Monday, November 10, 2008

Narsisisme Politik Negara Majmuk

Perbincangan tentang perpaduan dan sekitarnya kian menghangat. Di antara watak-watak berani dan jujur timbul selang-seli dalam masyarakat yang berada di bawah, belum menerima kerencaman isu yang berlaku di peringkat politik nasional maupun sosial. Di peringkat atasan pula, mungkin terlalu jelas dengan imej ini sehingga media tidak lagi mampu membendungnya kerana saban hari menyiarkan hal ini seolah secara sekuel tetapi dengan citra yang berbeza-beza.


Rakyat adalah di antara pemerhati malah saksi kepada negara yang sudah merdeka di atas nama demokrasi, yang melihat isu perpaduan adalah isu paling penting mendorong kepada pembentukan jatidiri negara yang kukuh dan harmoni.


Di sana , bagi sebuah negara yang berusia 50-an dan majmuk penghuninya, dikatakan masih menghadapi masalah perpaduan kaum dalam masyarakatnya. Kerana darihal usaha-usaha kerajaan yang sering kali menaja dan menguar-uarkan pelbagai program yang menjuruskan kepada ‘perpaduan kaum’, penyatuan di bawah satu negara bangsa Malaysia , keharmonian negara dan sebagainya.

Cuma jika dilihat di peringkat sosial-masyarakat ia lebih rasional dan diterima akal. Dapat diperhatikan bagaimana kehidupan sosial masyarakat majmuk ini terdedah dengan keterbukaan sesama kaum dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak ada nilai yang bercanggah hubungan antara satu sama lain kerana sedia wujud kesefahaman dan toleransi kaum, adat resam dan agama secara umumnya. Kefahaman bahawa keberadaan masyarakat majmuk dalam realiti ini diterima dan dianggap sebagai satu keistimewaan berbanding negara-negara lain walaupun tetap wujud cabaran-cabaran tertentu yang agak terpinggir.

Tetapi di peringkat masyarakat terbanyak, tidak berlaku kedinginan antara kaum malah dapat dilihat kepelbagaian itu adalah satu kesatuan yang sangat stabil di masa ini.
Ia suatu yang positif buat perkembangan sosial di Malaysia dan dilihat akan mampu mengakar lebih lama sekiranya keperihatinan semua pihak diambil kira. Malahan sikap saling memerlukan antara satu sama lain dan nilai-nilai perpaduan lain sentiasa diperbaharui menerusi pendidikan, media massa , kebudayaan, kesenian dan politik.



Namun di sana juga terdapat pandangan-pandangan yang margin pesimistik dari kalangan rakyat segolongan tertentu menyatakan bahawa perpaduan yang seperti dikatakan masih longgar pada peringkat luarannya. Maka, di sini dapat khalayak melihat bagaimana beberapa isu dan pandangan yang saling tidak sama, tetapi timbul dalam sebuah negara majmuk dan unik di sini.

Fungsi politik misalnya tidak sekadar menjenamakan sebuah negara dengan jenama-jenama yang tertentu tetapi harus mengadakan ‘realiti’ itu dengan wajar. Dalam hal negara majmuk politik merupakan bahagian paling sensitif dan kadang-kadang dilihat efektif untuk menjalin program perpaduan dengan lebih baik.


Politik negara majmuk agak berbeza daripada negara yang lain, mungkin setelah diseragamkan ideologi dan sistem politiknya. Kita dapat melihat sebuah negara majmuk mempunyai parti-parti politik yang berbeza-beza orientasi kaumnya. Sebuah partai politik kebangsaan seperti UMNO, MCA dan MIC dan sebagainya mempunyai haluan dan mesej tersendiri dalam medan politik tersendiri.

Tipa ini tidak lahir daripada satu fahaman kebangsaan yang ekslusif dan mandiri kerana keperluan bentuk partai ini bersatu dengan partai-partai kebangsaan yang lain lantaran sudah ditentukan destinasi negara majmuk, dan hidup secara bersama dalam sebuah negara yang aman. Dan bentuk ‘kepelbagaian dalam kesatuan’ inilah yang mendokongi pemerintahan demokrasi negara sekarang ini.

Namun, masih timbul juga persoalan berkaitan perpaduan yang lahirnya sejak seawal kemerdekaan lagi. Dilihat kepada partai yang cuba memperlihatkan penyertaan semua kaum dalam sebuah parti wujud tetapi tidak mampu menjadi watak dominasi atau pilihan kepada khalayak sosial-politiknya.


Di peringkat politik, isu perpaduan masih menjadi dilemma. Orang-orang politik masih dibelenggu dengan masalah ini dan seolah-olah ia isu yang terlalu sensitif untuk ditanggani. Sesungguhnya, sekiranya perpaduan dilihat dari kaca mata politik, ia akan mewujudkan antaranya sikap ‘narsisisme’; bermaksud perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri.

Dilemma perpaduan akan selalu membayangi politik semasa sekiranya segelintir pemimpin melihat perpaduan adalah suatu yang janggal dan asing bagi pandangan mereka. Lantaran sikap yang mengagumi diri melebihi daripada yang lain (baca:bangsa) padahal sudah sedia ada undang-undang dan dasar-dasar diperuntukkan berkenaan dengan hal-hal keistimewaan Orang Melayu misalnya.


Isu melihat kesamarataan adalah perpaduan juga perlu diperhalusi. Kerana tidak wujud isu kesamarataan jika dilemma perpaduan sesama kaum masih timbul dan dibangkitkan. Sikap melihat atau mengangkat kelebihan diri atas yang lain juga harus dikikis kerana ia sebahagian tipa yang tidak membentuk pembangunan perpaduan yang rasional.


Dan tidak wujud juga kesamarataan itu segi konteks realiti, kerana selama ini masih samar-samar dengan kesamarataan dalam mana-mana sistem politik secara tuntasnya. Walaupun di Barat contohnya, (tempat lahirnya konotasi demokrasi) masih dibayangi dengan sejarahnya yang sukar mencapai kepada kesamarataan. Tetapi, jika dilihat keadilan iaitu; bermakna memulangkan kepada yang berhak mengikut definasi Islam, mengapa tidak ia diambilpakai.


Malahan terdapat pemimpin yang merasakan perpaduan hanya merupakan isu lama yang hanya menjadi pengganggu kepada isu-isu yang lain. Namun harus diakui bahawa isu perpaduan kaum adalah isu yang kekal sebagai dilemma sekiranya tidak diambil perhatian khusus oleh pemimpin dan ditanggani dengan cara yang bijaksana.

Dilemma perpaduan wujud apabila berlaku pertembungan fahaman politik yang terbawa-bawa daripada ‘narsisisme’ khususnya dalam politik. Di satu pihak ada yang mempertahankan hak dan di satu pihak menuntut hak dan anehnya ia berlaku di peringkat politik dan kepartian dengan begitu rancak. Namun sekiranya hal berkenaan dengan perpaduan dan sekitarnya tidak dijadikan boneka politik, kemungkinan ia tidak timbul. Pihak-pihak misalnya, dengan sikap harus membendung diri daripada cuba mengambil kesempatan atas ruang-ruang yang ada.


Tidak hairanlah satu-satu masa dahulu, timbulnya pandangan-pandangan yang berbaur cauvinis misalnya yang mana mendokongi sesuatu pandangan yang berunsur perkauman memprovokasi keadaan politik dan tentunya mempunyai nawiatu yang tertentu. Dan dalam kemerdekaan separuh abad abad, mengapa tidak kita memepelajari bahawa kemerdekaan juga itu tidak sekadar angka usia merdeka sesebuah negara, tetapi berkaitan juga dengan umur perpaduan yang dipupuk atas rasa tanggungjawab.


Dengan itu kebijaksaan kepimpinan baharu yang lebih berwibawa diperlukan bagi mencerahkan pandangan dan tindakan berkenaan isu perpaduan. Penelitian dan campurtangan orang bijakpandai sangat penting untuk menstabilkan keadaan dan tidak sebetulnya ia terbawa-bawa dalam arus polemik politik yang sudah sedia berbeza-beza pandangan.


Tentang perpaduan, barangkali keperluan untuk melihat nilai-nilai universal diterapkan dan ditakrifkan semula berkenaan perpaduan yang merentas ekonomi, politik, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Kerana perpaduan adalah tulang belakang keharmonian negar majmuk seperti negara kita.


Justeru, perlu sikap positif, neutral dan diplomatik dalam hal masalah seperti perpaduan. Keperluan melihat kepada pengalaman-pengalaman yang terdahulu dan sejarah sebelum menentukan sesebuah keputusan yang mana begitu bergantung kepada semasa, padahal setiap tindakan khususnya dari pemerintah haruslah meneliti setiap sudut sebelum menetapkan sesuatu.


Ini waktunya kepimpinan partai politik melihat keperluan masing-masing dalam menyumbang ransangan-ransangan perpaduan nasional dan mendirikan negara bangsa iaitu mengikut acuan yang mandiri dan dibina dengan rasa persefahaman antara kaum, dan saling menyedari hakikat bahawa keadilan sesama kaum boleh dicapai dengan memahami kebersamaan membina masa depan, dan tidak membangkitkan sentimen demi memudahkan semua perkara yang sebenar untuk kepentingan diri.
.
.

2 comments:

SATIRA + KACAU said...

Sdr: Tidak mengapa. Aku datang secara diam-diam dan akan pergi juga diam-diam. Aku senang membaca tulisanmu yang kurasai juga berbobot.

Jangan risau. Aku datang diam-diam dan pergi juga demikian.

fadzil yusof said...

Sdr. Terima kasih kerana datang. Saya masih perlu belajar banyak perkara. Terima kasih.