Sunday, March 15, 2009

Di persimpangan jalan politik semasa

Krisis ekonomi global yang datang tiba-tiba memberikan pengajaran manusia. Manusia Eropah sedang sibuk mencari jalan memulihkan keadaan. Malah sudah ada ramalan yang menyatakan krisis ini juga bakal lanjut ke tahun-tahun hadapan. Kebarangkalian kelambatan pulih dan proses pemulihannya, begitu menjadi tanya dan membuatkan isu kelembapan ekonomi ini menambat kerisauan rakyat. Dari pihak kerajaan pula secara lansung segera mengingatkan tentang keadaan runcing ini walaupun belum begitu menyeluruh lantaran kesan yang dihadapi barangkali tidak seketara negara-negara di Amerika contohnya.

Hal ini turut dirasai di negara. Cuma yang membezakan, krisis signifikannya itu dikaitkan dengan ruang politik yang semakin hari semakin sukar difahami. Pembacaan politik tempatan semakin hilang tanda-tanda tertibnya, maksudnya ia semakin dibawa ke tengah arus yang semakin berpusar. Ibarat mungkin tidak tepat dan absah, tetapi yang sudah ditunjukkan politik yang dramatik ini adalah episodnya yang makin memanjang walaupun semua dalam bawah sedar dan tahu tentang keadaan ekonomi yang tidak stabil dan kesannya masih dalam kerangka ‘tunggu dan lihat’.

Politik Melayu sudah hilang arahnya. Tidak ada lagi pentas politik Melayu secara eksklusif yang wujud sekarang ini. Memang pemain utama (primer) masih orang Melayu Islam, pelakon dan pengarah masih dari kelompok itu, cuma sudah berlaku sifat viarasi dan kepelbagaian politik hari ini yang semakin membuka gelanggangnya kepada bukan Melayu. Melayu dalam kerangka politik tempatan, adalah satu bentuk idealisme yang mahu dipersembahkan orang para politikus kepada rakyat dengan sebaiknya. Maka tidak mustahillah politik Melayu selalunya berlegar dalam isu hak, masa depan Melayu sahaja dan sebagainya. Sekarang barangkali kerana suasana politik sudah berubah, idea berkenaan politik juga terheret sama dalam arus perubahan ini.

Sudah wujud bentuk pemikiran-pemikiran atau idea-idea baru (kalau boleh dikatakan ‘pemikiran’ atau boleh diubah kepada corak/bentuk) yang memindahkan politik perkauman ini kepada satu real politik yang berbeza. Sudah wujud ruang yang terbuka dalam politik dalam membicarakan politik perpaduan dan bersifat majmuk sifatnya.

Sudah wujud pandangan-pandangan yang mewakili ‘bangsa Malaysia’ berbanding mengangkat isu sesuatu bangsa tertentu. Gagasan politik perpaduan satu masa dulu mengecut, sekarang dilihat sebagai suatu yang teras dan ‘ultra’. Mungkin ini kesan daripada perubahan itu. Cuma masih bermain dalam pemikiran dalam banyak hal, di mana dan sampai bila bentuk pemikiran ini akan menjadi ‘neutral’, sebati dan mantap. Atau ini sekadar satu gerakan ke arah perubahan budaya dan suasana politik yang lebih berbeza lagi. Pemimpin Melayu khasnya UMNO mulai sedar, dominasi politik tidak akan tercapai kalau tidak dengan sokongan daripada bangsa lain. Mungkin nanti slogan Ketuanan Melayu yang dicanangkan pada tiap persidangan parti tradisi itu, populariti slogan itu akan mengalami kesuramannya.

Perubahan sikap ini sudah dapat ditelah daripada kenyataan akhir-akhir ini dari para pemimpin UMNO berhati-hati dengan bahasa yang lebih lunak lagi diterima. UMNO mulai membetulkan langkahnya dan padanya setiap langkah yang seterusnya akan mengundang bahaya jika tidak berhati-hati. Mengapa tidak, kelansungan politik masih berjalan kerana UMNO masih mahukan kedudukannya tidak tercabar dengan mana-mana parti dari Pakatan Rakyat. Terbaharu, akan bertembung sekali lagi bagi penentuan politik walaupun dalam skala kecil iaitu di DUN Bukit Gantang misalnya, tetap ia akan memberikan kredit kepada UMNO untuk terus diterima secara psikologi di hadapan massa. Dan kerusi Dewan Undangan Negeri itu juga agak penting kerana setalah apa yang berlaku di Perak, melansungkan insiden-insiden yang di luar pembacaan politik biasa, maka ia seolah-olah memberikan satu lagi ‘homework’ kepada UMNO untuk terus mendapat sokongan.

Walaupun sudah wujud andaian menyatakan kekalahan akan menimpa UMNO lantaran kesilapan yang belum diperbetulkan UMNO pada ketika ini, tentunya akan menyemarakkan semangat dan motivasi kepada parti tersebut untuk mengadakan satu sesi perang psikologi yang berbeza. Di sini dapat dilihat bagaimana bentuk dan rangka politik baharu timbul dari peristiwa, dan ia berkemungkinan satu cetusan yang bersifat lansung dan sepontan. Dalam meletakkan sisi-sisi kefahaman inilah, semakin kalut politik semasa tempatan, ia akan memberikan warna-warnanya yang akan berbeza daripada sebelumnya dan membuka kepada ruang kebijaksaan politik yang tidak lagi mengikut rentak lama.

Sekarang, yang dikatakan transformasi masih dalam satu putaran pergerakannya. Pembudayaan politik baharu masih berjalan dalam kerangka yang tidak terarah dan barangkali berlaku seperti secara alami atau tabienya, dengan satu bentuk yang tidak tersusun kemudian saling menemukan cara dan rentak, dan kemudian barulah budaya itu menjadi mantap dan kukuh dalam sesebuah masyarakat. Proses ‘penyesuaian’ budaya politik baharu tentu mengambil masa dan menuntut kefahaman baharu juga. Kefahaman ini tidak semesti daripada golongan intelektual malahan daripada rakyat sendiri, kerana sudah wujud keterbukaan maklumat dan cara mendapatkannya, sudah membolehkan kefahaman umum dapat dibentuk. Ia lebih telus dan mendasar kepada logikal semasa.

Sebahagian rakyat mungkin terkeliru rencah politik yang tidak teratur ini. Masih banyak politiking, cara pemikiran lama yang dikekalkan, politik kebudak-budakan dan sebagainya, tetapi kemungkinan ini satu daripada proses kemantapan politik baharu seperti yang diwar-warkan. Apa rasionalnya apabila perubahan politik baharu itu berlaku, mungkin sahaja pemikiran beracuan baharu timbul apabila khalayak politik atau massanya adalah daripada generasi baharu. Malah inilah zaman mereka, iaiatu zaman generasi baharu. Mungkin sahaja perubahan ini akan mendorong kepada kematangan politik tempatan berlansung dengan lebih baik. Mungkin sahaja politik akan lebih berisi dengan idea dan pemikiran baharu dan kritis. Dan semua ini memungkin suasana politik yang lebih ‘rakyat’ dapat diwujudkan.

Masalah yang sama melanda di beberapa negara Asia adalah mencari politik yang berasaskan suara rakyat sebagai kuasa kerana masih wujud sisa pemikiran politik lama yang mana menjadikan ruang politik sebagai tumpuan bagi para oportunis politik dan bukan bagai mereka yang mampu mengalas peranan sebagai pemimpin. Maka tidak hairanlah di beberapa negara, peralihan institusi kepimpinan yang lebih ‘absah’ mengikut kehendak rakyat masih berlaku seperti mana di Jepun, Thailand dan Pakistan misalnya.

Masih wujud getaran dan nafas suara muda yang mulai memberi pandangan umum yang bercorak mempertikaikan kepimpinan tradisi yang dilihat berada dalam tampuk kuasa yang tidak amanah. Maka, dalam suasana politik tempatan keadaan menyusun dan perubahan sedang berlaku dengan serba kemungkinan yang tidak terjangka.

Rakyat sudah menyedari hal ini hatta di akar umbinya, di mana bentuk pemikiran lama atau tradisi sedang bertembung dengan pemikiran baharu. Wujud kepercayaan tentang idealisme dan praktikal sesebuah parti yang tidak berubah sejak sekian lama. Ada juga yang mulai mempertikaikan keutuhan parti tersebut daripada ‘golongan lama’ sendiri. Dua pandangan yang berbeza inilah yang semakin menyerlah dari paling jelas, perbezaan antara keduannya adalah dari segi usia dan golongan.
Dari golongan tertentu yang lain pula, ada yang selalu memerhatikan suasana politik dan sentiasa tidak berpihak. Namun dalam kerencaman penggolongan rakyat ini, sama ada yang menyokong atau tidak atau berkecuali atau samara-samar, ia semuanya bergantung kepada keadaan semasa yang mana mempunyai rentak dan jalur politik yang dimainkan. Sekarang politik tidak lagi sebagai mana disinonimkan dengan pembangunan, kemudahan sedia ada dan mana-mana yang material sifatnya, kerana ia sudah beralih kepada bentuk ‘mood’ politik yang terbuka dan meyerapkan maklumat dan selalu berkongsi berita untuk disebarkan.

‘Mood’ politik logik juga kian ketara dan berleluasa dalam masyarakat yang semakin hari seakan kehausan maklumat. Kepentingan maklumat sebagai komoditi penjana politik tempatan sangat memberikan kesannya yang jelas walaupun dalam bentuk yang samara-samar atau tidak tuntas. Namun begitu, sudah wujud sikap mengambil ketetapan berdasarkan pemikiran logik dan mempertikaikan beberapa fakta berkenaan isu-isu sensitif melibatkan secara tidak lansung dengan integriti kepimpinan negara, kemerosotan nilai, cara bertindak dan sebagainya. Dan soal-soal inilah yang masih bermain di dalam kotak pemikiran UMNO yang semakin hari semakin kelihatan menidakkan hal ini, ia tetap datang dan datang dengan beban yang makin bertambah.
Disiarkan Mingguan Wasilah 15-21 Mac 2009
.

No comments: