Dilema Akhbar Melayu dan Utusan
Sebuah tulisan berjudul Akbar Melayu bakal pupus ? oleh Ahmad Zaki Ismail yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 24 November 2008 sangat elok diberikan perhatian. Tulisan tersebut menyebutkan beberapa dilema yang timbul pada organisasi yang menerbitkan akhbar Melayu (dalam rencana itu menyebutkan Kumpulan Utusan sebagai high light) dan akhbar Melayu, namun realitinya bukan sekadar itu.
Sebuah tulisan berjudul Akbar Melayu bakal pupus ? oleh Ahmad Zaki Ismail yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 24 November 2008 sangat elok diberikan perhatian. Tulisan tersebut menyebutkan beberapa dilema yang timbul pada organisasi yang menerbitkan akhbar Melayu (dalam rencana itu menyebutkan Kumpulan Utusan sebagai high light) dan akhbar Melayu, namun realitinya bukan sekadar itu.
Jika disebutkan tentang akhbar Melayu, selalu yang membayangi di fikiran adalah sebahagian akhbar yang bersifat ‘arus perdana’. Akhbar-akhbar itu merupakan media yang memainkan peranan melaporkan berita dan mengemukakan beberapa isu penting dari sudut-sudut yang diperlukan. Namun peranan akhbar Melayu pada sebelum merdeka berfungsi sebagai pembangkit semangat rakyat menentang kemerdekaan, mengubah ‘mind set’ sebagai bangsa yang sedang dijajah kepada bangsa yang merdeka selain menyuarakan pandangan-pandangan daripada sisi rakyat berkenaan pelbagai isu. Sebaliknya, peranan akhbar masa kini sangat berbeza daripada yang sebelumnya dan telah dikemuncupkan oleh kerana beberapa faktor.
Jika dilihat sifat sesebuah akhbar pada zaman sebelum kemerdekaan, peranan yang dimainkan cukup besar bagi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu khususnya Orang Melayu. Kerana itu nama-nama besar seperti Syeikh Ahmad Al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), A. Samad Ismail antara yang paling disinonimkan dengan dunia persuratkhabaran malah persuratan Melayulah yang meransang anak-anak peribumi supaya perihatin terhadap persoalan yang dihadapi pada ketika itu.
Dalam zaman penjajahan British, permasalahan Melayu banyak dan amat menginsafkan. Antaranya persoalan kemiskinan, kemunduran, pendidikan, ekonomi, sikap atau cara berfikir dan pergelutan rasa ‘inferiority complex’, iaitu rasa rendah diri serta minda tertutup dalam isu-isu baharu misalnya penglibatan wanita dalam alam pekerjaan atau lapangan luar.
Para pengarang dan wartawan akhbar membuka halangan-halangan ini sedikit demi sedikit melalui penulisan yang juga sebagai salah satu pencetus kepada kemerdekaan 1957. Dalam keadaan yang serba kekurangan, suratkhabar menjadi penggerak kepada masyarakat supaya bangun menentang penjajahan dan memecahkan tembok ‘inferiority complex’ daripada bangsa terjajah kepada bangsa menuntut kebebasan di atas tanahair sendiri.
Usia semangat ini dipanjangkan sehinggalah akhbar yang sering disebut dalam buku sejarah iaitu Utusan Melayu (diterbitkan tahun 1939) yang menjadi wadah kepada pengungkapan persoalan sosial, agama, politik dan pemikiran pada masa itu. Begitu juga dengan Majlis, Warta Negara dan beberapa akhbar lain sebelumnya (seperti Saudara, Ikhwan dan lain-lain) yang menyedarkan bangsa Melayu tentang persoalan penjajahan. (Untuk lebih detail rujuk Perkembangan Persuratkhabaran Melayu dan Peranan Media oleh Mazlan Nordin dalam buku A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan susunan A. Karim Haji Abdullah. 1991.DBP.).
Kemuncak peranan akhbar Melayu ketika itu adalah memberikan pandangan dan menentang gagasan Malayan Union yang ditaja oleh penjajah. Selain itu pada awal kemerdekaan, Utusan Melayu menjadi suara yang berperanan sebagai ‘check and balance’ terhadap kerajaan yang memerintah.
Pada tahun 1961 berlakunya “pengambilalihan syarikat akhbar Utusan Melayu oleh ahli-ahli dan kumpulan yang rapat dengan UMNO dalam tahun 1961 ialah usaha satu kuasa untuk menguasai kuasa lain; iaitu kuasa politik (yang sudah menjadi kuasa kerajaan) menguasai kuasa akhbar”. (lihat ms 247, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806, Mohd Safar Hasim, Penerbit UM, Terbit Cet. 4, 2004).
Sedari dari itu akhbar Utusan Melayu berada di bawah kuasa kerajaan yang memerintah dan tidak lagi persis wajah awal kemunculannya yang berhasil daripada usaha rakyat. Utusan Melayu dipilih mungkin kerana ia mempunyai daya sensitivity yang kuat untuk melaporkan permasalahan, isu malah kritikal berkenaan persekitaran sosial, ekonomi dan politik dengan kritikal, yang kemudiannya pantas menjadi mangsa kebebasan akhbar yang diperjuangkannya sejak awal. Maksudnya tanpa sebarang campur tangan atasan terhadap Utusan Melayu.
Wajar disebutkan wujudnya pertentangan antara Utusan Melayu dengan UMNO dalam beberapa hal sehingga wakil Utusan Melayu dihalang UMNO untuk membuat liputan Persidangan Agungnya di Johor Bharu pada 2-4 September 1947 (lihat ms 250, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806). Daripada seimbas lalu berkaitan akhbar Melayu, maka peranan akhbar sangat penting dalam politik Melayu tanpa perlu dikelirukan.
Pada abad ke-21 ini, jika hipotesis tentang kepupusan akhbar Melayu mungkin akan berlaku, dan ia tidaklah terlalu mengejutkan rakyat kerana sejarah menunjukkan akhbar bertulisan Jawi, Utusan Melayu sudah berhenti dan sehingga kini hanya dijadikan sebagai sisipan dalam Utusan Malaysia. Jika dilihat pula segi isu kepada Bahasa Melayu yang akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi dan seolah tidak menemui titik kalut penyelesaiannya. Juga faktor-faktor ekonomi, politik dan sosial mengikat persoalan bahasa Melayu selain ada pihak yang memperlihatkan kehambarannya untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Bercakap tentang akhbar Melayu, realitinya akhbar arus perdana terjerat dalam satu dilema politik yang dihadapi iaitu kecenderungan akhbar itu yang dilihat amat ketara menyebabkan beberapa pihak lain mulai menolak akhbar Melayu antaranya Utusan Malaysia . Isu ini agak penting walaupun dipolitikkan dan terlalu remeh pula pada satu-satu pihak lain.
Isu pokoknya adalah kebebasan akhbar dan masalah ini menjadi topik sejak tahun 50-an lagi. Bagaimana akhbar mampu berperanan sebagai suara yang diperjuangkan daripada bawah iaitu golongan rakyat dan isu-isu yang diketengahkan haruslah menimbang persoalan yang berlaku dengan cara rasional dan adil. Melaporkan sesuatu yang ‘benar’ juga penting kerana sifat kewartawanan dan persuratkhabaran berkiat dengan amanah dalam menyampaikan sesuatu. Hal ini yang disebut oleh Allahyarham A. Samad Ismail dalam tulisannya.
Pokok bicara yang paling asas juga dalam masalah ini ialah kejujuran dari pihak suratkhabar atau organisasi yang menyelenggaranya haruslah peka dengan kehendak semasa dan mempunyai sikap integriti dalam melakukan sesuatu laporan. Akhbar Melayu harus kembali kepada sikap mandiri dan jatidirinya yang dipelopori oleh para tokoh kewartawanan dan persuratkhabaran terdahulu seperi Abdul Rahim Kajai, Pak Sako dan seumpamanya malah menjadikan mereka idola dalam membentuk falsafah bidang persuratan atau kewartawanan yang lebih baik dan diterima umum.
Sikap tidak berpihak dan mengelakkan sikap ‘bias’ kepada pihak tertentu sebetulnya memberi kesan kepada penerimaan rakyat. Dalam kemerdekaan 51 tahun, akhbar Melayu selayaknya mencapai tahap kematangannya kerana sejarah menunjukkan kemampuan itu ada dan tidak mundur belakang .
Akhirnya, petikan ini mungkin membayangkan harapan seorang tokoh wartawan yang disegani dalam persuratkhabaran Melayu supaya unggul dengan bahasa dan jatidirinya. “Perkembangan bahasa terjamin kalau masyarakat yang menggunakan bahasa itu sendiri giat menjamin perkembangannya. Yang demikian perkembangan bahasa melalui persuratkhabaran bukan sahaja menjadi tanggungjawab satu golongan tertentu, golongan wartawan, tapi segenap lapisan dalam masyarakat….Bagaimanakah pula dengan “penyemaian bahasa Melayu dalam sekolah-sekolah kita?” Adakah penyemaian bahasa Melayu di sekolah-sekolah Melayu sekarang terjamin satu lapangan pembacaan yang lebih luas bagi persuratkhabaran Melayu pada masa depan? Adakah anak-anak di sekolah Melayu melalui pengajaran bahasa Melayunya dipersiapkan untuk menambah luas pembacaan suratkhabar-suratkhabar Melayu pada masa depan?...
Dasar pengajaran di sekolah-sekolah Melayu akan berkesan kepada perkembangan suratkhabar-suratkhabar pada masa depan kerana penyemaian bahasa yang pertama sekali ialah di sekolah. Apa sahaja pengetahuan yang diajarkan di sekolah pada pokoknya adalah persiapan untuk anak-anak sekolah itu menghadapi masa depan” (muka surat 53, A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan susunan A. Karim Haji Abdullah, 1991. DBP ).
siaran Mingguan Wasilah 7-13 Disember 2008 bil 89(52)
.
No comments:
Post a Comment