Saturday, April 11, 2009

Kritik Diri & janji perubahan

(tajuk asal; UMNO: Kritik Diri & Perubahan)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Berlaku peralihan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. UMNO di bawah pimpinan baru mesti berubah. Tiga ayat di atas menggambarkan senario politik UMNO semasa.

Dalam Perhimpunan Agong UMNO yang lalu, ucapan dasar Presiden UMNO sangat penting dan elok direnungkan. UMNO seperti digambarkan Presidennya menghadapi masalah dalaman/ luaran agak parah dan perlu kepada perubahan. Inti yang dizahirkan dalam ucapan dasar itu sangat signifikan dengan keadaan politik parti tertua itu kini. Ia jujur dan membesarkan koreksi diri itu dilakukan sedari awal. Selaku ketua kepada organisasi besar parti (dan meninggalkan kerusi tertinggi parti itu), Pak Lah tentu dapat menghidu permasalahan yang mendasar berlaku dalam UMNO. Pengulangan semula frasa-frasa permasalahan dan penekanan semula kepada ungkapan pembaharuan (reform) menjadi agenda penting dan cabaran kepada UMNO.

Sejarahnya, UMNO tidak pernah diduga seperti hari ini iaitu selepas pasca PRU 12. Tragedi penolakan ketuanan parti Melayu kebangsaan itu dizahirkan daripada suara majororiti rakyat bawahan dan generasi baru. Sebelumnya UMNO dikenang sebagai penggerak kepada kemerdekaan negara. Masalahnya adalah beberapa dekad kemudian iaitu apabila ruh perjuangan yang asal sudah meluntur teruk dan lebih mengecewakan rakyat ialah UMNO sudah lari daripada landasan perjuangan asalnya. Kredibiliti parti itu dipertikaikan dan banyak kewajaran tindakan-tindakan pemimpin atau keputusan pemimpinnya dipersoalkan.

Malah disebutkan beberapa kali kepentingan untuk UMNO kembali kepada asal dan membentuk kepada kesatuan yang baharu. Hari ini, khalayak politik Melayu dan bukan Melayu melihat parti kebangsaan itu mengaku akan kelemahan yang dihadapi mereka. Para pemimpinnya tidak segan-silu menyatakan pengakuan salah laku etika seperti salah guna kuasa, politik wang, tidak mesra rakyat, tamak dan sebagainya dalam ucapan atau kenyataan-kenyataan media. Kenyataan-kenyataan yang bernada insaf dan mengaku terlanjur mempamerkan realiti UMNO di tahap yang kritikal. Lebih jelas lagi apabila dalam ucapan dasar Presiden UMNO, menyebutkan permasalahan yang harus ditanggani denagn jujur dalam menghadapi kemelut politik parti kebangsaan itu.

Dalam ucapan dasar itu juga menyebutkan imbasan sejarah yang mana ahli UMNO mengetahuinya. Hari ini UMNO kehilangan kesinambungan sejarahnya dan perjuangan asal. Mungkin inilah mesej daripada Pak Lah kepada generasi penerus UMNO.

Masalah-masalah UMNO tidak wajar dilihat dari sudut parti-parti Pakatan Rakyat atau dari pandangan mereka. Pandangan PR tentu bermaksud politik. Tetapi dengan mengakui dan bersedia mahu melihat kesilapan-kesilapan itu lebih penting. Menilai sejauh mana ketersasaran dan kelemahan, akan dapat memberikan saranan kepada UMNO memperbetulkan keadaan.

Kritik diri ini tidak mudah dilakukan sebenarnya di peringkat atasan, tetapi lantaran berlaku pertindanan dan kesesakan hal-hal yang kurang enak dan sudah menjadi buah mulut rakyat menyebabkan ia tidak boleh dikesampingkan lagi, UMNO perlu mengaku dan berhadapan dengan pembetulan-pembetulan sekian ralat dan kesilapan yang dilakukan.

Jika ‘ya’ daripada pihak parti itu mahukan perubahan, tentu tindakan ini dilihat semacam nekad dan ada ‘political will’ terhadap keadaan parti tetapi belum cukup jelas kerana perubahan yang dijanjikan memerlukan banyak segi dan maksud yang harus dilaksanakan. Perlaksanaan perubahan ini masih bersifat terbuka dan terlalu umum. UMNO secara peribadi belum menyatakan apakah perubahan yang dijanakan itu kecuali dengan beberapa hal dan psikologi. Perubahan kepimpinan mungkin sahaja satu daripada perubahan yang dikatakan itu. Tetapi adakah dengan adanya perubahan kepimpinan akan melestarikan maksud murni UMNO untuk mengadakan perubahan yang tuntas. Lanjutan itu ucapan dasar Presiden UMNO masih tidak absah jika tidak diakarumbikan dalam tindakan.

Kritik diri UMNO mesti lebih terbuka dan mendalam. Jika sekadar menyebut beberapa hal dan item tertentu, UMNO mungkin belum dapat melihat proses sebenar muhasabah yang diperlukan. Banyak ruang yang tidak disentuh dalam ucapan pemimpinnya. Tetapi itu barangkali satu langkah awal yang belum menunjukkan ke semua perlaksanaan. Kritik diri juga perlu terancang. Dari kritik diri barulah boleh dibuat muhasabah. Kritik diri harus juga bersifat empirikal dan kajian tertentu kerana UMNO telah lama berada dalam sejarah politik. Tentu banyak masalah yang timbul dari pelbagai segi tidak sekadar moral dan politik semata.

Justeru, kejujuran daripada pemimpin-pemimpin parti yang akan menentukan perubahan yang bakal dilansungkan. Ia bukan dilihat kepada faktor politik sahaja (lantaran penolakan rakyat) malah perlu melihat kelemahan itu setiap segi dan ruang. Dari segi sosial, ekonomi, etika, pemikiran dan sebagainya.
Tuntutan semasa yang pelbagai seharus menjadi fokus untuk menyuntik perubahan. Tuntutan semasa ini tentunya tidak lagi cara berpolitik dan memerintah yang lama, kerana perubahan dan arus globalisasi sudah mencerap banyak situasi yang diperlukan kepada kemampuan diri pemimpin menghadapinya.

Maka, kerja seterusnya jika jujur dan insaf akan dilakukan oleh penganti tampuk kepimpinan UMNO iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah penamaan beliau tidak lagi diragukan dan dipersetujui oleh semua ahli UMNO. Cabaran dan beban masalah UMNO kini berada di tangan beliau. Apakah mampu UMNO di bawah pimpinan Najib membuat kritik diri, muhasabah dan retrospektif terhadap parti.

Kalau pada Pak Lah, dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja Pencegahan Rasuah antara manifestasi kepada refleksi kritik diri parti kebangsaan itu, apakah mekanisme dan pendekatan yang bakal digunakan Najib untuk memperbaharui parti kebangsaan Melayu itu dalam keadaan realitinya. Rakyat tentu menanti mekanisme-mekanisme ini.

Sekarang persoalan lain juga ditimbulkan iaitu berkenaan konsep Kemelayuan yang dibawa UMNO masih relevan. Kerana masalahnya ialah UMNO tidak dalam memperkatakan pembelaan Melayu, penjagaan hak orang Melayu dan sebagainya. Malah dilihat sudah banyak kekayaan orang Melayu terutama dalam kebudayaan menghadapi kemunduran. Generasi orang Melayu dewasa mengeluh akan tulisan Jawi, Bahasa Melayu dan sebagainya. Malah banyak juga rintihan tentang survival Melayu dalam ekonomi kerana masih disebut-sebut pencapaian Melayu yang tidak memberansangkan. UMNO perlu menanggani persoalan ini sebelum persoalan-persoalan lain timbul.

Maka tidak hairanlah kalau parti itu kembali kepada maksud dan falsafah yang awal yang telah dibina oleh orang bijak pandai bangsa kita sebelum ini. Parti itu perlu mendapatkan petunjuk daripada khazanah pemikiran intelektual Melayu dulu dan sekarang untuk membangkitkan keamanan dan kesejahteraan.
UMNO perlu sedar juga peranannya dalam mengseimbangkan keadaan pelbagai kaum dan budaya. Sebagai sebuah parti utama dalam tampuk pemerintahan, sudah ada langskap yang jelas bagi menjawab soalan bentuk negara bangsa bagaimana yang dimahukan dan mahu dijelmakan sejak 1957 dahulu?. Penerusan kesinambungan falsafah dan konsep bernegara yang seperti mana hendak dibentuk dalam negara ini?. Kesenangan dan kemakmuran ekonomi bagaimana yang hendak diterjemahkan?. Justeru, isu-isu perkauman yang harus juga diharmonikan dengan acuan tersendiri supaya tidak lagi berlaku pertentangan antara kaum. Diakui walaupun UMNO berjaya memerintah selama lebih lima dekad, namun beberapa penekanan dan hala tujunya sudah terganggu kerana sebahagian daripada pemimpin yang tidak serius memberikan cabaran kepada pembangunan negara.

Sekarang persoalan budaya yang patut dilihat juga parti itu bukan hanya persoalan agama, malah apa yang dikatakan dari segi inti bagi sebuah bangsa. Seperti bahasa, budaya, nilai-nilai, moral, pendidikan dan pemikiran. Sudut-sudut ini dilihat UMNO kurang memberikan suntikan yang sebaiknya walaupun ada sedikit tumpuan namun ia tidak mengcukupi.

Jadi, perubahan yang diperlukan bukan hanya satu omongan dan mahu mencipta tarikan khalayak. Perubahan itu mempunyai maksud yang berserta dengan keazaman bagi melakukan penambahbaikan yang lebih positif. Penghijrahan ini adakah mampu menarik rakyat supaya bersetuju kepada UMNO atau sebaliknya, semua persoalan terpulang kepada parti itu kerana setiap nawaitu itu memerlukan tindakan yang betul. Dalam konteks ini, UMNO telah bernawaitu mahu berubah, tapi tindakannya belum lagi. Dan rakyat sedang bertanya ‘apakah perubahan-perubahan itu’?.
.
Politik 16-30 April 2009 atau Mingguan Wasilah, bil 106(69) 12-18 April 2009
.

No comments: