Monday, April 13, 2009



Dipersonalisasi Sinema Melayu


Galau di sekitar perbicaraan dan kritikan terhadap filem-filem tempatan sama ada yang terpilih atau dipilih, dengan sendiri menunjukkan sintesis itu berasas dan mempunyai logikanya. Jika tidak ada angin masakan pohon boleh bergoyang. Mujur sahaja dengung itu masih rasional serba kondusif.

Gamat pada satu ketika kemudian ia seolah-olah angin yang berpuput melandai meninggalkan lokasi tanpa meninggalkan jejaknya. Kalaulah filem-filem tempatan khususnya Melayu tempatan (baca:bukan filem indie) meneruskan tempo sebegini dalam satu-satu jarak masa kehadapan, ia memberi petunjuk kepada gejala paralyzed (yang lumpuh) yang harus cepat diubati.


Bagaimana mungkin keparahan ini dibiarkan membekas malah memudaratkan persekitaran dunia sinema tempatan. Filem seperti diketahui lebih daripada sekadar alat untuk mendapat katarsis mengikut fahaman Aristotle. Fungsi filem berkembang seperti lancarnya pembaharuan atau pengemaskinian teknologi yang berlaku tidak sampai 24 jam. Seperti kata orang teknologi sentiasa berubah. Maka, filem wajar diladeni dengan sikap dan pemikiran rasional bukan nilai populariti yang penuh cacamarba.


Filem perlu ‘didewasakan’ dengan melalui tahap-tahap kematangannya supaya ia mampu menjadi supplement yang sesuai bagi khalayaknya yang turut juga berubah. Filem bertanggungjawab mempengaruhi kematangan masyarakatnya dan meraikan inovatif minda pada zamannya.


Filem tidak seharusnya tenggelam arus permintaan umum kerana kebanyakkan filem luar negara, sedia wujud jalur filem-filem berperanan sebagai wacana yang mengimbangi suasana masyarakat dan kebudayaan. Filem sering menjadi sebahagian daripada dokumentasi perubahan pemikiran masyarakat dan terkadang sebagai pengucap kritik sosial yang efektif dalam menengahkan dari satu-satu pandangan.


Oleh itu, filem tempatan dianggap agak tercicir daripada destinasi ini. Faktor-faktor teknikal dan psikologi mungkin mempengaruhi proses kematangan yang amat perlahan ini. Filem bagi pihak kita hanyalah suatu ‘yang menghiburkan, mengetawakan, mengujakan dan menangiskan’. Ia bukannya karya seni yang memperkayakan pengalaman, menyuntik inspirasi, mencerahkan perasaan dan intelektual. Malah memperdalami pengalaman manusiawi khalayak.


Kerana itu istilah ‘dipersonalisasi’ merupakan istilah yang mengukur saiz reputasi sinema tempatan, lalu seakan-akan filem tempatan sudah kehilangan dirinya dan identiti sebenar. Kehilangan identiti ini dapat dikesan dengan gejala yang disebut di atas selain daripada sikap menerima budaya picisan yang tidak mendorong perkembangan sinema ke arah yang lebih rasional.


Justeru tidak hairanlah faktor-faktor luaran dan dalaman masih bermain di minda pembikinnya (baca: para karyawan) yang selalu mempunyai sikap sterotaip yang tidak membina bagi kreativiti baharu bagi sinema tempatan. Dan hilang identiti ini melalikan arah sinema tempatan daripada tanggungjawab sebenarnya.


Masalah yang sering ditanggapi sektarnya adalah berikut;
1) Filem tempatan berada dalam konkongan dunianya sendiri hingga terlalu rigid dengan pembaharuan.
2) Ketandusan elemen intelektual dan estetika yang menjadi x factor kepada ledakan filem-filem yang memenangi festival dunia akhir-akhir ini.
3) Nilai dipersonalisasi yang parah dalam menghasilkan karya sehingga ia tidak nampak memiliki nurani tempatan.
4) Ketiadaan filem berunsur ‘poetic’ yang selalu menerima perhatian khusus festival-festival terkemuka.
5) Kemuraman bentuk yang menarik dan inti (subjek) yang membijaksanakan.
6) Elemen ‘budaya popular’ yang tidak sihat mendominasi filem tempatan dan kadang-kadang terlihat ‘watak tertawan’ dalam filem tempatan hasil daripada ransangan budaya perfileman luar.
7) Mengasingkan nilai kehidupan dan realiti dalam garapan filem.
8) Kekurangan kreativiti dan tenaga untuk menerokai bentuk dan pengucapan filem baharu terutama seperti di luar negara.


Di sini pembikin filem dan orang-orang filem harus melihat semula senario ini dengan positif lalu bermuhasabah.


Mungkin era ‘tidak rasional’ ini elok dikembalikan kepada era rasionalisasi sebelum membentuk jalannya yang munasabah bagi filem tempatan. Serba-sedikit merasionalisasikan filem tempatan ini dimulai sikap berhati-hati terhadap pemikiran yang berimbang dan terbuka kepada pembaharuan dalam pengkaryaan.


Rasionalisasi ini tidak hanya mengembalikan pengkarya kepada persoalan-persoalan rutin bagi filem tetapi menemui identiti tepat bagi wajah sinema tempatan dengan melahirkan karya yang tidak popular tetapi mempunyai nilai estetikanya. Juga karya yang popular tetapi mempunyai estetikanya.


Rasionalisasi perlu turut mengemaskini pengetahuan, naratif, nilai sejagat, kreativiti yang terkawal dengan nilai dan akhirnya membawa kepada pembentukan identiti yang mandiri.


Proses ini jika tidak didorong dengan sikap terbuka dan positif, mungkin meninggalkan tidak banyak kesan yang mendalam. Pembaharuan yang dikehendaki tentulah yang mengembali seni kepada tempatnya. Antara sebab mengapa perlu rasional kepada identiti dengan menemukan diri semula (jatidiri) yang mampu membangunkan rangka wujudnya.


Inilah yang Muhamad Iqbal mengingatkan dalam puisi magnum opusnya Asrar Khuldi “janganlah sedetikpun melupakan penjagaan-Diri:/jadilah seperti permata, bukan titisan embun !/jadilah agung dalam alam, seperti gunung,/junjunglah di kepalamu seratus awan yang penuh dengan hujan/selamatkan dirimu dengan mengisbatkan Diri/tekankan raksamu menjadi bijih perak/ keluarkan irama dari tali Diri/zahirkan rahsia-rahsia diri”.


Rasionalisasi dan penjernihan personal Diri akan menjernihkan wajah filem tempatan yang sebelum ini diharungi dengan sikap taqliq atau mengikut kepada arus permintaan dan trend semasa. Sikap ini harus dicerahkan bagi menghasilkan filem yang lebih manusiawi dan membina pemikiran khalayak.


Sikap ingin menghasilkan yang lebih selari dengan realiti dan kemanusiaan yang mana akan memupuk kepada penglahiran skema filem yang sesuai dan terbaik untuk khalayak lagi menyihatkan.


Selain filem tempatan perlu membetulkan tanggapan tentang genre filem yang sesuai untuk khalayak yang membina. Sebagai contoh filem genre seram bukan sebuah filem yang perlu diberikan tumpuan oleh pembikin filem. Kerana itu filem tempatan yang akhir-akhir telalu semacam obsess kepada ‘pemikiran terkurung’ yang didanai oleh genre seram yang tidak membantu kepada penyembuhan nilai kemanusiaan dan wacana berfikir.


Malahan melalui genre ini, beberapa kepercayaan dan sikap yang tidak positif seolah ditayangkan walaupun atas nama menghiburkan, tetapi ia memberikan kesan yang tidak sesuai kepada nilai kemanusiaan. Koreksilah sinema tempatan kita ini untuk boleh dibanggakan kemudian; fizikalnya dan ruhnya !.

.

Wasilatul Ummah, Januari 2009.

.

No comments: