suara diri
rupanya hari ini bertarikh 15 ogos
aku hampir terlupa beberapa perkara
sebelum menjadi begitu ghairah beberapa perkara
aku memelihara waktu yang sebetulnya bukan milikku
aku tetap ingat kenyataan ini
barangkali aku juga terus menjadi peragu
dengan apa yang dilakukan
ketika di depan orang atau di belakang, sendirian
mungkin membentuk diri saat berada
bersama orang dan sendirian
saling bertentangan prinsip dan adabnya
aku mencari juga mana-mana tempat yang boleh
aku duduk dan termenung, menenangkan kebimbangan
sebaliknya kadang-kadang kesunyian dan kesemuan
berbentuk patung di antara gedung pakaian yang sepi
sudah 26 tahun hidup berdiri atas tiket manusia
aku masih menerima dan memberi waktu
dalam jadual yang tiada siapa mengganggu
aku menulis, membaca, menyanyi, berfikir,
menonton cerita dan melakukan sesuatu buat diri
hingga semuanya kian sempurna
sesungguhnya kesempurnaan atau kamal itu
begitu halus dalam waktu menanam cita
di tengah malam yang dingin
sudah............setakat ini
Wednesday, August 15, 2007
Monday, August 13, 2007
Sastera menafsir manusia.
Sastera adalah realiti sebenar manusia. Manusia berwajah tenang, garang dan buruk. Manakala sastera menyimpan cerita manusia dan sebahagian besar mencatat tindak tanduk dan peribadi manusia. Sastera pula tidak mungkin ditulis tanpa ada kebenaran cerita, watak, psikologi, sejarah, peristiwa, episod, idea dan sebagainya yang amat akrab dengan manusia. Oleh itu sastera dan manusia adalah satu sebatian yang paling ideal.
Riwayat manusia diceritakan semula dalam banyak karya sastera tidak kira melalui puisi atau prosa. Sang penulis mengambil manusia dan dihidupkan atau dijasadnyawakan dalam karya sastera. Dibangunkan sahsiah, pemikiran, idea dan gagasannya sehinggalah perkara-perkara yang penting dan remeh itu melengkapkan sebuah cerita yang panjang atau pendek untuk dibaca oleh manusia. Yang paling pokok, ia ditulis bukan sekadar untuk menghiburkan sahaja tetapi memenuhi tuntutan dan tujuan yang tertentu.
Cerita yang paling terbaik mungkin hanya didapati daripada manusia sendiri. Pengalaman manusia itu amat berharga. Perasaan manusia yang menghadapi susah senang kehidupan juga paling ‘benar’ dalam erti kata sebuah cerita. Walaupun sebuah cerita boleh direka dan disusun mengikut tujuan, selera dan pandangan hidup namun cerita yang paling diketahui adalah cerita yang paling senang untuk diceritakan semula, atau dijadikan karya. Sebagai contoh, seorang ulama besar yang pernah dipenjara oleh seorang pemimpin besar dan ketika kematian pemimpin itu, ulama ini menerima jemputan untuk mengimamkan solat jenazah pemimpin itu, yang pernah menzaliminya. Lalu beliau menerimanya dengan hati yang terbuka jemputan itu. Ini merupakan salah satu cerita yang paling ‘benar’ dalam kehidupan namun jarang benar ‘disasterakan’. Mungkin disebabkan penulis tidak berani dengan cerita yang benar-benar berlaku atau tidak berani menangani cerita yang mempunyai pertalian dengan sejarah politik sesebuah negara. Ataupun kisahnya saja amat payah untuk dijadikan sastera.
Kata orang bijaksana, manusia dilihat pada tingkah lakunya. Akal manusia pada sikapnya. Tuturkata melambangkan pemikiran seseorang itu. Begitu juga, akhlaq yang dipuji bermula dengan hati yang baik. Manusia sendiri adalah penyelaras bahagian-bahagian penting ini. Sesudah manusia diberikan akal, hati dan kata-kata mereka jugalah diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Manusia bertanggungjawab ke atas apa yang lakukan.. Setiap darinya mewakili mansuia dalam menentukan suatu keputusan.
Manusia tidak dapat lari dari kenyataan. Kenyataan yang amat mudah disebut apa yang berlaku sekeliling kita. Manusia selalu merenung, mengambil tahu, mengikuti dan memahami realiti yang berlaku. Kenyataan ini yang mempengeraruhi pemikiran dan sikap manusia dari segi positif dan negatifnya.
Manusia juga tidak boleh hidup berdiam diri kerana hakikatnya memerlukan pengehtahuan iaitu dengan cara belajar. Pendidikan menjadi asas kepada pembentukan peribadi manusia. Dia yang memilih untuk menjadi insan Melayu Glokal atau tidak. Dia memilih untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang atau tidak dengan pendidikan yang dikecapi. Dengan pendidikan juga, dia yang mencari kehidupannya yang lebih sempurna. Oleh itu manusia sendiri sering menggumpamakan ilmu sebagai buah yang dihasilkan melalui pohon yang disemai rapi, dijaga dan dibaja dengan baik.
Manusia juga tidak dapat lari daripada pengalaman peribadi yang membentuk keputusan manusia itu. Dia mempelajari alam ini dan bergaul dengan manusia yang dipilihnya menjadi kawan. Jadi manausia sememangnya memerlukan pengalaman luar dan pergaulan rakan. Natijahnya ialah iktibar dan kenangan. Manusia menyimpan iktibar dari pengalaman dan manusia memegang kenangan daripada persahabatan.
Justeru, ada apa pada sastera yang hanya sekadar contengan tulisan, atau kata-kata yang disusun molek pada kertas-kertas, kemudian dijilid menjadi buku. Sedangkan manusia sendiri tidak perlukan sastera untuk menjawab semua persoalan yang dihadapi manusia atau ingin memanusiakan dirinya dengan cara sastera. Sebaliknya manusia lebih perlukan duit untuk menyelesaikan masalah. Manusia lebih perlukan kaunseling untuk mengrungkai masalah peribadi dan sebagainya. Lalu ada apa pada sastera yang hanya diajarkan di sekolah-sekolah dan diadakan dalam satu-satu aktiviti membaca sajak contohnya hanya untuk mengisi waktu yang tersisa.
Sastera tidak menjamin kejayaan maupun masa depan. Manusia sendiri kecewa dengan sastera kerana tidak memulangkan hasil yang sepatutnya. Namun manusia cepat lupa bahawa sastera sememangnya bukan untuk mencari duit, tempat menyelesaikan masalah dan sebagainya. Kerana tidak ada apapun pada sastera yang boleh diharapkn dan jika disempitkan sedikit, iaitu pada novel tatu sebuah sajak yang hanya panjangnya 10 baris.
Penulis sendiri merasakan tidak ada banyak faedahnya jika berfikir dengan cara berfikrian tertutup. Tidak juga untuk mendapat satu keputusan yang baik, jika hanya pandai mengeluh tentang ada apa pada sastera.
Manusia lupa pada sejarah agaknya, iaitu atuk nenek atau leluhur manusia adalah manusia yang memang menggunakan sastera dan dijadikan sebahagian dari kehidupan. Leluhur manusia menggunakan pantun dalam menyatakan tujuan-tujuan tertentu. Manusia perlu berhibur dengan cara menyanyi atau mendengar cerita, hakikitnya itulah jasa sastera pada manusia. Manusia perlukan sesuatu untuk menaikkan semangat dan pengajaran dalam kehidupan, lalu sasteralah tempat yang sesuai dapat dirujuk. Manusia perlukan sasetra untuk menyuburkan nilai positif selain menyemai daya kreativiti.
Maka terjawablah manusia sememangnya realiti dalam sastera itu sendiri. Hari ini manusia seringkali mencari idealistik dalam hidup. Hampir kesemuanya dilontarkan lewat sastera pada sajak, puisi, gurindam dan cerita. Semacam satu kesan amarah pual, apapun itu salah satu tujuan sastera.
Sastera membawa masyarakat manusia menghayati peranan manusia terhadap diri sendiri, alam sekitar, makhluk alam sejagat dan kepada nilai-nilai yang baik. Manusialah yang menajdi model dan hasil uji kaji dalam sastera. Manusia dipamerkan dengan seribu satu watak dan sifat. Terima atau tidak menjadi titik tolak kepada pembaca yang juga manusia. Manusia dinasihati, dipuji atau dikritik lewat sastera. Atau manusia dibangkitkan semangatnya lewat sastera. Janga terasa apabila sastera tidak terlalu ghairah dengan populariti manusia yang sering menjadi keghairahan massa.
Bilakah manusia berhenti dijadikan intipati bicara dalam karya, memangpun sebenarnya tidak ada tanda noktahnya apabila manusia terus bersifat dan berperibadi yang pelbagai ragam. Selagi itulah sasetra ditulis dan dicatat dalam karya. Dan dalam karya manusia sebenarnya diingatkan bukan dibohongi. Dalam sastera manusia menjadi saksi untuk menilai kelemahan atau kekuatan diri sendiri bukan untuk banggakan. Dalam sastera manusia perlu berfikir lebih dari sekali dan menghayati makna di sebalik simbol atau tanda lewat peristiwa-peristiwa… dan manusia tidak perlu menggelabah soal itu, hanya perlu memikirkan dan bertindak dengan lebih waras dan bijaksana. Agaknya itulah sebahagian hasrat sastera itu sendiri.
Jadi apa salahnya tika membaca sastera itu diletakkan niat terlebih dahulu untuk melihat diri sendiri. Untuk melihat apa yang telah terjadi dan beberapa fakta-fakta penting selama ini yang hanya menjadi nota kaki saja dalam sebuah buku dinamakan kehidupan. Kenapa selama ini sastera tidak begitu diminati manusia?. (Mungkin di zaman moden ini manusia mulai ‘kering’ motivasinya untuk melihat manusia dengan cara membaca). Kenapa terlalu banyak alasan? dan kenapa jadi begini?.( Mungkin manusia semakin alpa atau malas untuk menafsir manusia itu sendiri.
Subscribe to:
Posts (Atom)