Friday, March 27, 2009

Realiti dan Mitos Kerajaan Perpaduan

Semacam satu eksperimen dalam makmal, yang mana ada dengan cukup segala alatannya, teori dan langkah pelaksanaan yang jelas telah dipersiapkan. Apakala semua ini lengkap, barulah suatu ujikaji itu dapat dilaksanakan dengan baik. Malah mungkin hasilnya dapat ditelah daripada awal. Konteks ini boleh dibandingkan dengan, cadangan daripada parti PAS untuk membina sebuah kerajaan perpaduan seperti dinyatakan melalui Presiden parti tersebut boleh dianggap satu eksperimen politik yang tekad sifatnya.

Sebagai permulaan, cadangan yang dilontarkan dalam keadaan ekonomi menguncup ini bersifat terlalu umum dan keluar daripada fikiran stereotaip/kebiasaan. Kerajaan Perpaduan sudah disodorkan, tapi belum dikemukakan langkah-langkahnya, alat-alat atau mekanisme-mekanismenya (istilah paling popular kala ini), teori-teori mahupun hipotesis-hipotesis sekitarnya. Idea Kerajaan Perpaduan ini begitu mengejutkan juga kerana dalam keadaan politik yang juga gawat, secara tiba-tiba pandangan ini dibangkitkan.

Beberapa orang pemimpin politik telah ditanya berkenaan Kerajaan Perpaduan seperti mana yang diwar-warkan Presiden PAS. Daripada respon-respon tersebut yang khususnya daripada pemimpin UMNO, hal ini kurang disetujui (baca: disenangi) lantaran cadangan itu seakan dilihat mirip dengan medan politik kepartian Melayu yang jarang menemui jalan temu.
Reaksi-reaksi itu barangkali bersifat individu dan tidak mewakili parti. Belum ada pandangan dari pihak Majlis Tertinggi memberikan respon kerana tumpuan lebh diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlansung.

Namun jika direnungkan, cadangan Presiden PAS itu bukan dilahirkan atas maksud yang sepontan dan tanpa alasan. Cadangan yang berkonsekuensi daripada keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil antara sebab utama (seperti yang dinyatakan Presiden PAS) timbulnya cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan ini. obejektifnya tentu untuk memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang dilakukan kerajaan dan dilakukan bersama untuk mewujudkan situasi yang lebih baik dalam menangani krisis ini dan mengurangi kemelut politik yang melanda yang makin memuncak saban hari. Budaya politik sebegini ini tidak sihat untuk situasi yang melanda kini, barangkali itu pandangan parti tersebut.

Oleh itu, kerajaan perpaduan ini tidak bermaksud sekadar membina kesefahaman antara setiap pemimpin semua parti untuk bersatu bagi menghadapi kesusahan ekonomi yang sedang berlaku, tetapi (barangkali) meredakan psikologi politik semasa yang begitu memuncak setiap masa dengan pelbagai isu untuk sementara waktu.

Walaupun belum disebutkan tentang hala tuju atau kerangka Kerajaan Perpaduan ini, adakah untuk pemimpin-pemimpin Melayu sahaja atau juga berserta dengan pemimpin-pemimpin bukan Melayu, hal inipun masih kabur. Kerana pokok pangkalnya cadangan ini, kembali kepada pihak majoriti atau pimpinan parti yang memerintah kerajaan sekarang ini. Walaupun atas nama ‘Kerajaan Perpaduan’, namun konotasi itu masih longgar dengan definasi dan penjelasan-penjelasan tertentu, atau mungkin ini satu usaha yang telah digunapakai di negara luar dan cuba diterapkan dalam suasana politik negara. Maka, keadaan sebegini memerlukan penjelasan yang khusus berkenaannya supaya ia dapat difahami rakyat daripada golongan pertengahan dan bawahan.

PAS barangkali mahu mengorak langkah ke hadapan dari sisi kemajuan politik dalaman melalui cadangan ini. Memberi keperihatinan terhadap ekonomi dan beban rakyat semasa lebih bermasalahah berbanding mencari pertembungan politik kepartian. Malahan dari satu sudut, perpaduan memang selalu diimpikan oleh semua masyarakat Malaysia. Dengan perpaduan ini pemimpin-pemimpin Melayu dan bukan Melayu bersatu dan berkerja dengan lebih profesional dalam membantu rakyat dan negara menuju kesejahteraan negara.

Sehingga hari ini hal ini semacam mimpi. Di satu sudut, cadangan ini memang menyelaraskan semula kebuntuan politik yang berlaku yang menampak jurang pepecahan di samping kehilangan peranan sebenarnya penumpuan dalam membina negara berbanding ‘politiking’ dan percaturan isu yang remeh. Namun ada juga suara-suara yang menyatakan, mungkin sahaja nawaitu PAS (berkaitan Kerajaan Perpaduan ini) tetap dalam maksud dan pokok perbicaraan yang sama iaitu politik kepartian atau memperoleh kredit politik misalnya.

Biarpun perbincangan masih terlalu awal. Mungkin cadangan PAS terlalu idealistik atau bermaksud tertentu, pada sesetengah pihak. Namun logik yang ideal cenderong menyatakan, inilah masanya memberikan tanggungjawab sebenar politik warganegara kepada keadaan ekonomi sedang sarat dengan kemelesetannya yang dibebani kesannya daripada negara-negara Eropah. Dan hal ini dapat dibuktikan kepada rakyat meskipun ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik; parti-parti dalam Barisan Nasional menjalin perpaduan dengan Pakatan Rakyat.

Ironik juga pada awalnya. Tapi mungkin betul mengikut situasi ini, tiap musibah ada hikmah. Tapi mampukah para pemimpin kita khususnya yang Melayu jujur melihat persoalan ini. Orang Melayu sebagai ketua dan yang majoriti, tentu saja Melayulah yang mampu membuktikan maksud perpaduan tercapai itu secara realitinya. Persoalannya, apakah ini mungkin buat masa sekarang ini?.

Berdasarkan sejarah, Kerajaan Perpaduan yang diistilahkan ‘tanpa pembangkang’ tidak pernah ada dalam sejarah politik Malaysia. Cuma pengalaman parti PAS sendiri yang pernah menyertai Barisan Nasional ketika parti PAS dipimpin Yang Dipertuanya Dato’ Asri Muda. Pengalaman ini bukan satu rangka yang boleh dipadankan dengan cadangan Presiden PAS baru-baru ini, kerana maksud atau tujuan pembentukan Kerajaan Perpaduan itu adalah tujuannya mahu bergandingan dan bekerjasama dalam masalah ekonomi yang sedang melanda negara.

Secara amnya, konotasi dan idea ini mempunyai maksud yang baik dan positif. Namun, ia sudah ditolak oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Hujah beliau sekian lama dulu PAS mahukan perpaduan terjalin dengan UMNO tetapi PAS tidak dipedulikan sama sekali. Sekarang ini seakan sudah terlewat dan pengalaman yang lama berlalu itu tidak mungkin berulang.

Pun begitu, kerangka ‘Kerajaan Perpaduan’ ini belum jelas dan terlalu polos dengan pelbagai penjuru pandangan. Maka ia perlulah diperjelaskan dan dibincangkan walaupun belum tentu digunakan. Tentunya hal ini membuka tafsiran yang polos juga dan mudah ditanggapi dengan pelbagai persepsi. Tapi dengan cara berbincang di media massa misalnya perkara ini dapat dielakkan. Meskipun ada positif pada cadangan namun apabila tidak berada dalam satu landasan yang betul, kemungkinan ada kesilapannya misalnya sebagaimana seseorang mahu melakukan eksperimen tadi, individu itu perlu menyediakan semua kelengkapannya.

PAS mungkin melihat satu ruang untuk penyatuan antara pemimpin-pemimpin Melayu dari parti-parti yang berbeza-beza ini pada masa krisis ekonomi ini, malangnya pandangan ini sedari awal lagi sudah ditolak mentah-mentah juga oleh beberapa pimpinan UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO boleh sahaja menyatakan pelbagai hujah menolak dan membangkitkan persoalan ‘mengapa sekarang ?’. Tetapi keadaan belum menunjukkan tanda-tanda penolakan secara tuntas dari pihak UMNO. Kemungkinan UMNO akan mempertimbangkannya dan merangka langkah-langkah untuk mengadakan sesi perbincangan dengan parti-parti alternatif atau Pakatan Rakyat bagi mencapai kata putus terhadap persoalan ini. Malah perlu dibawa ke Perhimpunan Agongnya. Tentu sahaja boleh, tapi semuanya akan kembali kepada ‘political will’ yang unik dan non-konvensional sifatnya.

Walaupun sebelum ini UMNO mempunyai sejarah sebagai parti yang ‘mempelawa’ parti lawannya, parti itu sendiri sedang menghadapi masalah dalaman dan sekarang menghadapi peralihan tampuk kepimpinan, yang menjadi subjek penting politik semasa (Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak). Tambahan pula UMNO sekarang ini dalam proses pembaharuan, yang belum dibuat dengan sepenuhnya, maka kerja-kerja yang harus dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti kebangsaan itu mengambil masa selain memberikan tumpuan kepada pentadbiran negara.

Di samping itu, komponen-komponen Pakatan Rakyat juga tentu memerlukan masa untuk menyedut maksud dan idea PAS yang agak berlainan ini untuk difahami dengan baik. Adakah cadangan PAS ini serius dalam keadaan kritikal segi ekonomi dan politik? Atau sekadar sebahagian retorik untuk menambahkan kalut politik sedia ada?.


.
Mingguan Wasilah 29 Mac - 4 April 2009
.

Sunday, March 22, 2009



Fundamentalisme Bahasa



Tidak menjadi menjadi kesalahan bagi seseorang itu ingin menjadi seorang fundamentalis agama misalnya, kerana berpegang kepada agama itu suatu yang bersifat manusiawi dan fitrah sifatnya. Tetapi kerana perkataan fundamentalisme itu sendiri disalah ertikan dengan tafsiran lain yang mengganggu misalnya, tidak mustahil berpegang kepada yang asas, pokok dan dasar juga berpersalahkan kerana terlalu berlebih-lebihan dalam tindakan atau pendirian.

Samalah juga dengan bahasa yang boleh dikatakan perkara pokok dan dasar dalam sesebuah peradaban bangsa dan agama, tidak mustahil dikatakan mempertahankan dasar sesuatu bahasa yang telah ditetapkan sejak sekian lama menjadi satu kesalahan kepada golongan yang memperjuangkannya. Malahan apabila mempertikaikan golongan yang berpandangan yang berlawanan dengan golongan ini, terus dikatakan taksub, melebihi batas, anti kemajuan dan emosional. Seolah-olah bersikap fundamentalis dalam agama misalnya adalah negatif dan apa pula bezanya dengan fundamentalis bahasa kalau ia boleh digunakan di sini.


Bersifat pro-gerakan kepada mempertahankan dasar bahasa ibunda sesuatu yang positif dan asalkan ia tidak memudaratkan pihak lain. Malah jika hujah dan bukti yang diberikan begitu absah, mengapa masih berlaku kekeliruan dalam mencari kata putus ataupun penyelesaian yang murni dalam hal sebegini. Kemungkinan hal ini belum jelas dari pihak yang terbabit tentang faham peri pentingnya bahasa ibunda bagi sesuatu bangsa dan kurang memberikan perhatian atau merujuk perkara ini daripada mereka yang ahli. Mengapa tidak dibuat perbincangan sebelum mana-mana dasar atau keputusan diambil khususnya berkaitan yang dikatakan ‘dasar/pokok’ ini. Lantaran sebelum isu ini menjadi lebih parah dan mengambil sikap berhati-hati dan berhemah, tindakan seperti membuat kajian yang rasional bagi menguji kemapanan sesuatu tindakan sebelum melaksanakannya secara rasmi.


Bagi rakyat biasa, mereka perlu diberikan kefahaman bagi mengetahui tentang isu yang sebenar, dan adalah terlalu awal untuk membuat penetapan bahawa ia bakal berjaya kerana pada banyak perbincangan semasa menitikberatkan bukti tentang belajar dalam bahasa ibunda lebih alamiah dan tabie sifatnya. Antara logik menyanggah PPSMI ialah logika akal menyatakan dengan bahasa ibundalah lahirnya kemampuan untuk berkehidupan seperti manusia yang normal yang lain. Bakat pertama inilah yang berkembang dan menyusun kudrat akliah lewat bahasa ibunda untuk berinteraksi dengan alam dengan fikiran. Disambung daripada itu logika lainnya iaitu ;


Kita mungkin tidak perasan kepentingan ini apabila sudah meningkat dewasa dan sudah berumur misalnya, kerana bahasa itu sebahagian daripada proses yang tabie sifatnya dalam kehidupan dan sesuatu yang terkadang implisit kesannya, tidak dilihat sebagaimana tumbusaran fizikal /biologi misalnya. Dan mungkin pembaca tidak menyedari di mana ilmu yang berkembang diajarkan difahami dan menjadi pegangan selama ini disampaikan dengan bahasa ibunda. Pertuturan seharian, pembacaan dan penulisan sehari-hari kita selalu akan menghubungkan secara lansung dengan bahasa ibunda yang diperolehi daripada masa kanak-kanak lagi yang menurut pendapat kajian di mana wujud tabula rasa dalam sistem pemikiran manusia yang menjadi pengembang potensi manusia berbahasa.


Bagi mereka sudah menguasai lebih daripada satu bahasa misalnya, mungkin satu, dua atau lebih bahasa asing, akan timbul persoalan yang bersifat teoritikal yang hanya sesekali dipertanyakan iaitu ‘dengan bahasa apa awak berfikir ?’. Kebanyakkan penulis bukan bahasa Inggeris tetapi menulis Bahasa Inggeris sendiri, selalu dipertanyakan soalan ini misalnya seorang penulis dari Somalia, Nuruddin Farah yang menulis novel-novelnya antaranya trilogi Blood in the Sun ( Maps (1986), Gifts (1993), Secrets (1998) dan trilogi Viariations On The Theme Of An African Dictatorship ( Sweet and Sour Milk(1979), Sardines(1981) dan Close Sesame(1983) dalam Bahasa Inggeris. Jawapannya mungkin subjektif diberikan dan sememangnya seperti dinyatakan oleh pengarang ini, beliau berfikir dalam bahasa ibundanya, sama seperti mana beliau menuangkan fakta-fakta, gambaran, budaya dan inti pemikiran yang dididik daripada kecilnya, iaitu lewat budaya dan dan bahasa Somalia.


Barangkali penulis sebegini walaupun sudah menulis dalam bahasa asing namun tidak pula melupakan bahasa ibunda yang menjadi latar kehidupan sedari usia kecil dan remajanya.
Begitu akrab bahasa ibunda dan pemikiran dalam menentukan satu-satu corak kehidupan yang lansung daripada realiti. Apabila menyebutkan bahasa ibunda selalunya atau kebanyakkan orang kurang memberikan perhatian ini secara khusus kerana bahasa ibunda hanyalah sebagai alat perhubuangan pada satu-satu masa atau tempoh. Selepas daripada tempoh dan waktu yang seterusnya, terdapat golongan yang membesar dengan lebih daripada bahasa ibundanya. Pun begitu bahasa ibunda tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam menentukan penglibatan tumbusaran awal sebagai manusia, dan bahasa ibunda atau bahasa pertamalah yang menjadi wadah kepada manusia sebelum mencapai pengalaman lain dengan bahasa kedua dan ketiga.


Proses ini sangat subjektif tetapi jika dilihat dengan mendalam, bahasa ibunda mempunyai entiti yang menunjukkan identiti, peribadi dan membantu kepada pengecaman pengalaman kemanusiaan awal bagi seseorang. Kerana bahasa itu jugalah yang mempertalikan manusia itu dengan yang lain di peringkat pertamanya. Dan dengan bahasa ibundalah pengetahuan dipindahkan melalui proses pembelajaran lansung maupun tidak lansung, malah pengungkapan yang awal juga melibatkan bahasa ibunda ini sehingga mencantumkan sesuatu yang bersifat abstrak dengan bahasa pertuturan atau perkataan, membantu untuk menterjemahkan rasa kasih sayang, gembira, benci, rasa indah, takjub, bersungguh-sungguh, sedih dan sebagainya.
Dalam persuratan atau penulisan pula, di mana bahasa ibundalah yang memulai proses penyerapan gagasan atau idea melalui tanda-tanda pada penulisan lalu difahami mengikut peaturan atau sistem yang ditentukan. Kalaupun seseorang itu dididik secara formal cenderung dalam bahasa asing, tentu asas-asas pengetahuan sekurang-kurangnya diperolehi dnegan bahasa ibunda pada kelazimananya.


Apa yang kontradiknya pada isu PPSMI bagi fundamentalis bahasa sehingga mencetuskan seolah-olah penentangan dari kalangan pejuang bahasa, pecinta bahasa dan badan-badan bukan kerajaan dan individu persendirian yang membangkitkan seolah prostes, adalah disebabkan perihal bahasa ini tidak diinsafi terlebih awal kerana faktor-faktor tabie ini tidak dilihat dan ditelaah sedari awal malah kelihatan seperti dikesampingkan. Ia tidak diberikan perhatian atau tumpuan sebelum sesuatu dasar seperti PPSMI itu sendiri digubah. Pihak terbabit tidak melihat gagasan dan teori yang mendukungi maksud terbinanya sesuatu bangsa yang bermaruah dan berjati diri adalah antaranya dengan bahasa ibundanya yang lebih tulen dan akrab dengan alam pemikiran bangsa itu. Perkara yang bersifat sejarawi sebeginipun tidak dirujuk dengan berhati-hati dan disebabkan menyebabkan rasa terguris dan terasa kepada fundamentalis ini bukan kepalang lagi.


Kemungkinan juga faktor-faktor lain antara pemilihan mata pelajaran Matematik dan Sains itu sebetulnya satu pernyataan realiti yang relatif dengan mitos dengan ketidakmampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi dan sains. Malah tersirat juga isu-isu lain yang tidak dapat tidak dikait dengan dasar dan persoalan pokok yang berkaitan dengan masa depan bangsa dan negara. Hari inipun memang realitinya rata-rata generasi baru Melayu tidak baik dalam bahasa Inggeris dengan merujuk kepada sekitar permasalahan yang ditimbulkan sedari awal tahun 2000-an. Punca itu terlalu umum dan rawak sifatnya kerana tidak disebutkan bersama isu tersebut kajian yang menyatakan persoalan atau sintesis mengapa bangsa muda Melayu kurang mencapai kepujian atau baik dalam subjek Bahasa Inggeris.


Maka persoalan itu (suatu ketika tidak berapa dulu) tergantung pada satu tahap dan tidak pula ditelusuri dengan mendalam. Bahasa Melayu pula dimomokkan dengan masalah-masalah tertentu, walaupun hakikatnya masalah itu masalah yang pelbagai puncanya bukan hanya daripada kelemahan yang ‘ditelunjukkan’ kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Kerana setahu penulis, keazaman, keperihatinan dan pemberatan kepada Bahasa Melayu adalah bukan sahaja iltizam instituisi atau badan tertentu yang dilantik, malah ia satu peranan yang umum dan luas massanya. Khalayaknya adalah penuturnya dan jika dikhususkan kepada sesuatu badan sahaja, tentu kemampuan dan tanggungjawab besar ini tidak boleh dipikul sendirian. Ia perlu ditanggani secara sosial, politik dan ekonomi secara serentak dan bersama. Dan belum ada bangsa yang meminggirkan bahasa ibundanya sendiri walaupun bahasa itu kecil penuturnya dan tidak meluas penggunaannya.


Dalam isu Bahasa Melayu, yang penting iltizamnya harus diperbetulkan dan disatukan semula semuanya dari rakyat biasa kepada pemerintah untuk melihat kewujudan Bahasa Melayu terus makmur dan subur. PPSMI juga satu langkah untuk menaiktaraf murid kepada satu tahap atau anjakan paradigma Bahasa Inggeris buat pelajar Melayu, tetapi apabila banyak dikritik secara besar-besaran tentunya akan memperlihatkan situasi yang tidak seimbang yang terhasil bukan seperti mana diharapkan. Mungkin sahaja isu ini sifatnya masih terdedah kepada perbincangan bersama dan dihalusi untuk menjadikannya bukan sesuatu yang beban kepada Bahasa Melayu dan bangsa Melayu itu sendiri.


Orang yang fundamentalis bahasa rasanya tidak menentang dengan tangan yang kosong dan dalam kehilangan fikiran waras, kerana di tangan mereka punya hujah-hujah yang harus juga dilihat dan diteliti. Fundamentalis bahasa ini tentu sahaja sudah membaca dan melihat kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan yang zahir pada sesuatu dasar yang pada mereka merugikan banyak segi. Malah ia juga seolah satu pertindanan kepada yang ada sebelum ini, yang tidak seharusnya berlaku.


Akhirnya rakyat dan pemimpin perlu sedar bahawa Bahasa Melayu sesuatu yang boleh digunakan untuk kemajuan peradaban bangsa, tapi masalah yang sedia ada haruslah diselesaikan sehingga Bahasa Melayu bersedia untuk bangun sebagai bahasa yang mapan berhadapan peranan semasa dan masa depan. Apakah salahnya fundamentalis bahsa kalau dasar, hujah dan pandangan ini menjadi tulang perjuangan mereka pada 7 Mac lalu. Akuilah, slogan kita ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.
.
Ditulis dan telah dikirimkan. Tapi tidak disiarkan.
Selamat membaca.
.

Monday, March 16, 2009

Bahasa itu akal budi bangsa



“…justeru, kata-kata itu merupakan yang menayangkan pandangan hidup bangsa yang memiliki bahasa itu. maka dari itu kata-kata seperti itu, yang mempengaruhi penanggapan penggunanya terhadap alam yang ditanggapnya, dan yang juga terpengaruh oleh alam dan kehidupan yang dibayangkan olehnya itu,” - Risalah Untuk Kaum Muslimin, Syed Muhammad Naquin Al-Attas. MS 99.


“Biasa kita mendengar orang Melayu yang menguasai bahasa Inggeris berkata, bahawa mereka lebih selesa atau lebih lancar berfikir dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya ini bukan masalah berfikir tetapi masalah kelemahan bahasa Melayu mereka, dan ini masalah budaya. Proses penciptaan tamadun yang melambangkan atau mencerminkan pemikiran dan pandangan hidup bangsa yang menciptakan tamadun itu lazimnya berlaku melalui bahsa asal bangsa itu.” – Ke arah Kelahiran Melayu Glokal, Dato’ Dr. Hassan Ahmad. MS 111.


Mutakhir ini orang Melayu merupakan bukan realiti kepada Bahasa Melayu itu sendiri. Ini kerana orang Melayu telah mengambil bahasa asing untuk ditutur dan dipraktikkan dalam kehidupan. Dan banyak situasi menunjukka bahawa bahasa asing lebih utama daripada bahasa ibunda orang Melayu. Tidak perlu hairan, kalau kita berserempak dengan seorang Melayu tetapi tidak lagi mahu bertutur atau tidak boleh berbahasa ibundanya dengan baik.

Memang betul seperti yang dikatakan Pendeta Za’ba dalam bukunya Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri tentang sikap dan perangai seseorang itulah yang mencorakkan tindakan dan apa yang dilakukan dirinya. Orang lain tidak boleh mempengaruhinya kecuali setelah dipaksa untuk melakukannya. Sikap dan pandangan hidup orang Melayu terhadap kehidupan seharian selalu menunjukkan kebenaran hal ini.


Sebelum kemerdekaan pandangan terhadap susuk peribadi orang Melayu timbul antaranya doktrin ‘orang Melayu malas’. Kemudian dalam tempoh yang agak panjang, doktrin ini menjadi wacana yang hebat dibincangkan oleh ramai pengkaji sehingga menghasilkan dua pandangan yang saling kontradik. Pandangan pertama menyatakan orang Melayu memang memiliki sifat malas, tidak tekun bekerja dan sebagainya. Idea ini asalnya datang daripada penjajah yang tidak sahaja datang ke Tanah Melayu untuk mengeksploitasi hasil bumi dan meluaskan empayar imperialismenya, malahan memberikan definasi, konsep dan pandangan terhadap peribumi mengikut pemerhatian ‘orientalisme’ mereka.


Pada pasca kemerdekaan, pandangan ini diterima dan digunapakai untuk menyedarkan bangsa Melayu supaya tidak bersikap sedemikian. Penjenamaan baharu doktrin ‘Melayu malas’ kali ini lebih membahayakan dari sebelumnya kerana ia diolah oleh orang Melayu sendiri bagi membangkitkan kesedaran pada Melayu tentang masalah yang dihadapi khususnya dalam ekonomi. Dua buah buku yang memberikan sumbangan ini iaitu Dilema Melayu dan Revolusi Mental.


Pandangan kedua menyatakan citra ‘orang Melayu malas’ merupakan rekaan dan mitos yang diada-adakan. Kerana ia merupakan satu cara atau modus operandi bagi kapitalis penjajah untuk melicinkan penguasaan segi politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu. Maka, gambaran atau citra orang Melayu malas dan bangsa-bangsa peribumi lain juga bukan realiti atau berdasarkan kajian yang terperinci, malah pandangan sebegitu datang daripada orang asing yang hanya mahu melemahkan peribumi dengan imej atau citra. Sikap ini sangat dipengaruhi etnosentrisme dan orientalisme yang digambarkan ‘beragenda’ seperti disebut oleh Edward Said lewat bukunya yang signifikan dalam disiplin pasca-kolonialisme.


Kaitan sikap orang Melayu dengan isu Bahasa Melayu sangat dekat kalau diperhatikan dengan jujur. Hubungan keyakinan orang Melayu dengan bahasa ibundanya mulai terhakis kerana mempunyai sikap menerima pandangan luar dan seolah-olah berlaku di sana sikap tidak mandiri dalam memperjuangkan bahasa sendiri. Malah timbul sikap menganggap bahasa asing lebih mampu mengangkat martabat bangsa berbanding bahasa ibunda yang penuh dengan falsafah, akal budi, cermin fikir dan wajah tamadun, adab dan sebagainya.


Apakah Bahasa Melayu mempunyai kekurangan elemen kemapanan dan kemampuan mengalas peranan sebagai bahasa ilmu?. Begitu juga sebagai bahasa teknologi dan sains, kebudayaan, multimedia dan sebagainya. Dan barangkali dari sudut inilah yang diambil perkiraan bagi memberi ruang kepada bahasa asing yang dikatakan maju dan mapan untuk membawa orang Melayu dan bangsa Malaysia ke arah negara maju. Tetapi secara umumnya, alasan ini masih dipertikaikan oleh sesetengah pihak terutamanya yang berautoriti dalam bidang Bahasa Melayu dan mereka yang berkecenderungan dalam mempertahankan tamadun Melayu. Hujah mereka jelas dengan fakta dan logik selain daripada penolakan kepada alasan yang disediakan oleh pihak yang menganjurkan keperluan kepada mendalami bahasa asing.


Jika bahasa menjadi syarat kepada kemajuan sesebuah negara bangsa, maka pada logiknya alasan ini masih belum kuat. Terdapat negara bangsa yang mapan kemajuannya tetapi memelihara malah menjaga bahasa rasminya daripada diubah martabat keutamaannya. Negara-negara ini mempercayai perabadan dan ketamadunan negara bangsanya harus berdiri di atas sikap beracuankan mandiri dan salah satu yang menunjukkan sifat kemandirian ini adalah melalui bahasa. Tidak hairanlah negara-negara tetap harum dan sering disebut-sebut di persada dunia antaranya Perancis, Jepun dan Iran.


Bagi negara bangsa aliran ini, mereka mempercayai bahawa bahasa adalah bukan sekadar alat komunikasi yang mujarad, malah ia merupakan jelmaan peribadi bangsa, akal budi, falsafah, maruah, kebudayaan, pancaran weltanschauung (pandangan menyeluruh), adab tatacara dan sebagainya. Dan Bahasa Melayu sendiri, memang sudah terbukti menjadi bahasa yang hidup terutama pada abad 15 hingga 17, selain menjadi bahasa lingua franca, ia juga menjadi bahasa ilmu dan peradaban Melayu pada ketika itu.


Bahasa Melayu disebarluaskan dengan penulisan buku-buku dalam pelbagai medan ilmu sehinggalah masih banyak khazanah berbentuk manuskrip Melayu yang belum diterbitkan hingga hari ini. Bahasa Melayu diakui merupakan korpus kepada pemikiran dan nilai orang Melayu dan ini terbukti dengan wujudnya pepatah-pepitih, pantun, simpulan bahasa yang cukup genius dalam menghubungkan manusia Melayu dengan alam sarwajagat ini. Tidak hairanlah kreativiti orang Melayu sangat halus sehingga menyerap ke dalam kehidupan saharian dan menjadi cerminan sikap orang Melayu.


Pernah penulis Sasterawan Negara Usman Awang pernah menyatakan, melalui bahasa orang Melayu berbicara, melalui bahasa orang Melayu berseloka, melalui bahasa orang Melayu bercinta, melalui bahasa orang Melayu menyindir. Tetapi semua itu berlaku melalui Bahasa Melayu yang memang tinggi nilainya. Kerana itulah Bahasa Melayu begitu terkenal dengan estetika berbahasanya ‘yang indah-indah’ kerana bahasa bagi orang Melayu selain pertuturan, ia merupakan pemikiran dan citra alam yang dipadatkan dalam kosmologi bermasyarakat.


Jarang benar orang Melayu (jika dilihat tradisinya) meninggalkan bahasanya. Kita dapat lihat bahasa masih berada di kenduri-kendara, majlis pertunangan, dodoian anak, di ruang kerja seperti di laut atau sawah bendang dan sebagainya. Bahasa yang pada si Melayu bukan lagi komunikasi tetapi pemikiran, perasaan, kepercayaan, kebudayaan, nilai dan kehidupan.


Maka apakala usaha menganaktirikan Bahasa Melayu wujud, secara tidak lansung ia menarik sensitiviti orang Melayu yang sayang kepada bahasa kerana ia melebihi daripada orang Melayu sendiri sebenarnya. dan jarang pula kita bertemu dengan orang yang tidak sayangkan bahasa yang dituturnya daripada dalam buaian. Penulis percaya ia juga berlaku pada bangsa besar yang menghargai bahasa ibundanya.


.


Tulisan ini tidak dipanjangkan ke mana-mana penerbitan. Demi memperingati perjuangan bahasa ibunda.


.

Sunday, March 15, 2009

Di persimpangan jalan politik semasa

Krisis ekonomi global yang datang tiba-tiba memberikan pengajaran manusia. Manusia Eropah sedang sibuk mencari jalan memulihkan keadaan. Malah sudah ada ramalan yang menyatakan krisis ini juga bakal lanjut ke tahun-tahun hadapan. Kebarangkalian kelambatan pulih dan proses pemulihannya, begitu menjadi tanya dan membuatkan isu kelembapan ekonomi ini menambat kerisauan rakyat. Dari pihak kerajaan pula secara lansung segera mengingatkan tentang keadaan runcing ini walaupun belum begitu menyeluruh lantaran kesan yang dihadapi barangkali tidak seketara negara-negara di Amerika contohnya.

Hal ini turut dirasai di negara. Cuma yang membezakan, krisis signifikannya itu dikaitkan dengan ruang politik yang semakin hari semakin sukar difahami. Pembacaan politik tempatan semakin hilang tanda-tanda tertibnya, maksudnya ia semakin dibawa ke tengah arus yang semakin berpusar. Ibarat mungkin tidak tepat dan absah, tetapi yang sudah ditunjukkan politik yang dramatik ini adalah episodnya yang makin memanjang walaupun semua dalam bawah sedar dan tahu tentang keadaan ekonomi yang tidak stabil dan kesannya masih dalam kerangka ‘tunggu dan lihat’.

Politik Melayu sudah hilang arahnya. Tidak ada lagi pentas politik Melayu secara eksklusif yang wujud sekarang ini. Memang pemain utama (primer) masih orang Melayu Islam, pelakon dan pengarah masih dari kelompok itu, cuma sudah berlaku sifat viarasi dan kepelbagaian politik hari ini yang semakin membuka gelanggangnya kepada bukan Melayu. Melayu dalam kerangka politik tempatan, adalah satu bentuk idealisme yang mahu dipersembahkan orang para politikus kepada rakyat dengan sebaiknya. Maka tidak mustahillah politik Melayu selalunya berlegar dalam isu hak, masa depan Melayu sahaja dan sebagainya. Sekarang barangkali kerana suasana politik sudah berubah, idea berkenaan politik juga terheret sama dalam arus perubahan ini.

Sudah wujud bentuk pemikiran-pemikiran atau idea-idea baru (kalau boleh dikatakan ‘pemikiran’ atau boleh diubah kepada corak/bentuk) yang memindahkan politik perkauman ini kepada satu real politik yang berbeza. Sudah wujud ruang yang terbuka dalam politik dalam membicarakan politik perpaduan dan bersifat majmuk sifatnya.

Sudah wujud pandangan-pandangan yang mewakili ‘bangsa Malaysia’ berbanding mengangkat isu sesuatu bangsa tertentu. Gagasan politik perpaduan satu masa dulu mengecut, sekarang dilihat sebagai suatu yang teras dan ‘ultra’. Mungkin ini kesan daripada perubahan itu. Cuma masih bermain dalam pemikiran dalam banyak hal, di mana dan sampai bila bentuk pemikiran ini akan menjadi ‘neutral’, sebati dan mantap. Atau ini sekadar satu gerakan ke arah perubahan budaya dan suasana politik yang lebih berbeza lagi. Pemimpin Melayu khasnya UMNO mulai sedar, dominasi politik tidak akan tercapai kalau tidak dengan sokongan daripada bangsa lain. Mungkin nanti slogan Ketuanan Melayu yang dicanangkan pada tiap persidangan parti tradisi itu, populariti slogan itu akan mengalami kesuramannya.

Perubahan sikap ini sudah dapat ditelah daripada kenyataan akhir-akhir ini dari para pemimpin UMNO berhati-hati dengan bahasa yang lebih lunak lagi diterima. UMNO mulai membetulkan langkahnya dan padanya setiap langkah yang seterusnya akan mengundang bahaya jika tidak berhati-hati. Mengapa tidak, kelansungan politik masih berjalan kerana UMNO masih mahukan kedudukannya tidak tercabar dengan mana-mana parti dari Pakatan Rakyat. Terbaharu, akan bertembung sekali lagi bagi penentuan politik walaupun dalam skala kecil iaitu di DUN Bukit Gantang misalnya, tetap ia akan memberikan kredit kepada UMNO untuk terus diterima secara psikologi di hadapan massa. Dan kerusi Dewan Undangan Negeri itu juga agak penting kerana setalah apa yang berlaku di Perak, melansungkan insiden-insiden yang di luar pembacaan politik biasa, maka ia seolah-olah memberikan satu lagi ‘homework’ kepada UMNO untuk terus mendapat sokongan.

Walaupun sudah wujud andaian menyatakan kekalahan akan menimpa UMNO lantaran kesilapan yang belum diperbetulkan UMNO pada ketika ini, tentunya akan menyemarakkan semangat dan motivasi kepada parti tersebut untuk mengadakan satu sesi perang psikologi yang berbeza. Di sini dapat dilihat bagaimana bentuk dan rangka politik baharu timbul dari peristiwa, dan ia berkemungkinan satu cetusan yang bersifat lansung dan sepontan. Dalam meletakkan sisi-sisi kefahaman inilah, semakin kalut politik semasa tempatan, ia akan memberikan warna-warnanya yang akan berbeza daripada sebelumnya dan membuka kepada ruang kebijaksaan politik yang tidak lagi mengikut rentak lama.

Sekarang, yang dikatakan transformasi masih dalam satu putaran pergerakannya. Pembudayaan politik baharu masih berjalan dalam kerangka yang tidak terarah dan barangkali berlaku seperti secara alami atau tabienya, dengan satu bentuk yang tidak tersusun kemudian saling menemukan cara dan rentak, dan kemudian barulah budaya itu menjadi mantap dan kukuh dalam sesebuah masyarakat. Proses ‘penyesuaian’ budaya politik baharu tentu mengambil masa dan menuntut kefahaman baharu juga. Kefahaman ini tidak semesti daripada golongan intelektual malahan daripada rakyat sendiri, kerana sudah wujud keterbukaan maklumat dan cara mendapatkannya, sudah membolehkan kefahaman umum dapat dibentuk. Ia lebih telus dan mendasar kepada logikal semasa.

Sebahagian rakyat mungkin terkeliru rencah politik yang tidak teratur ini. Masih banyak politiking, cara pemikiran lama yang dikekalkan, politik kebudak-budakan dan sebagainya, tetapi kemungkinan ini satu daripada proses kemantapan politik baharu seperti yang diwar-warkan. Apa rasionalnya apabila perubahan politik baharu itu berlaku, mungkin sahaja pemikiran beracuan baharu timbul apabila khalayak politik atau massanya adalah daripada generasi baharu. Malah inilah zaman mereka, iaiatu zaman generasi baharu. Mungkin sahaja perubahan ini akan mendorong kepada kematangan politik tempatan berlansung dengan lebih baik. Mungkin sahaja politik akan lebih berisi dengan idea dan pemikiran baharu dan kritis. Dan semua ini memungkin suasana politik yang lebih ‘rakyat’ dapat diwujudkan.

Masalah yang sama melanda di beberapa negara Asia adalah mencari politik yang berasaskan suara rakyat sebagai kuasa kerana masih wujud sisa pemikiran politik lama yang mana menjadikan ruang politik sebagai tumpuan bagi para oportunis politik dan bukan bagai mereka yang mampu mengalas peranan sebagai pemimpin. Maka tidak hairanlah di beberapa negara, peralihan institusi kepimpinan yang lebih ‘absah’ mengikut kehendak rakyat masih berlaku seperti mana di Jepun, Thailand dan Pakistan misalnya.

Masih wujud getaran dan nafas suara muda yang mulai memberi pandangan umum yang bercorak mempertikaikan kepimpinan tradisi yang dilihat berada dalam tampuk kuasa yang tidak amanah. Maka, dalam suasana politik tempatan keadaan menyusun dan perubahan sedang berlaku dengan serba kemungkinan yang tidak terjangka.

Rakyat sudah menyedari hal ini hatta di akar umbinya, di mana bentuk pemikiran lama atau tradisi sedang bertembung dengan pemikiran baharu. Wujud kepercayaan tentang idealisme dan praktikal sesebuah parti yang tidak berubah sejak sekian lama. Ada juga yang mulai mempertikaikan keutuhan parti tersebut daripada ‘golongan lama’ sendiri. Dua pandangan yang berbeza inilah yang semakin menyerlah dari paling jelas, perbezaan antara keduannya adalah dari segi usia dan golongan.
Dari golongan tertentu yang lain pula, ada yang selalu memerhatikan suasana politik dan sentiasa tidak berpihak. Namun dalam kerencaman penggolongan rakyat ini, sama ada yang menyokong atau tidak atau berkecuali atau samara-samar, ia semuanya bergantung kepada keadaan semasa yang mana mempunyai rentak dan jalur politik yang dimainkan. Sekarang politik tidak lagi sebagai mana disinonimkan dengan pembangunan, kemudahan sedia ada dan mana-mana yang material sifatnya, kerana ia sudah beralih kepada bentuk ‘mood’ politik yang terbuka dan meyerapkan maklumat dan selalu berkongsi berita untuk disebarkan.

‘Mood’ politik logik juga kian ketara dan berleluasa dalam masyarakat yang semakin hari seakan kehausan maklumat. Kepentingan maklumat sebagai komoditi penjana politik tempatan sangat memberikan kesannya yang jelas walaupun dalam bentuk yang samara-samar atau tidak tuntas. Namun begitu, sudah wujud sikap mengambil ketetapan berdasarkan pemikiran logik dan mempertikaikan beberapa fakta berkenaan isu-isu sensitif melibatkan secara tidak lansung dengan integriti kepimpinan negara, kemerosotan nilai, cara bertindak dan sebagainya. Dan soal-soal inilah yang masih bermain di dalam kotak pemikiran UMNO yang semakin hari semakin kelihatan menidakkan hal ini, ia tetap datang dan datang dengan beban yang makin bertambah.
Disiarkan Mingguan Wasilah 15-21 Mac 2009
.