Thursday, November 20, 2008

Bahasa Politik Ketuanan Melayu

(siaran Mingguan Wasilah 23-29 Nov 08)

Kegelisahan tentang status dan survival Bahasa Melayu agak terpinggir seperti diperkatakan sekelompok pihak. Bahasa Melayu itu bahasa utama namun digambarkan sesetengah pihak seperti ‘melukut di tepi gantang’ ketika ini. Tandanya apabila wujud tindakan untuk meletakkan bahasa lain selain Bahasa Melayu di papan tanda. Ia mendapat reaksi yang sangat mengejutkan. Kenyataan itu pada hemat penulis, adalah suatu yang ironis kerana Bahasa Melayu ada ketikanya mendapat ‘keistimewaannya’ dan di ketika yang lain terpinggir malah seolah-olah dijauhi dari membicarakannya. Bahasa bukan sebuah entiti yang berasingan dengan sesebuah bangsa, kerana ia satu identiti dan penunjuk jatidiri sesebuah bangsa. Tetapi terkadang bahasa menjadi ‘bahan politik’ dan menyerang peribadi lawan mengikut tafsirannya.

Banyak negara yang sudah bebas daripada penjajahan ataupun sebagai kuasa penjajah pada masa lalu mengekalkan bahasa ibunda mereka di negara masing-masing sebagai bahasa dominan bukan sekadar bahasa pertuturan. Sebagai contoh negara Perancis yang begitu bangga dengan bahasa Perancis daripada memberi ruang lebih luas kepada bahasa Inggeris misalnya.

Jika diamati keadaan seperti ini, bahasa apapun bukanlah subjek penting bagi sebuah negara, tetapi disebabkan peranan bahasa sebagai wadah yang mewakili diri sebagai seorang berbangsa Perancis misalnya, bahasalah yang paling pantas dirujuk. Ketidakmampuan berbahasa ibunda misalnya, bolehlah dikatakan seseorang itu terlalu naïf identiti bangsanya dan jatidirinya.

Dan apabila bercakap tentang bahasa, kita tidak lari daripada bercakap tentang bangsa empunya bahasa itu. Baik buruk bangsa itu juga dirujuk kepada bahasanya dan jatidiri. Malah kemajuan bangsa itu juga merujuk kepada bahasanya walaupun secara streotaipnya kemajuan sesebuah bangsa atau negara diukur pada material, fizikal, angka statistic, ekonomi dan sebagainya. Namun untuk melihat kemajuan yang menyeluruh bagi sesebuah tamadun misalnya, negara atau sesebuah bangsa akan dikaitkan dengan bahasanya. Bangsa yang besar biasanya mempunyai jatidiri dan maruah yang selalu dirujuk kepada bahasanya selain nilai, pemikiran dan kebudayaannya. Bahasa tidak mungkin dipisahkan sama sekali dengan bangsa jika dilihat kepada senario globalisasi pada hari ini.

Semakin ketara globalisasi melanda dunia, semakin ketara pengasingan ‘bangsa’ dengan bangsa yang lain. Sebagai contoh antara Asia dan Barat, yang semakin ketara jurang perbezaan identiti itu kerana dunia yang sedia ada menyediakan globalisasi untuk persaingan yang lebih kompleks. (Meskipun sahsiah Timur-Barat tidak dibezakan, tetapi secara ekslusifnya ia diasingkan juga berdasarkan kepada tipa-tipa tertentu misalnya daripada sejarah lampau. Kerana itu masih wujud ruang-ruang neokolonialisme yang tidak ada bezanya dengan kolonialisme itu sendiri).

Tidak hairanlah apabila sebuah bangsa itu dikatakan lemah, bahasanya juga dianggap kurang penting. Kita tidak bertolak daripada pandangan lima puluh masa yang lalu, tetapi di masa akan datang kemungkinan kepentingan bahasa ibunda empunya kepada sesebuah bangsa akan lebih ketara. Jika tidak diberikan tempat dan ruang kepada bahasa ibunda dengan pengiktirafan dan keistimewaannya, nescaya bahasa ibunda akan lebih mudah hilang dan tidak dikenali.

Globalisasi mungkin tidak mempertaruhkan risiko ini secara jelas tetapi logik mudahnya sedemikian. Negara-negara dunia ketiga berada dalam percaturan dunia dan menemui halangan-halangan yang rencam bagi mencari jalan perdamaian atau kemajuan. Akibat daripada keterbukaan peluang dan persaingan. Perlumbaan itu sebetulnya dibuka untuk negara-negara yang lebih kuat dan stabil. Bagi negara-negara Asia misalnya, jika tiada persefahaman yang lebih erat, peluang-peluang perkembangan ekonomi dimonopoli oleh golongan tertentu yang secara lazimnya Barat. Memang benar kita memiliki negara China sebagai gergasi ekonomi namun, masalah globalisasi juga meruntun keperluan yang lain pantas dipenuhi dengan mencari ruang yang lebih anjal untuk melebarkan empayar ekonomi. Namun ia tidak mudah disangka.

Dalam hal negara yang berbilang kaum, keperluan mencari satu identiti tuntas amat penting bagi penerusan survival negara bangsa yang kukuh. Jika sekiranya masih berlaku ketidaktentuan kata dalam masalah-masalah politik, haruslah difikirkan tentang kemajuan negara yang jauh lebih penting.

Jika dilihat persoalan yang bermain antara ketuanan Melayu dan isu-isu Melayu yang lain, bahasa dan sebagainya- sudah tentu ia merujuk kepada perihal yang dasar. Keperluan untuk perbincangan yang sihat amat kritikal sebetulnya. Permasalahan tentang ketuanan Melayu yang berbaur dengan politik menjadikan ia lebih kepada retorik semasa dan ‘teori sementara’ dan kemudiannya menghilang begitu sahaja. Maka isu ini mudah dilepaskan kerana ia sebahagian daripada alat pelancar matlamat politik pihak tertentu yang inklusif itu. bisakah rakyat membacanya?. Dan jarang pula dilihat ‘ketuanan Melayu’ dan dibicarakan di luar konteks politik. Mengapa isu ketuanan Melayu pula dipilih ?. tentu ia berkaitan dengan sensitiviti dan sembarangan isu. Maka, tentu ia memberi lebih kredit untuk menarik simpati dan kepercayaan misalnya. Maka ini terlalu naïf sifatnya jika diaturkan sebegini.

Maka apabila isu ketuanan Melayu yang lebih hangat pada musimnya, seolah-olah semua berada dalam keadaan sesak dan sarat dengan muatan retorik tidak lebih daripada itu. sekiranya difahami dengan jujur sememangnya ketuanan Melayu itu jelas ada segi sejarahnya, di mana peribumi Melayu yang mempelopori survival bangsa dan negara ini. Merekalah pemula dan peransang kepada kemerdekaan negara. Tetapi ketuanan Melayu sekarang ini dilihat pula sebagai ‘masalah politik’ dan sebahagian daripada juzuknya, maka tidak hairanlah kelihatan politikus Melayu berbicara tentang ketuanan Melayu tanpa memahami pengertiannya.

Oleh kerana sifatnya yang subjek itu sejarawi, klasikal dan sedikit impresif, maka hal ini haruslah berada di landasannya. Keterbukaan semua pihak amat perlu khususnya parti-parti politik dan tidak membicarkannya sewenang-wenangnya. Ketuanan Melayu pada hari ini haruslah dikembalikan kepada pemikiran-pemikiran yang lebih realistik dan absah antaranya wahana identiti Melayu yang paling hampir iaitu Bahasa Melayu.

Kita perlu kembali menguji jatidiri bangsa bukan dengan menggantikannya dengan sesuatu asing tetapi mencari kemantapan fikir dan acuan buatan sendiri untuk bergerak ke hadapan bersama kemajuan. Agaknya kita tercari-cari ramuan itu tetapi malangnya disebabkan kelemahan diri untuk mencari sesuatu dan mengekalkan sesuatu yang telah dimiliki, maka kita terdedah kepada tindakan untuk memudahkannya. Sebagai contoh mengkritik papan tanda yang diletakkan bersama Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa asing. Ia seperti satu tindakan yang bersifat ‘tanpa berfikir panjang dan matang’. Sesetengah tindakan bangsa yang merdeka dan bertamadun, ia tidak melayani perihal kecil ini. Padanya gagasan besar untuk dilansungkan.

Terdapat ruang-ruang yang harus diperbetulkan demi kemajuan masa depan antara dengan mencari kemantapan pemikiran politik bangsa yang demokrasi, mencari kesatabilan perpaduan masyarakat majmuk dan menemukan perbezaan pandangan dalam satu wadah luwes untuk dihasilkan sesuatu yang lebih bermakna.

Perkara-perkara ini memerlukan kematangan berfikir dan inovasi dalam mencari titik sebenar mengenal diri dan kemampuan yang rata-rata di kalangan pemuka-pemuka politik tidak arif mengenainya apalagi untuk mengadunnya dalam bekas yang diberikan.
.

Monday, November 10, 2008

Narsisisme Politik Negara Majmuk

Perbincangan tentang perpaduan dan sekitarnya kian menghangat. Di antara watak-watak berani dan jujur timbul selang-seli dalam masyarakat yang berada di bawah, belum menerima kerencaman isu yang berlaku di peringkat politik nasional maupun sosial. Di peringkat atasan pula, mungkin terlalu jelas dengan imej ini sehingga media tidak lagi mampu membendungnya kerana saban hari menyiarkan hal ini seolah secara sekuel tetapi dengan citra yang berbeza-beza.


Rakyat adalah di antara pemerhati malah saksi kepada negara yang sudah merdeka di atas nama demokrasi, yang melihat isu perpaduan adalah isu paling penting mendorong kepada pembentukan jatidiri negara yang kukuh dan harmoni.


Di sana , bagi sebuah negara yang berusia 50-an dan majmuk penghuninya, dikatakan masih menghadapi masalah perpaduan kaum dalam masyarakatnya. Kerana darihal usaha-usaha kerajaan yang sering kali menaja dan menguar-uarkan pelbagai program yang menjuruskan kepada ‘perpaduan kaum’, penyatuan di bawah satu negara bangsa Malaysia , keharmonian negara dan sebagainya.

Cuma jika dilihat di peringkat sosial-masyarakat ia lebih rasional dan diterima akal. Dapat diperhatikan bagaimana kehidupan sosial masyarakat majmuk ini terdedah dengan keterbukaan sesama kaum dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak ada nilai yang bercanggah hubungan antara satu sama lain kerana sedia wujud kesefahaman dan toleransi kaum, adat resam dan agama secara umumnya. Kefahaman bahawa keberadaan masyarakat majmuk dalam realiti ini diterima dan dianggap sebagai satu keistimewaan berbanding negara-negara lain walaupun tetap wujud cabaran-cabaran tertentu yang agak terpinggir.

Tetapi di peringkat masyarakat terbanyak, tidak berlaku kedinginan antara kaum malah dapat dilihat kepelbagaian itu adalah satu kesatuan yang sangat stabil di masa ini.
Ia suatu yang positif buat perkembangan sosial di Malaysia dan dilihat akan mampu mengakar lebih lama sekiranya keperihatinan semua pihak diambil kira. Malahan sikap saling memerlukan antara satu sama lain dan nilai-nilai perpaduan lain sentiasa diperbaharui menerusi pendidikan, media massa , kebudayaan, kesenian dan politik.



Namun di sana juga terdapat pandangan-pandangan yang margin pesimistik dari kalangan rakyat segolongan tertentu menyatakan bahawa perpaduan yang seperti dikatakan masih longgar pada peringkat luarannya. Maka, di sini dapat khalayak melihat bagaimana beberapa isu dan pandangan yang saling tidak sama, tetapi timbul dalam sebuah negara majmuk dan unik di sini.

Fungsi politik misalnya tidak sekadar menjenamakan sebuah negara dengan jenama-jenama yang tertentu tetapi harus mengadakan ‘realiti’ itu dengan wajar. Dalam hal negara majmuk politik merupakan bahagian paling sensitif dan kadang-kadang dilihat efektif untuk menjalin program perpaduan dengan lebih baik.


Politik negara majmuk agak berbeza daripada negara yang lain, mungkin setelah diseragamkan ideologi dan sistem politiknya. Kita dapat melihat sebuah negara majmuk mempunyai parti-parti politik yang berbeza-beza orientasi kaumnya. Sebuah partai politik kebangsaan seperti UMNO, MCA dan MIC dan sebagainya mempunyai haluan dan mesej tersendiri dalam medan politik tersendiri.

Tipa ini tidak lahir daripada satu fahaman kebangsaan yang ekslusif dan mandiri kerana keperluan bentuk partai ini bersatu dengan partai-partai kebangsaan yang lain lantaran sudah ditentukan destinasi negara majmuk, dan hidup secara bersama dalam sebuah negara yang aman. Dan bentuk ‘kepelbagaian dalam kesatuan’ inilah yang mendokongi pemerintahan demokrasi negara sekarang ini.

Namun, masih timbul juga persoalan berkaitan perpaduan yang lahirnya sejak seawal kemerdekaan lagi. Dilihat kepada partai yang cuba memperlihatkan penyertaan semua kaum dalam sebuah parti wujud tetapi tidak mampu menjadi watak dominasi atau pilihan kepada khalayak sosial-politiknya.


Di peringkat politik, isu perpaduan masih menjadi dilemma. Orang-orang politik masih dibelenggu dengan masalah ini dan seolah-olah ia isu yang terlalu sensitif untuk ditanggani. Sesungguhnya, sekiranya perpaduan dilihat dari kaca mata politik, ia akan mewujudkan antaranya sikap ‘narsisisme’; bermaksud perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri.

Dilemma perpaduan akan selalu membayangi politik semasa sekiranya segelintir pemimpin melihat perpaduan adalah suatu yang janggal dan asing bagi pandangan mereka. Lantaran sikap yang mengagumi diri melebihi daripada yang lain (baca:bangsa) padahal sudah sedia ada undang-undang dan dasar-dasar diperuntukkan berkenaan dengan hal-hal keistimewaan Orang Melayu misalnya.


Isu melihat kesamarataan adalah perpaduan juga perlu diperhalusi. Kerana tidak wujud isu kesamarataan jika dilemma perpaduan sesama kaum masih timbul dan dibangkitkan. Sikap melihat atau mengangkat kelebihan diri atas yang lain juga harus dikikis kerana ia sebahagian tipa yang tidak membentuk pembangunan perpaduan yang rasional.


Dan tidak wujud juga kesamarataan itu segi konteks realiti, kerana selama ini masih samar-samar dengan kesamarataan dalam mana-mana sistem politik secara tuntasnya. Walaupun di Barat contohnya, (tempat lahirnya konotasi demokrasi) masih dibayangi dengan sejarahnya yang sukar mencapai kepada kesamarataan. Tetapi, jika dilihat keadilan iaitu; bermakna memulangkan kepada yang berhak mengikut definasi Islam, mengapa tidak ia diambilpakai.


Malahan terdapat pemimpin yang merasakan perpaduan hanya merupakan isu lama yang hanya menjadi pengganggu kepada isu-isu yang lain. Namun harus diakui bahawa isu perpaduan kaum adalah isu yang kekal sebagai dilemma sekiranya tidak diambil perhatian khusus oleh pemimpin dan ditanggani dengan cara yang bijaksana.

Dilemma perpaduan wujud apabila berlaku pertembungan fahaman politik yang terbawa-bawa daripada ‘narsisisme’ khususnya dalam politik. Di satu pihak ada yang mempertahankan hak dan di satu pihak menuntut hak dan anehnya ia berlaku di peringkat politik dan kepartian dengan begitu rancak. Namun sekiranya hal berkenaan dengan perpaduan dan sekitarnya tidak dijadikan boneka politik, kemungkinan ia tidak timbul. Pihak-pihak misalnya, dengan sikap harus membendung diri daripada cuba mengambil kesempatan atas ruang-ruang yang ada.


Tidak hairanlah satu-satu masa dahulu, timbulnya pandangan-pandangan yang berbaur cauvinis misalnya yang mana mendokongi sesuatu pandangan yang berunsur perkauman memprovokasi keadaan politik dan tentunya mempunyai nawiatu yang tertentu. Dan dalam kemerdekaan separuh abad abad, mengapa tidak kita memepelajari bahawa kemerdekaan juga itu tidak sekadar angka usia merdeka sesebuah negara, tetapi berkaitan juga dengan umur perpaduan yang dipupuk atas rasa tanggungjawab.


Dengan itu kebijaksaan kepimpinan baharu yang lebih berwibawa diperlukan bagi mencerahkan pandangan dan tindakan berkenaan isu perpaduan. Penelitian dan campurtangan orang bijakpandai sangat penting untuk menstabilkan keadaan dan tidak sebetulnya ia terbawa-bawa dalam arus polemik politik yang sudah sedia berbeza-beza pandangan.


Tentang perpaduan, barangkali keperluan untuk melihat nilai-nilai universal diterapkan dan ditakrifkan semula berkenaan perpaduan yang merentas ekonomi, politik, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Kerana perpaduan adalah tulang belakang keharmonian negar majmuk seperti negara kita.


Justeru, perlu sikap positif, neutral dan diplomatik dalam hal masalah seperti perpaduan. Keperluan melihat kepada pengalaman-pengalaman yang terdahulu dan sejarah sebelum menentukan sesebuah keputusan yang mana begitu bergantung kepada semasa, padahal setiap tindakan khususnya dari pemerintah haruslah meneliti setiap sudut sebelum menetapkan sesuatu.


Ini waktunya kepimpinan partai politik melihat keperluan masing-masing dalam menyumbang ransangan-ransangan perpaduan nasional dan mendirikan negara bangsa iaitu mengikut acuan yang mandiri dan dibina dengan rasa persefahaman antara kaum, dan saling menyedari hakikat bahawa keadilan sesama kaum boleh dicapai dengan memahami kebersamaan membina masa depan, dan tidak membangkitkan sentimen demi memudahkan semua perkara yang sebenar untuk kepentingan diri.
.
.

Monday, November 03, 2008

Innalillahiwainnalilahirajuun...


NYAH, sudah meninggal dunia semalam, jam 3.00 petang. Saya sempat ziarah. Nyah merupakan ibu saudara saya, kakak kepada ayah. Ada sedikit ceritanya yang pernah saya tulis dalam sebuah cerpen. Ia memang sudah ditulis oleh saya, pada awal saya digeluti lopak daerah penulisan. Saya cuba mencari subjek, tentunya berkaitan keluarga. Memang betul bagi, subjek kekeluargaan itu sendiri memang rencam dan berwarna-warni. Terpulang kepada anda untuk menulisnya atau tidak. Saya menulisnya bila terdapat tragedi yang terjadi dalam keluarga. Dan memang tajuk cerpen ini judulnya Nyah, ditulis di awal tahun 2007 dulu. Selamat membacanya.


Seolah-olah malam itu kami tidak menyedari apa yang berlaku. Ia terlalu pantas dan mudah. Tiada membekaskan sebarang perasaan dan reaksi.

Emak pada malam itu tiada di rumah. Ketiadaan emak bermaksud rumah kurang sedikit aura kemeriahannya. Apatah lagi kemuraman rumah ia dirasai oleh cucu-cucu emak. Kami dijemput sekeluarga ke rumah saudara kami di Simpang 4. Alang ada mengadakan kenduri arwah suaminya yang meninggal dunia pada bulan Januari yang lalu.

Apabila ajal tiba tidak ada siapa yang dapat menduga. Aku terkejut apabila mendengar berita itu. Baru saja pada bulan Disember sempena hari raya haji kami sempat bertemu. Waktu itu memang Alang sudah mengalami sakit gaout dan kencing manis tetapi dia masih bolah bergerak dan melayan kami yang datang pada ketika itu.

Pada masa itu, suami Alang sihat seperti biasa. Nyahpun sihat tapi disebabkan keuzurannya, dia tidak secergas dulu. Usianya mungkin sudah mengjangkau 80 tahun. Nyah tidak mungkin lagi dapat membuat lemang yang enak dan kuih bahulu kemboja kegemaran ayah dan kami sekeluarga. Dahulu Nyahlah tempat kami menghilangkan rindu di kampung. Rumah Nyah tempat kami bertandang dan bermalam sebelum malam Aidilfitri.

Suami Alang, yang juga kami panggil Alang kemungkinan usianya baru awal 50-an. beliau meninggal kerana mengidap sakit gaout dan penyakit-penyakit lain. Namun, anak-anak beliau sudah ramai yang bekerja.
Antara Alang dengan aku agak rapat dari segi pertalian darah. Ibunya adalah kakak kepada ayahku. Maka kami barangkali sepupu. Tambahan pula, masa aku sekolah rendah, aku dan No, adikku selalu emak tinggalkan kami di rumah Alang jika hendak pergi membeli barang di Kelantan.
Tapi sedekad yang lalu hubungan ini jadi renggang. Tali yang disangka kuat, rupanya mereput lalu putus dengan sekelip mata. Keadaan ini menyebabkan keluarga yang dekat terasa seperti jauh. Ayah sendiri dengan caranya selalu saja menyatakan kebenciannya kepada Nyah, kakaknya.

Antara ayah dan kakaknya terputus hubungan itu disebabkan satu masalah yang tidak kuketahui dari pihak mana yang memulakannya. Berbelas tahun tinggal di dunia yang berasingan. Sepi tanpa ada ziarah dan masa yang gembira seperti masa lalu. Malam ini kami mungkin bersua semula dan tidak menjangkakan apa yang akan berlaku.

Aku terbayang wajah Nyah, kakak ayah yang pernah disangjunginya. Dia sudah beruban dan nyata dari raut wajahnya terzahir keuzuran. Nyah sekarang kurang boleh mendengar dan penglihatannya kabur. Dia tidak mungkin dapat mengecam kami lagi.

Ayah, begitu makan hati dengan kakaknya itu. Kesilapan Nyah mengubah tanggapan ayah terhadap Nyah serta-merta. Harta arwah atuk Hasan itu bukanlah banyak sangat, tetapi entah macam mana, hendak jadikan sebab semua benda jadi salah. Aku tidak mengetahui ayah memaafkan Nyah ataupun tidak.

Hanya sebahagian daripada kami adik-beradik memahami apa yang berlaku. Mungkin aku dan adikkku, No mengetahui hal ini dari f ke z sahaja. Apakah sebab dan punca perbalahan secara senyap itu berlaku bertahun-tahun sehingga sekarang, tidak dapat aku jelaskan di sini.

Mungkin ia satu kesilapan pada satu masa kemudian terus menjadi satu peristiwa yang tidak dapat diterima kedua-dua pihak. Silap faham atau ego yang menyeliputi jiwa semua yang terlibat. Mungkin hubungan itu ada tapi hanya pada Cu dan Anjang, iaitu adik ayah. Mereka mungkin menjaga hubungan itu dengan baik sampai sekarang. Termasuk PakCik berbaik dengan Nyah. Ayah tidak macam mereka. Dia benar-benar kecewa agaknya dengan kakaknya.

Kami datang malam itu bagi memenuhi hajat Alang yang menjemput kami sekeluarga datang untuk kenduri arwah. Ayah tidak datang sama. Tindakan ayah dilihat macam memulaukan keluarga Nyah. Hal ini tidak dipersetujui oleh adik beradiknya yang lain antaranya PakCik dan Anjang.

Maka pada malam itu, hanya kami adik-beradik dan keluarga abang-abangku yang datang. Lagipun sudah lama kami tidak menjenguk mereka. Ayah tidak menghalang kami berziarah ke rumah Alang malah menyukai bila kami nyatakan keinginan menziarahi Alang, Nyah dan lain-lain kerana air yang dicincang tak akan putus. Sepuluh tahun lalu memang kami kerap pergi beraya di rumah Alang. Taip kali bertandang terasa kami ini keluarga besar yang harrmonis. Namun, semuanya terhenti dan menjadi kenangan yang sukar dihadirkan dalam suasana yang sama.

Li, anak lelaki sulung Alang menyambut kami. Inilah kali ke dua aku menjejakkan kaki ke rumah yang baru siap kira-kira setahun lebih yang lalu. Ia dibuat oleh arwah Alang dan anak-anaknya Pi, Pizi dan Li. Setahun untuk menyiapkannya.

Kami menaiki rumah tersebut dengan sedikit canggung disebabkan kehadiran kami seolah-olah dinanti. Awal-awal lagi sudah diberitahu oleh Abang Ayub kepada Alang bahawa kami akan datang juga.

Kami sampai ketika keadaan rumah itu seperti tidak ada kenduri. Baru kami sedar bahawa kami kelewatan sebenarnya. Majlis sudah selesai sebelum pukul 9.30.

Maka kami datang tanpa bertahlil, doa selamat dan makan secara beramai-ramai. Mujur ada Abang Ayob, dan saudara-saudara lain yang masih belum pulang. Kami naik ke rumah dan bersalaman dengan tetamu lain yang belum pulang. Kami duduk bersila dan bersembang dengan mereka sementara dijemput makan.


Angah malu alah menerangkan kelewatan kami sampai ke sini. Tapi memandangkan ini rumah saudara, ia bukan satu masalah. Asalkan sudi datang. Semuanya duduk bersila di atas tikar mengkuang. Rumah ini jelas seperti baru sahaja didiami. Perabot belum ada di ruang tamu ini kecuali beberapa pasu bunga kertas sebagai penghias.

“Sembang-sembang yang ringkas selepas orang makan macam tak berapa rancak” lafaz Abang Ayob. Selain itu abang Lan, Yop Ismail dan beberapa orang lagi bergebang perlahan.
Abang Pendi lebih senyap seketika, dan Angahpun nampaknya tidak banyak bercakap. Mungkin kerana kami lewat datang dan tidak cukup modal untuk mencelah sepanjang perbualan.

Li datang duduk sebelah aku. Li muda setahun dan kami memang selalu bermain sama-sama masa kecil dulu. Kami bersembang dan sebenarnya sudah lama tidak bertemu. Kadang-kadang kalau bertemu tidak dapat bersembang lama. Awal-awal aku mohon maaf pada Li kerana pada waktu arwah Alang meninggal aku tidak sempat datang kerana aku tidak diberitahu tentangnya. Li tidak kisah kerana abang-abangku yang lain ada datang menziarah. Dia sebut nama Yop, Angah dan ayah yang dipanggilnya Tok Andak.

Kami bersembang dengan perlahan. Daripada hal arwah Alang yang meninggal sampai ke bab membuat rumah. Li memberitahu hampir 80% rumah ini dibuat oleh kerja tangan Alang dan anak-anaknya. Rumah Alang memang luas dan hampir kesemuanya diperbuat daripada kayu. Rumah yang dibuat dalam bentuk yang sederhana tapi mampu muat sebuah keluarga besar.

Rumah anjung dan rynag tamunya dibuat tidak terlalu tinggi memandangkan arwah Alang sudah kurang mampu berjalan. Dapur dan beberapa bilik dibuat di bahagian bawah terutama untuk Nyah yang kadang-kadang duduk di sini.


“Lebih kurang 20 ribu untuk buat rumah ini”
“Memang jimat sedikit kalau ia buat sendiri. Barangpun dibeli sendiri” kataku seperti memahami sangat pasal rumah. Sesekali pandang wajah Li, aku terbayang wajah Alang. Kali terakhir aku bertemu Alang pada hari raya haji yang lalu. Sempat kami bersembang setelah lama asyik pandang dan tegur tak tegur di rumah kenduri saudara yang dekat.

Ada yang mengatakan punca Alang jatuh sakit adalah disebabkan penat menyiapkan rumah. Mungkin betul tanggapan itu. Alang meninggalkan agak mudah. Arwah meninggal dunia apabila seminggu menderita sakit gaoutnya kemudian pada hari arwah meninggal, dia terasa sakit dan dibawa ke hospital. Dalam perjalanan arwah meninggal dunia.

Sembang kami jadi meleret-leret. Li bertanya juga tentang aku. Dimana aku bekerja dan bila aku tamat belajar. Aku hanya menjawab soalan-soalan itu kerana bagiku ia mirip soalan gula dalam air kopi. 'Mungkin soalan-soalan kau juga sama, lebih lagi gulanya' tujuku pada diri sendiri. Tapi syukurlah , Li juga sekarang bekerja sebagai tenaga pengajar di Pusat Giat Mara. Soal untuk sara dirinya sudah lepas kerana dia sudah dapat pekerjaan tetap. Adik-adik seperti Pi dan Pizipun sama juga. Walaupun Huda anak yang sulung baru berhenti kerja kerana ada masalah tapi adik-adiknya ramai sudah bekerja. Jadi Alang tidak perlu risau tentang rezeki. Lagipun tempat hendak berteduh sudahpun kukuh berdiri.
Selepas 15 minit bersembang, Li menjemput kami makan di bawah. Abang Ayob dan yang lain meminta kami turun makan. Mereka sudah makan semasa kenduri tadi.

Kami dijemput makan macam sebuah keluarga sendiri. Alang selalu anggap kami seperti anak-anaknya sendiri. Kami disediakan dua talam untuk makan. Satu talam untuk kakak-kakak ipar dan No. Satu talam lain untuk abang-abang dan aku. Kami makan diperhatikan oleh banyak pasang mata.

Dan kami tidak perasan kami ditelanjangkan ketika makan dengan renungan dan suara. Suasana senyap dan sepi. Kami seolah terasa ada yang lain ketika kami makan.
Kami dihidangkan lauk ikan lepat kering kerana lauk-lauk lain sudah kehabisan agaknya. Yang lain biasa saja masakan kampung macam masak lemak. Aku makan sambil teringat masakan Alang. Tapi tekak tidak terasa apa-apa pada masa itu. Sambil makan ALang temankan kami dan bertanyakan soalan-soalan biasa. Walaupun perbualan agak dingin, keadaan diselamatkan Yop Ismail yang memang selalu mengusik.

“Ini lauk special untuk tetamu yang datang lambat” kata Yop Ismail iaitu menantu Nyah yang pertama dengan pekat loghat ulunya. Yop semacam mahu berangkat kerana rumahnya di Bidor sana .
“Kenapa kelam-kabut Yop. Bukan nak ke mana” tegurku.
“Sekarangkan musim kemarau” tingkahnya selepas berfikir agak lama. Dia bawa bersamanya dua orang anak perempuannya. Beberapa minit selepas dia bersembang dengan Alang dan kami, dia minta diri untuk pulang.

Kami belum lagi selesai makan. Seolah-olah kami memang selalu lambat.
Ada suara yang dekat sedang bergebang perlahan. Suara beberapa orang perempuan. Aku menoleh ke arah suara itu, aku teringat beberapa wajah yang pernah aku lihat dahulu dan terlalu biasa dengan wajah-wajah itu. Mereka duduk di kerusi tetamu berdekatan dengan dinding.
Dulu wajah-wajah inilah yang aku kenal masa kecil. Ada wajah Nyah dan anak-cucunya. Anak Nyah kesemuanya perempuan. Tiga orang semuanya. Wajah yang paling aku terasa lama sudah tidak melihatnya adalah wajah Angah Faridah. Berdekatan dengannya ada Yong dan anak-anak Angah Faridah. Wajah-wajah yang dulu kecil sekadang sudah dewasa dan remaja macam Kak Fida dan Tada. Semuanya ada dekat kami setelah hampir sepuluh tahun tidak bertemu sedekat ini.
“Yop kamu tidak datang ye” Nyah mula bersuara jauh tiga depa daripada tempat kami makan.
“Dia tak balik cuti ini. Dia ada program di Ipoh.” Jawab Angah. Alang tolong mengulang jawapan itu kerana pendengaran Nyah tidak jelas.
Aku tengak Nyah seolah ingin berkata sesuatu tetapi tidak terkeluar daripada mulutnya. Abang Fendi sempat bertanya siapa yang duduk dekat dinding kerana ada juga dua tiga muka yang kali pertama kami lihat.
Aku cepat menghabiskan nasi aku. Tapi sempat juag merasa masakan ALang kali ini. Tidak banyak perkara yang dibualkan kerana terasa banyak perkara yang di tengah-tengah menjadi penghalang kami dengan kelaurga Nyah. Paling banyak aku lihat dan perhatikan adalah wajah Angah Faridah. Aku cuba cari suaminya, yang mereka panggil Ponggok. Suami tidak ada juga. Akupun tidak mahu bertanya tentang itu.
Angah Faridah bertanya juga tentang beberapa orang anak abang-abangku. Mula daripada Yop, Angah dan Afendi. Nyah bertanya bila pula aku hendak dapat jodoh.
“Mungkin lambat lagi ” jawabku seringkasnya.
Beberapa semua senyap seketika. Sekejap perbualan dimulai oleh Alang. Sekejap bermula dari Nyah dan disambung oleh cucu-cucu perempuannya. Aku tidak banyak bercakap dan terasa seperti tunggul kayu di tengah-tengah orang yang aku kenali macam Alang dan Nyah. Namun ku perhatikan lama wajah-wajah yang satu dekad aku tidak pandang. Wajah Tada yang sudah remaja masih mempunyai kerenah dan suaranya yang nyaring. Aku dapat bayangkan betapa suasana ini mungkin dirindui oleh ayah sendiri. Duduk bersama sanak-saudara terdekat apabila mempunyai masa yang terluang.
Satu masa dulu jika dikumpulkan dalam sebuah rumah, pasti rumah i . Kalau tidak di rumah Nyah ia berlaku di rumah Angah Faridah di bendang. Suasana yang sudah lama dilupakan. Kami dijarakkan barnagkali oleh nasib yang kami tidak mengenalinya dari awal. Nasib yang rupanya panjang dan memutuskan tali silaturahim yang kuat.
Masakan Nyah terus berdiam diri. Nyah sudah uzur. Benar, dia mungkin tidak mahu bercakap panjang. dia tahu bagaimana untuk menyatakan sesuatu bila sampai waktunya. Tapi bila?. Waktu sesuatu yang tidak boleh dijangka penghujungnya.
Kami diam kerana tidak terfikirkan sesuatu yang boleh kami bicarakan. ‘Kalaulah emak ada, mungkin tidak sesenyap ini’, bisik hatiku.
Kadang-kadang perasaan itu tidak banyak mencorakkan suasana kerana ego dan terlalu beremosi. Aku tidak pasti di mana nilai aksih saying dan hormat-menghormati yang terjalin padu antara kami satu masa dahulu.
Mungkin kami sama-sama melupakannya atau sengaja tidak menghiraukannya. Ego lebih kuat menelan segala nilai posistif yang berbaki. Aku sendiri terpaksa tidak bersetuju secara sepi begini. Kesilapan selalu dikenang orang sampai bila-bila.

Tapi apabila ia diselesaikan dengan baik barangkali ia akan serta-merta menjadi kenangan. Orang selalu sebut, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata-kata itu kadang-kadang macam plastik atau aluminium yang rapuh dan lembut boelh dibentuk-bentuk.

Nyah melihat kami dengan wajahnya yang bersahaja. Di sebalik wajah itu terdapat keresahan yang mungkin kami tidak kenali dan terurai dalam bahasa. Nyah tidak mampu mendengar lagi dan tidak mampu melihat seperti insane lain. Mungkin dia berharap masa akan membawa segala memori pahit ini ke mana-mana dan terus melenyap. Ia barangkali perkara yang mustahil bagi ayah. Bingung juga dibuatnya.

Angah Faridah tidak banyak berkata-kata. Dia juga pasti merasai perasaan yang lain daripada biasa. Selepas makan, tidak banyak perkara yang dibualkan. Aku lebih banyak mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang ada lucunya dan ia menyebabkan aku ketawa. Ada juga perkara yang dibualkan aku tidak memahami kerana ia mungkin hanya berkaitan dengan keluarga Nyah.

Terasa juga betapa hubungan antara kami dan keluarga Nyah kian jauh. Aku dapat rasakan masa depan hubungan silaturahim ini di masa akan datang. ‘Entah apa gunanya bertelagah sebegini’ soalku sendirian.

Sekiranya arwah atuk masih ada entah apa yang dinyatakan. Tapi tentulah semua ini tidak akan berlaku sekiranya adanya kejujuran dalam setiap waris arwah atuk Hasan.
Sebelum pulang, kami sempat bersalaman. Tangan Nyah tangan pertama kali dahului. Tidak ada bahasa yang hendak diluarhan kecuali minta diri. Raut muka Nyah memberitahu sesuatu yang tidak kami fahami. Aku dpaat lihat wajah ini mungkin berduka kerana apa yang telah berlaku menyebabkan kesan yang tidak memberikan apa-apa kebaikan.

Pertemuan ini mungkin singkat bagiku. Tak tahulah bagi Angah, Abang Fendi dan lain-lain. Kerana ia singkat banyak soalan yang tidak mampu kujawab atau klu-klu yang kuamati tidak mendorong ke arah positif. Soalan-soalan ini mungkin boleh disimpan dan kutanyakan sendiri kepada ayah. Entah ayah mahu mendengar atau tidak soalan-soaln aku ini.
Nyah tidak mungkin melupai kami. Dan kami juga masih menghargai pertalian ini walaupun tidak seperti dahulu. Moga kita bertemu lagi dalam suasana yang lebih mesra dan damai.


gambar daripada www.dj-design.com

.