Thursday, April 12, 2007



jam bermaksud hayat, kehidupan dan kenangan. jam bermaksud nostalgia dan muhasabah diri.

Nyah

Seolah-olah malam itu kami tidak menyedari apa yang berlaku. Ia terlalu pantas dan mudah. Tiada membekaskan sebarang perasaan dan reaksi.

Emak pada malam itu tiada di rumah. Ketiadaan emak bermaksud rumah kurang sedikit aura kemeriahannya. Apatah lagi kemuraman rumah ia dirasai oleh cucu-cucu emak. Kami dijemput sekeluarga ke rumah saudara kami di Simpang 4. Alang ada mengadakan kenduri arwah suaminya yang meninggal dunia pada bulan Januari yang lalu.

Apabila ajal tiba tidak ada siapa yang dapat menduga. Aku terkejut apabila mendengar berita itu. Baru saja pada bulan Disember sempena hari raya haji kami sempat bertemu. Waktu itu memang Alang sudah mengalami sakit gaout dan kencing manis tetapi dia masih bolah bergerak dan melayan kami yang datang pada ketika itu.

Pada masa itu, suami Alang sihat seperti biasa. Nyahpun sihat tapi disebabkan keuzurannya, dia tidak secergas dulu. Usianya mungkin sudah mengjangkau 80 tahun. Nyah tidak mungkin lagi dapat membuat lemang yang enak dan kuih bahulu kemboja kegemaran ayah dan kami sekeluarga. Dahulu Nyahlah tempat kami menghilangkan rindu di kampung. Rumah Nyah tempat kami bertandang dan bermalam sebelum malam Aidilfitri.

Suami Alang, yang juga kami panggil Alang kemungkinan usianya baru awal 50-an. beliau meninggal kerana mengidap sakit gaout dan penyakit-penyakit lain. Namun, anak-anak beliau sudah ramai yang bekerja.

Antara Alang dengan aku agak rapat dari segi pertalian darah. Ibunya adalah kakak kepada ayahku. Maka kami barangkali sepupu. Tambahan pula, masa aku sekolah rendah, aku dan No, adikku selalu emak tinggalkan kami di rumah Alang jika hendak pergi membeli barang di Kelantan.

Tapi sedekad yang lalu hubungan ini jadi renggang. Tali yang disangka kuat, rupanya mereput lalu putus dengan sekelip mata. Keadaan ini menyebabkan keluarga yang dekat terasa seperti jauh. Ayah sendiri dengan caranya selalu saja menyatakan kebenciannya kepada Nyah, kakaknya.

Antara ayah dan kakaknya terputus hubungan itu disebabkan satu masalah yang tidak kuketahui dari pihak mana yang memulakannya. Berbelas tahun tinggal di dunia yang berasingan. Sepi tanpa ada ziarah dan masa yang gembira seperti masa lalu. Malam ini kami mungkin bersua semula dan tidak menjangkakan apa yang akan berlaku.

Aku terbayang wajah Nyah, kakak ayah yang pernah disangjunginya. Dia sudah beruban dan nyata dari raut wajahnya terzahir keuzuran. Nyah sekarang kurang boleh mendengar dan penglihatannya kabur. Dia tidak mungkin dapat mengecam kami lagi.
Ayah, begitu makan hati dengan kakaknya itu. Kesilapan Nyah mengubah tanggapan ayah terhadap Nyah serta-merta. Harta arwah atuk Hasan itu bukanlah banyak sangat, tetapi entah macam mana, hendak jadikan sebab semua benda jadi salah. Aku tidak mengetahui ayah memaafkan Nyah ataupun tidak.

Hanya sebahagian daripada kami adik-beradik memahami apa yang berlaku. Mungkin aku dan adikkku, No mengetahui hal ini dari f ke z sahaja. Apakah sebab dan punca perbalahan secara senyap itu berlaku bertahun-tahun sehingga sekarang, tidak dapat aku jelaskan di sini.

Mungkin ia satu kesilapan pada satu masa kemudian terus menjadi satu peristiwa yang tidak dapat diterima kedua-dua pihak. Silap faham atau ego yang menyeliputi jiwa semua yang terlibat. Mungkin hubungan itu ada tapi hanya pada Cu dan Anjang, iaitu adik ayah. Mereka mungkin menjaga hubungan itu dengan baik sampai sekarang. Termasuk PakCik berbaik dengan Nyah. Ayah tidak macam mereka. Dia benar-benar kecewa agaknya dengan kakaknya.

Kami datang malam itu bagi memenuhi hajat Alang yang menjemput kami sekeluarga datang untuk kenduri arwah. Ayah tidak datang sama. Tindakan ayah dilihat macam memulaukan keluarga Nyah. Hal ini tidak dipersetujui oleh adik beradiknya yang lain antaranya PakCik dan Anjang.

Maka pada malam itu, hanya kami adik-beradik dan keluarga abang-abangku yang datang. Lagipun sudah lama kami tidak menjenguk mereka. Ayah tidak menghalang kami berziarah ke rumah Alang malah menyukai bila kami nyatakan keinginan menziarahi Alang, Nyah dan lain-lain kerana air yang dicincang tak akan putus. Sepuluh tahun lalu memang kami kerap pergi beraya di rumah Alang. Taip kali bertandang terasa kami ini keluarga besar yang harrmonis. Namun, semuanya terhenti dan menjadi kenangan yang sukar dihadirkan dalam suasana yang sama.

Li, anak lelaki sulung Alang menyambut kami. Inilah kali ke dua aku menjejakkan kaki ke rumah yang baru siap kira-kira setahun lebih yang lalu. Ia dibuat oleh arwah Alang dan anak-anaknya Pi, Pizi dan Li. Setahun untuk menyiapkannya.
Kami menaiki rumah tersebut dengan sedikit canggung disebabkan kehadiran kami seolah-olah dinanti. Awal-awal lagi sudah diberitahu oleh Abang Ayub kepada Alang bahawa kami akan datang juga.

Kami sampai ketika keadaan rumah itu seperti tidak ada kenduri. Baru kami sedar bahawa kami kelewatan sebenarnya. Majlis sudah selesai sebelum pukul 9.30.
Maka kami datang tanpa bertahlil, doa selamat dan makan secara beramai-ramai. Mujur ada Abang Ayob, dan saudara-saudara lain yang masih belum pulang. Kami naik ke rumah dan bersalaman dengan tetamu lain yang belum pulang. Kami duduk bersila dan bersembang dengan mereka sementara dijemput makan.

Angah malu alah menerangkan kelewatan kami sampai ke sini. Tapi memandangkan ini rumah saudara, ia bukan satu masalah. Asalkan sudi datang. Semuanya duduk bersila di atas tikar mengkuang. Rumah ini jelas seperti baru sahaja didiami. Perabot belum ada di ruang tamu ini kecuali beberapa pasu bunga kertas sebagai penghias.
“Sembang-sembang yang ringkas selepas orang makan macam tak berapa rancak” lafaz Abang Ayob. Selain itu abang Lan, Yop Ismail dan beberapa orang lagi bergebang perlahan.

Abang Pendi lebih senyap seketika, dan Angahpun nampaknya tidak banyak bercakap. Mungkin kerana kami lewat datang dan tidak cukup modal untuk mencelah sepanjang perbualan.

Li datang duduk sebelah aku. Li muda setahun dan kami memang selalu bermain sama-sama masa kecil dulu. Kami bersembang dan sebenarnya sudah lama tidak bertemu. Kadang-kadang kalau bertemu tidak dapat bersembang lama. Awal-awal aku mohon maaf pada Li kerana pada waktu arwah Alang meninggal aku tidak sempat datang kerana aku tidak diberitahu tentangnya. Li tidak kisah kerana abang-abangku yang lain ada datang menziarah.

Dia sebut nama Yop, Angah dan ayah yang dipanggilnya Tok Andak.
Kami bersembang dengan perlahan. Daripada hal arwah Alang yang meninggal sampai ke bab membuat rumah. Li memberitahu hampir 80% rumah ini dibuat oleh kerja tangan Alang dan anak-anaknya. Rumah Alang memang luas dan hampir kesemuanya diperbuat daripada kayu. Rumah yang dibuat dalam bentuk yang sederhana tapi mampu muat sebuah keluarga besar. Rumah anjung dan rynag tamunya dibuat tidak terlalu tinggi memandangkan arwah Alang sudah kurang mampu berjalan. Dapur dan beberapa bilik dibuat di bahagian bawah terutama untuk Nyah yang kadang-kadang duduk di sini.

“Lebih kurang 20 ribu untuk buat rumah ini”
“Memang jimat sedikit kalau ia buat sendiri. Barangpun dibeli sendiri” kataku seperti memahami sangat pasal rumah. Sesekali pandang wajah Li, aku terbayang wajah Alang. Kali terakhir aku bertemu Alang pada hari raya haji yang lalu. Sempat kami bersembang setelah lama asyik pandang dan tegur tak tegur di rumah kenduri saudara yang dekat.

Ada yang mengatakan punca Alang jatuh sakit adalah disebabkan penat menyiapkan rumah. Mungkin betul tanggapan itu. Alang meninggalkan agak mudah. Arwah meninggal dunia apabila seminggu menderita sakit gaoutnya kemudian pada hari arwah meninggal, dia terasa sakit dan dibawa ke hospital. Dalam perjalanan arwah meninggal dunia.
Sembang kami jadi meleret-leret. Li bertanya juga tentang aku. Dimana aku bekerja dan bila aku tamat belajar.

Aku hanya menjawab soalan-soalan itu kerana bagiku ia mirip soalan gula dalam air kopi. 'Mungkin soalan-soalan kau juga sama, lebih lagi gulanya' tujuku pada diri sendiri. Tapi syukurlah , Li juga sekarang bekerja sebagai tenaga pengajar di Pusat Giat Mara. Soal untuk sara dirinya sudah lepas kerana dia sudah dapat pekerjaan tetap. Adik-adik seperti Pi dan Pizipun sama juga. Walaupun Huda anak yang sulung baru berhenti kerja kerana ada masalah tapi adik-adiknya ramai sudah bekerja. Jadi Alang tidak perlu risau tentang rezeki. Lagipun tempat hendak berteduh sudahpun kukuh berdiri.

Selepas 15 minit bersembang, Li menjemput kami makan di bawah. Abang Ayob dan yang lain meminta kami turun makan. Mereka sudah makan semasa kenduri tadi.
Kami dijemput makan macam sebuah keluarga sendiri. Alang selalu anggap kami seperti anak-anaknya sendiri. Kami disediakan dua talam untuk makan. Satu talam untuk kakak-kakak ipar dan No. Satu talam lain untuk abang-abang dan aku. Kami makan diperhatikan oleh banyak pasang mata.

Dan kami tidak perasan kami ditelanjangkan ketika makan dengan renungan dan suara. Suasana senyap dan sepi. Kami seolah terasa ada yang lain ketika kami makan.
Kami dihidangkan lauk ikan lepat kering kerana lauk-lauk lain sudah kehabisan agaknya. Yang lain biasa saja masakan kampung macam masak lemak. Aku makan sambil teringat masakan Alang. Tapi tekak tidak terasa apa-apa pada masa itu. Sambil makan ALang temankan kami dan bertanyakan soalan-soalan biasa. Walaupun perbualan agak dingin, keadaan diselamatkan Yop Ismail yang memang selalu mengusik.

“Ini lauk special untuk tetamu yang datang lambat” kata Yop Ismail iaitu menantu Nyah yang pertama dengan pekat loghat ulunya. Yop semacam mahu berangkat kerana rumahnya di Bidor sana.
“Kenapa kelam-kabut Yop. Bukan nak ke mana” tegurku.
“Sekarangkan musim kemarau” tingkahnya selepas berfikir agak lama. Dia bawa bersamanya dua orang anak perempuannya. Beberapa minit selepas dia bersembang dengan

Alang dan kami, dia minta diri untuk pulang.
Kami belum lagi selesai makan. Seolah-olah kami memang selalu lambat.
Ada suara yang dekat sedang bergebang perlahan. Suara beberapa orang perempuan. Aku menoleh ke arah suara itu, aku teringat beberapa wajah yang pernah aku lihat dahulu dan terlalu biasa dengan wajah-wajah itu. Mereka duduk di kerusi tetamu berdekatan dengan dinding.

Dulu wajah-wajah inilah yang aku kenal masa kecil. Ada wajah Nyah dan anak-cucunya. Anak Nyah kesemuanya perempuan. Tiga orang semuanya. Wajah yang paling aku terasa lama sudah tidak melihatnya adalah wajah Angah Faridah. Berdekatan dengannya ada Yong dan anak-anak Angah Faridah. Wajah-wajah yang dulu kecil sekadang sudah dewasa dan remaja macam Kak Fida dan Tada. Semuanya ada dekat kami setelah hampir sepuluh tahun tidak bertemu sedekat ini.

“Yop kamu tidak datang ye” Nyah mula bersuara jauh tiga depa daripada tempat kami makan.
“Dia tak balik cuti ini. Dia ada program di Ipoh.” Jawab Angah. Alang tolong mengulang jawapan itu kerana pendengaran Nyah tidak jelas.
Aku tengak Nyah seolah ingin berkata sesuatu tetapi tidak terkeluar daripada mulutnya. Abang Fendi sempat bertanya siapa yang duduk dekat dinding kerana ada juga dua tiga muka yang kali pertama kami lihat.

Aku cepat menghabiskan nasi aku. Tapi sempat juag merasa masakan ALang kali ini. Tidak banyak perkara yang dibualkan kerana terasa banyak perkara yang di tengah-tengah menjadi penghalang kami dengan kelaurga Nyah. Paling banyak aku lihat dan perhatikan adalah wajah Angah Faridah. Aku cuba cari suaminya, yang mereka panggil Ponggok. Suami tidak ada juga. Akupun tidak mahu bertanya tentang itu.
Angah Faridah bertanya juga tentang beberapa orang anak abang-abangku. Mula daripada Yop, Angah dan Afendi. Nyah bertanya bila pula aku hendak dapat jodoh.
“Mungkin lambat lagi ” jawabku seringkasnya.

Beberapa semua senyap seketika. Sekejap perbualan dimulai oleh Alang. Sekejap bermula dari Nyah dan disambung oleh cucu-cucu perempuannya. Aku tidak banyak bercakap dan terasa seperti tunggul kayu di tengah-tengah orang yang aku kenali macam Alang dan Nyah. Namun ku perhatikan lama wajah-wajah yang satu dekad aku tidak pandang.

Wajah Tada yang sudah remaja masih mempunyai kerenah dan suaranya yang nyaring. Aku dapat bayangkan betapa suasana ini mungkin dirindui oleh ayah sendiri. Duduk bersama sanak-saudara terdekat apabila mempunyai masa yang terluang.

Satu masa dulu jika dikumpulkan dalam sebuah rumah, pasti rumah i . Kalau tidak di rumah Nyah ia berlaku di rumah Angah Faridah di bendang. Suasana yang sudah lama dilupakan. Kami dijarakkan barnagkali oleh nasib yang kami tidak mengenalinya dari awal. Nasib yang rupanya panjang dan memutuskan tali silaturahim yang kuat.
Masakan Nyah terus berdiam diri. Nyah sudah uzur.

Benar, dia mungkin tidak mahu bercakap panjang. dia tahu bagaimana untuk menyatakan sesuatu bila sampai waktunya. Tapi bila?. Waktu sesuatu yang tidak boleh dijangka penghujungnya.

Kami diam kerana tidak terfikirkan sesuatu yang boleh kami bicarakan. ‘Kalaulah emak ada, mungkin tidak sesenyap ini’, bisik hatiku.

Kadang-kadang perasaan itu tidak banyak mencorakkan suasana kerana ego dan terlalu beremosi. Aku tidak pasti di mana nilai aksih saying dan hormat-menghormati yang terjalin padu antara kami satu masa dahulu.

Mungkin kami sama-sama melupakannya atau sengaja tidak menghiraukannya. Ego lebih kuat menelan segala nilai posistif yang berbaki. Aku sendiri terpaksa tidak bersetuju secara sepi begini. Kesilapan selalu dikenang orang sampai bila-bila.

Tapi apabila ia diselesaikan dengan baik barangkali ia akan serta-merta menjadi kenangan. Orang selalu sebut, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata-kata itu kadang-kadang macam plastik atau aluminium yang rapuh dan lembut boelh dibentuk-bentuk.

Nyah melihat kami dengan wajahnya yang bersahaja. Di sebalik wajah itu terdapat keresahan yang mungkin kami tidak kenali dan terurai dalam bahasa. Nyah tidak mampu mendengar lagi dan tidak mampu melihat seperti insane lain. Mungkin dia berharap masa akan membawa segala memori pahit ini ke mana-mana dan terus melenyap. Ia barangkali perkara yang mustahil bagi ayah. Bingung juga dibuatnya.
Angah Faridah tidak banyak berkata-kata.

Dia juga pasti merasai perasaan yang lain daripada biasa. Selepas makan, tidak banyak perkara yang dibualkan. Aku lebih banyak mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang ada lucunya dan ia menyebabkan aku ketawa. Ada juga perkara yang dibualkan aku tidak memahami kerana ia mungkin hanya berkaitan dengan keluarga Nyah.

Terasa juga betapa hubungan antara kami dan keluarga Nyah kian jauh. Aku dapat rasakan masa depan hubungan silaturahim ini di masa akan datang. ‘Entah apa gunanya bertelagah sebegini’ soalku sendirian.

Sekiranya arwah atuk masih ada entah apa yang dinyatakan. Tapi tentulah semua ini tidak akan berlaku sekiranya adanya kejujuran dalam setiap waris arwah atuk Hasan.
Sebelum pulang, kami sempat bersalaman. Tangan Nyah tangan pertama kali dahului. Tidak ada bahasa yang hendak diluarhan kecuali minta diri. Raut muka Nyah memberitahu sesuatu yang tidak kami fahami. Aku dpaat lihat wajah ini mungkin berduka kerana apa yang telah berlaku menyebabkan kesan yang tidak memberikan apa-apa kebaikan.

Pertemuan ini mungkin singkat bagiku. Tak tahulah bagi Angah, Abang Fendi dan lain-lain. Kerana ia singkat banyak soalan yang tidak mampu kujawab atau klu-klu yang kuamati tidak mendorong ke arah positif. Soalan-soalan ini mungkin boleh disimpan dan kutanyakan sendiri kepada ayah. Entah ayah mahu mendengar atau tidak soalan-soaln aku ini.

Nyah tidak mungkin melupai kami. Dan kami juga masih menghargai pertalian ini walaupun tidak seperti dahulu. Moga kita bertemu lagi dalam suasana yang lebih mesra dan damai.

No comments: