Thursday, November 20, 2008

Bahasa Politik Ketuanan Melayu

(siaran Mingguan Wasilah 23-29 Nov 08)

Kegelisahan tentang status dan survival Bahasa Melayu agak terpinggir seperti diperkatakan sekelompok pihak. Bahasa Melayu itu bahasa utama namun digambarkan sesetengah pihak seperti ‘melukut di tepi gantang’ ketika ini. Tandanya apabila wujud tindakan untuk meletakkan bahasa lain selain Bahasa Melayu di papan tanda. Ia mendapat reaksi yang sangat mengejutkan. Kenyataan itu pada hemat penulis, adalah suatu yang ironis kerana Bahasa Melayu ada ketikanya mendapat ‘keistimewaannya’ dan di ketika yang lain terpinggir malah seolah-olah dijauhi dari membicarakannya. Bahasa bukan sebuah entiti yang berasingan dengan sesebuah bangsa, kerana ia satu identiti dan penunjuk jatidiri sesebuah bangsa. Tetapi terkadang bahasa menjadi ‘bahan politik’ dan menyerang peribadi lawan mengikut tafsirannya.

Banyak negara yang sudah bebas daripada penjajahan ataupun sebagai kuasa penjajah pada masa lalu mengekalkan bahasa ibunda mereka di negara masing-masing sebagai bahasa dominan bukan sekadar bahasa pertuturan. Sebagai contoh negara Perancis yang begitu bangga dengan bahasa Perancis daripada memberi ruang lebih luas kepada bahasa Inggeris misalnya.

Jika diamati keadaan seperti ini, bahasa apapun bukanlah subjek penting bagi sebuah negara, tetapi disebabkan peranan bahasa sebagai wadah yang mewakili diri sebagai seorang berbangsa Perancis misalnya, bahasalah yang paling pantas dirujuk. Ketidakmampuan berbahasa ibunda misalnya, bolehlah dikatakan seseorang itu terlalu naïf identiti bangsanya dan jatidirinya.

Dan apabila bercakap tentang bahasa, kita tidak lari daripada bercakap tentang bangsa empunya bahasa itu. Baik buruk bangsa itu juga dirujuk kepada bahasanya dan jatidiri. Malah kemajuan bangsa itu juga merujuk kepada bahasanya walaupun secara streotaipnya kemajuan sesebuah bangsa atau negara diukur pada material, fizikal, angka statistic, ekonomi dan sebagainya. Namun untuk melihat kemajuan yang menyeluruh bagi sesebuah tamadun misalnya, negara atau sesebuah bangsa akan dikaitkan dengan bahasanya. Bangsa yang besar biasanya mempunyai jatidiri dan maruah yang selalu dirujuk kepada bahasanya selain nilai, pemikiran dan kebudayaannya. Bahasa tidak mungkin dipisahkan sama sekali dengan bangsa jika dilihat kepada senario globalisasi pada hari ini.

Semakin ketara globalisasi melanda dunia, semakin ketara pengasingan ‘bangsa’ dengan bangsa yang lain. Sebagai contoh antara Asia dan Barat, yang semakin ketara jurang perbezaan identiti itu kerana dunia yang sedia ada menyediakan globalisasi untuk persaingan yang lebih kompleks. (Meskipun sahsiah Timur-Barat tidak dibezakan, tetapi secara ekslusifnya ia diasingkan juga berdasarkan kepada tipa-tipa tertentu misalnya daripada sejarah lampau. Kerana itu masih wujud ruang-ruang neokolonialisme yang tidak ada bezanya dengan kolonialisme itu sendiri).

Tidak hairanlah apabila sebuah bangsa itu dikatakan lemah, bahasanya juga dianggap kurang penting. Kita tidak bertolak daripada pandangan lima puluh masa yang lalu, tetapi di masa akan datang kemungkinan kepentingan bahasa ibunda empunya kepada sesebuah bangsa akan lebih ketara. Jika tidak diberikan tempat dan ruang kepada bahasa ibunda dengan pengiktirafan dan keistimewaannya, nescaya bahasa ibunda akan lebih mudah hilang dan tidak dikenali.

Globalisasi mungkin tidak mempertaruhkan risiko ini secara jelas tetapi logik mudahnya sedemikian. Negara-negara dunia ketiga berada dalam percaturan dunia dan menemui halangan-halangan yang rencam bagi mencari jalan perdamaian atau kemajuan. Akibat daripada keterbukaan peluang dan persaingan. Perlumbaan itu sebetulnya dibuka untuk negara-negara yang lebih kuat dan stabil. Bagi negara-negara Asia misalnya, jika tiada persefahaman yang lebih erat, peluang-peluang perkembangan ekonomi dimonopoli oleh golongan tertentu yang secara lazimnya Barat. Memang benar kita memiliki negara China sebagai gergasi ekonomi namun, masalah globalisasi juga meruntun keperluan yang lain pantas dipenuhi dengan mencari ruang yang lebih anjal untuk melebarkan empayar ekonomi. Namun ia tidak mudah disangka.

Dalam hal negara yang berbilang kaum, keperluan mencari satu identiti tuntas amat penting bagi penerusan survival negara bangsa yang kukuh. Jika sekiranya masih berlaku ketidaktentuan kata dalam masalah-masalah politik, haruslah difikirkan tentang kemajuan negara yang jauh lebih penting.

Jika dilihat persoalan yang bermain antara ketuanan Melayu dan isu-isu Melayu yang lain, bahasa dan sebagainya- sudah tentu ia merujuk kepada perihal yang dasar. Keperluan untuk perbincangan yang sihat amat kritikal sebetulnya. Permasalahan tentang ketuanan Melayu yang berbaur dengan politik menjadikan ia lebih kepada retorik semasa dan ‘teori sementara’ dan kemudiannya menghilang begitu sahaja. Maka isu ini mudah dilepaskan kerana ia sebahagian daripada alat pelancar matlamat politik pihak tertentu yang inklusif itu. bisakah rakyat membacanya?. Dan jarang pula dilihat ‘ketuanan Melayu’ dan dibicarakan di luar konteks politik. Mengapa isu ketuanan Melayu pula dipilih ?. tentu ia berkaitan dengan sensitiviti dan sembarangan isu. Maka, tentu ia memberi lebih kredit untuk menarik simpati dan kepercayaan misalnya. Maka ini terlalu naïf sifatnya jika diaturkan sebegini.

Maka apabila isu ketuanan Melayu yang lebih hangat pada musimnya, seolah-olah semua berada dalam keadaan sesak dan sarat dengan muatan retorik tidak lebih daripada itu. sekiranya difahami dengan jujur sememangnya ketuanan Melayu itu jelas ada segi sejarahnya, di mana peribumi Melayu yang mempelopori survival bangsa dan negara ini. Merekalah pemula dan peransang kepada kemerdekaan negara. Tetapi ketuanan Melayu sekarang ini dilihat pula sebagai ‘masalah politik’ dan sebahagian daripada juzuknya, maka tidak hairanlah kelihatan politikus Melayu berbicara tentang ketuanan Melayu tanpa memahami pengertiannya.

Oleh kerana sifatnya yang subjek itu sejarawi, klasikal dan sedikit impresif, maka hal ini haruslah berada di landasannya. Keterbukaan semua pihak amat perlu khususnya parti-parti politik dan tidak membicarkannya sewenang-wenangnya. Ketuanan Melayu pada hari ini haruslah dikembalikan kepada pemikiran-pemikiran yang lebih realistik dan absah antaranya wahana identiti Melayu yang paling hampir iaitu Bahasa Melayu.

Kita perlu kembali menguji jatidiri bangsa bukan dengan menggantikannya dengan sesuatu asing tetapi mencari kemantapan fikir dan acuan buatan sendiri untuk bergerak ke hadapan bersama kemajuan. Agaknya kita tercari-cari ramuan itu tetapi malangnya disebabkan kelemahan diri untuk mencari sesuatu dan mengekalkan sesuatu yang telah dimiliki, maka kita terdedah kepada tindakan untuk memudahkannya. Sebagai contoh mengkritik papan tanda yang diletakkan bersama Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa asing. Ia seperti satu tindakan yang bersifat ‘tanpa berfikir panjang dan matang’. Sesetengah tindakan bangsa yang merdeka dan bertamadun, ia tidak melayani perihal kecil ini. Padanya gagasan besar untuk dilansungkan.

Terdapat ruang-ruang yang harus diperbetulkan demi kemajuan masa depan antara dengan mencari kemantapan pemikiran politik bangsa yang demokrasi, mencari kesatabilan perpaduan masyarakat majmuk dan menemukan perbezaan pandangan dalam satu wadah luwes untuk dihasilkan sesuatu yang lebih bermakna.

Perkara-perkara ini memerlukan kematangan berfikir dan inovasi dalam mencari titik sebenar mengenal diri dan kemampuan yang rata-rata di kalangan pemuka-pemuka politik tidak arif mengenainya apalagi untuk mengadunnya dalam bekas yang diberikan.
.

No comments: