Wednesday, January 28, 2009



Apa ada pada Bahasa Melayu

Perarakan dijangka pada Januari/Febuari depan mengingatkan masyarakat kepada sejarah lama pada tahun 1967 yang disinonim dengan ‘Keranda 152’. Akta 152 merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Selama 10 tahun Bahasa Inggeris masih digunakan kerana beralasan Bahasa Melayu tidak mampu mengambil alih tugas sebagai bahasa rasmi seperti Bahasa Inggeris pada era kolonial. Namun pada tahun itu, Bahasa Inggeris masih mendapat ruang yang besar dalam urusan pentadbiran dan kehakiman lalu menimbulkan penentangan rakyat kepada pihak kerajaan yang tidak menjadikan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi.

Senario ini boleh saja berulang kerana masalahnya, apabila isu Bahasa Melayu tidak ditanggapi dengan baik oleh pihak tertentu dan menyebabkan timbul rasa tidak setuju lantaran dilihat pula kekurangan pada sisi kedudukan Bahasa Melayu mutakhir ini, dan tentu sahaja ia akan mengamit keperihatinan para pendokong dan pencinta Bahasa Melayu dengan lebih lebar lagi.
Ketidakperihatinan ini sebetulnya berpunca daripada sikap pemimpin yang tidak mengambil kira suara-suara lain yang juga mempunyai autoriti dan pandangan rasional tertentu terhadap isu berkaitan. Apabila di peringkat pelaksanaan, kerajaan tidak pula menghalusinya supaya ia lebih relevan dan mesra kepada semua pihak tanpa menjejaskan struktur lapangan majoriti khususnya pendidikan.

Kesannya agak ketara seperti yang banyak menjadi polemik di peringkat bawahan, iaitu berkaitan kesusutan dengan kualiti dan nilai kontradik antara tuntutan kerajaan dan golongan pendokong bahasa. Walhal sebetulnya, jika berlaku satu proses ‘pengharmonian’ mengikut jalan dan caranya yang betul, secara politik popular atau bukan politik popular, tentu sahaja penyelesaian dapat ditemui. Maka tidak berlakulah situasi pro dan kontra dan seterusnya kepada sikap membetulkan langkah dengan merencana tindakan untuk menyakinkan bahawa isu ini seharusnya mendapat perhatian secara khusus.

Sebelum ini isu ini hanya semacam terpencil dan diperkatakan hanya beberapa orang. Bahasa Melayu belum menemukan wajah songsangnya. Tetapi akhir-akhir ini ia menjadi isu politik kerana di sana terdapat campur tangan politik terhadap perlaksanaan dan pandangan-pandangan daripada pemimpin yang tidak komitmen memberikan ransangan untuk membantu Bahasa Melayu supaya lebih diperkemaskan, dikembangkan dan dimartabatkan dengan lebih baik. Tampak pula dalam banyak keadaan, sikap marginal pemimpin dan politikus Melayu terhadap isu Bahasa Melayu, menjadikannya lebih sensasi daripada isu kehilangan kemandirian Bahasa Melayu itu sendiri. Di sinilah wujud antara titik pertentangan dalam isu Bahasa Melayu ini.

Sekarang Bahasa Melayu sudah keluar daripada ‘mood’ politik. Yang rasa tidak puas hati dengan kerajaan dalam menanggani isu ini bukan sahaja orang politik tetapi lebih ramai daripadanya adalah golongan bukan politik seperti badan-badan NGO, badan persatuan penulis, pemikir, pensyarah universiti, persatuan pelajar, rakyat terbanyak dan sebagainya. Kerana ia merupakan (seolah) tercantum antara isu nasional yang bersifat masalah masa depan mandiri bangsa, isu rakyat dan isu politik. Malah soal Bahasa Melayu sudah bukan lagi persoalan marginal daripada tahun-tahun awal kemerdekaan. Oleh itu, Bahasa Melayu yang sudah mendapat tempat dalam perlembangaan sebagai bahasa utama negara dan selepasnya daripada itu Bahasa Melayu sudah dijadikan bahasa penghantar di institut pengajian tinggi tempatan lantaran melihat kepada keutamaannya sebagai bahasa ilmu sudah dilihat mengalami kemunduran disebabkan faktor politik dan bukan politik. Di sinilah persimpangan dan konfliknya yang sebenar.

Memang Bahasa Melayu pernah mengalami kemandiriannya apabila sudah diterima di luar lingkup negara sebagai bahasa yang dipelajari seperti di China, German, Perancis dan sebagainya. Penerimaan ini menunjukkan betapa Bahasa Melayu sudah memiliki versitalnya setanding dengan bahasa-bahasa asing yang lain. Malahan dari segi penuturnya yang ramai, agak mustahil bahasa ini akan mengalami kemundurannya malah ia akan lebih kaya kerana sikap mandiri yang ada pada bangsanya seperti mana yang berlaku pada bahasa-bahasa utama dunia yang lain. Namun, ia dilihat oleh pandangan-pandangan beberapa individu yang berkaliber, apakala isu bahasa ini dicampurbaurkan dengan politik, tentu akan mengalami masalah jika ia memang tidak diurus dengan betul. Malah pejuang-pejuang bahasa sudah kelihatan kurang sabar dengan birokrasi yang tidak mengena tempat ini.

Soal mengapa Bahasa Melayu terlalu diangkat dan diperjuangkan massa saban waktu, jawapan mudah iaitu Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa alat untuk bertutur atau berkomunikasi. Peranannya lebih daripada alat ucap bicara. Ia sebagai bahasa nurani, pemikiran, alam Melayu, identiti dan yang melambangkan jatidiri bangsa. Ia juga sebagai korpus pemikiran dan mempunyai sisi ‘weltanschauung’ bangsa. Dan setakat ini Bahasa Melayu sudah membuktikan mampu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar antara kaum di negara ini dan sesuai diajarkan di sekolah-sekolah di sebuah negara yang majmuk.

Tidak hairanlah Bahasa Melayu begitu diutamakan dalam banyak keadaan dan statusnya lebih mantap berdasarkan kepada sejarah awal penubuhan Malaysia ini. Ia bahasa peribumi dan bahasa Nusantara yang paling diterima dan mempunyai bilangan penuturnya yang ramai pada abad 15. Ini bermaksud Bahasa Melayu sudah melepasi tahap kematangannya sebagai antara bahasa dunia yang berpengaruh. Namun, hakikat ‘Bahasa Melayu’ ini jarang-jarang ditelah dengan penuh insaf dan muhasabah. Bukan disebabkan sejarahnya atau masa lalu yang sudah mencatatkan kemapanan Bahasa Melayu, tetapi faktor lemah kemandirian dan jatidiri untuk mengutamakan kepada bahasa kebangsaan ini sehingga tidak diberikan kelansungannya sejak awal tahun 2000. Bahasa Melayu diperkatakan dan terkadang diperlekehkan kerana dikatakan bahasa yang paling banyak menyerap kosa kata asing dan sebagainya. Ditambah dengan peratusan murid yang mendapat tidak cemerlang subjek Bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Selain itu isu berkenaan bahasa rojak, slanga dan sebagainya.

Hampir semua isu ini tidak dibincangkan dengan begitu serius dan mendalam. Ia juga tidak mendapat perhatian khusus daripada golongan atasan malahan Bahasa Melayu mulai dipinggirkan apabila tidak mendapat hak untuk ‘menjaga’ bahasa kebangsaan itu terus dipermainkan, yang mana pada suatu ketika dahulu isu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tidak mampu menampung bebannya untuk ‘menjaga’ bahasa itu kerana semua tanggungjawab berat itu dibebankan hanya atas DBP.

Dan apabila langskap politik berubah dan kian terbuka (pragmatik), isu Bahasa Melayu memang berada di atas landasan betul. Sementelah isu Bahasa Melayu ini sudah lama tidak dibincangkan dengan cara bersemuka, jujur dan berhemah. Kita hanya melihat isu ini hanya dibincangakan seketika dan dipolemikkan sahaja tanpa satu resolusi yang boleh dibanggakan. Maka apa yang perlu dihairankan dengan perarakan yang bakal berlansung ataupun tindakan undang-undang ke atas kerajaan kerana lebih memberatkan PPSMI.

Sebenarnya yang dituntut oleh para pejuang moden Bahasa Melayu ini dan pecintanya adalah lebih daripada itu, (hal ini harus dibaca di luar peristiwa isu Bahasa Melayu panjang ini) iaitu mendesak kerajaan supaya meletakkan Bahasa Melayu ditempatnya yang betul dan mengangkat martabatnya menjadi bahasa ilmu secara absah dan pada lapangan-lapangan yang lain juga dengan sejelas-jelasnya. Jangan nanti dikaburi dengan pesimistik sesetengah pemimpin atau politikus Melayu yang menyatakan bahawa Bahasa Inggeris lebih baik, paling mustahak dan ‘terkini’. Bahasa Melayu mempunyai kekuatan sebagai bahasa ilmu dan ia relevan untuk semua bangsa di negara ini terutamanya menjadikannya terus sebagai medium perpaduan. Kedua, perlunya kerajaan meng’akta’kan peruntukan undang-undang tentang mana-mana kesalahan yang membabitkan bahasa dan menggunakannya secara tidak baik. Dan memberikan ruang-ruang yang lebih luas agar Bahasa Melayu dapat berkembang subur sebagai bahasa yang mandiri.

Memang betul Bahasa Inggeris merupakan bahasa era globalisasi ini. Namun jarang dilihat bahawa bahasa ini mampu diketengahkan sebagai bahasa yang mampu mengangkat bangsa yang bukan empunya. Rasanya penulis belum menemui hakikat ini. Sebaliknya bangsa bukan Eropah (baca: yang bukan juga kuasa dunia kecuali China) yang maju pada hari ini berdiri di atas kemajuannya bukan daripada sikap memberatkan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris tetapi mengutamakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda untuk maju seperti mana di Jepun.
Malah mereka tidak segan berbangga dengan bahasa ibundanya seperti Iran, sebuah negara yang tidak mudah digugat juga negara besar Eropah seperti Perancis yang begitu mengutamakan Bahasa Perancisnya.

Realitinya, pemimpin tempatan harus melihat tentang isu Bahasa Melayu segi mikro dan makronya. Harus dilihat dari segi falsafah bahasa, peradaban bangsa, sejarahnya dan kemandiriannya. Semua ini lebih menyatakan tentang kekukuhan Bahasa Melayu di persada pemikiran, jika penuturnya mempunyai sikap mandiri dan jatidiri kepada bahasa ibundanya. Bukan masalahnya zaman berubah atau tuntutan globalisasi, kerana kita semua tahu bahawa, tidak semua tuntutan itu perlu diikuti lebih-lebih lagi jika mengorbankan sebahagian daripada juzu’ diri iaitu bahasa ibunda kita.

.

dalam mingguan wasilah 25-31 Januari 2009
.

No comments: