Monday, May 26, 2008

filem dokumentari fahmi reza

sepuluh tahun sebelum merdeka

1

2

3



4
yang akhir
sila, tonton di youtube



status: entah tersiar atau tidak

Kembali Menakrif Filem Tempatan

Masalah identiti antara subjek yang dibicarakan dalam lingkungan wacana kolonialisme. Identiti sesuatu bangsa boleh diubah dari pandangan ‘lain’ atau luar. Pembentukan identiti dan imej dari luar ini dijana oleh pemikiran orientalis Barat yang sekarang tidak lagi diusahakan oleh orientalis sahaja tetapi luar daripada golongan orientalis juga misalnya pemikiran politik dari satu bangsa atau ideologi boleh mempengaruhi sesuatu identiti bangsa yang dijajah. Meskipun era penjajahan telahpun berlalu menghampiri seabad, tetapi ia sentiasa bermain dalam pemikiran moden lantaran masih kelihatan kesan-kesan penjajahan malahan lanjutan daripada sejarah penjajahan itu sendiri. Justeru masih ada yang mengatakan relevannya neo-imprealisme atau neo kolonialisme itu dalam era teknologi bermaklumat secara tidak sedar.

Sementara globalisasi tidak mudah dilupakan hubungannya secara tidak lansung ataupun lansung dengan wacana kolonialisme. Malangnya sebahagian daripada masyarakat yang menerima kemajuan tidak menyedari persoalan penjajahan yang berlaku dalam bentuk baharu diisyaratkan dalam pelbagai medium. Disebabkan ada bertanggapan persoalan kolonialisme hanya berlaku dalam bentuk jasadiah atau fizikal seperti yang berlaku pada abad 15 hingga ke abad 19.

Juga terdapat individu yang terlupa bahawa kemerdekaan yang dicapai sesuatu bangsa sebenarnya takdir dan tidak perlu diingati pengalaman-pengalaman lalu itu yang telah. Generasi baharu barangkali terlupa dengan sejarah penjajahan dan rentetan mendapat kemerdekaan yang diusahakan dengan susah payah. Justeru kita perlu kembali menelusuri jejak-jejak penjajahan ini dan sejarah mencapai kemerdekaan untuk mendirikan sahsiah bangsa yang luhur dan wibawa.

Dalam konteks filem tempatan, penjajahan baharu ini mungkin tidak disedari secara jelas dan kadang-kala tidakpun kelihatan kesan neo-kolonialisme ke atasnya. Hakikatnya ia memang tidak kelihatan dan terpapar dalam layar perak kita. Tetapi salah satu elemen yang memungkin sebuah filem dihasilkan adalah berkaitan identiti yang menjadi blue print kepada mana-mana karya seperti filem, muzik atau sastera.

Disebabkan sebuah filem adalah kerja yang ditangani manusia dari satu-satu golongan, dan selagi mana filem itu bercerita tentang masyarakat, wacana identiti tidak akan sepi dari dibicarakan. Kerana filem tidak mungkin berdiri dengan campur-baur dari pelbagai atau berbilang identity. Sekiranya ia berlaku ia tidak lagi dikaitkan atau dinisbahkan dengan mana-mana golongan atau bangsa atau masyarakat.

Dalam konteks filem tempatan dapat dilihat antara sebab terhasilnya karya seperti yang dapat dilihat hari ini di pawagam maupun di kaca televisyen adalah wujudnya faktor ketidakjelasan dan kejernihan identititnya dalam pengungkapan dari sesebuah karya khususnya filem tempatan. Seolah-oleh filem atau drama yang dihasilkan adalah filem yang tiada empunya cerita. Ketiadaan atau kekaburan ‘empunya cerita’ ini dapat dijelaskan bukan dari konteks nama pengarah atau butir-butir latar belakangnya tetapi dari segi inti dan idea dalaman yang menggerakkan filem itu kepada satu titik yang menjalinkan kefahaman antara karyawan dan penonton. Meskipun ia sesuatu yang bersifat implisit seperti nilai dan pemikiran yang mendukung semangat sesebuah karya namun memainkan peranan yang penting dalam memberi gambaran jelas terhadap khalayak. Dan sememangnya identiti yang jelas dipunyai hanya pembikin filem atau karyawan yang jelas perjuangannya dalam membuat filem atau drama.

Justeru, sesuatu yang hendak dipaparkan adalah refleksi daripada cermin identiti itu. Identiti itulah yang menakrifkan nilai, pemikiran dan mengukur sikap dalam menghasilkan karya. Maka jika ia tidak jelas dan longgar identitinya maka ia membuka kepada pelbagai unsur yang bebas yang barangkali berlepas daripada sesuatu nilai atau etika. Sememangnya bentuk filem bebas identiti ini wujud di Barat, karyawan Barat yang tidak terikat dengan mana-mana pegangan dapat kita lihat keliberalan sesebuah karya dan falsafahnya. Tidak terkejutlah jika kita menonton filem Barat yang tidak menghantar mesej, pemikiran dan nilai tetapi semata-mata mengangkat estetika sebagai landasan berkarya. Sebaliknya, filem tempatan tempatan tentu tidak seperi itu kerana kita yakin pembikin filem kita ‘masih utuh’ pegangan dan kepercayaan mereka kepada nilai ketimuran. Cuma persoalannya, mengapa tiada filem yang mempunyai nilai jatidiri dan mandiri yang lebih beriwibawa. Dan mengapa banyak filem tempatan yang ‘mengikut’ rentak luar yang berbeza pandangan hidup dan bermusim-musim kecenderungan.

Oleh itu kita mendapati ada segolongan pembikin filem atau drama tempatan yang menghasilkan filem-filem ala-Hollywood atau Bollywood atau boleh dikatakan filem itu ala filem seram Thailand dan mana-mana jenama yang dirasakan semunasabah mungkin. Maka rupa filem kita atau wajah filem kita rupanya telah berubah dan tidak menepati sifat dan acuannya yang tersendiri. Kita terlupa dengan penjajahan masa lalu terhadap kita tidak saja segi budaya malahan produk budaya yang antaranya kita selalu sebut iaitu filem dan drama. Adakah sampai waktunya kita perlu alasan ‘ketandusan idea’ atau terdesak untuk menutup kelemahan diri.
Sebagai seorang daripada khalayak penonton, saya dapat merasai kejanggalan ini. Mungkin tidaklah filem tempatan sampai kepada kebejatan atau kebobrokannya yang di tahap tinggi tetapi adanya kecenderungan ke arah bentuk seperti itu boleh membawa kepada suasana yang kritikal di masa mendatang. Filem yang tiada empunya diri atau kabur identitinya tidak patut diterima sebagai filem yang bermaruah dan berbudaya. Ia kerana tidak mewakili mana-mana pemikiran, budaya dan gagasan kemanusiaan. Selain tidak bangga dengan budaya dan pemikiran nilai bangsa kita melihat filem dan drama tempatan seolah-olah dihasilkan macam kerja yang dilakukan di atas jalan tanpa mempunyai tujuan atau matlamat yang jelas. Kurang penelitian segi sejarah, budaya dan pemikiran. Ia semata-mata memenuhi kepentingan industri dan tidak lebih daripada itu.

Kerana seolah-olah kawalan oleh golongan-golongan tertentu yang memanipulasi kebanyakkan ‘tempat’ orang-orang membikin filem maka banyak filem yang 'diiklankan' untuk menarik penonton kepada filem-filem 'popular' sahaja. Kemungkinan lain, kurangnya orang-orang (karyawan-karyawan) yang boleh membaca sejarah, kebudayaan, pemikiran dan sebagainya dan menterjemahkannya dalam karya. Natijah yang dapat kita lihat hari ini adalah ketiadaan ‘bentuk’ dan rupa identiti yang sepatutnya dipaparkan. Jika ada unsur budaya dan sejarah itupun disodorkan hanya beberapa perkara yang hanya menampakkan artifisialnya budaya itu. Sebagai pemerhati filem, masih terdapat sikap mengambil jalan mudah untuk menghasilkan filem. Maka tidak payah untuk kita lihat ikon-ikon media sensasi menjadi pelakon dalam filem. Di sini antara beberapa sikap ambil mudah dalam menghasilkan filem dan hanya mengerti perkataan untung.

Kita dapat melihat senario kurangnya penekanan kepada identiti filem atau drama menyebabkan filem atau drama tempatan dilihat begitu dingin dan kaku. Maka adalah wajar untuk pihak-pihak tertentu melihat semula dan menilai ciri-ciri filem tempatan yang baik. Dan memikirkan bagaimana karyawan di masa hadapan dapat menghasilkan ‘come back’ kepada filem-filem dahulu yang lebih indah dan realistik.
Jika hari ini filem tempatan dihasilkan dengan alasan komersial perlu ada pihak yang membetulkan keadaan di mana filem adalah elemen yang mewakili produk bangsa, masyarakat dan nilai serta tidak seperti difahami sebagai komoditi memungut untung per se. Harus dibetulkan ada filem-filem di luar sana dihasilkan oleh orang-orang yang mempunyai ilmu membikin filem dan mereka mempunyai wawasan untuk mengangkat ideologi dan nilai dari satu-satu bangsa. Malangnya karyawan filem kita telah hilang empunya diri dan identity diri, maka filem-filem yang ditanganinya tidak menyeluruh segi aspek nilai, kemanusiaan, emosi dan pemikiran.

Mengapa tidak filem dan drama tempatan kembali kepada persoalan akar yang berkaiatan tentang identiti da imej. Selama mungkin banyak momokan tentang imej yang sebenar terhadap kita maka mengapa tidak dimulakan untuk mewujudkan hasil filem atau drama yang lebih baik. Filem dan drama yang hanya mengambil hipotesis tentang sesuatu masyarakat (sesuatu sudut sosial) tidak kuat untuk mengangkat sesebuah karya. Sebaliknya karya yang kuat adalah karya yang dihasilkan dari inti indentiti bangsa yang asli.

Contohnya, filem Days Of Glory yang diarahkan Rachid Bouchareb menceritakan tentang tentera Arab Algeria-Maghribi yang berkhidmat dengan kerajaan koloni Perancis untuk melawan kuasa Nazi Jerman yang ketika menjadi musuh kepada Perancis dan sekutunya. Filem epik ini cuba mengetengahkan sejarah bagaimana identiti diri itu menjadi satu bukti kepada sesuatu bangsa untuk tidak rasa diperhambakan kepada bangsa lain. Bagaimana tentera Arab ini tetap menuntut untuk tidak tunduk dalam setiap telunjuk kuasa koloni Perancis meskipun kuasa besar itu yang memberikan peluang untuk sama-sama berjuang atas nama kesamarataan dan pembebasan bagi Perancis kononnya. Tentera Arab Algeria-Maghribi yang sanggup menyertai peperangan semata-mata untuk membebaskan bumi Perancis daripada kuasa Nazi walaupun tidak pernah melihat Perancis itu menjadi rakaman sejarah yang tidak akan dilupakan. Meskipun kemudian berlaku kemudiannya juga ketidakadilan dan ketidaksamarataan segi layanan kepada tentera-tentera dari negeri dijajah yang telah berkhidmat untuk motherland Perancis.
Filem yang menyertai rasminya Festival Cannes dan dicalonkan untuk Academy Award pada 2007 tidak menunjukkan filem yang mengangkat identiti dan harga diri bangsa itu bukan sesuatu yang tempelan atau mudah dikesampingkan tetapi dianggap suatu hasil kerja yang bertanggungjawab dan penting. Maka, identiti dan rasa berbudaya mampu mengukuhkan keyakinan diri karyawan untuk menghasilkan karja yang berkualiti. Hasil kerja asli sahaja mempunyai aura yang menyerlah dan kuat daya tarikannya. Selain, cuma menambah khazanah seni bangsa yang seakan makin kurang dititikberat pada masa ini.

Justeru, menggali kal budi bangsa dan mengangkat semula suara kemanusiaan dalam filem-filem dan drama tempatan bukan kerja mudah. Ia suatu homework yang berterusan dan melalui banyak kesabaran untuk melaksanakannya. Kita perlu meninggalkan bentuk filem yang beracuan filem-filem aksi, komedi, romantik dan lain-lain genre yang ditentukan pattern dan gaya garapannya oleh Barat. Karyawan perlu mengemaskan semula pengenalan dan sejarah diri. Perlu mencari cermin identity yang sebenar dan sedia menolak cerminan atau imej yang dimomokkan Barat dengan meninggalkan bentuk pemikiran atau kerangka fikir dalam menghasilkan filem.
Karyawan perlu menambah baik drama-drama tempatan supaya tidak terlalu dilambakkan dengan kisah-kisah cinta yang stereotaip. Dan cuba menangani masalah klise dalam tema dan subjek yang selama ini dilakukan dalam drama tempatan. Selain menguji idea-idea yang berani tetapi menepati nilai dan pemikiran Timur untuk menghasilkan karya yang asli dan realistik.

Karyawan kita harus belajar menemui bentuk baharu dalam menghasilkan filem tetapi. Mencari kelainan dan keunikkan mampu dilakukan sekiranya karyawan sedia mengemas cermin identiti yang berdebu dengan macam-macam penjajahan. Sekiranya kita masih mengikut jejak langkah Barat dan cara pembikin filem yang tidak sesuai dengan peribadi bangsa dan agama kita, maka kita mudah menghasilkan filem atau drama yang sebenarnya tidak sesuai untuk penonton kita. Dan usaha ke arah msa depan filem yang cerah mungkin makin sukar dicapai.

Filem harus dikembalikan kepada identitinya iaitu identiti bangsa, masyarakat dan nilai pemikiran yang munasabah dan tidak hanyut dalam neo-kolonisme yang menarik kita ke dalam arus adunan mereka yang sama sekali bertentangan. Dana kita perlu mewujudkan banyak persefahaman dan dialog dengan karyawan-karyawan negara-negara Timur dan cuba mengembalikan diri kepada akar bangsa dan masyarakat demi menyumbangkan sesuatu yang lebih bermakna kepada wajah filem tempatan.

Sunday, May 04, 2008



Bahasa Pengharapan

Berikanku kecintaan dari bejana padang pasir
mendatangkan dingin hingga Timur dan Barat
menghilangkan kehausan akar pohon agam
meniup nyawa tumbuhan bumi pagan.

Keselesaan dari air mawar cinta-Nya
mengalir bak kasturi syurga yang kamu tunggu-
tunggu selama ini
mengubati kasih rindu syahdu seorang pencari.

Hingga bangunnya ruh dari dalam bumi merahmati
Hutan gelap diterangi cahaya bangun memberi
ucap 'salam sejahtera'
Hingga laut melayar kapal dengan tenangnya
Hingga tiap butir permata gemerlapan dengan kalimah.

Bangkit aku dari alpa ruang gelap dirimu
air wudu'mu membasahkan zat rohaniku
Menelusuri denai cahaya ke rumah abadi
Membaca semula bahasa dan puisi murni
melihat apa yang tertanam di sekitar rahsia dirimu.

Kembali dalam pakaian baharu di hari ceria
berjanji dalam satu pertemuan antara kita
semua yang selama ini bertebaran mencari ikhlas yang samar
rupa-rupanya tanpa berbisik atau bertanya khabar.

Jangan nanti kita kehilangan peta dan kandil
menuju ke rumah abadi yang kian hampir
perjalanannya tidak terlalu payah
dari daerah yang kita diami ini.

Bacalah untuk perjalanan
dengan penuh berkat dan harapan.

Friday, May 02, 2008


kucedok ramuan petang ini

kucedok ramuan petang ini
esok hari bercuti dan istirehat
legalah urat yang meregang panjang
menentukan hasilnya milik siapa

soal habuan sudah ku lupakan
seperti abu yang baru diterbangkan
angin petang menyusun rentak beza
menangkis hujung dari peribadi penyegan

kucedok ramuan petang ini
tanpa memperlahankan renungan
menjalar ke atas batasan
luar padang yang berlalang panjang

kuhembus abu hari hari yang menyepi
di sisi pertemuan peribadi
mencari hujah ke hadapan
alasan untuk melepaskan tanggungan
waktu sekarang.

meminta

meminta yang lebih berhasil
bukan beban tugas atau jawatan
tidak lebih dari satu perlindungan
letih mengangkut dosa
orang kita tidak kenal

dan aku menjauhi mereka
yang memberi sesuatu sesuka hati
menakluki mimpi dari ribuan mimpi resah rakyat

mereka baru belajar mengenal mimpi
yang bergelut kesulitan
mengongkong manusia
bebas melepas ikatan
jujur diri

meminta yang lebih memada
bukan mencari sesuatu yang memaksa
luar mulut sendiri.