Berubah: Politik Lama kepada Politik Baru
Manusia boleh berubah kerana faktor masa. Lanskap politik juga boleh berubah sebagaimana manusia. Antara manusia dan politik, banyak perkara atau senario atau suasana hari boleh diimbas melalui dua oknum ini. Manusia oknum politik dan politik juga oknum manusia. Saling tidak dapat dipisahkan.
Manusia boleh berubah kerana faktor masa. Lanskap politik juga boleh berubah sebagaimana manusia. Antara manusia dan politik, banyak perkara atau senario atau suasana hari boleh diimbas melalui dua oknum ini. Manusia oknum politik dan politik juga oknum manusia. Saling tidak dapat dipisahkan.
Daripada pandangan orang politik sendiri, sebilangannya mahukan perubahan. Perubahan tidak berlaku dalam satu jangka masa yang singkat. Manusia juga tidak berubah dalam masa yang singkat. Ada yang melalui proses yang mengambil masa terlalu lama. Ada yang berubah agak lama tetapi amat munasabah pada julat waktunya.
Perubahan mempunyai sebab-musabab. Sejarah selalu berkait dengan sebab-musabab ini sebagaimana yang disebutkan sebahagian ali sejarah atau ahli falsafah. E.H Carr misalnya dalam bukunya ‘Apakah Sejarah?’ meruweti hal ini dalam satu bab khusus dalam buku tersebut. Politik atau peristiwa politik juga mustahil bersendirian tanpa mempunyai kaitan lansung atau tidak lansung dengan sebab-musabab. Persoalan perubahan yang menjadi ‘penting’ pada masa ini juga harus dikembalikan kepada sebab-musabab sama ada ia akan menjadi takdir sejarah atau ruang mimpi yang tidak tercapai.
Kita masih berada di atas titik-titik waktu yang panjang. Mungkin esok kejadian atau agenda yang akan mendatangi adalah suatu yang jauh berbeza daripada yang difikirkan sebelumnya. Juga mungkin hari semalam, merupakan suatu yang kita mahu berlaku. Hal-hal ini sangat ‘infinite’, tidak terhad atau tidak berbatas pada satu-satu sempadan objektif atau tujuan. Kerana itu wujudnya konsep usaha dan keinginan yang saling bertautan dalam mencapai sesuatu tujuan. Konsep usaha dan keinginan ini tidak pula memutlakkan hasilnya malah ia sebagai satu cara atau bayangan yang dilakukan untuk meraih sesuatu dengan kemampuan yang diberikan kepada manusia. Kualiti manusia untuk mencapai sesuatu terbuka lapang kepada banyak kemungkinan. Disimpulkan dalam konotasi dan kategori yang mudah, gagal atau berjaya. Tetapi ada sesuatu yang berdiri di antara kedua-dua. Tidak berjaya dan tidak gagal. Tetapi sukar mendapati keadaan seperti ini.
Orang politik kita sebahagiannya percaya kepada perubahan yang bakal berlaku. Perubahan yang akan dipimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan jentera UMNO dan Barisan Nasionalnya. Hal ini masih ditunggu-tunggu dan perlukan masa untuk melakukannya. Sifat perubahan yang memerlukan masa ini memang betul pada landasan logiknya. Malah ‘manusia yang biasa’ tidak boleh melakukan perubahan secara drastik. Manusia memerlukan pemeringkatan, faktor-faktor pelbagai sudut, ransangan-ransangan dan pemikiran-pemikiran untuk menyuntik perubahan itu. tidak benar kalau ada yang menyatakan akan berlaku perubahan drastik dan sebagainya, kerana banyak langkah-langkah yang perlu dilalui untuk mendapatkan perubahan.
Perubahan yang digambarkan kala ini adalah bentuk perubahan legasi politik ‘malang’ yang lama seperti pra PRU 12 yang lalu. Pra Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, UMNO digenangi dengan pelbagai masalah parti. Barisan Nasional juga turut sama menghadapinya. Maka lantaran itu, keputusan yang dikatakan ‘melawan arah jam’ berlaku dan memberikan kejutan kepada parti-parti kerajaan itu. ini satu tragedi yang merencatkan kemajuan politik UMNO dan komponen BN pada abad ke-21 ini.
Secara inklusifnya, pimpinan BN dan UMNO diberikan amaran oleh rakyat berkenaan masalah-masalah parti dan krisis keyakinan yang diberikan sejak separuh abad yang lalu. Kualiti parti-parti komponen UMNO terjejas dan hambar pada pandangan rakyat. Rakyat melihat UMNO sudah berada dalam ‘out date’nya. Sudah kurang relevan dan semakin menghadapi zaman rentanya. UMNO tidak mempunyai idea-idea segar untuk membangunkan negara dan rakyat secara idealistik lagi. Objektif-objektif besar berkenaan selain pembangunan materialistik sudah semakin nipis. Pimpinan komponen Barisan Nasional semakin hilang ‘magis’ untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang sebenar seperti dahulu.
Justeru, selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui tentang perubahan yang harus dilakukan, yang hanya dilakukan oleh pimpinan sekarang di bawah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mana memerlukan iltizam yang cukup besar dan teruji. Menyambung kesinambungan legasi lama tidak sukar, tetapi peranan untuk memperbaharui UMNO dan Barisan Nasional pada masa ini suatu yang cukup besar dan bermakna. Suatu yang paling jelas ukuran perubahan ini, ialah rakyat akan menerima kepimpinan kerajaan. Tetapi dalam keadaan politik yang tidak menentu, khayalak semakin pintar memberikan pilihan dan keputusan. Keputusan pilihanraya kecil baru-baru dan sebelum ini, memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Wujud politik yang tidak seimbang bagi mendapatkan kredit kepada kerajaan. Ini mungkin bermaksud, kerajaan harus melakukan lebih dari yang ada atau luar biasa (extraordinarily) untuk mearik semula kepercayaan rakyat.
Membentuk kabinet ‘Satu Malaysia’ yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai kabinet rakyat merupakan satu asas untuk bergerak dalam politik yang semakin rencam ini. Ini mungkin langkah mula atau ‘pra’ kepada perubahan yang bakal berlansung. Kabinet yang dikatakan ramai ‘agak mengejutkan’ lantaran menempa beberapa episod atau kontroversi baharu. Namun hal ini satu proses yang biasa selepas proses peralihan kepimpinan yang baharu berlaku. Wajah-wajah yang ditampilkan satu daripada langkah menghadapi perubahan, yang akan menjana sebahagian kemampuan dan ‘performance’ Barisan Nasional pada masa akan datang.
Perubahan yang dituntut daripada hukum sebab-musabab dari konteks politik sedang ditunjukkan. Adakah ia akan bersesuaian dengan faktor-faktor ‘menang-kalah’ dalam episod waktu nanti ?. Hal ini menjadi episod yang menarik perhatian semua khalayak politik. Tetapi hal yang perlu ada bagi perubahan yang dimahukan adalah strategi dan perancangan bagi menjamin kemenangan yang bakal diraih. Kemenangan yang masih subjektif ini, terlalu untuk diberikan kepastiannya. Sekiranya UMNO dan BN serius, kemampuan membawa perubahan itu sendiri berupa satu kejayaan kepada jentera parti UMNO dan BN. Tetapi ada banyak faktor lain lagi yang berkaitan dengan perubahan ini dan tidak dapat lari daripadanya.
Salah satunya yang mungkin semua khalayak politik makin menyedari ialah wujudnya fenomena ‘Politik Baru’ yang muncul pasca abad 21 ini. Kalau abad yang lalu, iaitu abad penting dan ‘yang menguntungkan’ bagi UMNO dan BN, fenomena ‘Politik Baharu ini timbul ketika era teknologi maklumat semakin memuncak. Penerokaan alam siber semakin penting menjadi saluran untuk mendapatkan maklumat. Ini bukan faktor kekalahan BN-UMNO tetapi, daripada suasana dan latar sebeginilah ‘Politik Baru’ menjadi trend yang tanpa disedari menjadi latar kepada generasi baharu yang ada sekarang yang kebanyakkannya daripada golongan yang berpendidikan yang sekurang-kurangnya diploma.
Dari sudut lain pula Politik Baru membawa pakej yang pelbagai (munasabah dengan negara membangun bakal ke menuju negara maju) seperti idea politik moral, politik pemikiran dan politik wacana yang berhasil daripada perubahan minda manusia atau khalayak politik negara ini. Daripada itu tercetusnya budaya politik yang positif yang melambangkan etika, pemikiran, intelektual dan kebertanggungjawaban atau integriti. Politik seperti harus diimbangi wacana dan perbincangan yang berhemah dan terbuka bagi memberik peluang kepada khalayak politik memilih.
Khalayak politik mempunyai masa dan sebab untuk memikirkan ‘peluang’ dan ‘ruang’ kepada seseorang individu maupun sesuatu parti untuk berada dalam pembangunan negara secara lansung. Wacana politik ini lebih demokratik dan rakyat kerana memberikan tumpuan kepada pertimbangan rasional bagi mengisi maksud atau tujuan politik atau siasah itu sendiri. maka konotasi politik pada masa kini, (selepas era Politik Baru) politik itu lebih matang dan bukan lagi di atas senstiviti perkauman dan emosional yang melalu seperti sebelum ini.
Trend ‘Politik Baru’ tentu dipersetujui oleh mana-mana pihak, dari kerajaan dan pembangkang. Wacana ini digunakan untuk dua tujuan; satu pembangunan negara dan pembangunan politik. Ini akan memadamkan sedikit demi sedikit ‘Politik Lama’ atau politik tahun 1970-an yang bergayutan dengan pelbagai maksud dan agenda tersirat. Politik Lama ini dibumbui dengan emosional, permainan fitnah-memfitnah, kata-mengata, perpecahan dan sebagainya. Oleh itu, abad baharu elok diraikan versi perubahan ini (di samping perubahan UMNO-BN), harus diberikan ruang untuk melancarkan pemikiran yang telus dan matang bagi membawa khalayak kepada ruang yang baharu.
Politik Baharu lebih menumpukan kepada kemampuan individu atau parti masing-masing supaya bersaing dalam satu gelanggang yang lebih sihat, beradab dan bermoral. Setiap politikus mesti berdiri di atas pendirian dan peranan yang lebih matang untuk mengemukan isu dengan bermaklumat di samping beramanah dengan yang dilakukan atau dikatakannya. Tumpuan tidak sahaja kepada wacana malah kepada memberikan rakyat semacam horizon alternatif untuk berfikir lebih luwes dan tidak hanya berinteraksi secara pasif dalam ruang politik. Jika ini yang bakal diterima semua, keterbukaan minda akan lebih terserlah daripada sentimen politik perkauman atau parti yang sempit. Maka logiknya, perubahan akan lebih lancar berlaku.
.
Mingguan Wasilah, 19-26 April 2009
.
No comments:
Post a Comment