Friday, July 11, 2008




Rakyat Dalam Panggung Politik Melayu

Fitnah, drama, jijik, kotor, akuan bersumpah, mahkamah – antara perkataan yang popular di media massa akhir-akhir ini. Tidak dinafikan wujud prejudis dari sebahagian rakyat terhadap kepimpinan Melayu buat masa sekarang. Di tengah-tengah gelodak konflik sebeginilah, rakyat menguji kepintaran dan keberanian masing-masing dengan bercakap (tidak lagi berbisik sesama sendiri lagi) seakan-akan dunia bakal menerima tsunami. Diingatkan di sini awal-awal, kita maksudkan perkataan drama atau plot disebut oleh kedua-dua pihak iaitu pihak Najib dan Anwar, tiada pengecualian.

Sekarang kepimpinan Melayu dari dua arah bertentangan yang sedang bergelut dengan fitnah ini dan rakyat sedang memerhatikan gelagat yang kadang-kadang terasa aneh dan kelakar. Sebab itu ada yang mengeluarkan dialog seakan-akan sinis bunyinya. “Cerita apa pula ini?”.

Belum pernah rasanya rakyat berdepan dengan masalah pertembungan kepimpinan semacam pelik begini. Mungkin ini hybrid atau campuran dari sejarah masa lalu dan sekarang, kontemporari. (Kerana dalam Sejarah Melayu misalnya, siapakah yang bersalah; Hang Tuah atau Hang Jebat yang menderhaka, kerana Hang Jebat mempunyai motif yang positif bila menderhakai Sultan. Persoalan ini telah mengundang banyak tafsiran).

Oleh yang demikian, sejarah selalu mengisyaratkan sesuatu, jika kita rajin, kita mudah bertembung dengan isyarat-isyarat itu. Pada fikiran sebahagian rakyat, politik kita masih juga begitu- tidak menerima sebarang perubahan dan peluang untuk ke hadapan.

Kita masih ingat bahawa politik satu seni memberi janji tetapi tidak semestinya dilakukan. Ini politik Melayu yang diasaskan oleh parti UMNO sekian lama. Tradisi ini sangat kuat dalam UMNO sehinggalah apabila rakyat ingin perubahan, rentak itu belum berubah atau tidak memperbaharui pendekatan.

Politik janji ini tidak sepatutnya diamalkan. Ini harus diperbetulkan pada pihak UMNO. Pimpinan UMNO dan rakan-rakan sudah mengalami kemerosotan nilai (etika, kepercayaan dan kualiti kepimpinan) apakala salah satu parti komponennya SAPP memberikan undi tidak percaya kepada kepimpinan Presiden, timbul kritikan-kritikan dari dalaman dan luaran, pengumuman ‘keluar parti’ oleh Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya, kemerosotan pencapaian PRU 12, isu minyak dan lain-lain lagi. Hakikat yang perlu diakui politik janji sudah lapuk dan sangat memberikan implikasi buruk kepada performance dan respon UMNO.

Maka perubahan politik yang lebih matang dituntut oleh pihak rakyat melalui isyarat keputusan PRU 12 dan bantahan-bantahan rakyat yang di luar lingkaran sedar UMNO harus difahami dan dimengerti dengan sebaiknya. Kalau tidak, tidak mustahil kata-kata UMNO bakal tersembam lemah ke bumi akan menjadi kenyataan.

Rentetan ini sangat berkaitan tetapi mungkin tidak secara eksplisit terhadap drama yang kita tonton akhir-akhir ini. Satu drama yang membuatkan kita kaget, terkejut, pening lalat, resah, tersenyum, ketawa terbelahak, sedih, kecewa dan akhirnya bosan. Kepelbagaian rasa ini sangat ketara tidak kiralah dia seorang rakyat yang kerjanya petani atau dia seorang rakyat yang kerjanya menteri.

Asalnya mungkin berpunca daripada kes Altantuya @ Aminah yang dibunuh secara bukan manusiawi itu mendapat perhatian umum kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan orang berkepentingan. Kita mengakui ini satu kezaliman yang tidak mudah dilupakan. Entah bagaimana ia menjadi satu kejadian yang sangat dahsyat yang dilakukan oleh warganegara Malaysia (barangkali, sebab yang tertuduh adalah orang Melayu) dan ia melibat seorang yang berbangsa Mangolia. Raja Petra menulis dalam blognya rencana bertajuk ‘Let's send the Altantuya murderers to hell’ yang akhirnya mengheretnya ke mahkamah.

Mahkamah pula baru-baru ini sudah menutup perbicaraannya dan ada kemungkinan akan dibuka semula lantaran wujud saksi baru iaitu Bala yang membuat akuan sumpah menyatakan bahawa Najib mempunyai hubungan dengan kes itu dan kemudian menariknya semula.

Drama itu kemudian berkembang dengan baik, apabila Anwar didatangi dakwaan bahawa beliau pernah meliwat seorang pemuda bernama Mohd Saiful dan dibuat aduan kepada polis dan kemudian menjadi babak yang sangat kontroversi sehinggalah babak ini mengundang Anwar membuka hal yang lain iaitu tentang kes persengkongkolan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya bersama bukti daripada penyiasat persendirian, Bala. Anwar menyatakan tuduhan itu bertujuan untuk mengaibkannnya dan menjatuhkan politiknya. Kenyataan ini juga sama seperti yang disebut oleh Najib Tun Razak bila Anwar mensidangmediakan kenyataan terdapat bukti menyatakan hubungan Najib dalam kes Altantunya.

Sehinggalah hari ini (ketika rencana ditulis) kedua-duanya mengatakan pendirian tidak membenarkan tuduhan itu. Dan disebut bahawa ia adalah fitnah terhadap peribadi kedua-dua pemimpin penting itu.

Anwar selaku de facto PKR sangat yakin wujud konspirasi kedua yang bertujuan untuk menjatuhkan maruahnya. Anwar menyatakan dalam satu ucapannya ‘ini bukan tentang Anwar’ kerana beliau mengakui wujud usaha untuk memalsukan tuduhan dan menggunakan jentera-jentera tertentu untuk meruntuhkan kerjaya politiknya. Sebelum ini Anwar mempunyai keyakinan bahawa ‘tidak berapa lama lagi’ beliau akan dapat mengumumkan perubahan wajah politik Malaysia dan parlimen. Kenyataan itu dibuat dengan yakin dan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat diterajuinya akan mengalihtadbir kerajaan yang ada.

Najib selaku TPM yang sudah lama disebut-sebut mempunyai kaitan lansung dengan kes Altantuya @ Aminah. Dan apabila Raja Petra menulisnya dalam blognya, ia makin serius dan Raja Petra dibicarakan. Najib juga menafikan dakwaan-dakwaan terhadapnya. Beliau diminta oleh Pak Lah untuk membuat kenyataan tentang hal itu dan Najib menafikan semua yang dilihat mengaitkannya dengan kes itu.

Kes Mohd Saiful yang dikatakan mempunyai kaitan dengannya juga dinafikan dengan kenyataannya bahawa Mohd Saiful datang bertemu dengannya untuk mengadu hal liwat itu. Dan belumlah kita ketahui hal Mohd Saiful yang tiba-tiba timbul di tengah-tengah gelodak politik semasa.

Antara realitinya, seperti disebut oleh ramai orang tentang Anwar yang sangat ‘garang’ dengan langkahnya dalam politik yang tidak mustahil akan menerima pelbagai masalah. Anwar mempunyai harapan yang besar untuk menjadi PM seperti diwar-warkan. Dan masalah yang timbul apabila Najib yang menjadi calon paling selesa untuk ke kedudukan PM, pemimpin nombor wahid negara segi politik semasa akan berhadapan dengan Anwar buat masa ini.

Najib perlu memenangi hati rakyat dan memperlihatkan kejayaannya dalam segenap isu yang ditangani. Anwar mempunyai kepercayaan daripada barisan PR dan penyokong dan mengharapkan akan melaksanakan tuntutan politik baru yang dibawanya. Keyakinan itu semakin terasa disegenap sudut apabila Anwar ‘lebih terkehadapan’ membincangkan isu-isu semasa seperti isu minyak yang popular dalam politik negara. Anwar seperti dalam banyak ceramahnya menyatakan mempunyai cara yang tersendiri untuk menangani masalah harga minyak yang tinggi itu.



Rakyat pula bukan sahaja melihat ‘judgement’ itu daripada kata-kata pemimpin kerana menjadi hal pemimpin berkata-kata atau membikin janji di mana kebiasaannya sangat mirip kepada kebarangkalian. Barangkali boleh dilaksanakan dan barangkali tidak dapat dilaksanakan. Masalah lain yang juga dilihat dari segi kejujuran kepimpinan Melayu untuk membantu rakyat yang berada di bawah. Adakah ia satu retorik atau janji yang benar?.
Isu menyatakan ‘ingin membantu rakyat’ sangat stereotaip apabila dalam sejarah politik negara, perubahan zaman dan cara politikus berfikir sudah sangat berbeza. Hari ini politik satu medan yang sangat baik bagi mereka yang ingin survival segi individu dan bukan melihat semata-mata motif kesurvivalan rakyat dalam pelbagai isu dan antaranya yang menjadi hangat kembali adalah survival ketuanan Melayu yang sampai bila-bila seakan menjadi sumpahan kepada minda politikus Melayu.
Penyelesaian yang dikatakan pendek dan kontot juga dilihat satu politik ‘melepas batuk ditangga’. Mungkin ini satu kebetulan tetapi jika dilihat ia sudah menjadi satu rempah-ratus dalam politik kepimpinan Melayu. Maka bolehlah dikatakan drama yang baru keluar ini dan sudah disubsidikan bayaran tiketnya itu, membawa kita kepada masalah-masalah dan renungan-renungan ini.



Apakah akhirnya politik Melayu akan terus berada dalam bentuk bersuku-suku, berkebangsaan, berfikiran ortodoks, dependen kepada nasib, ketentuan dan peluang atau sekadar mencari populariti murahan atau pengakhiran yang semu dan membosankan.



Perlu ada minda yang terbuka dan kejujuran yang telus daripada pihak rakyat melihat kepelbagaian warna politik ini. Manakah warna yang paling cantik dan sesuai bukan yang dilihat megah dan berpinar-pinar mata melihatnya tetapi tidak tahan lama malah menyumbang kepada kemunduran bangsa. Soalan penutup di hujung ini berbunyi, drama yang sedang disaksikan itu, untuk siapa sebenarnyanya?.

3 comments:

lotto 649 said...

Yuts, daw palagpat imo blog.

philippine lotto results said...

To the owner of this blog, how far youve come?You were a great blogger.

paycheck loans said...

Can you add some more photos?


paycheck loans