picisan, budaya yang tidak lagi posotif dan tidak sesuai dengan zaman.

Lebih kurang kata Alif majalah B ini, berperanan seperti mana majalah-majalah yang terbit menyemarakkan gerakan pembaharuan pemikiran sebelum zaman merdeka dahulu. Usaha itu berkesan, ramai orang Melayu ketika itu terbuka minda, celik kefahamannya tentang membina bangsa dan negara. Itulah yang dicita-citakan oleh Alif, tulisan-tulisan yang bakal mencorakkan pemikiran rakyat, dan bakal memangkin perubahan minda kea rah positif.

Lima puluh buku yang baharu sampai masih segar. Dia mahu gunakan buku-buku itu untuk penulisan yang akan datang, tapi sekarang dia cuba menulis sesuatu yang baharu. Belum dia dicuba sebelum ini. Dia mahu tinggal sebentar dunia menulis artikel yang kritikal. Yang dia usahakan sebuah cereka ramalan politik, tapi sebenarnya mempunyai kaitan dengan realiti politik negara. Bila ditanya kawannya, terutama Ramli, kenapa menulis cereka?, tanya ketua syarikat penerbitan perkongsian bersama itu, jawapnya ringkasntuk melihat sejauh mana tulisan politik bentuk ini boleh meramal masa akan datang, masyarakat sekarang makin bijak, mereka akan mencari sesuatu dari karya itu.

Bagaimana tidak, sebelum ini menulis peristiwa bakal terjadi, isunya masyarakat, ekonomi dan politik. Dia mampu buktikan, ramalan itu sebenarnya untuk merubah serba sedikit keputusan orang politik yang bijak dan licik.Tulisan-tulisan dahulu hampir disekat kerana dikatakan mengundangkan pelbagai risiko, dan memberi kesannya yang tertentu, terutama pada media yang baru setahun jagung itu. Tapi atas usaha ketua pengarang, segalanya telahpun diuruskan dengan aman.

Dia hanya duduk di pejabatnya menyiapkan buku itu. Dia tahu kali ini buku ini mesti menjadi satu tanggapan sejarah, tidak perlu ketahap sejarah, bairlah sekadar pembuka minda,dan akan menunjukkan bahawa politik negatif sudah cukup tertekan sampai di satu tahap.Dari jam 2.00 petang , dia menulis sampai ke jam 5.00 petang.

Dia memahami benar teori Niccolo Machievelli yang praktik tapi menjadi inti politik rakus oleh politikus yang hanya memikirkan diri sendiri. Dia dapat simpulkan antara pemimpin-pemimpin lagenda dunia, amat terikat dengan cara politik gersang lagi songsang itu, mengenepikan kebaikan rakyat dan menjunjung kehendak politik peribadi. Dia tahu apa yang akan menjadi pencetus onar, tidak lain nafsu yang sukakan kuasa. Walaupun di atas nama demokarasi, Amerika contohnya, demokrasi yang paling dikatakan terbaik, namun ada isu-isu yang kontraversi semasa kepimpinan Bush, memang jelas menolak pandangan sebahagian rakyat.

Dia keluar daripada pejabatnya, dalam keletihan. Hari yang cukup meletihkan tapi memuaskan hati. Sekurang-kurangnya kerjanya kini berjalan lancar. Dia mula merencanakan bagaimana nanti reaksi pembaca, itu yang paling utama. Dia mahu tulisan yang dihasilkan membuka minda pembaca bukan menrentas jalan ikut-ikutan.

Sebelum itu dia balik, dia ada terdengar Ramli dipanggil ke pejabat tidak rasmi Datuk Razali. Itu diberitahu Malim, katanya kali ini bunyinya nampak lain. Memang biasalah kalau kata Rmli dipanggil Datuk Razali, kerana sifat penulisan kontroversi yang mereka terbitkan.
Tapi biasanya ia bukan masalah besar. Kebetulan pula Datuk Razali dan Rmli kawan baik semasa di universiti dahulu. Sama-sama mencari haluan hidup sendiri, dan mereka berbeza beberapa perkara, namun masih berkawan.

Alif tidak fikir Datuk Razali panggil kali ini untuk menyuruh syarikat itu berhenti menulis tentang politik parti khususnya kerajaan.
Datuk Razali berdiri di samping kerusi dan Ramli duduk di kerusi juga selepas dipersilakan duduk.

- Aku rasa penulis Alif itu tidak banyak membantu syarikat kau? kata Datuk Razali terus terang.
+ Kenapa? Tanya Ramli seakan terkejut.
- Aku difahamkan dia nak menulis tentang politik orang besar,kata Datuk Razali sambil memandang kawan baiknya.
+ Aku tahu itu tapi dia mahu menulis seperti dahulu juga, sekadar ramalan dan buku yang ditulisnya biasanya kritikan biasa saja, tidak ada memfitnah, jawap Ramli kerana dia tahu bahawa tidak lain Datuk Razali mahu dia tidak memberikan ruang yang besar untuk Alif menulis.
- Aku mahu dia tidak lagi menulis macam itu. Dan gaya dia menulisan macam tidak setuju dengan apa yang kami buat.?
Jadi tidak perlu terasa kalau tidak buat. Kau harus tahu kami menulis untuk menyatakan yang benar.ini demokrasi.Datuk Razali sebentar, dan dia tentu terasa dengan apa yang dikatakan ketua pengarang dan merangkap pengurus syarikat yang kukuh itu.
Banyak benda benar boleh ditulis, bukan itu sahaja?
Tapi yang kami mahu, media yang adil dan bebas membuat penilaian terhadap isu. Kami memang sudah dibiasakan begitu. Tidak ada orang lain ajar. Kami mahu prinsip kami menjadi tulang kepada profesion kami.?lt;/FONT>
Kalau macam itu, aku sudah ada rancangan Ramli. Dan kau harus ingat, kau ketua dia, dan berhak menerima padah yang sama?

Ramli memandang Datuk Razali dengan pandangan yang kecewa. Dia dapat agak ia yang bakal berlaku. Datuk Razali tidak lebih sekadar seorang kuncu politik yang telah diarahkan. Dan dia faham situasi itu. Apa pula yang harus dibimbangkan, katanya. Datuk Razali dan Ramli terpaksa akur, politik telah memisahkan kawan. Ideologi politik yang berbeza yang akan meleraikan segalanya, dan tidak kenal lagi apa itu simpati daripada seorang kawan kepada kawannya. Entahlah.

Ramli tahu perkara seperti ini satu keputusan. Keputusan yang harus dibuat dan ditetapkan, antara menerimanya dan menolaknya. Ramli tahu bakat dan potensi Alif sebenarnya lebih sekadar penulis dan wartawan, sejak hari pertama dia lihat Alif, dia dapat rasakan aura Alif yang berbeza itu.

Itu yang menariknya untuk menjadi penyokong seterusnya teman kepada Alif. Alif seorang wartawan biasa tapi sudah banyak mengembara di negara orang. Pulang ke negara sendiri setelah lama bekerja dengan orang luar. Dia sudah lali dengan permasalahan tekanan luar media, dia rasakan itu pengalaman. Tapi bila di negara sendiri, ada juga sekatan, itu satu mencabar hak untuk menulis.

Dia tahu mana nilai komersial dan nilai etik dapat penulisan, yang pada pandangannya kebanyak penulis dan wartawan terkandas dalam hal ini. Mereka dididik dengan cara yang berbeza, mempertahankan suatu untuk yang menyambung peluang. Ramli sendiri lihat, ada visi dan misi yang unik pada pandangan hidup Alif. Dia tahu Alif akan mempertahankan tulisan-tulisannya, bukan mencari risiko atau kontroversi.

Sudah lama dia hidup dalam dunia kewartawanan, bukankah lebih baik dia berundur sebagai manusia yang berpendirian. Dia tahu prinsip itu penting, dan ia akan membezakan di antara yang ikhlas dan yang berpura-pura mencari kelebihan yang bersifat sementara.

Thursday, September 14, 2006

30 Ogos lalu Najib Mahfuz-Naguib Mahfouz meninggal dunia. Ini bererti seorang sasterawan besar sudah berangkat pulang ke kampung abadi. Tulisan sekadar tulisan yang mungkin juga untuk memperingati....

Najib Mahfuz Seorang Penulis Genius


Saya tidak berapa mengenali Najib Mahfuz malah bukan peminat karya-karyanya satu ketika dahulu. Namun begitu ketika minat membaca saya mengalami ‘metamorfosis’ saya jatuh minat terhadap penulis-penulis luar negara serta karya-karya mereka. Antaranya penulis-penulis yang memenangi hadiah yang berprestij seperti Anugerah Nobel yang diadakan saban tahun. Sebelum itu saya lebih banyak membaca karya dan tulisan sasterawan tempatan seperti Abdullah Husain, Affendi Hassan, A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan sebagainya.

Di tahun ke-4 saya di UIAM, saya mengambil subjek Introduction to Modern Criticism yang diajar oleh Dr. Amani. Masa inilah saya mengehtahui makna beberapa konsep antaranya Komedi, Memesis, Klasikalisme, Surelisme dan lain-lain lagi. Kerana subjek ini menarik minat saya, maka saya suka berjalan-jalan ke sana ke mari melihat-lihat buku-buku yang berkaitan dengan kritikan dan kajian sastera. Di rak-rak buku Perpustakaan Baitul Hikmah UIAM memberikan saya sedikit kepuasan membaca di waktu itu. Saya dapat membaca tentang Syed Qutb dan tulisan-tulisannya. Syed Qutb rupanya pernah menghasilkan sebuah buku kritikan yang selepas itu dikembangkan oleh pengkritik lain seperti Syakir An-Nabilisi. Oleh kerana dalam satu masa segala perkara di depan mata dengan bahan-bahannya, saya agak terkejut dengan begitu banyak bahan yang boleh saya baca, kadang-kadang tidak berkaitanpun dengan apa yang ingin saya mahukan. Saya baca dan pinjam. Syakir An-Nabilisi saya tidak pasti kedudukannya sebagai pengkritik dan pengkaji sastera tetapi namun daripada tulisan atau buku yang dihasilkan amat berguna dan pada saya amat bermanafaat. Kajian yang dihasilkanm bukan sedikit. Beliau yang mengkaji banyak penulis-penulis antaranya Mahmud Darwish, Abdul Rahman Munif dan lain-lain.

Salah seorang yang dikajinya dan dibuat kritikan ialah Najib Mahfuz. Saya rasa saya tidak banyak memberi perhatian terhadap buku beliau itu kerana mungkin batasan waktu yang ada.
Al-Kaherah Al-Jadidah.

Di tahun empat itulah jua saya dapat membaca sebuah novel ditulis oleh penulis besar Najib Mahfuz. Saya tidak pasti kenapa saya pilih novel ini untuk saya buat kritikan, untuk assignment saya subjek Dr. Amani ini. Mungkin kerana keterbatasan waktu untuk menyiapkannnya saya mulai membaca karya itu dalam bahasa asalnya. Memang karya itu tidak banyak memberikan masalah dari segi penggunaan bahasanya, saya rasa.

Secara amnya novel ini menggambarkan suasana Mesir, khususnya Kaherah terdiri daripada pelbagai sikap dan pemikiran masyarakat. Ada beberapa yang dilukis dalam karya ini, antaranya antagonisnya seorang yang terpelajar namun menghadapi masalah hidup dan tekanan disebabkan bebanan yang terpaksa ditanggung setelah keluarganya menimpa musibah. Tema ini sudah biasa dalam karya Najib Mahfuz selain elemen pemikiran-pemikiran masyarakat pada waktu itu, iaitu menghadapi modernisasi pelbagai perkara timbul. Jadi, saya pilih novel ini dan buat sedikit ulasan (sebenarnya bukan kritikan yang tulen) dan saya pilih karya puisi Mahmud Darwish (Si Gila Tanah: Majnun At-Turab :) dari Palestin…kerana Dr Amani meletakkan dua syarat mesti ada dua orang penulis.

Sebenarnya tidak sedikit karya Najib Mahfuz, ia melebihi 50 buah…ada sumber yang menyatakan buku Najib Mahfuz lebih daripada 70 buah mungkin termasuk bukan fiksyen yang ditulisnya. Dan bukan sedikit orang yang mengkaji dan menulis tentang Najib Mahfuz dan karya-karyanya. Tambahan selepas kemenangannya dengan Anugerah Nobel pada tahun 1988.

Maka perjalanan pengarang berpengaruh agak jauh dari seorang yang amat akrab dengan klasikalisme berubah kepada seorang yang realis dalam menulis dan akhirnya menghasilkan karya absurd. Di sinilah kepengarangan Najib Mahfuz yang amat menekankan kepelbagaian corak menghasilkan karya. Kelebihan karya-karya penulis yang satu-satunya penerima Anugerah Nobel dari Dunia Arab ini adalah mampu menyerap dan melukis realiti masyarakat Mesir selain mengambil iktibar inti keadaan masyarakat yang penting. Namun, Najib Mahfuz memang mengasihi penulis-penulis lama di Mesir seperti Tawfiq Hakim, Aqqad, Taha Husin, Al-Mazini dan sebagainya yang menjadi inspirasi kepadanya menghasilkan karya.

Berdasarkan pembacaan saya yang cetek Najib Mahfuz sebenarnya tidak diambil berat oleh perkembangan sastera Mesir di waktu awalnya kerana mungkin waktu itu sastera sudah dimeriahkan oleh penulis-penulis yang hebat seperti Tawfiq Hakim dan Aqqad iaitu dalam tahun 40-an dan 50-an. Dan dekad-dekad itulah ramai penulis Arab menonjol dan diperkatakan.

Setelah Mesir dilandai kemodenan hasil daripada penjajahan dan sebagainya Mesir berkembang menjadi tempat yang menerima kemodenan dalam hidup mereka seharian. Sealain itu sastera di sana juga menghadapi momentum kebangkitan ini. Dan pelbagai jenis karya yang dihasil menemui gaya dan landas karya walaupun kadang terlalu klasik.
Dalam tempoh ini Najib Mahfuz menghasilkan karya dengan perlahan, tanpa disedari ia rupanya usaha produktif yang pantas dan genius. Ternyata Najib Mahfuz tidak menulis karya dengan jumlah yang sedikit atau sederhana.

Selain sikapnya yang terbuka terhadap karya-karya luar terutamanya yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab seperti karya-karya Balzac, Dickens, Faulkner dan penulis-penulis dari Rusia yang lain.

Dalam pada itu, minat membacanya mendorongnya menulis seolah ingin menghasilkan karya sendiri seperti yang pernah dibacanya sebelumnya . Karya-karyanya yang dihasilkan banyak mengambil situasi nyata daripada masyarakat malah mengunakan nama-nama tempat di Kaherah dalam karyanya sebagai cerita dan latar. Ia memperlihatkan anak Mesir ini amat rapat dan hampir terhadap bumi kelahirannya dan sentiasa menulis tentang negaranya masyarakat.

Selain mempunyai jiwa besar dan pemikiran yang berani Najib Mahfuz menghasilkan dengan ungandungi unsure kritikan terhadap masyarakatnya. Ini dapat dilihat kebanyakan karya-karyanya yang realis.

Walaupun kontroversi sentiasa menyelebungi penulis ini, namun sumbangan terhadap dunia sastera amat bermakna terutama sastera Arab yang sebelum ini tidak diambil peduli berbanding sastera lain.








Saturday, September 02, 2006

Hari itu (saya tidak ingat hari apa, tapi seingat saya ia ketika isu itu panas lagi) dan yang saya ingat saya sudah menulis esei ini. Tapi tak tahulah ia keluar atau tempat yang saya kirim. Cuma niat saya untuk berkongsi pandangan. Dalam esei ini saya tidak menumpukan isu itu secara tuntas tapi ada perkara yang lain yang saya tumpukan. Jadi setuju atau tidak,terserah pada kalian.

Budaya kita dan filem kita

Agak mengejutkan akhir-akhir ini ada dua buah filem di negara ini menimbulkan kontroversi. Baru-baru ini filem Sepet dan Gubra dilihat sebagai pecemar budaya. Dimanakah seharusnya budaya itu harus diperkatakan. Wacana apakah yang paling sesuai menghurai persoalan yang dihadapi oleh filem kita?.
Sekali lagi kita bertanya apakah hubungan budaya dan filem di negara kita atau konteks masyarakat kita. Setakat pengehtahuan penulis semakin lama dunia kian mencabar dan sememangnya cabaran-cabaran zaman moden juga turut memperngaruhi filem-filem kita. Filem juga seperti manusia dan teknologi yang cepat berubah.
Penulis gembira apabila karya-karya filem yang mempunyai elemen sosial masyarakat kita dapat dipertontonkan di peringkat antarabangsa. Maksudnya khalayak antarabangsa akan dapat melihat nilai dan citra budaya kita melalui suara kita sendiri. Sekali lagi budaya dan filem selalu tidak dapat dipisahkan.
Dalam satu hal lain, filem memang medium yang menumpangkan budaya, estetik, pemikiran dan mesej daripada sesebuah budaya sesuatu masyarakat. Namun sebenarnya di negara kita soal ‘budaya’ dan filem masih terlalu muda agaknya untuk diperkatakan memandangkan banyak filem-filem yang tidak mencerminkan budaya ada dalam arus perdana perfileman negara. Ia sebenarnya belum lagi memperlihatkan budaya, estetik, pemikiran matang sesebuah bangsa yang wajar. Jika ada hanya beberapa filem sahaja yang sedikit dengan kelainannya.
Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan filem tempatan, sebenarnya masih terlalu banyak kekurangan filem-filem kita dan sebahagiannya tidak bermutu atau tidak sesuai untuk disebut sebagai filem yang memediumkan budaya. Mungkin boleh dikatakan apabila kita tidak memperlihatkan budaya ia hanya penuh cerita-cerita yang ringan, khayal, tidak berpaut realiti, picisan dan bertaraf popular.
Di negara kita filem seperti Gila-Gila Pengantin dan sebagainya adalah filem-filem yang paling ‘laris’ dan mendapat sambutan baik masyarakat. Filem-filem seperti Kaki Bakar, Qaisy dan Laila dan sebagainya hanyalah filem-filem semacam menentang arus popular yang tampak tenggelam dalam arus itu. Maka, ada apa dengan ‘budaya’ pada filem yang paling diterima umum jika kebanyakkn daripada filem-filem tidak mempunyai elemen ‘budaya’ itu dan lansung tidak memperlihatkan lansung kematangan kreativiti memasukkan unsur budaya yang kita seolah mulai bicarakan akhir-akhir ini.
Agak keliru, budaya dilihat sempit apabila filem-filem kita gagal menterjemahkan budaya yang sepatutnya di samping timbullah suara-suara yang menyangkal. Sememangnya apapun ia adalah pandangan peribadi yang mengikut citarasa masing-masing. Kalau bukan kerana keseriusan dan keazaman filem-filem kita terus akan tenggelam tanpa ‘budaya’ yang kita terdedah kepada khalayak filem.

Sepet

Sepet secara peribadi dilihat penulis adalah permulaan filem indie kita untuk memberi pilihan baru selain cerita-cerita yang streotaip dalam arena filem negara. Idea yang dibawa agak ‘biasa’ tapi digarap dengan cara yang unik. Keunikan ini yang membezakan Sepet dengan filem-filem Melayu yang kita ada. Terkadang sememangnya Sepet filem yang agak mencabar kerana ada scene yang tidak sepatutnya ditonton menurut budaya kita dan ini mungkin salah satu daripada unsur yang disebut ‘perosak budaya’ seperti yang digembar-gemburkan. Mengambil pusing hal ini dan hal-hal lain memang membuat kita perlu bercakap bahawa ia memang satu perkara yang jelas agak tersimpang sedikit. Namun mungkin pada pengarahnya mempunyai nawaitu yang tertentu bukan seperti yang kita lihat daripada scene, maka ia amat bergantung pada penerimaan penonton.

Hampir kebanyakan pengarah ingin mengunakan semaksima mungkin ruang yang ada untuk menyampai sesuatu mesej kepada kita. Hanya mungkin mesej itu difahami dengan baik atau tidak saja. Namun ia oleh kerana filem kita yang terlalu streotaip menyebabkan kebanyakan penonton ia meruapakan sesuatu yang agak mengganggu dan mengacau budaya.
Namun secara keseluruhan Sepet usaha yang awal untuk membawa khalayak filem negara ke satu horizon baharu. Seharusnya ia satu peningkatan dan kemajuan kerana ia tidak lagi mengekalkan gagasan streotaip pada filem-filem kita. Pada pandangan penulis ia satu fenomenan yang harus dilihat dengan cara positif.
Namun, kelemahan ada juga kelemahan pada Sepet seperti mana ada filem-filem tempatan yang lain yang perlu diperbaiki.

Salah faham budaya

Budaya sekali lagi bukanlah segala-galanya buat filem. Budaya sekadar elemen dalam sebuah filem dan apabila sebauh filem dilihat pencemar budaya ia tampak janggal sebenarnya dan apakah ia satu kenyataan yang sesuai untuk senario perfileman negara yang akhir-akhir ini mula diperkatakan dengan kemunculan pengarah-pengarah generasi baru dengan filem-filem yang melawan arus.

Budaya kita telah lama tercemar sebenarnya apabila filem tidak meletakkan kualiti seninya yang setinggi mungkin. Pengabaian pemikiran matang, estetik dan elemen budaya menyebabkan garapan filem kita hanyalah biasa sahaja dan tidak memperlihatkan keunikan. Tidak ada sebarang perubahan, suntikan inovasi dan sebagainya. Maka usah hendak bicara tentang filem yang akan mengangkat nama negara, budaya dan bangsa kerana beberapa kekurangan-kekurangan ini tidak kita atasi dengan baik.

Sebenarnya kita masih jauh jika sekiranya kita masih di takuk streotaip yang lama. Tidak berusaha untuk mencuba yang bahar dan lebih mencabar, padahal budaya kita terlalu kaya dan unik untuk dijadikan bahan sesebuah filem. Penulis percaya banyak lagi perkara yang tidak diterokai oleh pengarah-pengarah kita untuk mencapai kualiti filem yang berkualiti.
Apabila filem kita tidak mencerminkan masyarakat kita yang sebenar, budaya dan pengalaman maka hilanglah satu syarat estetik pada sebuah filem. Kenapa selalu kita mengambil jalan mudah untuk ke hadapan, tidak berani mengurus dan mengali kreativiti budaya yang sedia ada dalam pada kita supaya filem kita benar-benar berupaya menjadi medium yang baik untuk budaya.

Mengapa filem-filem kita sebelum ini kurang mendapat perhatian, adakah kerana budaya kita yang tidak menarik untuk diketengahkan datau gaya persembahan filem kita yang kurang memberansangkan dan tidak berkesan pada penonton luar?. Masa sudah berubah, tapi bagaimana filem kita berhadapan dengan perubahan ini. Seharusnya warga filem membuka lembaran baru dan tidak hanya melihat pasaran tempatan sahaja.

Mereka yang di luar negara sebenarnya ingin mengehtahui, merasai dan menikmati bahasa filem yang unik daripda negara lain, yang berbeza geografinya, budayanya, imej, pemikiran, gaya dan sebagainya. Sesebuah cerita yang hampir sekata temanya dan seirama ideanya dengan cerita-cerita di Hollywood atau Bollywood sebenarnya sudah mengalami tarikh luput bagi selera generasi globlalisasi.

Tambahan cerita-cerita yang dipamerkan tidak banyak berubah dan seolah melingkar pada tahap itu saja. Tidak ada perkembangan dan kreativiti yang benar-benar jujur. Maka kedatangan filem baru yang sekurang-kurang memberi pilihan dan santapan yang matang wajar diraikan.

Oleh itu mengapa tidak kita mendapat resepi yang baru daripada akar jatidiri kita yang mempunyai seribu satu keindahan yang masih kurang diterokai. Filem Sepet bukanlah segala-galanya kerana ia baru satu langkah untuk menarik khlayak menonton cerita yang sedikit berbeza gaya persembahan dan intipatinya.

Masih banyak lagi daya juang usaha yang mesti diperah untuk mencapai impian untuk membawa filem-filem ke laur negara. Oleh itu sewajarnya semua pihak mesti membantu dan bekerjasama untuk merealisasikan impian.

Baru-baru ini Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 yang mana akan menjadi rangka buat ekonomi sepanjang empat tahun lagi. Antara yang ditegaskan dalam rancangan tersebut adalah mengalakkan peningkatan keupayaan pengehtuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Tentulah untuk filem kita juga berharap agar mencapai dan memenuhi Misi nasional ini melalui karya seni iaitu filem. Filem kita mesti membawa hasrat yang selaras dengan gagasan positif ke arah kemajuan negara yang seimbang, maka wajarlah scenario perfileman negara diberikan suntikan baru dan ‘berminda kelas pertama’.

Justeru, filem-filem mesti membawa makna budaya yang lebih kreatif lagi dan menambahbaik struktur filem kita yang dilihat semakin kebelakang. Tidak sekadar menyajikan kahalayak dengan filem yang melayan waktu dengan isi hiburan dan pemikiran ringan atau popular sahaja tapi mempunyai nilai tambah iaitu bahasa budaya yang jujur dan kematangan garapan yang genius.

Untuk masa depan filem tempatan yang tidak statik, maka perlulah filem dan pembikinnya memulai langkah yang lebih agresif dan berani untuk menghadapi cabaran dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu dan berkualiti mencapai tahap anatarabangsa seperti yang diingin-inginkan. Filem kita mestilah mampu membawa imej glokal seperti yang disebut-sebut sebelum sebelum bermimpi ingin meraih perhatian khalayak filem di luar. Jika Korea yang terdekat sudah mampu membawa karyanya ke arena antarabangsa, kita sebenarnya berkemampuan untuk membawa bahasa dan budaya kita ke arena antarabangsa. Ia bukanlah satu perkara yang mustahil!.