Friday, March 27, 2009

Realiti dan Mitos Kerajaan Perpaduan

Semacam satu eksperimen dalam makmal, yang mana ada dengan cukup segala alatannya, teori dan langkah pelaksanaan yang jelas telah dipersiapkan. Apakala semua ini lengkap, barulah suatu ujikaji itu dapat dilaksanakan dengan baik. Malah mungkin hasilnya dapat ditelah daripada awal. Konteks ini boleh dibandingkan dengan, cadangan daripada parti PAS untuk membina sebuah kerajaan perpaduan seperti dinyatakan melalui Presiden parti tersebut boleh dianggap satu eksperimen politik yang tekad sifatnya.

Sebagai permulaan, cadangan yang dilontarkan dalam keadaan ekonomi menguncup ini bersifat terlalu umum dan keluar daripada fikiran stereotaip/kebiasaan. Kerajaan Perpaduan sudah disodorkan, tapi belum dikemukakan langkah-langkahnya, alat-alat atau mekanisme-mekanismenya (istilah paling popular kala ini), teori-teori mahupun hipotesis-hipotesis sekitarnya. Idea Kerajaan Perpaduan ini begitu mengejutkan juga kerana dalam keadaan politik yang juga gawat, secara tiba-tiba pandangan ini dibangkitkan.

Beberapa orang pemimpin politik telah ditanya berkenaan Kerajaan Perpaduan seperti mana yang diwar-warkan Presiden PAS. Daripada respon-respon tersebut yang khususnya daripada pemimpin UMNO, hal ini kurang disetujui (baca: disenangi) lantaran cadangan itu seakan dilihat mirip dengan medan politik kepartian Melayu yang jarang menemui jalan temu.
Reaksi-reaksi itu barangkali bersifat individu dan tidak mewakili parti. Belum ada pandangan dari pihak Majlis Tertinggi memberikan respon kerana tumpuan lebh diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlansung.

Namun jika direnungkan, cadangan Presiden PAS itu bukan dilahirkan atas maksud yang sepontan dan tanpa alasan. Cadangan yang berkonsekuensi daripada keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil antara sebab utama (seperti yang dinyatakan Presiden PAS) timbulnya cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan ini. obejektifnya tentu untuk memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang dilakukan kerajaan dan dilakukan bersama untuk mewujudkan situasi yang lebih baik dalam menangani krisis ini dan mengurangi kemelut politik yang melanda yang makin memuncak saban hari. Budaya politik sebegini ini tidak sihat untuk situasi yang melanda kini, barangkali itu pandangan parti tersebut.

Oleh itu, kerajaan perpaduan ini tidak bermaksud sekadar membina kesefahaman antara setiap pemimpin semua parti untuk bersatu bagi menghadapi kesusahan ekonomi yang sedang berlaku, tetapi (barangkali) meredakan psikologi politik semasa yang begitu memuncak setiap masa dengan pelbagai isu untuk sementara waktu.

Walaupun belum disebutkan tentang hala tuju atau kerangka Kerajaan Perpaduan ini, adakah untuk pemimpin-pemimpin Melayu sahaja atau juga berserta dengan pemimpin-pemimpin bukan Melayu, hal inipun masih kabur. Kerana pokok pangkalnya cadangan ini, kembali kepada pihak majoriti atau pimpinan parti yang memerintah kerajaan sekarang ini. Walaupun atas nama ‘Kerajaan Perpaduan’, namun konotasi itu masih longgar dengan definasi dan penjelasan-penjelasan tertentu, atau mungkin ini satu usaha yang telah digunapakai di negara luar dan cuba diterapkan dalam suasana politik negara. Maka, keadaan sebegini memerlukan penjelasan yang khusus berkenaannya supaya ia dapat difahami rakyat daripada golongan pertengahan dan bawahan.

PAS barangkali mahu mengorak langkah ke hadapan dari sisi kemajuan politik dalaman melalui cadangan ini. Memberi keperihatinan terhadap ekonomi dan beban rakyat semasa lebih bermasalahah berbanding mencari pertembungan politik kepartian. Malahan dari satu sudut, perpaduan memang selalu diimpikan oleh semua masyarakat Malaysia. Dengan perpaduan ini pemimpin-pemimpin Melayu dan bukan Melayu bersatu dan berkerja dengan lebih profesional dalam membantu rakyat dan negara menuju kesejahteraan negara.

Sehingga hari ini hal ini semacam mimpi. Di satu sudut, cadangan ini memang menyelaraskan semula kebuntuan politik yang berlaku yang menampak jurang pepecahan di samping kehilangan peranan sebenarnya penumpuan dalam membina negara berbanding ‘politiking’ dan percaturan isu yang remeh. Namun ada juga suara-suara yang menyatakan, mungkin sahaja nawaitu PAS (berkaitan Kerajaan Perpaduan ini) tetap dalam maksud dan pokok perbicaraan yang sama iaitu politik kepartian atau memperoleh kredit politik misalnya.

Biarpun perbincangan masih terlalu awal. Mungkin cadangan PAS terlalu idealistik atau bermaksud tertentu, pada sesetengah pihak. Namun logik yang ideal cenderong menyatakan, inilah masanya memberikan tanggungjawab sebenar politik warganegara kepada keadaan ekonomi sedang sarat dengan kemelesetannya yang dibebani kesannya daripada negara-negara Eropah. Dan hal ini dapat dibuktikan kepada rakyat meskipun ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik; parti-parti dalam Barisan Nasional menjalin perpaduan dengan Pakatan Rakyat.

Ironik juga pada awalnya. Tapi mungkin betul mengikut situasi ini, tiap musibah ada hikmah. Tapi mampukah para pemimpin kita khususnya yang Melayu jujur melihat persoalan ini. Orang Melayu sebagai ketua dan yang majoriti, tentu saja Melayulah yang mampu membuktikan maksud perpaduan tercapai itu secara realitinya. Persoalannya, apakah ini mungkin buat masa sekarang ini?.

Berdasarkan sejarah, Kerajaan Perpaduan yang diistilahkan ‘tanpa pembangkang’ tidak pernah ada dalam sejarah politik Malaysia. Cuma pengalaman parti PAS sendiri yang pernah menyertai Barisan Nasional ketika parti PAS dipimpin Yang Dipertuanya Dato’ Asri Muda. Pengalaman ini bukan satu rangka yang boleh dipadankan dengan cadangan Presiden PAS baru-baru ini, kerana maksud atau tujuan pembentukan Kerajaan Perpaduan itu adalah tujuannya mahu bergandingan dan bekerjasama dalam masalah ekonomi yang sedang melanda negara.

Secara amnya, konotasi dan idea ini mempunyai maksud yang baik dan positif. Namun, ia sudah ditolak oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Hujah beliau sekian lama dulu PAS mahukan perpaduan terjalin dengan UMNO tetapi PAS tidak dipedulikan sama sekali. Sekarang ini seakan sudah terlewat dan pengalaman yang lama berlalu itu tidak mungkin berulang.

Pun begitu, kerangka ‘Kerajaan Perpaduan’ ini belum jelas dan terlalu polos dengan pelbagai penjuru pandangan. Maka ia perlulah diperjelaskan dan dibincangkan walaupun belum tentu digunakan. Tentunya hal ini membuka tafsiran yang polos juga dan mudah ditanggapi dengan pelbagai persepsi. Tapi dengan cara berbincang di media massa misalnya perkara ini dapat dielakkan. Meskipun ada positif pada cadangan namun apabila tidak berada dalam satu landasan yang betul, kemungkinan ada kesilapannya misalnya sebagaimana seseorang mahu melakukan eksperimen tadi, individu itu perlu menyediakan semua kelengkapannya.

PAS mungkin melihat satu ruang untuk penyatuan antara pemimpin-pemimpin Melayu dari parti-parti yang berbeza-beza ini pada masa krisis ekonomi ini, malangnya pandangan ini sedari awal lagi sudah ditolak mentah-mentah juga oleh beberapa pimpinan UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO boleh sahaja menyatakan pelbagai hujah menolak dan membangkitkan persoalan ‘mengapa sekarang ?’. Tetapi keadaan belum menunjukkan tanda-tanda penolakan secara tuntas dari pihak UMNO. Kemungkinan UMNO akan mempertimbangkannya dan merangka langkah-langkah untuk mengadakan sesi perbincangan dengan parti-parti alternatif atau Pakatan Rakyat bagi mencapai kata putus terhadap persoalan ini. Malah perlu dibawa ke Perhimpunan Agongnya. Tentu sahaja boleh, tapi semuanya akan kembali kepada ‘political will’ yang unik dan non-konvensional sifatnya.

Walaupun sebelum ini UMNO mempunyai sejarah sebagai parti yang ‘mempelawa’ parti lawannya, parti itu sendiri sedang menghadapi masalah dalaman dan sekarang menghadapi peralihan tampuk kepimpinan, yang menjadi subjek penting politik semasa (Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak). Tambahan pula UMNO sekarang ini dalam proses pembaharuan, yang belum dibuat dengan sepenuhnya, maka kerja-kerja yang harus dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti kebangsaan itu mengambil masa selain memberikan tumpuan kepada pentadbiran negara.

Di samping itu, komponen-komponen Pakatan Rakyat juga tentu memerlukan masa untuk menyedut maksud dan idea PAS yang agak berlainan ini untuk difahami dengan baik. Adakah cadangan PAS ini serius dalam keadaan kritikal segi ekonomi dan politik? Atau sekadar sebahagian retorik untuk menambahkan kalut politik sedia ada?.


.
Mingguan Wasilah 29 Mac - 4 April 2009
.

No comments: