Tuesday, February 17, 2009

Kalut Etika & Kepimpinan Baharu


Bagai dalam anekdot lima orang buta apabila memberikan gambaran sifat seekor gajah. Ringkasnya, pada suatu masa yang sama setiap orang buta ini cuba mengenali dengan dekat dan memberikan gambaran tentang sifat seekor gajah dan mahu menjawab persoalan ‘apa itu gajah’. Setiap daripada orang buta ini berbeza pendapat atau persepsi berkenaan gajah itu. Masing-masing mendatangkan takrif yang ‘kabur’ dan tidak lengkap. Pada akhirnya, setiap daripada takrifan atau tanggapan berkenaan dengan jisim gajah tidak dicapai dengan baik lantaran terlalu dikaburi dengan persepsi yang mengganggu dan bercampur-baur hasil daripada pandangan masing-masing.

Dari konteks politik semasa, pimpinan Umno menghadapi masalah menyelesaikan kemelut identitinya dan pembaharuan yang dicadangkan sebelum ini. Masalah dalaman yang pelbagai selain daripada krisis kepimpinan, Umno benar-benar mengharapkan krisis identiti yang membelenggunya akan berkurangan dan menempuh jalan keluar. Selain itu, baru-baru ini timbul cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail agar Umno menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang juga mengundang beberapa reaksi pimpinan parti itu.

Pada Umno, yang sekarang ditembungkan dengan persoalan kerencaman persepsi penuh simpang-siur (dari Umno sendiri atau luarannya) memperlihatkan perubahan atau pembaharuan tidak akan berlaku dalam masa yang dekat (seperti diakui salah seorang pimpinannya) dan keperluan kepada penjenamaan yang melibatkan penyegaran identiti dan tujuan perjuangan dilakukan semula setelah lebih separuh abad berada di persada politik dengan gaya dan fikir yang stereotaip.

Persepsi tidak mudah berdiri dengan sendirinya kerana seperti difahami semasa, ia suatu yang boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Persepsi selalu wujud dalam politik sebagaimana manusia mahukan suatu ruang untuk menyatakan pandangan. Suara atau pandangan berkanaan politik pula tidak lari daripada hakikat ‘persepsi’ ini kerana medan politik ghalibnya adalah berkenaan dengan autoriti dan yang tidak punya autoriti. Pihak yang berautoriti selalu ‘menang’ dalam menentukan keputusan, daripada yang bukan berautoriti. Kemelut autoriti lebih jelas apabila ia tidak berimbangan dengan rasionaliti dan pertimbangan yang lain termasuklah daripada mereka yang bijak pandai dan sebagainya. Dalam kes Umno, keautoritiannya sendiri belum mampu mencakup persoalan dan masalah yang dihadapi malah ia memerlukan formula yang khusus untuk memulihkan semangat setelah mengalami semacam dekadan. Namun, ‘persepsi-persepsi’ itu tidak dibaca dengan munasabah lagi jujur.

Untuk mencari pandangan umum dan khusus dalam persoalan, tentu sahaja keperluan kepada mengamit buah fikiran bernas dan keupayaan yang matang untuk menilainya dari akarnya. Persoalan mencari fikiran bernas ini pula satu masalah lain, dilihat yang menyebabkan Umno lembap dan hanya menanti nasibnya berubah dengan sendirinya. Ditambah pula dengan imej Umno yang semakin diremehkan dalam pandangan semasa.

Umno, selepas daripada kegagalan mengekalkan kerusinya di Kuala Terengganu semakin dilihat lemah. Ini sintesis yang patut diuji dan dikaji sedalam-dalamnya. Sebelum ini, sintesis tidak sekuat seperti sekarang yang lebih menampakkan kesannya. Dilihat daripada pencapaian sebelum ini, Umno masih tidak berapa berminat dengan agenda pembaharuan yang telah dicanangkannya sebelum ini. Ia tidak dilihat serius dalam tempoh terdekat selepas daripada episod PRU 12 yang lalu. Hanya mungkin perubahan yang berlaku adalah beberapa pengstrukturan kepimpinan atasan dan tugasan, perubahan sikap yang sedikit di kalangan ahli Umno dan sebagainya. Julat perubahan yang kecil ini tidak signifikan kepada orang Melayu dan rakyat sehingga selepas daripada pilihan raya umum lalu, imej Umno kian susut dalam da siri pilihanraya kecil.

Mungkin terlalu awal untuk pembacaan sebegini dilakukan, tetapi disebabkan itu juga beberapa hal yang menunjukkan Umno kelihatan selesa dengan kedudukannya lantaran keadaannya yang belum benar-benar berada dalam zon perubahan atau pembaharuan seperti yang dijanjikan. Tempoh menunggu ini dilihat akan berakhir apabila transisi tampuk kepimpinan Umno dilakukan secara tuntas dalam bulan Mac ini.

Memang betul jika hendak dikatakan bahawa Umno belum dapat melihat atau kabur dalam menilai prestasinya sekarang ini. Dengan beberapa kedudukan yang semakin tidak menentu, dan seperti selalu dikatakan oleh kebanyakkan pimpinannya, semacam alasan ‘fokus kepada tugas mentadbir negara’, kegoyahan Umno pula semakin dirasai. Kemungkinan beberapa masalah yang seadanya dikatakan bersifat dalaman, sekarang ini sudah tidak lagi bersifat dalaman. Ditambah pula dengan sikap mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden Umno sendiri menyatakan secara berterusan tentang masalah yang dihadapi oleh Umno ketika ini, seolah memberikan gambaran bahawa keadaan Umno memang sedia lemah atau semakin hilang fokus.

Para pemimpin dari Majlis Tertinggi (MT) Umno sendiri secara berperingkat menyatakan keharusan kepada pembaharuan yang sepatutnya dilakukan dalam Umno. Umno dilihat semakin kehilangan pengaruh politik dan kemampuannya di mata rakyat. Dan ada kemungkinan bahawa pada masa ini, Umno sedang bersedia untuk memulihkan parti khususnya masalah dalaman yang dihadapinya yang semakin terdedah kepada massa. Tapi masa sahaja belum dapat dipastikan dan menunggu kepada satu tempoh yang bersesuaian.

Seperti sebelum ini dinyatakan oleh Presiden Umno, Dato Abdullah Badawi, selepas mengumumkan pelan peralihan kuasa, kata beliau dalam tempoh yang berbaki, beliau ingin menyelesaikan masalah dalaman, namun dilihat pergerakan magnitudnya itu kecil dan sedikit. Kerana keketaraan suara-suara yang menyatakan bahawa Umno lemah berceratakkan sana-sini. Maka secara logiknya apabila melihat kepada pergerakan lapangan hasrat itu, tidak mencapai kepada garisannya yang munasabah, malah dilihat pula di sana satu kekaburan yang berlaku sehingga menimbul persepsi yang pelbagai dalam Umno itu sendiri.

Umno sendiri dan ahli-ahli semakin berada dalam keadaan yang ‘terleka’ dan dingin apabila rentaknya yang perlahan dan seolah-olah timbulnya timbulnya pula wujud keretakkan yang ada dalam parti kebangsaan ini. Bentuknya seolah terpecah-pecah dan terbiar walau dalam suasana yang terkawal, menyebabkan keadaan Umno seolah tidak dikemudikan dengan begitu memberansangkan seperti lima enam tahun sebelum ini. Apakah Umno sudah mencapai kepada titik puncaknya, kemudian pada satu tahap ia akan mengalami penurunan dan penyusutan dan terus merudum prestasinya.

Ditambah pula persoalan yang kerap timbul dalam massa adalah persoalan kekalutan etika yang berlaku di kalangan Umno dan pimpinannya. Walaupun yang ditimbulkan itu masih sedikit jumlahnya, namun ia sudah melambangkan beberapa tipa atau sampel yang menunjukkan keketaraan Umno dalam dilemanya yang semakin bertambah. Masalah dalaman sebegini semakin menjadi ukuran di mana Umno, belum dapat mengadakan pembaharuan selagi mana masalah dalaman yang dihadapi masih banyak dan belum dapat diselesaikan sebaiknya.

Puncanya, adalah sikap banyak berpersepsi pada suatu isu atau persoalan, tetapi tidak mengujinya secara teratur dan mendalam. Misalnya dalam hal rasuah dan persoalan etika yang lain, menyusutkan lagi kehadiran Umno di muka massa. Dan persepsi yang datang daripada rakyat sentiasa pelbagai kerana parti itu sifatnya dominan.

Di samping itu, persepsi, pandangan dan tanggapan apabila sebahagian pimpinan Umno menjawab persoalan semasa yang saling tidak selari dan kadang-kadang kabur kerana tidak mampu menakrifkan pokok persoalan yang berlaku.

Kekaburan ini bisa saja memanjang, melebar dan meluaskan jurang yang sedia ada. Keadaan parti kebangsaan Melayu itu dipandang semakin kritikal kerana tidak mampu menguruskan dirinya dalam keadaan serba tertekan, (selain daripada disebabkan kelembapan ekonomi dunia semasa) Umno terpaksa berusaha untuk memulihkan kewujudannya sebagai parti yang paling ramai ahli partinya. Menantikan pembaharuan dan pembetulan yang dilakukan oleh pimpinan parti tentu sahaja berlaku pada pasca tranisisi menjadi satu tanda yang penting untuk melihat bagaimanakah penjenamaan itu berlaku.

Selian itu, Umno perlu pula mengalas tanggunjawab yang besar untuk menarik kepercayaan orang Melayu dan bukan Melayu bagi memahami perjuangan Umno pasca peralihan ini yang mana mungkin membawa perubahan-perubahan baharu yang secocok dengan kehendak rakyat. Apapun masalah dalaman parti yang sedia ada (walaupun dilihat tidak besar oleh sebahagian pimpinannya), mesti diselesaikan sebelum mencari formula untuk menarik semula kepercayaan yang sebahagiannya sudah berpindah kepada pihak Pakatan Rakyat melalui pilihanraya. Apa yang Umno mahu lakukan selepas politik paradigma ini yang semakin merencam kini zahir !.

No comments: