Thursday, November 08, 2007













Mengingati dan menghargai tujuh sasterawan negara...

Sesungguhnya mereka telah mencorakkan sastera Melayu dengan karya-karya yang sukar untuk dilupakan........

Tuesday, November 06, 2007

Buku tetamu







Sudah beberapa hari saya disibukkan dengan kehadiran tetamu-tetamu baharu malah tidak lagi bergelar tetamu. Saya maksudkan adalah buku-buku baru yang dibeli daripada tempat dan cara. Pada mulanya saya begitu begitu bosan memandang selepas sahaja menyambut hari saya, banyak perkara membuatkan saya terlalu sunyi.

Situasi kembali menuntut saja menjadi seorang yang cermat dengan masa. Jadi saya tidak fikir dengan hanya duduk dan pergi balik kerja dapat menenangkan diri. Lalu dengan kemampuan yang ada, saya membeli beberapa buah buku untuk menambah seri hari-hari saya.

Antara buku-buku tersebut;

-Manikam Kalbu (Faisal Tehrani)
Pemenang Pertama Peraduan Sempena Jubli Emas DBP, Kategori Remaja
-Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani)
Pemenang Pertama Peraduan Sempena Jubli Emas DBP, Kategori Umum
-Mahabbah (Shahnon Ahmad)
Pemenang Ketiga Peraduan Sempena Jubli Emas DBP, Kategori Umum
-Kutukan Dari LAngit (Arenawati)
-Sudara (Arenawati)
-Falsafah Ketuhanan (HAmka)
-Wawawsan Al-Quran (M. Quraish Shihab)
-Di Bawah NAungan Cinta (ibn Hazm)
-Big Breasts And Wide Hips (Mo YAn)
-Derrida ( Muhammad Al-Fayyadl)
-Apakah Sejarah (E.H Carr)
-Perkembangan Pemikiran Filsafat Dari Klasik Hingga Modern (Dr. M. Solihin)
-Hermeneutika Kontemporer (Josef Bleicher)
-Kamus Istimewa (Abdullah hussain)
-Buku dan Pendididkan (Abdul Razaq ahmad & Shahrom TM Sulaiman)
-Perpustakaan dan Pusat Sumber Dinamisme dan Revelensi ( Shahrom TM Sulaiman)
-Budaya Yang Tercabar (Shamsul Amri Baharudin)
-Ali Syari'ati Biografi Politik Intelektual Revolusioner (Ali Rahnema)
-A Gentle Madness: Bibliophiles, Bibliomanes, and the Eternal Passion for Books
(Nicholas A. Basbanes)
-Pembaratan Pemerintan Johor ( Rahimah Abdul Aziz)
-Sangeetha (Azizi Hj. Abdullah)
-Teater Melayu Suatu Risalah Pemikiran Melayu (Kamaluddin Abdul Rahman)
-Puisi-Puisi Syeikh Ahmad al-Fatani (Wan Mohd. Shaghir Abdullah)
-Kumpulan Esei dan Kritikan Filem (Anuar Nor Arai)

Untuk beberapa hari ini saya masih lagi ditemani dengan buku-buku ini. Jika tidak mendampingi dan meladeninya, saya mungkin membeleknya. Entahlah, untuk beberapa hari lagi buku apa pula yang bakal tiba untuk saya baca...

Friday, September 21, 2007

setiap detik bermulanya hidup...


hari baharu dalam hidup remaja
belum diusik bola matari
yang digambarkan mencabar

selalunya ada yang menyeronokkan dari yang diresahkan
mungkin bukan tentang rutin kerja yang kaku
mengongkong suara hati
yang menyokong satu arah

selalunya aku berubah
menjadi seorang yang leka dengan dunia sendiri
membaca, belajar dan mengajar
sesudah itu kembali ke rumah mimpi
memutarkan pandangan
yang telah sedia kosong

selalunya aku menjadi seorang yang begitu keras
dengan pandangan jitu
sehelai daun nan gugur depan taman
mengajakku memandang tiap detik hidup
punya bacaannya yang tersendiri
dengan suara orang atau peribadi

dan setiap detik itu merenungi kedewasaan
tanpa disedar nama, cita-cita dan pandangan hidup
bisa berubah penuh rela
setiap detik batasannya tidak lagi bersuara.

Wednesday, September 05, 2007



dipinjam: www.supernanny.co.uk/Images/content/uploads/b...

erti kedewasaan

mana diri sebelum ini
dengan buku-buku sekolah dan jadual padat
dari gelap subuh hingga sepi malam
semuanya makin berkurang setelah
bertambah naluri memahami sekitar diri
kawan-kawan yang rajin dan malas
guru-guru yang tegas dan bersikap lebih kurang
mana dia petanda perubahan diri?
mungkin jadual esok perlu disusun sendiri
peranan jadual bukan lagi terikat pada diri

ayuh mengerti tentang kedewasaan,
mempelajari inti kehidupan yang bebas dan terbatas
kemenangan, kealahan dan kebuntuan
diari seorang lelaki dan seorang perempuan
jadual seorang pelajar atau seorang anak
malam tidak sama dengan siang

ada musim menyemai keceriaan
ada musim menghitung kebimbangan
ada puisi sedih dan kecewa
ada puisi tabah dan berusaha

tidak mudah untuk mencari diri
di sebalik sejarah lalu orang lain
yang selalu terbuka dengan kepetahan berbicara
bagi burung pagi menyiul erti kehidupan
setiap peringkat ini bagai lorong permulaan
asas-asas utama mengukuh jadi pedoman
di sisi diri pendirian dan keputusan
sepenuh terpandu akal dan jiwa yang tenang
mengerti masa muda peluang dan cabaran
menguji lestari bakat dan cita tehadap masa depan.

Saturday, September 01, 2007



laut
sajak tidak siap


laut itu di depan mata dengan segala senyuman
menenangkan mata yang memandang
bayu angin melepas jauh burung-burung
selepas dipegang beberapa ketika
deras ombak membuih di kaki pantai

dan air laut itu kain membuka dirinya kepada
seorang yang sunyi
melimpah ke pasir coklat
memanjat ke pantai darat
menenggelamkan batu-batu rawan di tiap sudut khayal
meminta bahasanya diikuti dan difahami
'jangan terus pergi'

terus-terusan melimpah ke pohon
kemudian menarik diri dari terus menguasai suasana
mengajak diri menghayati keindahan maya
stidak ramai dapat merasainya mengalaminya
diheret ke dalam dasar rahimnya
mencari lorong tenang

semangat laut itu begitu besar
sehingga dalam dasarnya terkumpul segala nyawa
hidupan dan adat yang dipelajari
hanya dibenarkan kesempatan

Wednesday, August 15, 2007

suara diri

rupanya hari ini bertarikh 15 ogos
aku hampir terlupa beberapa perkara
sebelum menjadi begitu ghairah beberapa perkara
aku memelihara waktu yang sebetulnya bukan milikku
aku tetap ingat kenyataan ini
barangkali aku juga terus menjadi peragu
dengan apa yang dilakukan
ketika di depan orang atau di belakang, sendirian

mungkin membentuk diri saat berada
bersama orang dan sendirian
saling bertentangan prinsip dan adabnya
aku mencari juga mana-mana tempat yang boleh
aku duduk dan termenung, menenangkan kebimbangan
sebaliknya kadang-kadang kesunyian dan kesemuan
berbentuk patung di antara gedung pakaian yang sepi

sudah 26 tahun hidup berdiri atas tiket manusia
aku masih menerima dan memberi waktu
dalam jadual yang tiada siapa mengganggu
aku menulis, membaca, menyanyi, berfikir,
menonton cerita dan melakukan sesuatu buat diri
hingga semuanya kian sempurna
sesungguhnya kesempurnaan atau kamal itu
begitu halus dalam waktu menanam cita
di tengah malam yang dingin

sudah............setakat ini

Monday, August 13, 2007



Sastera menafsir manusia.

Sastera adalah realiti sebenar manusia. Manusia berwajah tenang, garang dan buruk. Manakala sastera menyimpan cerita manusia dan sebahagian besar mencatat tindak tanduk dan peribadi manusia. Sastera pula tidak mungkin ditulis tanpa ada kebenaran cerita, watak, psikologi, sejarah, peristiwa, episod, idea dan sebagainya yang amat akrab dengan manusia. Oleh itu sastera dan manusia adalah satu sebatian yang paling ideal.

Riwayat manusia diceritakan semula dalam banyak karya sastera tidak kira melalui puisi atau prosa. Sang penulis mengambil manusia dan dihidupkan atau dijasadnyawakan dalam karya sastera. Dibangunkan sahsiah, pemikiran, idea dan gagasannya sehinggalah perkara-perkara yang penting dan remeh itu melengkapkan sebuah cerita yang panjang atau pendek untuk dibaca oleh manusia. Yang paling pokok, ia ditulis bukan sekadar untuk menghiburkan sahaja tetapi memenuhi tuntutan dan tujuan yang tertentu.

Cerita yang paling terbaik mungkin hanya didapati daripada manusia sendiri. Pengalaman manusia itu amat berharga. Perasaan manusia yang menghadapi susah senang kehidupan juga paling ‘benar’ dalam erti kata sebuah cerita. Walaupun sebuah cerita boleh direka dan disusun mengikut tujuan, selera dan pandangan hidup namun cerita yang paling diketahui adalah cerita yang paling senang untuk diceritakan semula, atau dijadikan karya. Sebagai contoh, seorang ulama besar yang pernah dipenjara oleh seorang pemimpin besar dan ketika kematian pemimpin itu, ulama ini menerima jemputan untuk mengimamkan solat jenazah pemimpin itu, yang pernah menzaliminya. Lalu beliau menerimanya dengan hati yang terbuka jemputan itu. Ini merupakan salah satu cerita yang paling ‘benar’ dalam kehidupan namun jarang benar ‘disasterakan’. Mungkin disebabkan penulis tidak berani dengan cerita yang benar-benar berlaku atau tidak berani menangani cerita yang mempunyai pertalian dengan sejarah politik sesebuah negara. Ataupun kisahnya saja amat payah untuk dijadikan sastera.

Kata orang bijaksana, manusia dilihat pada tingkah lakunya. Akal manusia pada sikapnya. Tuturkata melambangkan pemikiran seseorang itu. Begitu juga, akhlaq yang dipuji bermula dengan hati yang baik. Manusia sendiri adalah penyelaras bahagian-bahagian penting ini. Sesudah manusia diberikan akal, hati dan kata-kata mereka jugalah diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Manusia bertanggungjawab ke atas apa yang lakukan.. Setiap darinya mewakili mansuia dalam menentukan suatu keputusan.

Manusia tidak dapat lari dari kenyataan. Kenyataan yang amat mudah disebut apa yang berlaku sekeliling kita. Manusia selalu merenung, mengambil tahu, mengikuti dan memahami realiti yang berlaku. Kenyataan ini yang mempengeraruhi pemikiran dan sikap manusia dari segi positif dan negatifnya.

Manusia juga tidak boleh hidup berdiam diri kerana hakikatnya memerlukan pengehtahuan iaitu dengan cara belajar. Pendidikan menjadi asas kepada pembentukan peribadi manusia. Dia yang memilih untuk menjadi insan Melayu Glokal atau tidak. Dia memilih untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang atau tidak dengan pendidikan yang dikecapi. Dengan pendidikan juga, dia yang mencari kehidupannya yang lebih sempurna. Oleh itu manusia sendiri sering menggumpamakan ilmu sebagai buah yang dihasilkan melalui pohon yang disemai rapi, dijaga dan dibaja dengan baik.

Manusia juga tidak dapat lari daripada pengalaman peribadi yang membentuk keputusan manusia itu. Dia mempelajari alam ini dan bergaul dengan manusia yang dipilihnya menjadi kawan. Jadi manausia sememangnya memerlukan pengalaman luar dan pergaulan rakan. Natijahnya ialah iktibar dan kenangan. Manusia menyimpan iktibar dari pengalaman dan manusia memegang kenangan daripada persahabatan.
Justeru, ada apa pada sastera yang hanya sekadar contengan tulisan, atau kata-kata yang disusun molek pada kertas-kertas, kemudian dijilid menjadi buku. Sedangkan manusia sendiri tidak perlukan sastera untuk menjawab semua persoalan yang dihadapi manusia atau ingin memanusiakan dirinya dengan cara sastera. Sebaliknya manusia lebih perlukan duit untuk menyelesaikan masalah. Manusia lebih perlukan kaunseling untuk mengrungkai masalah peribadi dan sebagainya. Lalu ada apa pada sastera yang hanya diajarkan di sekolah-sekolah dan diadakan dalam satu-satu aktiviti membaca sajak contohnya hanya untuk mengisi waktu yang tersisa.

Sastera tidak menjamin kejayaan maupun masa depan. Manusia sendiri kecewa dengan sastera kerana tidak memulangkan hasil yang sepatutnya. Namun manusia cepat lupa bahawa sastera sememangnya bukan untuk mencari duit, tempat menyelesaikan masalah dan sebagainya. Kerana tidak ada apapun pada sastera yang boleh diharapkn dan jika disempitkan sedikit, iaitu pada novel tatu sebuah sajak yang hanya panjangnya 10 baris.

Penulis sendiri merasakan tidak ada banyak faedahnya jika berfikir dengan cara berfikrian tertutup. Tidak juga untuk mendapat satu keputusan yang baik, jika hanya pandai mengeluh tentang ada apa pada sastera.
Manusia lupa pada sejarah agaknya, iaitu atuk nenek atau leluhur manusia adalah manusia yang memang menggunakan sastera dan dijadikan sebahagian dari kehidupan. Leluhur manusia menggunakan pantun dalam menyatakan tujuan-tujuan tertentu. Manusia perlu berhibur dengan cara menyanyi atau mendengar cerita, hakikitnya itulah jasa sastera pada manusia. Manusia perlukan sesuatu untuk menaikkan semangat dan pengajaran dalam kehidupan, lalu sasteralah tempat yang sesuai dapat dirujuk. Manusia perlukan sasetra untuk menyuburkan nilai positif selain menyemai daya kreativiti.

Maka terjawablah manusia sememangnya realiti dalam sastera itu sendiri. Hari ini manusia seringkali mencari idealistik dalam hidup. Hampir kesemuanya dilontarkan lewat sastera pada sajak, puisi, gurindam dan cerita. Semacam satu kesan amarah pual, apapun itu salah satu tujuan sastera.

Sastera membawa masyarakat manusia menghayati peranan manusia terhadap diri sendiri, alam sekitar, makhluk alam sejagat dan kepada nilai-nilai yang baik. Manusialah yang menajdi model dan hasil uji kaji dalam sastera. Manusia dipamerkan dengan seribu satu watak dan sifat. Terima atau tidak menjadi titik tolak kepada pembaca yang juga manusia. Manusia dinasihati, dipuji atau dikritik lewat sastera. Atau manusia dibangkitkan semangatnya lewat sastera. Janga terasa apabila sastera tidak terlalu ghairah dengan populariti manusia yang sering menjadi keghairahan massa.
Bilakah manusia berhenti dijadikan intipati bicara dalam karya, memangpun sebenarnya tidak ada tanda noktahnya apabila manusia terus bersifat dan berperibadi yang pelbagai ragam. Selagi itulah sasetra ditulis dan dicatat dalam karya. Dan dalam karya manusia sebenarnya diingatkan bukan dibohongi. Dalam sastera manusia menjadi saksi untuk menilai kelemahan atau kekuatan diri sendiri bukan untuk banggakan. Dalam sastera manusia perlu berfikir lebih dari sekali dan menghayati makna di sebalik simbol atau tanda lewat peristiwa-peristiwa… dan manusia tidak perlu menggelabah soal itu, hanya perlu memikirkan dan bertindak dengan lebih waras dan bijaksana. Agaknya itulah sebahagian hasrat sastera itu sendiri.

Jadi apa salahnya tika membaca sastera itu diletakkan niat terlebih dahulu untuk melihat diri sendiri. Untuk melihat apa yang telah terjadi dan beberapa fakta-fakta penting selama ini yang hanya menjadi nota kaki saja dalam sebuah buku dinamakan kehidupan. Kenapa selama ini sastera tidak begitu diminati manusia?. (Mungkin di zaman moden ini manusia mulai ‘kering’ motivasinya untuk melihat manusia dengan cara membaca). Kenapa terlalu banyak alasan? dan kenapa jadi begini?.( Mungkin manusia semakin alpa atau malas untuk menafsir manusia itu sendiri.

Tuesday, July 31, 2007



salam merdeka

abad baru yang menguji jatidiri
di antara kenyataan dan ilusi
atau mudah dipaut mimpi
hingga kita alpa dengan pesona warnanya

sampai di suatu waktu, terpaksa kita akur
janji-janji yang telah disimpan untuk kita
pemimpin yang kuat berjuang telah lama
mengingatkan bahawa kemerdekaan hari ini
tiada hadir dengan percuma

maka semua rasa dan nikmat sedang bertambah
ingatan pada waktu sukar kian menghilang
di puput deru globalisasi atau topeng penjarahan

dahulu merdeka satu harga tidak mampu dibayar
dan semua yang merasainya bersatu dalam perbedaan
tapi kita kata saja, biarlah dan biarlah
sehingga abu bermain dengan debu malas

kerana kata kita merdeka bukan di masa ini
bebas telah menyakinkan kita tentang lupa diri
akar tunjang perjuangan dan darah airmata para pemimpin

salam kemerdekaanku untuk yang lupa diri
kembalilah kepada masa lalu. tiada mudah alpa
lebuh raya sejarah yang memandu kita ke hari ini
salam kemerdekaan buat yang maih mengingati mereka
yang pergi dengan senyum nan ikhlas.

Wednesday, July 25, 2007

sajak yang tidak usai

dalam wadah kasihNya
tanah bumi kian subur
dengan tumbuh pohon namamu
yang indah dengan makna
melafazkan tiap waktu jalan takdir
bakal ditempuh
setelah kau melihat dunia yang bercahaya
menarik sentuhan rasa
yang berulang dengan maksud-maksud
dulu selalu kau menyebutnya
kasih sayang dan kedamaian

melalui jarak ini, dan tidak pernah menyangka
membuka langkah pertama ini
dicabar jiwa rohani dan kemauan
juga tanah menanggung cita-citamu
wajah anak muda yang tidak canggung
tidak mahu merusuh cara yang mengecewakan
akal itu sebagai alamat di jalanan

kau mula mengetahui itulah jalannya
itulah sudutnya yang terbuka
sesi mencari dan meneroka hidup
yang jauh lebih mencabar
menukar dan mengembalikan apa yang berserekan
di lantai renung
atas jujur dan insaf berpuisi kerana hujan

Sunday, July 22, 2007



malam tanpa lagu

malam tanpa lagu
di mana lirik yang selalu menemaninya
mana rima kata, rentak atau helai rasa
di hujung nikmat

mana ada malamnya tanpa lagu
busanya selalu terapung
dengan emosi muda
selalu bertembung dengan persoalan

tiap soalan dia melupakannya sebentar
mendahuluinya dengan andaian
namun dia selalu menerima petunjuk
lorong untuk menambah kekurangan diri

di sana semuanya menjadikannya makin matang
menerima, menafsir dan mengubah tesis
dia harus jujur berbicara
tiap kata dibacanya dengan teliti

pengajaran banyak dalam waktu
tidak menentu dan spontan
terbuka, aneh atau menakutkan
semuanya satu jalan
memaknakan kehidupan
mana malam lagunya
dia sembuh dengan sendiri nanti.

Tuesday, July 17, 2007



setiap detik bermulanya hidup...

hari baharu dalam hidup remaja
belum diusik bola matari
yang digambarkan mencabar

selalunya ada yang menyeronokkan dari yang diresahkan
mungkin bukan tentang rutin kerja yang kaku
mengongkong suara hati
yang menyokong satu arah

selalunya aku berubah
menjadi seorang yang leka dengan dunia sendiri
membaca, belajar dan mengajar
sesudah itu kembali ke rumah mimpi
memutarkan pandangan
yang telah sedia kosong

selalunya aku menjadi seorang yang begitu keras
dengan pandangan jitu
sehelai daun nan gugur depan taman
mengajakku memandang tiap detik hidup
punya bacaannya yang tersendiri
dengan suara orang atau peribadi

dan setiap detik itu merenungi kedewasaan
tanpa disedar nama, cita-cita dan pandangan hidup
bisa berubah penuh rela
setiap detik batasannya tidak lagi bersuara.


Kerana terlalu malas atau tidak punya waktu, aku selalu menulis sajak berbanding menulis cerpen, esei atau sebagainya. Maklumlah aku sekarang sedang berrehat daripada kursus dan kerja-kerja yang begitu 'panjang' dan terasa keletihannya kehari ini. Di samping membaca dan menerokai penulisan orang lain. Berbicara dengan para pujangga, bijakpandai dan orang yan berpengalaman melalui karya-karya yang ditulis mereka. Aku berharap 'rehat' ini bermakna dan kau memang sudah agak lama tidak berrehat sejak habis belajar dulu walaupun masih awal untuk rehat...

Thursday, July 12, 2007

biodata

ku dilahirkan bulan ogos yang sepi
di pagi penuh kabus yang asyik menahan pandangan
orang di sekitarku belum menyedari kehadiranku
ibu bertenang dengan harapannya
disembuh kesakitan sementara dengan kata syukur dan doa

apakah aku sedang menyaksikan semuanya bakal berubah
atuk sedang berrehat menantikan makanan
selepas semua letih dileraikan
aku tentu sedang nyenyak tidur

abang-abangku entah ke mana hilangnya mereka
berlari ke sana kemari
mengcukupkan waktu untuk bermain
jiran tetangga mungkin datang bertandang
ibuku baru pulang dari wad bersalin

semuanya mungkin menempah hari baharu
untuk insan sepertiku
semua yang hidup akan membesar
fizikal yang pendek boleh membesar
luas pandangan pengalaman
namun semuanya tetap bisu

dan ia hanya berbicara dengan petah
apabila aku masuk ke tadika
aku menangis, ketawa dan berharap untuk banyak bercerita
pada kawan-kawan, pada buku yang kubaca
pada cikgu yang perempuan

urusan ini belum sudah
semuanya harus dalam batasan
aku berada di antara petang
dan malam dicuri sepi
pagi dipungut kantuk
dan jam 9 lebih di tadika
bau nasi lemak dan sardin
selalu meliurkan

Wednesday, July 04, 2007




dunia sepi seorang pembacuh air

sikap dilandasi peristiwa lalu
dirinya tidak terperangkap dengan alasan
dan selalu memilih menjadi seorang yang berguna

di antara semua permasalahan, dia lebih mudah memikirkan
hasil titik peluhnya untuk satu masa nanti
terutama bila dia beruban putih

adakah dia terbiar menjadi begini serba kekurangan?
adakah dia akan ke hujung dewasa dengan sendirian?

walau kerjanya hanya berkaitan dengan citarasa manusia
yang pelbagai ragam dan rasa
mungkin hari ini permintaan kopi lebih dari milo
teh o lebih baik dari nescafe

dia memahami itu semua kerana manusia mahu
terus berubah dan ingin menjadi seorang yang istimewa
dan keistimewaan itu selalu mengalpakan diri

'jangan terlalu manis atau pahit melepit'
dia menerima pesanan atau arahan
kerap menguji kecekapannya
menghasilkan dan mengadun serbuk kopi, gula, susu dan sebagainya
yang dapat diterima pelanggan dengan rasa puas hati
dan munasabah

dan sebahagian rencah hidupnya seperti air panas yang bisa saja berubah
menjadi manis dan menyelerakan seorang pelanggan bila
sarapan, makan tengahari atau malam
baginya dia sudah gembira dengan memuaskan pelanggannya
dengan membancuh segelas air yang sukar untuk diluapakan rasanya.

dia masih tersenyum jika hidup ini penuh resahnya di luar sana
tapi dia perlu berdedikasi untuk menyediakan yang terbaik
untuk pelanggan kedai tempat dia bekerja
biarlah ia akan terus sunyi, namun dia tetap ceria begitu.

Tuesday, June 26, 2007


dipinjam daripada : www.designsbywillow.com

gendang yang hilang

sejak kita menjadi guru
tidak mungkin lupa dengan kerja untuk meraikan majlis meriah
seperti hari itu
hari yang tidak mudah dilupakan
di mana keadaan kau dan aku sering
menanyakan tentang falsafah dan sebab
di sebalik suatu peristiwa

dan jarak itu lansung memutuskan
semua yang dianggap cita-cita
kau selalu berusaha mendapatkannya
dengan berani mencipta pelan tindakan
yang menurutmu bakal menrealisasikan makna

selalu kehidupan kita bermula dengan yakin diri
kerana terlalu yakin kita tergelincir
dan tidak bisa melihat sifat di sebalik warna terang
sungguh tiap masa kita berbincang
di meja atau di katil
sebelum mencapai kata 'mari tidur, malam sudah lewat'
dan sebelum dengkur teman di sebelah semakin sepi
kita selalu mencari sesuatu dalam wacana itu
dan mengakhirinya dengan satu soalan yang tidak berjawab

dan semua ini satu ceritera
dari satu detik yang mudah kepada kepada
mekana kehidupan yang tidak mudah
belajarlah daripada kesilapan
sekalipun dunia ini selalu menyaksikan
kesilapan itu di depan mata.

Friday, June 22, 2007



dipinjam dari:http://www.egeltje.org/archives/memes/rain.jpg
Bila Berada Di Tempat Orang........

Orang lain (berdasarkan profesion yang saya ceburi ini) bercuti. Jadi yang bercuti maksudnya dapat berehat dan sebagainya. Saya dan teman-teman yang lain berbeza pula halnya. Kami perlu hadir ke tempat belajar kali dan terus mengahadapi peperiksaan dan mengikuti kursus-kursus yang penting sebelum menjadi seorang yang layak spenuhnya dalam profesion ini. Ala kulli hal, ini semua untuk masa depan saya dan rakan-rakan yang senasib.

Tapi bila berada di tempat orang dapatlah meluaskan pengalaman. di Sg Petani ini macam-macam pengalaman yang saya kutip tidak kira yang baik atau sebaliknya. Dan sempat juga saya menulis dan melebarkan pengetahuan saya dengan membaca buku yang dikira patut dibaca selain buku baharu yang saya beli di sini. Ia berbeza sedikit jadinya bila saya berada di tempat orang. Orang kata di tempat orang tentu tidak sama dengan tempat sendiri.

Saya dapat juga menenangkan diri dengan walaupun dengan beberapa tugasan yang wajib dibuat. Saya masih berminat untuk menulis puisi di sini. Jika ada masa saya menulis ta[i apa yang ditulis kerap tampak 'kekurangan'nya. Mungkin kerana saya tak dapat memberikan tumpuan. Maka projek menulis cerpen terbelengkalai sebentar, takpa lah. Berkorban apa saja...

Mungkin ini salah sebuah sajak yang sempat untuk dikongsi bersama pembaca;

bilakah hujan akan sidang

tadi apabila aku keseorangan
hujan mula turun menitik titik demi titik
merembas lebih cepat dan kerap
memisahkan kesunyian dari kekasihnya

tadi hanya aku dan dia
menerima dan memberi kata-kata
atas tar sana dengan sedikit gusar
sehingga kami berpisar dalam kabur
yang dibawa hujan

berikan sesuatu, titis demi titis
dalam angin membisu di luar
mencela dalam suasana yang basah
bukuku basah, renunganku basah,
mata yang hampir menjadi debu
bertaburan dalam sendirianku
tapi ia tidak kuzinkan
kerana aku amat malu
walau bersendirian.


21/1/07

sajak ini rupanya sajak kutulis bukan di sg petani ini agaknya.

Thursday, May 24, 2007



seperti senyumanku
oleh -mohd fadzil yusof

kau buat aku tersenyum
bukan mudah untuk tersenyum
dan aku tersenyum
matilah semua tanggapan

aku sudah tersenyum
dan siapa antara kita
mengenal himpunan hikayat khayali
senyumlah sekarang
sebelum menyeberang ke sana

sebelum matahari menyimpan senyuman
sebelum bintang merahsiakan
semua amarah dan ego
jangan mudah jadi bongkak

dan darahnya tetap mengalir
urat yang menyisih
dirimu dalam belahan takdir.



Bei Dao Penyair Kabus

Bei Dao yang bermaksud pulau utara bukan nama sebenar penyair dalam buangan ini. Nama beliau yang sebetulnya Zhao Zhenkai merupakan salah seorang yang disebut sebagai Misty Poets. Misty Poets merupakan penyair baharu yang menjadi fenomena sastera unik di China. Penyair-penyair ini menentang Revolusi Kebudayaan di bawah Mao Zedong yang mana selain melakukan ketidakadilan dalam masyarakat, revolusi tersebut juga menyekat kebebasan bersuara dan berkarya.

Semacam menjadi salah satu identiti bagi penyair-penyair dari golongan ini mereka tidak menetap di negara mereka sendiri iaitu China sebaliknya berpindah-randah dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain terutama di negara-negara Eropah atau dengan berstatuskan penulis atau penyair yang lantang mengkritik pemerintah dan dibuang negeri.

Semenjak daripada tahun 1989 Bei Dao berada dalam buangan politik sehingga sekarang. Pada 1989 itu telah berlakunya rusuhan besar-besaran di Tiananmen Squre di mana para pelajar atau golongan muda bangun menyatakan keinginan mereka terhadap demokrasi dan menuntut perubahan berlaku khususnya dalam politik dan sosial di Republik China .
Bei Dao dilahirkan di Beijing pada tahun Ogos 1949. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mengambilberat tentang pendidikan. Ayahnya seorang pentadbir professional dan ibunya seorang doktor. Keluarganya berasal daripada wilayah Shanghai dan lembah Yangtse Sungai, iaitu pusat pertembungan tamadun China dan pengaruh Barat moden. Pada 1966 Revolusi Kebudayaan bermula dan pada ketika itu pendidikan Bei Dao di sekolah tinggi terbantut dan itulah pendidikan formal terakhir beliau sebelum menyertai Red Guard yang ditubuhkan untuk menjadi mata-mata bagi pemerintah Mao Zedong di pendalaman khususnya.

Selain menyertai Red Guard beliau juga menjadi buruh binaan pada tahun 1969 hingga 1980 di kawasan luar bandar. Beliau mula menyedari keadaan kemiskinan dan kemunduran yang terdapat di sana menjadikannya sedar tentang propaganda pemerintahan yang digambarkan sebaliknya. Pada tahun detik itulah juga Bei Dao mulai menyertai golongan tertentu yang berkedudukan atasan bersama rakan-rakan yang lain membentuk kumpulan yang menjalankan aktiviti sastera diadakan pada hari cuti bekerja.
Mereka berkumpul membaca, menulis dan berbincang karya sastera masing-masing selain berkongsi buku-buku baharu yang boleh mereka dapati pada ketika itu. Melalui penulisan Bei Dao dan rakan-rakan seperjuangan mengungkapkan persoalan semasa yang berlaku sekitar masyarakat dan antara elemen sering kali menjadi perhatian adalah tekanan politik dan sosial dalam masyarakat.

Setelah era Mao Zedong yang gelap dengan tekanan, Xiao Ping mengantikan dan memberikan sedikit kelonggaran tapi masih lagi terikat dengan kawalan pemerintah. Pada ketika itu timbul suara yang mengkoreksi kelemahan pemerintahan Mao Zedong dan mencerca Revolusi Kebudayaan yang membawa banyak kesan negatif khususnya kepada golongan miskin. Gerakan demokrasi seperti kian dapat menyedarkan banyak kepincangan yan berlaku di bawah pemerintah Komunis Mao Zedong dan yang sealiran denganya.
Selain menggunakan propaganda dan alasan politik untuk mengulakan masyarakat, yang sebenarnya telah membuka masyrakat terhadap persoalan akar berlaku di sekitar iaitu ketidakadilan dan kemandulan kerajaan memenuhi keperluan masyarakat. Perkembangan itu rupa-rupanya selari dengan perkembangan puisi di balik dinding keras yang dibina utuh. Sebahagian penyair percaya bahawa bahasa tidak mungkin ditekan dengan apa cara sekalipun.

Maka, genre puisi misalnya sudah agak lama tidak menemui khalayak China. Justeru, dengan usaha Bei Dao dan rakan-rakannya sebuah majalah sastera bernama Jintian diterbitkan secara rahsia pada 1978. Terbitan yang pertama itu mempunyai enam puluh muka surat yang juga diedar secara rahsia juga.

Wadah sastera Jintian yang merupakan lidah rasmi bagi penyair baharu telah menarik minat banyak lapisan masyarakat khususnya di universiti, jabatan kerajaan dan sebagainya. Ia menjadi menarik barangkali menurut Bei Dao kerana puisi yang ditonjolkan adalah puisi-puisi baharu dan mantap dari segi bahasa dan pemikiran.
Puisi-puisi daripada majalah Jintian memiliki ciri-ciri melawan arus daripada karya semasa yang sedia ada. Antara ciri-ciri kelainan itu gaya bahasa dan pengucapan yang digunakan sudah tidak melandasi bentuk karya lama. Puisi daripada penyair muda telah membebaskan daripada bentuk, tatabahasa, imejan serta pemikiran yang terkandung dalam karya sebelumnya.

Namun ia tidak lama diterbitkan. Dua tahun berikutnya Jintian (Hari ini) disekat dan diharamkan. Ada pengedar yang ditangkap kerana mengedarkannya di kawasan lain. Walaupun begitu karya-karya penyair baharu terus mendapat sambutan dan diteruskan dalam suratkhabar atau majalah rasmi kerajaan.
Ia diharamkan atas dasar bahasa yang digunakan oleh penyair-penyair baharu itu yang ternyata sangat berbeza daripada bahasa yang digunakan oleh penyair rasmi?lain. Dengan bahasa yang baharu dan segar sebetulnya ia menarik ramai pembaca. Lantaran itu timbul usaha mengiatkan kelab sastera di universiti secara aktif dan melahirkan ramai golongan muda yang meniru gaya penyair-penyair majalah Jintian.

Serangan terhadap majalah Jintian menyebabkan ia bertambah dikenali umum dan perhatian terhadapnya bertambah. Antara kritikan yang dinyatakan adalah bahawa puisi-puisi penyair itu kebanyakkannya meniru gaya bahasa puisi luar. Selain puisi yang hasilkan bertemakan subjektif, mengikut naluri dan pandangan penyair serta tidak mengandungi apa-apa makna. Lama-kelamaan kritikan menjadi bahan momokan politik dan kontroversi lantaran menyatakan penyair-penyair Misty dengan gerakan bawah tanah.

Oleh yang demikian Gerakan Demokrasi yang dipimpin golongan muda terdiri daripada mahasiswa, aktivis buruh dan intelektual di China yang akhirnya mencetuskan demontrasi serta beberapa sesi rusuhan pada tahun 1989 bertujuan menuntut demokrasi dan keadilan daripada pemerintah. Tiananmen Square menjadi medan kepada gerakan mahasiswa mengkritik kerajaan dan berlakunya rusuhan yang tragis.

Antara puisi yang selalu dikaitkan dengan titik tolak kepada gerakan mahasiswa yang menuntut demokrasi tersebut adalah The Answer. Puisi ini mengandungi pandangan Bei Dao tentang keadaan masyarakatnya yang tertekan dan sentiasa mahukan kebebasan serta demokrasi.

Namun Bei Dao menganggap apa yang berlaku sebenarnya bukan dari apa yang dijangka dan diingininya. Bei Dao menganggap bahawa sebagai penyair beliau tidak mewakili satu-satu kelompok keloktif dan suara dari suatu pihak. Menurutnya puisi tidak boleh mengubah dunia, tapi ia merupakan juzu?asas dalam kewujudan daripadanya. Ia daripada dunia manusia. Ia menjadikan manusia itu manusia?
Tentang khalayak pembaca pula Bei Dao berpandangan bahawa bel
iau menulis pada awalnya untuk khalayak yang kecil iaitu terdiri kawan-kawannya sama ada mereka boleh membacanya atau tidak dan tidak bermaksud khalayak pembaca yang tertentu atau ramai. Namun selepas berada dalam buangan karyanya tidak lagi dibaca oleh golongan tertentu namun menerima pelbagai khalayak yang tidak kira bangsa.

Pendapat lain Bei Dao juga agak unik di mana menurutnya tulisannya tidak mewakili mana-mana budaya tertentu lantaran tidak mempercayai ketulenan pada kebanyakkan budaya. Beliau percaya dengan percampuran budaya yang berterusan berlaku dan merupakan satu daripada keadaan yang menarik. Ini kerana Bei Dao sudah meninggalkan tanahairnya dan bermustautin di negara lain yang lebih jauh dari budaya asalnya.
Kumpulan penyair yang menulis Jintian dinamakan penyair kabus (Misty Poets) atau penyair bayangan (Poets Of Shadow) kerana puisi mereka yang memiliki imejan kuat yang digunakan dalam menyampaikan sesuatu maksud dan barangkali imejan ini digunakan hampir kesemua penyair Kabus ini.

Penyair-penyair ini telah memperbaharui rentak dan wajah bahasa puisi menjadi lebih subjektif dan bersifat peribadi walau masih dalam lingkungan tema yang global seperti cinta, perjuangan, kesunyian dan kehidupan.
Antara kelainan puisi-puisi penyair ini mereka sering mencipta imejan, metafora, frasa yang baharu dan belum digunakan pada puisi klasik Cina. Maka kehadiran mereka nyata memberikan impak tertentu kepada dunia sastera.

Ternyata karya Bei Dao yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris iaitu The August Sleepwalker telah menunjukkan perbezaan yang jelas pada rupa sebuah puisi. Kumpulan puisi ini adalah terjemahan daripada Bei Dao Shi Xuan iaitu Kumpulan Puisi Bei Dao yang diselenggara sepenuhnya oleh Bei Dao. Puisi-puisi tersebut ditulis di antara 1970-1989 yang mewakili kepenyairan Bei Dao dalam tempoh itu. Puisi-puisi dalam karya ini selain daripada bentuknya ringkas, padat tetapi mampu menarik pembaca melihat imejan-imejan segar yang digunakan. Seringkali dalam karya ini memaparkan pandangan peribadi penyair melihat isu cinta, perjuangan dan sebagainya tetapi asasnya ia mendekatkan pembaca kepada renungan terhadap hubungan manusia dan kehidupan sejagat.

Karya Bei Dao Waves 1990 merupakan kumpulan cerpen yang menceritakan tentang generasi yang hilang?pada era Revolusi Kebudayaan yang dianggap tidak teratur. Melalui karya ini Bei Dao mengeksploitasi pendekatan moden dalam mengalurkan cerita dan subjek. Penggunaan monolog dalaman dan variasi sudut penceritanya menunjukkan Bei Dao seorang penulis yang selalu mendekati kaedah yang tidak selalu digunakan penulis sebelumnya. Dalam karya itu juga ia memuatkan isu semasa dan menekankan persoalan realiti dan hak.

Atas kejayaannya dalam penulisan, Bei Dao menerima pelbagai penghargaan antaranya Tucholsky Prize daripada Swedish PEN, International Poetry Argana Award daripada House of Poetry di Maghribi dan PEN/Barbara Goldsmith Freedom to Write Award. Selain itu beliau aktif dalam memberi syarahan dan menjadi penulis pelawat di institut-institut seperti Universiti Notre Dame di Indiana , Universiti Alabama di Tuscaloosa dan Kolej di Wisconsin.

Hingga dari ini karya-karya Beli Dao telah menemui khalayak antarabangsa. Karya-karyanya The August Sleepwalker(1990), Forms of Distance (1994), Landscape Over Zero (1996). Unlock (2000), At the Sky's Edge: Poems 1991-1996 (2001), Midnight's Gate 2005 dan Waves (1990).

Selain daripada Bei Dao penyair Misty yang dalam buangan adalah Gu Cheng, Duo Duo, and Yang Lian. Selain Mang Ke and Shu Ting yang masih tinggal di negara mereka. Berikut adalah karya The Answer daripada kumpulan sajak The August Sleepwalker (1990);

Debasement is the password of the base
Nobility the epitaph of the noble
See how the gilded sky is covered
With the drifting twisted shadows of the dead

The Ice Age is over now
Why is there ice everywhere?
The Cape Of Good Hope has been discovered.
Why do a thousand sails the Dead Sea?

I Came into this world
Bringing only paper, rope, a shadow
To proclaim before the judgments
The voice that has been judged:

Let me tell you, world,
I-do-not-believe!
If thousand challengers lie beneath your feet,
Count me as number one thousand and one.

I don't believe the sky is blue;
I don't believe in thunders echoes;
I don't believe that dreams are false;
I don't believe that the death has no revenge.

If the sea is destined to breach the dikes
Let all the brackish water pour into my heart;
If the land destined to rise
Let humanity choose a peak for existence again.

A new conjunction and glimmering stars
Adorn the unobstructed sky now:
They are the pictographs from five thousand years.
They are the watchful eyes of future generations.

Sunday, May 20, 2007


Daripada www.samford.edu

Semalam aku duduk di Borders-sempadan

Semalam saya sempat ke Kuala Lumpur. Semenjak dari hari Jumaat lagi rasa ingin pergi ke kedai buku. Pada pagi itu sayapun bersedia dan keluar rumah awal pagi. Sepeti biasa jika hari Sabtu ramai yang berjoging di Padang Speedy, Teluk Intan ini. Tidak kira tua atau muda.

Tiba betul-betul depan DBP. Saya minta turun kerana untuk melihat buku-buku DBP. Saya sempat membeli dua buah buku sebagai tanda kehadiran saya di situ. Saya antara manusia yang masih menyukai dan mengeluarkan duit untuk membeli buku sastera Melayu. Dua buku tersebut ialah Pengalaman Puisi oleh Muhammad Hj Salleh dan Kristal di Laut ...(Siti Zaleha HAsyim. Kedua-duanya dalam genre puisi.

Selepas itu saya pergi pula cepat-cepat makan di kedai berdekatan. Kemudian lansung ke Borders dengan monorail daripada Hang Tuah, turunnya di IMBI. Saya masuk ke Borders. Saya duduk di sana hampir 3 jam tanpa saya rasakan masa amat cepat berlalu. Saya cuba dapatkan apa yang saya fikir boleh saya beli dengan duit yang ada dalam kocek saya.

Buku yang saya belek tapi tidak saya beli, 1001 Books You MUst Read Before You Die. Buku sajak Gu Cheng Nameless Flower dan Sea Of Dreams. Secara jujur, saya terikat dengan sajak-sajak Gu Cheng yang pertama kali saya kenali. Kemudian buku tulisan, mungkin esei berjudul Midnight Gate oleh Bei Dao yang saya kenali baru beberapa minggu lalu. Buku ini juag menarik hati saya tapi saya tidak cenderung membelinya entah kenapa.

Kemudian saya tidak teragak-agak memandang masa tidak mengizinkan untuk duduk lebih lama sedangkan Borders hakikatnya bukan milik saya dan pemustautin Kuala Lumpur.
Saya perlu juga pilih buku untuk dibawa pulang. Dengan berfikir penuh rasional dan munasabah dengan wang yang ada, 3 buah menjadi rakan baharu bagi buku-buku yang saya
sedia miliki. Novel The Famished Road (Ben Okri), Selected Poems In English (Joseph Brodsky) dan akhir sekali Memoir (PAblo Neruda).

Segera saya ke Pudu Raya, dapatlah saya bernafas lega bial tiba di Pudu RAya dalam tepat waktunya.

Thursday, May 17, 2007


daripada www.travelblog.org

bisikan
bisikan iman
dari pucuk sunyi
selalu mengasihi diri
yang meluru
laju meluncur
yang perlahan dalam landasan
teguhlah pada jiwa
yang rindu
taat seru
garang lembut kehidupan
dingin panas nafas
menyebut nama
ribut nafsu
yang amat menakutkan
mengesa untuk terus
lali, leka, alpa
jaga-jaga

Monday, May 14, 2007

kurasakan

kurasakan huruf-huruf itu kian berat
seperti awan mendung bertebar
menunggu musim panas panjang
akan diakhiri dengan dingin sehari
menyiram aspal yang berdebu
bunga yang kian menguning
padang lalang yang terlalu kering

kurasakan demamku akan mengembalikan matangku
setiap tanda rasional mesti digugurkan
atas kertas untuk dibaca
mesti ia dibaca dan direnung

apa yang diperolehi hari ini
mungkin wajah diri sendiri
berputar dengan roda makna
semakin laju mengambil rentaknya
memperbaharui jalan yang ditempuhi nanti

huruf-huruf itu kian persih
akan aku kian gemar untuk mengasah hujung pensel
membetulkannya, melakar yang unik
agaknya nanti huruf-huruf itu mungkin akan
berkata-kata dengan sendirinya

malah ia telah berbisik denganku
penuh perihatin dan jujur
terbuka pengalaman baharu dalam hidup
dan aku terus tekun mengasah pensel dan mencari
kertas kosong untuk berdialog dengan bukan diriku

kerana dalamnya adalah dia
dalamnya ada saya, ada aku
dan ada dirimu
apa yang perlu kutakuti lagi
kerana ia akan meluaskan makna
selepas makna sudah pandai berbicara.

Thursday, May 10, 2007

Berpusing-pusing di Pesta Buku Antarabagsa

Pada hari beberapa selepas hari Pesta Buku Antarabangsa buka, saya sempat mencelah datang ke sana, melihat-lihat apa yang ada. Saya sebenarnya begitu mengejar masa. Saya samapi tidak sempat untuk bersembang seseorang kawan yang saya kenal tapi tidak berapa rapat. Saya begitu memusing-musing sampai akhir saya rasa kebanyakkan buku dan kedai buku kali ini tidak lebih sekadar pesta buku tempatan. Saya rasa setiap tahun perubahan demi perubahan dilakukan demi mencapai kepada sesuatu yang memuaskan.

Apapun kepada pihak penganjur saya megucapkan tahniah kerana dpaat juga mengadakannnya namun dpat dirasai dengan jelas bahawa pets buku kali ini tidak banyak gerai-gerai buku luar. Kita melihat kedai buku yang datang daripada luar sedikit, pada saya dan hanya beberapa kedai buku bahasa Arab.

Berbanding sebelum ini kedai buku bahasa Arab lebih dari tiga empat buah. Saya sebenanrya teringin benar untuk mendapatkan novel-novel berbahasa Arab untuk saya baca. Tapi bila sampai di Pesta Buku Antarabangsa saya rasa semua itu masih mustahil.

Saya bukan tidak pernah berusaha untuk dapatkannya daripada sumber yang lain, pembekal yang lain, tapi akhirnya saya kebuntuan. Hanya pada satu masa ketika seorang teman rapat, yang memberi peluang untuk saya memesan buku-buku yang saya mahu daripada adik iparnya yang sedang menuntut di Asia Barat. Itupun faham-faham sajalah berapa buah buku yang saya boleh pesan.

Hingga kini saya masih kepingin untuk memilikinya. Kalau ada kalangan pembaca, ada menjadi penjual buku Arab atau sedang mengusahakannya, bolehlah beritahu pada saya.
Saya begitu teringin membaca karya Naguib MAhfuz, Ibrahim Al-Kuni, Al-Ghitani dan lain-lain lagi.

Itu cerita saya dengan buku-buku sastera Arab. Tapi cerita tentang saya di Pesta buku Antarabangsa memang banyak dan mahu saja saya ceritakan untuk saudara pembaca dapat rasainya bersama.

Mungkin lain kali saja. Tapi pergi ke Kinokuniya selepas itu menemui kumpulan sajak
The August Sleepwalker karya Bei Dao, mengubati keresahan saya. Ketika di pesta buku saya sempat beli karya Tariq Ali, Perempuan BAtu, novel Ernest Hemingway terbitan & terjemahan DBP dan bebebrapa buah buku lain.

Sempat juga ke gerai PTS yang nampak meriah dan tidak putus-putus dengan pengunjungnnya samapi saya segan untuk singgah.

Begitulah...........

Friday, April 27, 2007



Anekdot Tentang Friendster

Aku asyik sangat dengan internet sekarang ini. Setiap dua hari, kadang setiap minggu ada saja yang menarik diri untuk melihat internet. Aku memang suak sebab banyak maklumat yang aku dapati melaluinya.

Baru-baru ini aku baru tahu yang adik aku ada juag menyertai friendster. Memang bagus berkenalan dan berkawan cara internet hari ini. Bila ramai kawan maka banyaklah perkara yang dapat diluahkan. Kawan selalunya tempat untuk menggurangkan keresahan, kebimbangan dan kebosanan yang terbeku.

Tapi apabila aku tengok friendster itu kadang-kadang ada juga rasa tertanya-tanya tentang beberapa perkara. Kalau saudara/saudari tidak terfikir tentang point saya ini, terpulang. Rasanya internetlah antara tempat yang baik untuk menemui buah hati. Lihat melalui friendster saja barangkali ramai yang dapat berkawan yang bukan daripada setakat 'kawan biasa' saya kira. Mungkin saudara/ saudari dapat tahu juga perkara ini melalui pengetahuan atau pengalaman peribadi.

Apapun sekarang dunia makin mengecil. Mereka kata dunia tanpa sempadan atau kampung global. Kiranya untuk bertemu jodoh yang bersesuaian semua segi boleh saja menggunakan internet, tak mustahil boleh berjaya.

Saya tengok apabila ramai awek-awek yang meletakkan gambar mereka dalam friendster contoh, memang saya sendiri terasa untuk ingin berkenalan. Sekarang istilah berkawan bukan sekadar mesti bersemuka dan berbicara dengan penuh syarat komunikasi ang diamalkan dahulu, kerana sekarang zaman menuntut segala macam kemungkinan seperti berkawan tanpa bertemu tapi melalui internet.

Ya, cuma yang penting letak gambar dan bertukar mesej. Lama-lama barangkali boleh melekat. Pengalaman peribadi saya dan saudara/saudari tidak boleh menolak realiti ini. Apapun jika betul caranya dan tidak melanggar syara' mungkin tidak menjadi masalah.

Sekarang yang terlalu zahir dan terang adalah perbezaan metod dan pendekatan untuk berkawan. Kalau dulu tidak mungkin ini semua berlaku kalaupun berlaku mungkin dianggap aneh. Hari ini tak perlu popularkan cinta internet kerana cinta bukan melalui saja malah berkawan dengan mesrapun boleh dengan melaluinya.

Kalau ingin berkawan dengan seorang awek yang cunpun tidak mustahil. Masa dan waktu pada hari tidak menolak kemungkinan ini. Maka saudara/saudari barangkali boleh cuba memperdalamkan penggunaaan internet ke arah mencari kawan yang sebati dengan diri.

Tuesday, April 24, 2007



Rabindranath Tagore. Pujangga dari Asia yang pertama menerima Hadiah Nobel. Beliau adalah seorang penyair.

Mengapa Dia Menulis Sajak

Banyak sebab seseorang itu terdorong untuk menulis sajak atau puisi. Puisi bukan bentuk penulisan yang mudah saya kira. Ramai yang menyatakan sajak atau puisi mudah dihasilkan. Ya, mungkin benar tapi sajak yang bagaimana dihasilkan.

Seorang teman bertanya kenapa saya memberi tumpuan pada puisi, sedang genre lainpun patut juga diusahakan dengan serius. Mengapa saya perlu membaca banyak puisi. KAlau saudara/ saudari ada membaca On Writing penulis popular tersohor Steven King, ada menyebutkan dalam setahun lebih daripada seratus buah novel dibacanya. Tidak kira daripada jenis novel berat atau ringan. Ini disebabkan genre yang diceburinya. Seingat saya, Stephen King tetap membaca novel lain (beliau sendiri sudah menulis puluhan novel bestseller) kerana ia adalah satu kemahuan. Seseorang yang pernah menghasilkan sesuatu sebenarnya telah diikat dengannya terlebih dahulu walaupun telah establish namanya dalam sesuatu bidang.

Kalau seorang ahli motivasi, mungkin Dr Fadzilah Kamsah, Dr Hm Tuah Iskandar, Ahmad Fadzli Yusof dan lain-lain mereka pasti membaca buku-buku motivasi dengan banyak walaupun telah menghasilkan karya mereka sendiri.

Sama juga dengan bidang lain. Sastera atau bukan sastera. Saya kira sifat saya membaca puisi juga menulis puisi (diterima atau tidak) sebenarnya kerana saya menyukai puisi itu. Saya meminati puisi, seingat saya apabila saya membaca sebuah sajak Rahman Saari (saya tidak tak ingat secara tepat tajuknya, mungkin Mari Kita Berbahasa) berkaitan bahasa dalam majalah Pelita Bahasa satu masa dahulu.

Saya jadi tertarik dengan sajak itu. Saya kira fikiran saya dan 'rasa' tertumpu lebih pada bahasanya bukan isi yang ingin disampaikan. Daripada saat itu saya cuba mencari puisi lain dalam majalah yang sama dalam perpustakaan. Nyata majlah-majalah yang ada tiada ada yang baru. Semua dah lebih setahun atau lebih. Sajak tersebut memujuk saya menjadi pencari yang dahaga.

Sejak daripada detik itu saya mencari sajak dan puisi. Kemudian sastera secara umumnya. Saya membaca apa saja yang saya mahu, hampir keseluruhannya dari bidang sastera. dari novel ke cerpen, dari drama ke esei serta biografi/autobiografi. Tapi dalam banyak genre tersebut sajaklah yang saya tekuni dan minati. Saya tidak berapa ingat, tapi buku cara menulis sajak Rahman saya fahami menurut logika sendiri. Saya terjemahkan dengan fahaman saya membaca sajak-sajak dari penyair besar negara lain seperti Usman Awang, Latif Mohidin, Muhammad Hj Salleh, A. Samad Said dan lain-lain.

Saya juga membaca karya puisi Indonesia Amir Hamzah & Chairil Anwar. Saya mulai mencuba-cuba menulis sajak. Dengan keperihatinan kawan sebilik di universiti, Zamri Mohamad, dua buah sajak saya diletakkan dalam sebuah website teman tadi. Salah sebuahnya bertajuk Cincai jika saya tak silap.

Saya menulis kerana ia semacam satu rakaman waktu dan pengalaman. Jika saya menulis sekurang-kurangnya ada yang saya tulis pada ketika itu. Kemudian saya terus saja menulis cerpen tapi tak banyak yang menjadi. Hampir kesemuanya bukan mudah untuk disudahkan. Saya usaha menulis novel juga nasibnya sama.

Saya cuma terus menulis dan ia menjadi minat peribadi. Saya menulis sebuah sajak Ungkapan Aladin ii ketika itu di tahun akhir di universiti, secara tidak sedar kiriman sajak itu menjadi permulaan saya menulis di majalah. Saya selesai universiti (tapi menerima dapat ijazah lagi) sajak Ungkapan Aladin ii keluar di Tunas Cipta tahun 2005. Saya rasa macam tidak percaya.

Aha, tentang sajak tadi, kenapa seorang itu membaca sajak. Pada saya sajak bukan bahasa baku, beku dan rasmi seperti bahasa buku dan pertuturan harian. Sajak seperti kata ramai penyair adalah bahasa baru. Sama ada dalam sistem tatabahasa lagi ataupun menyalahi sistem bahasa. Bahasa itu bukan lagi menwakili pemikiran tetapi emosi dan pandangan seorang yang melihat sesuatu perkara.

Kita ambil contoh Usman Awang kenapa beliau diingati samapi sekarang kerana sajak-sajaknya yang begitu bermakna. Usman Awang menghasilkan puisi dalam lingkungan yang difahami dirinya secara peribadi dan ia harus dikongsi. Usman Awang mengubakan bahasa mengungkap seperkara yang dilihatnya penting. Bahasa mesti diubah supaya ia menarik pembaca, maka lahirlah puisi-puisi yang payah untuk kita kata ....sudah lapuk atau tak ada nilai.

Bahasa hanya diperbaharui melalui sajak jika dilihat sudut estetiknya. Puisi juga adalah suara kemanusiaan tidak kira mewakili satu golongan, khalayak atau penyair itu sendiri. Kebiasaannya penyair akan menulis dari dirinya tetapi mengaitkan luaran dengan dalamnan dirinya. Maka saya sudah jadi global.

Maka bila kita baca sajak penyair luar negara contohnya, maka ia akan mampu dikaitakan kerana sifat globalnya tadi. dalam sajak atau puisi juga metafora dan mana-mana alat puisi/gaya bahasa bisa dimanipulasi secara meluas. Dalam novel ia terbatas sedikit berbanding puisi.

JAdi tidak akan sama metafora, bahasa, gaya dan sebagainya antara seorang penyair dengan penyair yang lain. Ia juga ada daya tarikannya. Macam sajak-sajak Latif Mohidin, saya rasa belum ada orang yang menyamai dengan sajak-sajak yang ditulis beliau. Setiap penyair mapan mempunyai gaya, cara, pandangan yang tersendiri dalam menukangi karya mereka. Dalam sajak, kita akan mudah mengesan pada penyair-penyair mapan.

Maka huruf-huruf ini beberapa 'benda' yang membariskan kenapa saya membaca dan menulis puisi pada hari ini.

Thursday, April 12, 2007



jam bermaksud hayat, kehidupan dan kenangan. jam bermaksud nostalgia dan muhasabah diri.

Nyah

Seolah-olah malam itu kami tidak menyedari apa yang berlaku. Ia terlalu pantas dan mudah. Tiada membekaskan sebarang perasaan dan reaksi.

Emak pada malam itu tiada di rumah. Ketiadaan emak bermaksud rumah kurang sedikit aura kemeriahannya. Apatah lagi kemuraman rumah ia dirasai oleh cucu-cucu emak. Kami dijemput sekeluarga ke rumah saudara kami di Simpang 4. Alang ada mengadakan kenduri arwah suaminya yang meninggal dunia pada bulan Januari yang lalu.

Apabila ajal tiba tidak ada siapa yang dapat menduga. Aku terkejut apabila mendengar berita itu. Baru saja pada bulan Disember sempena hari raya haji kami sempat bertemu. Waktu itu memang Alang sudah mengalami sakit gaout dan kencing manis tetapi dia masih bolah bergerak dan melayan kami yang datang pada ketika itu.

Pada masa itu, suami Alang sihat seperti biasa. Nyahpun sihat tapi disebabkan keuzurannya, dia tidak secergas dulu. Usianya mungkin sudah mengjangkau 80 tahun. Nyah tidak mungkin lagi dapat membuat lemang yang enak dan kuih bahulu kemboja kegemaran ayah dan kami sekeluarga. Dahulu Nyahlah tempat kami menghilangkan rindu di kampung. Rumah Nyah tempat kami bertandang dan bermalam sebelum malam Aidilfitri.

Suami Alang, yang juga kami panggil Alang kemungkinan usianya baru awal 50-an. beliau meninggal kerana mengidap sakit gaout dan penyakit-penyakit lain. Namun, anak-anak beliau sudah ramai yang bekerja.

Antara Alang dengan aku agak rapat dari segi pertalian darah. Ibunya adalah kakak kepada ayahku. Maka kami barangkali sepupu. Tambahan pula, masa aku sekolah rendah, aku dan No, adikku selalu emak tinggalkan kami di rumah Alang jika hendak pergi membeli barang di Kelantan.

Tapi sedekad yang lalu hubungan ini jadi renggang. Tali yang disangka kuat, rupanya mereput lalu putus dengan sekelip mata. Keadaan ini menyebabkan keluarga yang dekat terasa seperti jauh. Ayah sendiri dengan caranya selalu saja menyatakan kebenciannya kepada Nyah, kakaknya.

Antara ayah dan kakaknya terputus hubungan itu disebabkan satu masalah yang tidak kuketahui dari pihak mana yang memulakannya. Berbelas tahun tinggal di dunia yang berasingan. Sepi tanpa ada ziarah dan masa yang gembira seperti masa lalu. Malam ini kami mungkin bersua semula dan tidak menjangkakan apa yang akan berlaku.

Aku terbayang wajah Nyah, kakak ayah yang pernah disangjunginya. Dia sudah beruban dan nyata dari raut wajahnya terzahir keuzuran. Nyah sekarang kurang boleh mendengar dan penglihatannya kabur. Dia tidak mungkin dapat mengecam kami lagi.
Ayah, begitu makan hati dengan kakaknya itu. Kesilapan Nyah mengubah tanggapan ayah terhadap Nyah serta-merta. Harta arwah atuk Hasan itu bukanlah banyak sangat, tetapi entah macam mana, hendak jadikan sebab semua benda jadi salah. Aku tidak mengetahui ayah memaafkan Nyah ataupun tidak.

Hanya sebahagian daripada kami adik-beradik memahami apa yang berlaku. Mungkin aku dan adikkku, No mengetahui hal ini dari f ke z sahaja. Apakah sebab dan punca perbalahan secara senyap itu berlaku bertahun-tahun sehingga sekarang, tidak dapat aku jelaskan di sini.

Mungkin ia satu kesilapan pada satu masa kemudian terus menjadi satu peristiwa yang tidak dapat diterima kedua-dua pihak. Silap faham atau ego yang menyeliputi jiwa semua yang terlibat. Mungkin hubungan itu ada tapi hanya pada Cu dan Anjang, iaitu adik ayah. Mereka mungkin menjaga hubungan itu dengan baik sampai sekarang. Termasuk PakCik berbaik dengan Nyah. Ayah tidak macam mereka. Dia benar-benar kecewa agaknya dengan kakaknya.

Kami datang malam itu bagi memenuhi hajat Alang yang menjemput kami sekeluarga datang untuk kenduri arwah. Ayah tidak datang sama. Tindakan ayah dilihat macam memulaukan keluarga Nyah. Hal ini tidak dipersetujui oleh adik beradiknya yang lain antaranya PakCik dan Anjang.

Maka pada malam itu, hanya kami adik-beradik dan keluarga abang-abangku yang datang. Lagipun sudah lama kami tidak menjenguk mereka. Ayah tidak menghalang kami berziarah ke rumah Alang malah menyukai bila kami nyatakan keinginan menziarahi Alang, Nyah dan lain-lain kerana air yang dicincang tak akan putus. Sepuluh tahun lalu memang kami kerap pergi beraya di rumah Alang. Taip kali bertandang terasa kami ini keluarga besar yang harrmonis. Namun, semuanya terhenti dan menjadi kenangan yang sukar dihadirkan dalam suasana yang sama.

Li, anak lelaki sulung Alang menyambut kami. Inilah kali ke dua aku menjejakkan kaki ke rumah yang baru siap kira-kira setahun lebih yang lalu. Ia dibuat oleh arwah Alang dan anak-anaknya Pi, Pizi dan Li. Setahun untuk menyiapkannya.
Kami menaiki rumah tersebut dengan sedikit canggung disebabkan kehadiran kami seolah-olah dinanti. Awal-awal lagi sudah diberitahu oleh Abang Ayub kepada Alang bahawa kami akan datang juga.

Kami sampai ketika keadaan rumah itu seperti tidak ada kenduri. Baru kami sedar bahawa kami kelewatan sebenarnya. Majlis sudah selesai sebelum pukul 9.30.
Maka kami datang tanpa bertahlil, doa selamat dan makan secara beramai-ramai. Mujur ada Abang Ayob, dan saudara-saudara lain yang masih belum pulang. Kami naik ke rumah dan bersalaman dengan tetamu lain yang belum pulang. Kami duduk bersila dan bersembang dengan mereka sementara dijemput makan.

Angah malu alah menerangkan kelewatan kami sampai ke sini. Tapi memandangkan ini rumah saudara, ia bukan satu masalah. Asalkan sudi datang. Semuanya duduk bersila di atas tikar mengkuang. Rumah ini jelas seperti baru sahaja didiami. Perabot belum ada di ruang tamu ini kecuali beberapa pasu bunga kertas sebagai penghias.
“Sembang-sembang yang ringkas selepas orang makan macam tak berapa rancak” lafaz Abang Ayob. Selain itu abang Lan, Yop Ismail dan beberapa orang lagi bergebang perlahan.

Abang Pendi lebih senyap seketika, dan Angahpun nampaknya tidak banyak bercakap. Mungkin kerana kami lewat datang dan tidak cukup modal untuk mencelah sepanjang perbualan.

Li datang duduk sebelah aku. Li muda setahun dan kami memang selalu bermain sama-sama masa kecil dulu. Kami bersembang dan sebenarnya sudah lama tidak bertemu. Kadang-kadang kalau bertemu tidak dapat bersembang lama. Awal-awal aku mohon maaf pada Li kerana pada waktu arwah Alang meninggal aku tidak sempat datang kerana aku tidak diberitahu tentangnya. Li tidak kisah kerana abang-abangku yang lain ada datang menziarah.

Dia sebut nama Yop, Angah dan ayah yang dipanggilnya Tok Andak.
Kami bersembang dengan perlahan. Daripada hal arwah Alang yang meninggal sampai ke bab membuat rumah. Li memberitahu hampir 80% rumah ini dibuat oleh kerja tangan Alang dan anak-anaknya. Rumah Alang memang luas dan hampir kesemuanya diperbuat daripada kayu. Rumah yang dibuat dalam bentuk yang sederhana tapi mampu muat sebuah keluarga besar. Rumah anjung dan rynag tamunya dibuat tidak terlalu tinggi memandangkan arwah Alang sudah kurang mampu berjalan. Dapur dan beberapa bilik dibuat di bahagian bawah terutama untuk Nyah yang kadang-kadang duduk di sini.

“Lebih kurang 20 ribu untuk buat rumah ini”
“Memang jimat sedikit kalau ia buat sendiri. Barangpun dibeli sendiri” kataku seperti memahami sangat pasal rumah. Sesekali pandang wajah Li, aku terbayang wajah Alang. Kali terakhir aku bertemu Alang pada hari raya haji yang lalu. Sempat kami bersembang setelah lama asyik pandang dan tegur tak tegur di rumah kenduri saudara yang dekat.

Ada yang mengatakan punca Alang jatuh sakit adalah disebabkan penat menyiapkan rumah. Mungkin betul tanggapan itu. Alang meninggalkan agak mudah. Arwah meninggal dunia apabila seminggu menderita sakit gaoutnya kemudian pada hari arwah meninggal, dia terasa sakit dan dibawa ke hospital. Dalam perjalanan arwah meninggal dunia.
Sembang kami jadi meleret-leret. Li bertanya juga tentang aku. Dimana aku bekerja dan bila aku tamat belajar.

Aku hanya menjawab soalan-soalan itu kerana bagiku ia mirip soalan gula dalam air kopi. 'Mungkin soalan-soalan kau juga sama, lebih lagi gulanya' tujuku pada diri sendiri. Tapi syukurlah , Li juga sekarang bekerja sebagai tenaga pengajar di Pusat Giat Mara. Soal untuk sara dirinya sudah lepas kerana dia sudah dapat pekerjaan tetap. Adik-adik seperti Pi dan Pizipun sama juga. Walaupun Huda anak yang sulung baru berhenti kerja kerana ada masalah tapi adik-adiknya ramai sudah bekerja. Jadi Alang tidak perlu risau tentang rezeki. Lagipun tempat hendak berteduh sudahpun kukuh berdiri.

Selepas 15 minit bersembang, Li menjemput kami makan di bawah. Abang Ayob dan yang lain meminta kami turun makan. Mereka sudah makan semasa kenduri tadi.
Kami dijemput makan macam sebuah keluarga sendiri. Alang selalu anggap kami seperti anak-anaknya sendiri. Kami disediakan dua talam untuk makan. Satu talam untuk kakak-kakak ipar dan No. Satu talam lain untuk abang-abang dan aku. Kami makan diperhatikan oleh banyak pasang mata.

Dan kami tidak perasan kami ditelanjangkan ketika makan dengan renungan dan suara. Suasana senyap dan sepi. Kami seolah terasa ada yang lain ketika kami makan.
Kami dihidangkan lauk ikan lepat kering kerana lauk-lauk lain sudah kehabisan agaknya. Yang lain biasa saja masakan kampung macam masak lemak. Aku makan sambil teringat masakan Alang. Tapi tekak tidak terasa apa-apa pada masa itu. Sambil makan ALang temankan kami dan bertanyakan soalan-soalan biasa. Walaupun perbualan agak dingin, keadaan diselamatkan Yop Ismail yang memang selalu mengusik.

“Ini lauk special untuk tetamu yang datang lambat” kata Yop Ismail iaitu menantu Nyah yang pertama dengan pekat loghat ulunya. Yop semacam mahu berangkat kerana rumahnya di Bidor sana.
“Kenapa kelam-kabut Yop. Bukan nak ke mana” tegurku.
“Sekarangkan musim kemarau” tingkahnya selepas berfikir agak lama. Dia bawa bersamanya dua orang anak perempuannya. Beberapa minit selepas dia bersembang dengan

Alang dan kami, dia minta diri untuk pulang.
Kami belum lagi selesai makan. Seolah-olah kami memang selalu lambat.
Ada suara yang dekat sedang bergebang perlahan. Suara beberapa orang perempuan. Aku menoleh ke arah suara itu, aku teringat beberapa wajah yang pernah aku lihat dahulu dan terlalu biasa dengan wajah-wajah itu. Mereka duduk di kerusi tetamu berdekatan dengan dinding.

Dulu wajah-wajah inilah yang aku kenal masa kecil. Ada wajah Nyah dan anak-cucunya. Anak Nyah kesemuanya perempuan. Tiga orang semuanya. Wajah yang paling aku terasa lama sudah tidak melihatnya adalah wajah Angah Faridah. Berdekatan dengannya ada Yong dan anak-anak Angah Faridah. Wajah-wajah yang dulu kecil sekadang sudah dewasa dan remaja macam Kak Fida dan Tada. Semuanya ada dekat kami setelah hampir sepuluh tahun tidak bertemu sedekat ini.

“Yop kamu tidak datang ye” Nyah mula bersuara jauh tiga depa daripada tempat kami makan.
“Dia tak balik cuti ini. Dia ada program di Ipoh.” Jawab Angah. Alang tolong mengulang jawapan itu kerana pendengaran Nyah tidak jelas.
Aku tengak Nyah seolah ingin berkata sesuatu tetapi tidak terkeluar daripada mulutnya. Abang Fendi sempat bertanya siapa yang duduk dekat dinding kerana ada juga dua tiga muka yang kali pertama kami lihat.

Aku cepat menghabiskan nasi aku. Tapi sempat juag merasa masakan ALang kali ini. Tidak banyak perkara yang dibualkan kerana terasa banyak perkara yang di tengah-tengah menjadi penghalang kami dengan kelaurga Nyah. Paling banyak aku lihat dan perhatikan adalah wajah Angah Faridah. Aku cuba cari suaminya, yang mereka panggil Ponggok. Suami tidak ada juga. Akupun tidak mahu bertanya tentang itu.
Angah Faridah bertanya juga tentang beberapa orang anak abang-abangku. Mula daripada Yop, Angah dan Afendi. Nyah bertanya bila pula aku hendak dapat jodoh.
“Mungkin lambat lagi ” jawabku seringkasnya.

Beberapa semua senyap seketika. Sekejap perbualan dimulai oleh Alang. Sekejap bermula dari Nyah dan disambung oleh cucu-cucu perempuannya. Aku tidak banyak bercakap dan terasa seperti tunggul kayu di tengah-tengah orang yang aku kenali macam Alang dan Nyah. Namun ku perhatikan lama wajah-wajah yang satu dekad aku tidak pandang.

Wajah Tada yang sudah remaja masih mempunyai kerenah dan suaranya yang nyaring. Aku dapat bayangkan betapa suasana ini mungkin dirindui oleh ayah sendiri. Duduk bersama sanak-saudara terdekat apabila mempunyai masa yang terluang.

Satu masa dulu jika dikumpulkan dalam sebuah rumah, pasti rumah i . Kalau tidak di rumah Nyah ia berlaku di rumah Angah Faridah di bendang. Suasana yang sudah lama dilupakan. Kami dijarakkan barnagkali oleh nasib yang kami tidak mengenalinya dari awal. Nasib yang rupanya panjang dan memutuskan tali silaturahim yang kuat.
Masakan Nyah terus berdiam diri. Nyah sudah uzur.

Benar, dia mungkin tidak mahu bercakap panjang. dia tahu bagaimana untuk menyatakan sesuatu bila sampai waktunya. Tapi bila?. Waktu sesuatu yang tidak boleh dijangka penghujungnya.

Kami diam kerana tidak terfikirkan sesuatu yang boleh kami bicarakan. ‘Kalaulah emak ada, mungkin tidak sesenyap ini’, bisik hatiku.

Kadang-kadang perasaan itu tidak banyak mencorakkan suasana kerana ego dan terlalu beremosi. Aku tidak pasti di mana nilai aksih saying dan hormat-menghormati yang terjalin padu antara kami satu masa dahulu.

Mungkin kami sama-sama melupakannya atau sengaja tidak menghiraukannya. Ego lebih kuat menelan segala nilai posistif yang berbaki. Aku sendiri terpaksa tidak bersetuju secara sepi begini. Kesilapan selalu dikenang orang sampai bila-bila.

Tapi apabila ia diselesaikan dengan baik barangkali ia akan serta-merta menjadi kenangan. Orang selalu sebut, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata-kata itu kadang-kadang macam plastik atau aluminium yang rapuh dan lembut boelh dibentuk-bentuk.

Nyah melihat kami dengan wajahnya yang bersahaja. Di sebalik wajah itu terdapat keresahan yang mungkin kami tidak kenali dan terurai dalam bahasa. Nyah tidak mampu mendengar lagi dan tidak mampu melihat seperti insane lain. Mungkin dia berharap masa akan membawa segala memori pahit ini ke mana-mana dan terus melenyap. Ia barangkali perkara yang mustahil bagi ayah. Bingung juga dibuatnya.
Angah Faridah tidak banyak berkata-kata.

Dia juga pasti merasai perasaan yang lain daripada biasa. Selepas makan, tidak banyak perkara yang dibualkan. Aku lebih banyak mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang ada lucunya dan ia menyebabkan aku ketawa. Ada juga perkara yang dibualkan aku tidak memahami kerana ia mungkin hanya berkaitan dengan keluarga Nyah.

Terasa juga betapa hubungan antara kami dan keluarga Nyah kian jauh. Aku dapat rasakan masa depan hubungan silaturahim ini di masa akan datang. ‘Entah apa gunanya bertelagah sebegini’ soalku sendirian.

Sekiranya arwah atuk masih ada entah apa yang dinyatakan. Tapi tentulah semua ini tidak akan berlaku sekiranya adanya kejujuran dalam setiap waris arwah atuk Hasan.
Sebelum pulang, kami sempat bersalaman. Tangan Nyah tangan pertama kali dahului. Tidak ada bahasa yang hendak diluarhan kecuali minta diri. Raut muka Nyah memberitahu sesuatu yang tidak kami fahami. Aku dpaat lihat wajah ini mungkin berduka kerana apa yang telah berlaku menyebabkan kesan yang tidak memberikan apa-apa kebaikan.

Pertemuan ini mungkin singkat bagiku. Tak tahulah bagi Angah, Abang Fendi dan lain-lain. Kerana ia singkat banyak soalan yang tidak mampu kujawab atau klu-klu yang kuamati tidak mendorong ke arah positif. Soalan-soalan ini mungkin boleh disimpan dan kutanyakan sendiri kepada ayah. Entah ayah mahu mendengar atau tidak soalan-soaln aku ini.

Nyah tidak mungkin melupai kami. Dan kami juga masih menghargai pertalian ini walaupun tidak seperti dahulu. Moga kita bertemu lagi dalam suasana yang lebih mesra dan damai.

Tuesday, April 10, 2007


culik gambar daripada blog.erdener.org
Cerpen ini saya dapat ilham daripada menonton Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri hari itu. Olga, daripada Rusia menang pertandingan itu.
Fiksi semata.


Sebuah Ingatan Pada Olga
oleh : Mohd Fadzil Yusof
sebuah cerpen

I
-Apa makna Melayu?
-Makna Melayu emm?....Bukan Inggeris, India, Cina, India, Parsi, atau Arab dan ? jawabku pantas tanpa berkira-kira isinya.
-Kau berhujah seperti seorang algojo berada depan tuannya. Sedangkan aku bukan sesiapapun di sisimu?
Aku mahu saja berpaling daripada merenung wajah seorang perempuan jelita ini. Aku ditawan oleh kebijaksaan dan keindahan yang berada dalam selubung jiwa kecil yang membaluti tubuhku. Aku kalah menghadapi Olga.
-Sudah! mari kita ke kafeteria. Saya sudah dahaga. Awak belanja saya.?Jeda agak lama.
-Lain kali jangan berhujah tanpa fakta?

Aduhai kali ini aku terpaksa mengalah lagi padanya. Seperti mahu menghilangkan diri ke bangunan fakulti yang berdekatan. Katakan saja padanya 'aku perlu berjumpa Dr. Naquib daripada Mesir itu. Aku perlu menghantar kerjanya kerana sudah lewat tiga hari daripada tarikh yang sepatutnya.

Memang itupun yang berlaku. Dr Naguib asyik meminta aku berjumpa dengannya. Sudah dipesannya beberapa kali kepada kawan sekuliahku. Jika lewat sehari lagi, tiadak ada markah untuk kerja yang diberikannya.
Olga berjalan bersendirian. Laju dan lurus ke hadapan. Apakah dia sudah tidak mempercayai diriku yang sering terlupa pelbagai perkara, termasuk fakta yang berkaitan dengan diri sendiri.

Jika ditanya apakah kebimbanganku sekarang ini, jawabnya bukan keputusan subjek Sosiologi yang kuambil dan bukan kerja kursus yang belum siap tapi jawab sebetul-betulnya ialah Olga. Seorang perempuan yang pertama kali kutemui berjiwa seni, cekal dan berjatidiri.

Dengan renungannya aku kenali bahasa ibundaku yang indah. Dia mengajarku bahawa bahasa ibundaku seperti sepasang matanya yang berwarna biru laut. Bukan sekadar itu sahaja. aku menjadi pengkagum kepada seorang insan yang ditakdirkan menjadi wanita buat kali pertama.
Dia seorang yang berkeyakinan, keberanian, lembut dan matang. Ia mengurai detak jantung kecil ini, agar boleh melakar kegembiraan di kala kesunyian.
Dengan bicaranya, kuhalusi rima Bahasa Melayu yang memutik seindah mawar pagi. Dapat kurasakan suara dan nuansa wacana tersusun rapi penuh pengertiannya.
Dengan jari-jemari putih dan manis, dapat kubaca tulisan seorang yang bukan berbangsa Melayu menulis aksara Rumi dan Jawi, tanpa banyak kesilapan garis huruf dan bahasanya.

-Kau masih berkhayal sendirian. Berjalan macam inipun sempat merewang-rewang.?lt;o:p>
Sindiriannya membuatku tersenyum dan menjawap seperti dirinya dengan sepontan bicara.
-Olga, aku bukan tidak pandai menjawab soalanmu tadi. Cuma ia memerlukan masa untuk berfikir. Soalanmu bukan mesti ada jawapnya dalam buku? Hakikatnya Olga bukan sekadar bertanya untuk mengetahui tapi mungkin untuk menyemak mindaku. Apakah aku matang melihat sesuatu atau terpaksa mengikut rentak orang lain.
-Ya. Mungkin kau belum mencapai makrifat dan kefahaman yang sempurna tentang itu. Tentang dirimu. Tentang Melayu?

Aku mengolah pandanganku terhadap Olga. Olga menemukanku dengan Socrates agaknya.
-Bukan begitu. Aku sekarang ini seorang Melayu. Masakan tidak dapat mengenal ertinya.?
Mata Olga merenungiku setajam pisau yang menghiris.
-Melayu memang berkait dengan bangsa. Tapi bukan setakat bangsa. Jika Melayu itu sekadar bangsa, ia mungkin akan kehilangan segala-galanya bila sampai waktunya nanti?

Kata-kata tadi mengupas egoku. Diri makin bimbang dan malu. Dengan senjata apa pula akan ditusuknya dadaku ini selepas ini.
-Apa yang saya fahami daripada nota kuliah dan pembacaan peribadi saya, Melayu berkait rapat dengan peradaban, budaya, tatasusila, nilai dan agama Islam. Melayu bangsa yang percaya dengan keluhuran dan kebaikan. Buktinya mereka menerima Islam sebagai cara hidup.
Tidak mungkin juga Melayu hilang di dunia seperti kata Hang Tuah kerana Melayu memiliki semua itu.?

Ah, Olga kau benar-benar meminggirkanku ke benua Afrika ataupun Amerika yang sentiasa bergolak dengan kancah pergelutan politik dan dogma kebendaan. Mereka sentiasa berlari-lari ke tamadun materialistik yang mereka yakini sepenuhnya. Sesungguhnya aku bukan sebahagian daripada mereka.
Kau benar-benar menjadikan aku pengkelana tidak menemui jalan pulang, sentiasa teraba-teraba menanti siang. Wajahku bagi ditembusi logika halusmu Olga yang tersusun dan membekukan akalku.

Kau benar-benar membiarkan aku yang berusaha memaut tebing yang bakal rebak dan terus berputus asa melalui takdir kehidupan.
-Kau cuma silap langkah untuk menafsir dirimu. Dirimu tidak berdosa kerana tetap kau seorang Melayu. Tapi Melayu sekadar nama. Tapi kau mendakwa itu yang terbaik?
-Aku ingin yang terbaik sebab itu aku masih di sini.?lt;o:p>
Olga mendekatiku dan membisikkan
-Kau haruslah menjadi Melayu sejati?

Melihat wajah Olga semacam tidak percaya dengan kata-katanya. Aku selalu terserempak orang yang kulitnya kuning sawo matang, tetapi lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris. Olga sebutir bintang yang menyinar di suatu malam yang gelap gelita.

II

Adakala hujan turun membawa banyak rahmat-Nya mencurah-curah. Air yang turun itu mengalir daripada jalan-jalan atau daratan terbentang menyelusuri tanah dan bertemu di longkang, parit, sungai, tasik dan laut.

Taburan cinta Olga umpama hujan mengalir dibawa takdir, mengalir dan terus mengalir.
-Aku dahulu juga sama sepertimu. Tidak mengetahui apa-apa dan sentiasa dalam ketidakpedulian. Diriku lupa tentang asal keluarga, sejarah bangsaku dan negara. Akhirnya aku menyedari bahwa mengenal diri adalah dengan kembali kepada kelaurga, agama dan asal-usulku. Tidak ada siapapun yang dapat mengubah pendirian dan caramu melainkan dirimu. Kealpaan itu membawa kita ke badai bebas yang melanggari segala-galanya. Kita kehilangan diri sendiri, orang tercinta dan apa yang harus dipercayai."

Aku mulai mengenali Olga melalui kuliah Bahasa Melayu di tahun pertama di universiti tempat kami menuntut dan menyelesaikan Ijazah Sarjana kami. Kami diwajibkan mengambil dua subjek bahasa selain bahasa Inggeris di sana. Bahasa Melayu salah sebuah bahasa pilihan dan sebab lain ia lebih mudah dipelajari kerana ia bahasa ibundaku.

Antara kami memang banyak persamaan. Olga sendiri seorang yang gemarkan sastera. Ketika itu dia belum mempelajari Bahasa Melayu dengan mendalam namun rajin bertanyaku tentang sastera Melayu. Lain pula dengan diriku yang terbawa-bawa meminati karya pengarang Rusia seperti Dostoevsky dan Tolstoy.

-Kalau tidak keberatan, boleh pinjamkan sebuah buku puisi melayu? Terasa janggal dan pelik pada perempuan Rusia ini. Baharu tiga bulan mempelajari bahasa Melayu sudah mengidam sastera Melayu. Aku beranggapan mungkin dia hanya mahu bergurau denganku.
Namun, yang nyata dia tidak bermain kata-kata atau sengaja menunjukkan minat yang palsu. Olga sering bertemu profesor dan bertanya setiap kuliah untuk mengetahui sesuatu tentang bahasa yang baru dipelajarinya.

Manakala dialog antara aku dan Olga selalu berlaku di dalam kelas selepas kuliah selesai. Dia sendiri meminta berkenalan denganku dan bertanyakan tentang pelajaran yang tidak difahaminya sesungguhnya. Ketika itu apa yang aku dapat bantu hanyalah menerangkan makna perkataan dan bentuk ayat dalam Bahasa Melayu.

Lanjutan daripada itu dia meminjam notaku dan menyalinnya. Olga seorang mahasiswa yang pintar dan bijak. Hanya dalam masa yang singkat dia dapat memahami tajuk-tajuk yang dipelajari dalam kelas. Dia begitu menekuni bahasa Melayu seperti mempelajari bahasa asing yang lain. Tapi baginya BahasaMelayu sebuah bahasa yang sedikit unik dan berbeza daripada bahasa asing yang dipelajarinya.
Kepetahannya berbicara dalam berbahasa Melayu menarik perhatian Profesor Amin Husin yang menagajar kuliah Bahasa Melayu. Banyak hal dalam pelajaran Bahasa Melayu Olga lebih mendahului diriku.

Apabila ditanya kenapa dia terlalu bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa ini. Katanya sebagai bahasa Melayu salah satu bahasa yang diketahuinya mempunyai keindahan dan identiti tersendiri.

Lebih mengejutkan, dia berusaha membeli dan membaca buku-buku sastera bahasa Melayu. Pada awalnya aku begitu pelik dengan kgahirahannya mempelajari bahasa Melayu, tetapi apabila kutanya tentangnya dia menyatakan é·”ekadar untuk mendalami bahasa ini?.

Dia dilihat asing tetapi begitu akrab dan mesra dengan adab resam Orang Melayu. Dia begitu teruja dengan pengucapan bahasa Melayu yang memang bersopan dan mempunyai akal budi yang tinggi. Adakalanya aku berpendapat bahasa Melayu yang dipelajarinya dan ditutur manis dan indah berbanding penutur aslinya.

Tidak seperti di negaraku yang dekat ini. Mestikpun sedang membangun dan bakal menjadi sebuah negara maju tapi muda-mudinya telah merosakkan bahasa Melayu yang kaya dengan makna. Mereka menjadikan bahasa Melayu sama tarafnya dengan bahasa rojak yang dituturkan dengan sesuka hati. Banyak keadaan, dimana bahasa Melayu dilihat rendah daripada Bahasa Inggeris.

Keyakinan terhadap bahasa Melayu semakin terhakis di hati muda-muda. Pemikiran mereka lebih menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan tamadun hari ini. Maka mereka lebih menumpukan kepada bahasa Inggeris. Ini yang aku lihat kebanyakkan anak-anak saudaraku yang sekarang tidak putus-purtus menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian mereka.

Berbeza benar dengan Orga yang sentiasa melihat positif terhadap bahasa Melayu.
-Saya percaya Bahasa Melayu suatu masa nanti bakal menjadi antara bahasa utama dunia. Dunia akan beralih daripada tamadun barat kepada tamdun timur. Mereka kembali menyelami dan menghayati intipati budaya Melayu dengan memperlajari Bahasa Melayu terlebih dahulu?.

Entah bagaimana Olga begitu yakin malah terkadang aku sendiri kurang percaya kemampuan Bahasa Melayu bakal dimartabatkan di peringakat lebih tinggi.
-Tidak ada siapapun rela bahasanya diketepikan dan dihina. Jadi, kenapa perlu rasa malu dan merendah diri dengan kemampuan bahasa ibunda sendiri. Keyakinan itu datangnya daripada jiwa yang mencintai bahasa Melayu dan peradabannya.?lt;o:p>
Olga menolak konsep bahasa tertentu yang mendahului dan memimpin zaman. Ia seolah-olah satu mitos yang diterimapakai menjadi tangkal sepanjang realiti hidup. Sikap pesimis ini mesti dijauhi, itu yang pernah Olga sebut.

Ketika hubungan semakin erat, Olga semakin mendekati kebudayaan Melayu dan tamadunnya. Aku seperti tidak percaya bahawa dia lebih pantas mengenali tarian melayu, cara hidup, pakaian dan sebagainya.
Pernah sekali dia membelikanku sepasang baju melayu ketika hari meyambut Aidilfitri menjelma tiba. Dia sendiri membeli sepasang baju kurung. Aku dapat rasakan perubahan ini begitu mendadak. Aku nyatakan kegusaranku ini pada Olga.
-Kenapa kau begitu fanatik dengan semua??lt;o:p>
-Aku tidak fanatik atau melampau. Kita hidup dalam zaman langit terbuka. Fikiran juga terbuka?

Aku tidak pernah memaksamu masuk Melayu hanya kerana percintaan kita?
Olga benar-benar terkejut dengan kata-kataku itu. Hasilnya beberapa hari, malah dua minggu setelahs peristiwa salah faham itu, kami tidak bertemu. Aku mencari Olga di mana-mana tapi tetap tiada. Ada menyatakan dia bercuti di luar negara dan macam-macam tanggapan.

Dia begitu terasa kecewa agaknya dengan kata-kataku. Olga kembali ke kuliah selepas dua minggu menghilangakn diri. Keadaannya seperti biasa. Aku gembira apabila Olga kembali seperti biasa.
Kau ke mana Olga?
Dia diam dan sepi dengan pertanyaanku. Seakan-akan kami belum mengenali satu sama lain.

Aku hanya mencari ketenangan.dan kau temui ketengan itu?kata Olga.
Pertemuan itu singkat dan sekadar bertanya ke mana dia menghilang dan meminta maaf atas keceluparan mulutku mempersoalkan perkara yang bukan hakku. Namun sejak hari itu perubahan pada Olga kian jelas. Tapi aku sendiri tidak lagi berani mempersoalkannya.

Olga dan aku berjaya lulus dengan ijazah sarjana pada tahun yang sama. Kami akhirnya berpisah kerana kembali ke negara masing-masing. Olga sendiri menyatakan dia mungkin akan menyambung untuk ijazah kedoktorannya nanti.
Aku kembali ke tanah air. Kami sama-sama berjanji jika ada rezeki kami tetap akan bertemu dan berkahwin. Siapa yang tahu tentang perkara berkaitan jodoh ini. Seperti kata Olga Tuhan Mahu Mengetahui?

III

Lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza antara lagu yang diminati oleh Olga. Banyak lagu tradiosional yang lain turut menjadi cintanya. Aku masih ingat ketika kali pertama dia menyayikan serangkap pantun entah dari mana dia dapat;

Lama sudah kami menali,
Ditali-tali tak mahu panjang;
Lama sudah kami menanti,
Yang dinanti tak mahu datang.

Terasa juga kehilangan kini. Tapi dalam benakku, ingatanku kepadanya selalu kuat semacam dulu juga. Aku masih ingat wajahnya yang menawan, rambut perang kuning dan berbibir mulus. Tiap kali melihat potretnya aku sentiasa dibawa kea lam kenangan. Tentu saja bial berada dalam kuliah, Olra yang seolah-olah tidak mengerdipkan mata memandang Profesor memberi kuliah.

Kala di ingin bertanya dia selalu menjadi orang pertama yang mengangkat tanganya dan tidak segan-silu melontarkan soalan atau pandangannya. Aku juga teringat apabila bersamanya berada di perpustakaan. Kami jarang sekali duduk semeja untuk belajar. Cuma kadang-kala apabila dia ingin berbincang dia akan segera duduk di depanku dan menunjukkan apa-apa yang hendak dibincangkan.

Sudah tujuh tahun perkahwinan kami. Selepas dua tahun aku bekerja di Malaysia, Olga rupanya membuat keputusan untuk membuat ijazah kedoktorannya di salah sebuah universiti di sini. Dia bersedia untuk menjadi isteri, katanya ketika itu. Perkahwinan kami dipersetujui kedua-dua pihak. Keluarganya ada meraikan bersama perkahwinan kami. Setiap tahun jika kami berkesempatan kami akan pulang ke kampung halaman Olga menikmati percutian di sana.

Olga seorang isteri yang baik. Ternyata selepas itu dia banyak mempelajari dan mendalami Islam denganku dan melalui kuliah dan membaca buku sebagai tambahan.
Sebelum kami berpisah pada tahun ke-4 perkahwinan kami Olga menceritakan apa yang dirasai menjadi seorang Melayu dan akhirnya menjadi seorang muslimah. Air matanya mengalir sehingga membasahi pipinya yang kemerahan itu.

Betapa hati saya bersyukur bertemu denganmu. Saya banyak mencari-cari apakah yang indah dan menenangkan dalam hidup ini. Saya seakan kepada hidup yang damai di alam kanak-kanak yang sangat riang. Islam mengembalikan saya dengan sepenuhnya segala yang saya tidak punyai. Kembalinya jiwa saya yang ceria dan gembira, melupakan kisah sukar dan gelisahekalipun telah membawa banyak perubahan yang tidak terjangka?.

Aku memahami apa yang dirasai oleh Olga. Walaupun apa yang diucapkan itu terlalu sukar untuk diterima. Seolah-olah apa yag diucapkannya adalah sedikit gambaran permukaan lautan yang belum diselami dan diterokai.

Olga mengembalikanku kepada satu keyakinan bahawa tidak ada bahasa yang lebih baik daripada bahasa ibundaku, Bahasa Melayu. Aku tidak mahu menjadi seorang pelupa dan penyegan membetulkan kenyataan ini. Bahasa Melayu sebuah bahasa yang boleh merentasi btas yang tanggapan penutur-penuturnya yang pesimis.

Olga mengembalikanku juga kepada muslim yang berjatidiri dan tidak mudah dipengaruhi oleh pemikiran dangkal yang terlalu memuja tamadun luar. Entah mengapa diriku terasa sunyi bila dia tiada. Terasa rindu yang syahdu. Sesungguhnya aku mengakui, Tuhan lebih menyayangimu Olga.