Friday, April 03, 2009

Mahathir selepas era Najib

Reaksi bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selalu tidak mudah dijangka. Walaupun dalam masa tidak sampai 24 jam, beliau boleh sahaja mengejutkan sesiapa sahaja. Baik Umno baik Pas, baik DAP ataupun KeADILan. Khalayak politik juga tertarik dengan sikap Mahathir yang jarang tetap. ‘Aura’ Mahthir walaupun semakin malap lantaran kedudukannya sebagai bekas negarawan, tetapi pandangan-pandangan masih kedengaran dan menjadi tempat rujuk. Keistimewaan ini barangkali tidak ada pada mana-mana bekas perdana menteri sebelum ini.


Pandangan dan firasat Tun Mahathir (dimaksud di sini bukan ilmu tenung-menenung tapi buah fikiran dari pengalaman) memang selalu berbeza dari kebiasaan. Jika para pemimpin berkata tentang sesuatu hal, beliau akan bercakap tentang hal yang sama tetapi sudut yang berbeza. Inilah kelebihan Mahathir yang diakui oleh kawan dan lawan.


Sebagai arkitek negara mengikut acuan pembangunan moden, Mahathir diakui seorang dinamik dalam era pemerintahannya. Langgam politik mencabar dan berani menyebabkan kredibilitinya boleh menaiki takah demi takah dengan cara yang tersendiri. Perjuangan politik memang tersendiri dan dikelilingi dengan raujau berduri. Idea-idea Mahathir menguji zaman malah Mahathir mampu tentangan kepada lawannya dengan cara yang begitu pintar. Seni politik Mahathir licik dan dipenuhi dengan keazaman yang luar biasa. Cuma tidak banyak keadaan yang menunjukkan bekas Perdana Menteri ini mengalah dan menyerah. Barangkali sikapnya yang kritis dan berani, tidak mewajarkan sikap ini bagi dirinya. Tapi dalam pemilihan penggantinya iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada suatu masa dulu sebagai Perdana Menteri dianggapnya sebagai satu kesilapan. Dengan terang-terangan Mahathir mengakui memberi kepercayaan kepada Pak Lah untuk menjalankan kesinambungan peranan kepimpinan negara. Kesilapan itu tidak menyungguh rasa muhasabah kepadanya malah menyedari kesilapan itu Mahathir menggunakan media dan kapasitinya sebagai bekas orang nombor satu negara untuk mengkritik Pak Lah dan pemerintahannya secara terbuka. Mahathir mempunyai sikap yang ‘catalyst’ dalam banyak perkara. Seorang yang tidak boleh memendam fikiran, kritikan dan idea. Semacam seorang yang ‘revolusiner’ walaupun tidak secara tuntasnya. Malah kerana sikap itulah beliau digelar dengan ‘ultra Malay’.


Banyak yang tidak dipersetujui Mahathir dalam pemerintahan Pak Lah. Seolah kesilapan itu datangnya mutlak dari dirinya sendiri. Pak Lah tidak pernah menjawab kritikan dan teguran Mahathir. Selalunya Pak Lah memberi tumpuan kepada kerjanya. Pak Lah bersikap lebih sederhana dalam menimbul polemik dan pertelagahan. Perbezaan pendapat dalam beberapa isu antara pemimpin perkara biasa, mungkin itu pada fikiran Pak Lah. Ini satu sikap yang banyak membantu keadaan supaya tidak kelihatan serabut dan kalut. Rasional ini sangat berkesan dalam psikologi politik semasa. Mahathir tidak pula menyerang dengan cara yang kasar, cuma kritikan itu sifatnya lebih kepada mempertikaikan dan memberikan pandangan yang berbeza.


Teori menyatakan Mahathir cenderung kepada Najib kemungkinan betul. Hal ini dapat dilihat daripada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Mahathir lebih menunjukkan tanda positif dengan peralihan kuasa yang dijanjikan. Pak Lah sudah memberikan kepastian membuka jalan kepada Datuk Seri Najib. Tindakan ini pula sedari awal sudah mendapat banyak sokongan dari para pemimpin parti itu sendiri.


Sikap Mahathir yang turut sama bersetuju dengan perlantikan Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri amat jelas. Walaupun pada era Pak Lah, Mahathir sehingga mengumumkan keluar dari UMNO sebagai tanda tidak setujunya dengan Pak Lah.


Babak penyatuan legasi UMNO Mahathir-Pak Lah-Najib menunjukkan betapa nekadnya keinginan politik UMNO untuk terus hidup dalam pentas politik semasa. Hal ini hendak dizahirkan secara jelas dan perlu disaksikan kepada rakyat. Itu satu kesinambungan politik baharu yang dicipta oleh UMNO yang akan melakar sejarah jika ia terus dalam satu penerusan apa yang diharapkan melalui ‘pembaharuan’.


Najib menyatakan pembaharuan mesti menyeluruh. UMNO perlu lebih terbuka dan diterima ke akar umbi. Bersama dua mantap Perdana Menteri, Najib menerajui pembaharuan yang bakal dinantikan orang politik dan rakyat pada masa akan datang.


Malah Datuk Seri Abdullah sendiri menyatakan beliau tidak akan mengkritik Najib secara terbuka, tetapi akan memberi nasihat jika diperlukan.


Ada perbezaan yang ketara dalam peralihan Mahathir-Abdullah Badawi dan Abdullah Badawi-Najib. Ia suatu yang memberi tanda-tanda kepada variasi kepimpinan UMNO itu sendiri. Selain sikap bertolak ansur sesama kepimpinan bagi menjaga perjuangan parti diteruskan.


Walaupun keadaan UMNO bersedia untuk perubahan di bawah Presiden parti yang baru, hal ini masih terbuka kepada kemungkinan-kemungkinan. Walaupun ikatan penyatuan UMNO sudah dilansungkan antara lama dan yang baru. Antara legasi Mahathir dan Abdullah Badawi, yang pasti Najib memerlukan tempoh untuk membangun semula kepercayaan rakyat yang sudah terumbang-ambing hasil daripada sikap UMNO sendiri.


Kemungkinan yang paling asasi, mampukah UMNO mengembalikan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu yang selama ini sudah dicop dengan pelbagai krisis dalaman, kekalutan etika, jati diri bangsa dan sebagainya. Dengan barisan kepimpinan baharu ini, adakah mungkin UMNO mampu mencapai pembaharuan seperti mana yang dicanangkan sebelum ini. Mungkinkah pembaharuan itu hanya lapisan-lapisan luaran sahaja dan menggantikan UMNO dari segi jenama dan lain-lain, tetapi tidak segi dalamannya yang mewakili roh perjuangan, hala tuju, keintelektualan dan nilai-nilai.


Keruntuhan parti itu hendaklah dilihat daripada sisi dalamannya. Misalannya rasuah antara yang paling ketara menjatuhkan para pemimpinnya kepada satu pandangan yang serong daripada masyarakat. Walaupun masih terdapat kepercayaan rakyat terhadap parti, tapi disebabkan faktor-faktor yang tidak ditanggani dengan baik dan betul, UMNO dilihat terlalu idealis dalam retorik politik.


Umno juga mengalami ketirisan nilai-nilai, seperti dijelmakan dalam kritikan-kritikan luar dan dalam parti itu berkenaan sikap para pemimpinnya yang semakin menjauhi peranan sebenarnya sebagai pemimpin. Mungkin terlalu memberatkan sesuatu hal yang politik, menyebabkan hal-hal asasi memimpin rakyat diabaikan. Kemiskinan masih wujud dan masalah-masalah pendidikan belum selesai sepenuhnya.


Maka era Najib yang disinonimkan dengan pemulihan mungkin memberikan kesan tertentu UMNO. Mahathir tentu memberikan petunjuk-petunjuk tertentu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Pun begitu masalah UMNO sekarang antaranya adalah imej yang tidak kuat untuk memimpin bangsa ke arah yang betul. Mungkin ini antara inti pati senario UMNO yang mendorong diketepikan rakyat. Wajah yang berubah dan falsafah yang semakin menyerap materialistik berbanding menitikberatkan pembangunan nilai dan kebudayaan.

, hal ini tidak disuarakan oleh orang lama UMNO sendiri umpamanya Mahathir. Mungkin hanya politik wang yang disentuh Mahathir. Tapi bagaimana dengan masalah-masalah lain yang menyerabuti kewujudan UMNO pasca PRU 12 sehingga berlaku peralihan kepercayaan rakyat. ‘Akar umbi’ bagaimana yang dimaksudkan UMNO kerana jika setakat menyebutnya berulang-kali dalam Perhimpunan Agung, ia belum tentu memberikan apa-apa impak positif.


Era Mahathir tentu berbeza dengan era Pak Lah, samalah dengan era Najib. Masing-masing mempunyai cara, langgam, pemikiran dan pengalaman yang unik. Era Mahathir era panjang dalam mengemudi bahtera parti yang paling tua, dengan semacam pelbagai pengalaman yang sukar hendak digambarkan. Era Pak Lah, suatu tempoh demokrasi yang menarik dan banyak peristiwa dramatik berlaku di samping kwujudan semula institusi yang menilai integriti tanpa mengira kaum dan aliran politik. Era Najib yang baru bermula dan ditandai dengan pemulihan UMNO dan janji-janji ‘survival’ Melayu ke arah dunia yang lebih global dan mencabar.


Apakah tipa-tipa sejarah sebelum ini boleh digunakan kembali untuk mencari model peristiwa yang bakal terbentuk di masa hadapan dalam era Najib baharu ini?. Atau akan berlakukah perubahan dan wujud pula model-model baharu yang lebih baik dan matang bagi politik semasa. Diharapkan, seharusnya model baharu itu lebih demokrasi, matang dan membina dari sebelumnya agar memandu keharmonian negara semua aspek. Semua ini impian rakyat Malaysia dari akar umbi. Akhirnya, apakah peranan dua mantan Perdana Menteri selepas ini?.

.
Wasilah 5-11 April 2009
.

No comments: