Monday, May 14, 2007

kurasakan

kurasakan huruf-huruf itu kian berat
seperti awan mendung bertebar
menunggu musim panas panjang
akan diakhiri dengan dingin sehari
menyiram aspal yang berdebu
bunga yang kian menguning
padang lalang yang terlalu kering

kurasakan demamku akan mengembalikan matangku
setiap tanda rasional mesti digugurkan
atas kertas untuk dibaca
mesti ia dibaca dan direnung

apa yang diperolehi hari ini
mungkin wajah diri sendiri
berputar dengan roda makna
semakin laju mengambil rentaknya
memperbaharui jalan yang ditempuhi nanti

huruf-huruf itu kian persih
akan aku kian gemar untuk mengasah hujung pensel
membetulkannya, melakar yang unik
agaknya nanti huruf-huruf itu mungkin akan
berkata-kata dengan sendirinya

malah ia telah berbisik denganku
penuh perihatin dan jujur
terbuka pengalaman baharu dalam hidup
dan aku terus tekun mengasah pensel dan mencari
kertas kosong untuk berdialog dengan bukan diriku

kerana dalamnya adalah dia
dalamnya ada saya, ada aku
dan ada dirimu
apa yang perlu kutakuti lagi
kerana ia akan meluaskan makna
selepas makna sudah pandai berbicara.

No comments: