Saturday, January 12, 2008



Menilai Buku Kulit Dan Isi

Ada yang berkata jangan menilai buku daripada kulitnya tapi daripada isi dalamnya. Ayat ini sendiri mempunyai pelbagai makna, tafsiran dan fungsi. Ia samalah dengan ungkapan atau kata-kata hikmah yang tidak memberikan satu maksud dan fungsi yang mujarad. Lantaran individu boleh meletakkan kewajaran makna mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan khalayak.

Setiap pembaca mempunyai citarasa yang tersendiri terhadap buku dan bahan bacaan memandangkan setiap daripadanya mempunyai kehendak dan matlamat di sebalik membaca sebuah buku. Selalunya terdapat pembaca yang melihat kulit buku berbanding isinya dan begitu jua ada yang lansung tidak mengendahkan kulit buku hanya mahukan atau menilai isi buku. Walaupun sukar untuk melihat kedua-dua golongan ini namun setiap peribadi mempunyai pandangan dan sebab masing-masing terhadap perkara ini.
Mungkin beberapa makna yang boleh disarankan melalui ungkapan tadi ;

- Isi dalaman lebih penting daripada luaran.
- Luaran tidak mengambarkan keseluruhan bahagian atau tentang buku.
- Kulit hanya perhiasan manakala dalamnya yang terdapat wawasan dan buah fikiran pengarang.

Apapun makna-makna tadi bersifat subjektif kerana setiap individu berhak memilih dan memberikan penilaian terhadap sesuatu bahan bacaan. Pemilihan antara kulit buku atau isinya tetap berdasarkan alasan individu pembaca.

Hari ini kulit sebuah buku secara umumnya merupakan satu daripada elemen penarik buku. Buku sentiasa dinilai dan diberikan tanggapan melalui kualiti berdasarkan cara buku tersebut dicetak dan dihasilkan. Terkadang pembeli senang terpedaya dengan kulit sebuah buku yang cantik namun mempunyai isi yang lama berulang dan tidak diperlukan lagi. Di sinilah terletakkannya kebijaksaan pembeli buku memilih bahan yang bersesuaian dengan kecenderungan dan keperluan.

Nilai komersial hari ini meletakkan harga pada peranan sebuah buku meskipun secara tradisinya sebuah buku lansung tidak pernah dinilai melalui kulitnya. Jika kita kembali kepada zaman yang silam yang mana buku dijual tidak mempunyai kulitnya yang cantik dan menarik. Zaman berubah dengan membawa beberapa pembaharuan yang dipaksakan demi persaingan yang lebih mencabar. Buku tidak terkecuali daripada proses perubahan ini.

Syarikat-syarkat yang menerbitkan buku mempunyai pertimbangan dan kaedah tersendiri bagi menghiasi kulit buku yang dicetak. Sebahagiannya begitu mementingkan aspek ilustrasi dan visual pada wajah buku dan ada juga sebahagian penerbit menghiasi sebuah buku dengan bersahaja dan tidak mempunyai ilustrasi yang menarik perhatian pembaca.

Mungkin ada pelbagai perspektif tentang ini namun jika kita lihat beberapa situasi berikut, sekiranya seorang pembaca yang amat tertarik pada visual, maka tarikan terawalnya adalah kepada corak, perhiasan dan ilustrasi sebuah buku. Kemungkinan ia mendorong individu itu berminat untuk membaca sebuah buku walaupun pada hakikatnya sebuah itu dibaca bukan untuk dilihat dan dijadikan perhiasan bagi si pembaca.
Manakala sesetengah orang memerlukan kepuasan dari segi pandangan atau penglihatan. Maksudnya daripada apa yang dilihat dan daripada apa yang dia tertarik. Pembaca tertarik pada gambar, tulisan dan lakaran yang cantik pada kulit sebuah buku mengikut kesesuaian dan citarasa. Kemungkinan golongan pembaca yang memilih kulit buku sebelum inti buku ini wujud.

Namun peranan kulit buku hanyalah sebagai bahagian yang memperkenalkan secara umum tentang buku. Perkara-perkara penting dicatatkan sebagai contoh judul, nama pengarang, penerbit dan tahun diterbitkan. Selain daripada maklumat pernting berikut adalah perhiasan dan hari kulit buku diindahkan dengan pelbagai visual dan ilustrasi yang menarik sehingga kulit sebuah buku sememangnya salah satu daripada seni yang mampu memberi kesan kepada pembaca dan pembeli.

Bagi seorang peminat buku, isi dalaman dan intipati yang ditulis adalah bahagian yang terpenting. Buku dapat dinikmati dengan membaca tulisan dan intipati pengarang dan terus mengajak pembaca berkomunikasi secara tidak lansung dengan pengarang. Kulit buku mungkin penting tapi yang lebih bermakna lagi adalah isi dalamannya. Penilaian sebenar adalah pada isi buku dan bukan bahagian yang lain.

Terdapat beberapa isu juga yang mana berkaitan dengan kulit buku yang cantik dan menarik namun tidak menggambarkan baik segi isi dalamannya. Dari segi lama atau baru sebuah buku yang dijual juga hal lain tapi saling berkaitan. Maka ada sesetengah peminat buku mencari buku yang telah lama diterbitkan, namun isi dan tulisannya masih segar dan bermanafaat. Terdapat juga buku yang cetak baru namun mempunyai isi yang lama dan tidak banyak membantu pembacaan.

Perkara ini mungkin terkecuali untuk pengarang-pengarang yang telah menempa nama dalam penulisan seperti karya-karya yang telah bestseller, karya pemenang anugerah dan buku-buku santai yang diminati oleh peminat-peminatnya.

Walaubagaimanapun pelbagai tip-tip boleh dikongsikan sesama teman pembaca atau teman sehobi berkaitan dengan cara menilai sebuah buku. Tapi yang nyata adalah setiap buku memiliki satu tarikan dengan sendirinya, bergantung kepada buku dan jenisnya yang ditentukan untuk golongan khalayak pembaca.

Penulis mempunyai keyakinan setiap pembaca mempunyai cara yang sendiri melihat buku dan menerimanya sebagai bahan bacaan yang bermanafaat dengan tanggapan sendiri. Namun sekiranya hobi individu itu adalah membaca dan mengumpul buku dengan wang saku sendiri, banyak pertimbangan dan cara memilih buku bukan saja melihat kulit yang cantik tetapi melihat dari segi isi dan pengarangnya. kriteria-kriteria ini lazimnya didapati apabila sebuah buku dibelek, dibuka dan dibaca blurbnya.

Seperti yang disebut oleh Datuk A. Samad Said tentang memilih buku yang mana tidak semua buku baik untuk dibaca walaupun banyak buku yang perlu dibaca. Waktu yang singkat perlu dimanafaatkan untuk memilih dengan bijaksana untuk membaca bahan yang sesuai begitu juga dengan membeli bahan bacaan yang memberikan kepuasan sebagai seorang pembaca.

Bahan bacaan tertentu menjadi pilihan yang sesuai untuk semua peringkat usia tetapi masih jadi tanda tanya bagaimana dengan kecenderungan masyarakat kita terhadap pembacaan buku-buku yang baik dan memberikan perkembangan minda. Bagaimana buku yang dikatakan baik dan yang manakah buku yang tidak membina minda?.

Buku yang bagaimana disarankan oleh pembaca untuk dibeli selain daripada buku-buku ‘wajib’ dibeli berdasarkan keperluan?. Soalan ini mampu dijawab oleh mereka yang mempunyai minat yang mendalam dalam pembacaan buku. Namun ia juga boleh dijawab dengan rasional sesiapa sahaja yang mempunyai kecenderungan terhadap bahan bacaan tertentu, soalan ini diiringi soalan lain, sama ada memilih sebuah buku harus pada kulit ataupun isinya?. Tampak macama suatu yang subjektif dan setiap pembaca mempunyai citarasa tersendiri menentukan sesuatu yang hendak dibacanya.

No comments: