Debat Isu Minyak Dan Kelompongannya
Antara reaksi awal berkaitan dengan Debat Hari Ini Membentuk Kerajaan Esok Turun Harga Minyak didatangkan daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam yang menyatakan kesediaan Ahmad Shabery Cheek berdebat disifatkannya menjerut leher sendiri. Ia agak kontradik pula dengan pandangan Khairi Jamaluddin menantu PM yang menyatakan bahawa debat itu perlu sebagai medium untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang masalah sebenar yang berlaku.
Beberapa hari sebelum debat berlansung, pihak media bertanya respon Perdana Menteri, Pak Lah tentang debat itu, katanya Ahmad Shabery Cheek tentu dapat menjalankan tugasnya kerana beliau seorang pemidato yang baik. Jawapan itu tentulah perlu ada ‘optimistik’nya selain tanda sokongan moral.
Pada 15 Julai lalu, terbukti debat seperti yang diwar-warkan diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka dengan dipengerusikan oleh Dato’ Johan Jaafar walau tidak disiarkan di RTM seperti disebut-sebut di awal khabarnya. Anwar Ibrahim sebelum itu ada menyatakan bahawa beliau bersedia berdebat tersebut pada peringkat dengan PM atau TPM, tetapi kemudian apabila Ahmad Shabery Cheek menawarkan diri, ia dibalas positif oleh Anwar.
Dan lebih touching dan penting adalah kenyataan Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan dirinya sanggup mempertaruhkan jawatannya jika sekiranya tidak dapat menjalankan tugasnya sebaiknya. ‘Pertaruhan’nya itu boleh dilihat daripada dua aspek iaitu kepentingan politik dan juag kepentingan negara. Tentulah tidak mudah seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kabinet mudah untuk membuat pertaruahan seperti ini.
Apabila debat berlansung selama lebih kurang 50 minit itu, ia menampakkan kepada rakyat beberapa aspek ketrampilan dan kewajaran seorang pemimpin yang berhadapan dengan tanggungjawab yang digalasnya. Cuma, yang lebih jelas dan pasti adakah sebegitu imej dan kewajaran seorang pemimpin politik atau pemimpin negara yang dilantik pemerintah ?.
Berdebat dengan Anwar memang satu pengorbanan besar seorang menteri, kerana setakat ini belum ada yang ‘berusaha’ seperti Ahmad Shabery Cheek untuk berdebat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Kalaupun berlaku, ia hanya di luar gelanggang.
Jika dilihat beberapa pandangan dan sorotan umum penulis sepanjang debat, kita boleh menyaksikan dan menilai kerasionalan seorang pemimpin dan kejujurannya untuk menjadi suara kepada satu-satu pihak. Ahmad Shabery Cheek adalah suara dari pihak kerajaan yang berniat (seakan keputusan individu) untuk menerangkan situasi sebenar yang berlaku berkaitan dengan harga minyak yang naik mendadak baru-baru ini. Mungkinlah disebabkan jawatan Menteri Penerangan dipegang olehnya, Ahmad Shabery Cheek bersedia dengan yakin untuk berdebat dengan Anwar. Justeru itu, media melaporkan pandangan Ahmad Shabery Cheek sebelum berdebat, seperti disebutnya sendri beliau amat bersedia dan optimistik dengan perdebatan itu.
Malam debat minyak yang berjalan dengan kondusif itu, telah mempertemukan dua suara dari arah bertentangan iaitu dari pihak kerajaan dan pihak pihak PR. Ironisnya, acara ini mungkin sukar berlaku dalam suasana politik negara yang sedang ‘panas’. Mungkinlah disebabkan Anwar yang selalu menyebut ‘hari ini memerintah, esok turun harga minyak’ maka ia tidak boleh dianggap suatu omongan. Rakyat ‘wajib’ mengetahui dan diberitahu oleh pemerintah.
Pendapat penulis, sepanjang debat tumpuan diberikan lebih kepada Anwar Ibrahim dan sosok dirinya sahaja. Mungkin boleh dikatakan di pihak kerajaan iaitu Shabery Cheek melihat Anwar tidak mewakili PR dalam debat itu. Maka cerita ‘Anwar’ menjadi rencah kepada hujah Shabery Cheek.
Mungkin ini kesilapan pertama bagi Menteri Penerangan itu kerana segi rasionalnya, Anwar harus dilihat individu yang bersama dengan pendukung-pendukung PR tentu mempunyai kesepakatan yang jelas antara mereka dalam banyak hal. Apabila Anwar berbicara di pihaknya, sebetulnya beliau berbicara dari pihak rakyat dan PR. Maka, soal Anwar bukanlah rencah yang sesuai disentuh pada momen itu.
Kenyataan asas ini yang gagal dibaca oleh Menteri Penerangan dalam debat yang menyebabkan dirinya terbawa-bawa dalam isu ‘Anwar’ tetapi bukan isu nasional dan isu rakyat. Rakyat mahu melihat kebenaran daripada dua pihak yang disatukan dalam pentas untuk berhujah. Kelemahan memahami antara ‘Anwar’ dan PR misalannya telah mengubah objektif awal debat ini dan hujah-hujah dalam debat seterusnya.
Kedua, pandangan umum penulis berkaitan dengan debat ini, Ahmad Shabery Cheek kurang persediaan berkaitan dengan fakta-fakta berkaitan dengan isu pokok, bahan literatur ekonomi untuk menjelaskan hal yang dikaitkan dengan kenaikan minyak, statistik misalnya dan sebagainya tidak terlalu dibentangkan.
Ketiga, tidak mengikuti perkembangan lawan secara dekat. Anwar mempunyai banyak pandangan, idea dan gagasan yang dilontarkan kepada rakyat dalam banyak isu. Apabila minyak mengalami kenaikan harga, Anwar memberikan beberapa pandangan dalam isu yang berkaitan. Malangnya, sebagai pihak atau wakil pemerintah yang menyetujui ‘jalan yang satu’ bagi penyelesaian yang dipilih telah memancing modal kepada lawan untuk menghujah ke atas kelemahan pendekatan yang digunakan kerajaan masa ini bagi menanggani isu. Anwar mempersoalkan angka KDNK beberapa negara yang disebut oleh Sabri berkaitan dengan isu negara yang tidak memberi subsidi misalnya.
Keempat, memperlihatkan kurangnya perhatian terhadap ilmu Adab Ikhtilaf (Disiplin Berbeza Pendapat) yang sebetulnya tidak terhad kepada ilmu agama seperti Fiqh malah juga untuk pelbagai cabang medan ilmu dan praktikalnya. Dapat dilihat dengan ketara kedangkalan Ilmu Ikhtilaf ini pada hujah yang diberikan Shabery Cheek yang membawanya kepada kritikan individu. Ia lebih mudah lagi dilihat dengan kelonggaran beliau adab menghujah peribadi daripada isu pokok debat yang ditetapkan.
Kelima, lebihan retorik yang terdesak. Masalah retorik memang akan ada dalam politik tambahan lagi apabila seorang politikus mendapat jalan untuk berbuat sedemikian. Dapat dilihat bagaimana retorik itu melebihi daripada pandangan atau fakta yang harus diketengahkan tentang kerasionalan kerajaan bertindak terhadap isu kenaikan harga minyak.
Keenam, platform debat tiba-tiba dijadikan kepada platform politicking dan mempolitikkan isu bersifat luaran @ sampingan bukan menerangkan isu pokok. Kelemahan peribadi ini ditunjukkan Sabri bukan secara tidak sengaja lagi. Ini antara yang dikesali dalam ruang demokrasi politik negara kita.
Ketujuh, membangkitkan sentimen dan serangan peribadi berbanding membincangkan mauduk utama dalam debat. Ini semacam ‘pelarian’ daripada mauduk asal dan ia tidak membina dalam debat yang sihat. Kebiasaannya seorang pendebat, harus mengikuti pendekatan debat dengan waspada dan tidak memperlihatkan ketidakmatangan.
Kelapan, tidak menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik. Jika disoroti jawapan-jawapan daripada Menteri Penerangan itu, didapati jawapan itu tidak dijawab keseluruhannya dan mengaitkan hal-hal lain bagi mengalihkan soalan yang dikemukakan.
Kelapan, mempertontonkan minda kelas kedua dalam perdebatan isu nasional dan tidak memperlihatkan keupayaan membincangkan isu dan membawa isu pokok kepada politik emosi, menunding jadi dan ‘lepas diri’. Budaya politik menuding jari sememangnya budaya politik yang sangat mashyur dalam politik bangsa kita.
Jika dibandingkan dengan gaya perdebatan Anwar, Shabery Cheek rupa-rupa ketinggalan bagi segi. Keyakinan diri Shabery Cheek dipadamkan oleh Anwar dengan fakta-fakta dan logika yang dibincangkan Anwar. Antara beberapa pandangan dan hujah yang diberikan, tidak disangka oleh pihak kerajaan iaitu yang mewakili kerajaan iaitu Shabery Cheek.
Dalam mengemukakan fakta dan pandangan, dari pihak Anwar berjaya dalam menyatakan pandangannya yang munasabah. Rakyat tentu menunggu-nunggu pandangan yang terbuka ini dinyatakan untuk didengari secara umum supaya dapat dinilai. Tentu Anwar menggunakan platform in dengan sebaiknya menyatakan pandangannya (lebih dinyatakan dengan istilah khusus kebijakan ekonomi) tentang skima yang digunakan bagi menurunkan harga minyak negara.
Selepas kenaikan minyak yang mendadak, kerajaan yang melihat isu harus tidak dipolitikkan kerana bertujuan untuk mengseimbangkan ekonomi negara dan pembangunan. Tetapi beberapa kali hujah kerajaan agak polos memandangkan angka-angka dan insentif yang dinyatakan hanya untuk ‘sementara’ sebelum menemui kepada krisis yang sebenarnya.
Masalah yang jelas juga, tentang permainan angka pembendungan kenaikan inflasi yang dikatakan dapat ditanggani hari ini dilihat kurang relevan memandangkan angka inflasi telah meningkat. Juga dilihat dari pelbagai segi seperti dinyatakan dalam hujah Anwar bahawa negara sebetulnya mengambil langkah yang tidak berhemah apabila mengurangkan subsidi bagi mengelak daripada masalah ketidakstabilan ekonomi.
Ahmad Shabery Cheek pula melihat dari segi kaca mata global tetapi terlalu umum untuk dijadikan kerangka penilaian bagi masalah yang dihadapi negara. Di sinilah beberapa hujah dari wakil kerajaan memperlihatkan ketempangan lantaran premis yang diutarakan ternyatakan tidak tepat dan menyeluruh. Hujah Anwar lebih dominan dan dipercayai mempunyai fundenmentalnya yang agak kukuh.
Tidak hairanlah dalam sesi terakhir iaitu sesi penggulungan Anwar (point yang terakhir ) menyatakan bahawa beliau tidak mahu menjawab serangan peribadi yang dinyatakan Shabery Cheek terhadapnya lantaran bukan ruang yang sesuai. Dan ingatan Anwar yang terpenting bahawa beliau bakal bertanding dalam masa terdekat ini.
Bagaimana dengan kedudukan Menteri Penerangan selepas ini ?. Mengikut pembacaan logik politik, tentulah Ahmad Shabery Cheek tidak dipersalahkan seratus-peratus. (Dengan maksud; sekurang-kurangnya beliau berani mencuba dan tidak patut untuk ‘dihilangkan’ jawatannya). Tetapi yang nyata kelemahan hujah yang diberikan Shabery Cheek ternyata berceratak lompong-lompongnya. Mungkin kita sedikit tersenyum sendiri dengan Menteri Penerangan negara kita ini.