Sunday, November 05, 2006

Ini Reviu Buku Ilham di Tepi Tasik..

Judul Buku: Ilham Di Tepi Tasik
Penulis: A. Samad Said
Penerbit: Wira Bukit Sdn. Bhd.
Tahun:2006(Cetakan Petama).
ISBN 983-41196-3-1
Harga: RM45.00


Pengalaman Sastera dan Daerah Kenangan A. Samad Said.

‘Ilham Di Tepi Tasik’ bukanlah karya terbaharu Sasterawan Negara A. Samad Said, seorang sasterawan yang disegani dan dihormati ramai. Karya ini merupakan kumpulan esei-esei beliau yang segar dari segi inti dan subjeknya. Melihat karya ini juga sebahagian daripada karya-karya yang menyimpan buah fikiran seorang sasterawan negara, tidak mustahil karya ini akan berbicara tentang kenyataan dan kepelbagaian citranya. Kumpulan esei ini terbahagikan kepada beberapa bahagian yang masing-masing mewakili intipati yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Setiap bahagian kumpulan esei mencabangkan empat buah esei yang mempunyai pemikirannya tersendiri. Terdapat dua puluh lapan buah esei kesemuanya. Secara eksplisit karya ini amat menarik dan berharga kerana ia membicarakan lingkungan sastera dan juga luar sastera. Seperti pembaca maklum, dunia sastera merupakan dunia yang paling akrab dengan Sasterawan Negara A. Samad Said maka tentulah karya ini perbicaraan sekitar sastera mendominasi berbanding hal-hal luar sastera. Pun begitu, karya ini salah sebuah karya yang diusahakan secara berpisah-pisah iaitu setiap esei-esei mendukung maksud dan mesej yang tersendiri selain itu makna yang ingin dihantar mendasari persoalan-persoalan sejagat.

Dalam esei yang pertama dalam bahagian yang awal, ‘Ragam Alam dan Etnik Merangka Karya’ dibicarakan soal karya yang lahir dari pengaruh tempat, suasana dan alam yang nyata. Sesebuah karya dari buah tangan penulis kadang-kadang lahir bukan di tempatnya, ia menerima kunjungan ilham dari tempat lain. Dan biasa juga karya lahir di tempat yang sememangnya membekaskan ‘tragedi’ dan menyentuh naluri penulis. Bagi A. Samad Said karya-karyanya mendapat pengaruh yang kuat daripada tempat, peristiwa zaman yang pernah dilalui sendiri. Ia melahirkan karyanya Salina, Sungai Mengalir Lesu, Daerah Zeni dan karya-karyanya yang lain. Bagi penulis yang menghasilkan karya, alam dan suasana menjadikan faktor penentu sesebuah karya. Maka di sini wujudnya ikatan secara lansung antara karya dan etnik, alam, suasana bagi penghasilan karya.

Kemudian esei ‘Proses membaja Benih Seni’ membicarakan proses A. Samad Said menulis karya-karyanya. Ternyata A. Samad Said mengakui seorang penulis mempunyai cara dan resmi tertentu dalam menulis yang mungkin akan membezakan seorang penulis dengan penulis yang lain. Seolah dalam esei ini juga A. Samad Said membicarakan tentang proses penulisan bermula daripada peta tindakan sehingga ke titik akhir penulisan. Dalam pendedahan ini, seperti jua dalam bukunya sebelum ini Dari Salina Ke Hujan Petang bagi menghasilkan sesebuah novel seperti Salina dan lain-lain ia amat memeritkan kerana proses yang dilalui amat sukar. Mungkin resmi penulisan A’ Samad Said berbeza daripada penulis-penulis lain namun begitulah hakikat yang cuba disuratkan.

Dalam esei-esei yang lain beliau membicarakan isu semasa yang sentiasa terbuka, mungkin berkaitan diri sendiri atau masyarakat. Ternyata seorang eseis yang berpengalaman tidak hanya menulis fakta yang boleh dilihat namun punya kesudian berkongsi dengan pembaca sesuatu perkara yang padanya penting dan munasabah hasil daripada pengamatannya. Dalam ‘Hidup Harian Mana Seninya’ merupakan salah satu daripadanya. Begitu juga ‘Sastera: Wajah Indah, Wajah Hodoh’ yang menyentuh isu yang pernah berlaku dalam dunia sastera juga kontroversi dalam negara. Esei ‘Pilu Bahasa Zaman Pelupa’ juga salah sebuah esei yang unik untuk didekati kerana ia menghantar pembaca dengan gaya berbeza dan memcabar, luar daripada konvesional sebuah esei namun memaknakan mesej yang berat dan penting. ‘Ragam Khalayak Peminat Buku’ juga salah satu daripada yang cuba disentuh yang berkaitan dengan minat masyarakat mutaakhir terhadap buku-buku pelbagai jenis antaranya novel-novel remaja yang klasik atau baharu.

Pengalaman seorang seniman dan sasterawan yang hidup sebati dalam dunia sastera, meransang A. Samad Said mengulang kenangan-kenangan yan telah lalu sebagai satu perbiacaraan nostalgia yang munasabah untuk generasi muda. Sifat inti pada esei seperti ‘Usman Perindu Dunia Lembut dan Jujur’, ‘Keris Mas: Antara Salina Dan Penulisnya’ dan lain-lain cuba merakam semula dan mengembalikan nilai nostalgia pada sasterawan berwibawa. Di sinilah adanya kenangan yang tidak mungkin lupus dan hilang. Esei sebegini tampak sekaligus mengimbas dan memurnikan pengalaman lama yang menarik dan indah, mengingati tokoh-tokoh sastera yang sudah pergi. Terkadang kita tidak berpeluang membaca tulisan dan tanggapan mereka yang dekat dengan sasterawan-sasterawan hebat ini, dan A. Samad Said mengisi ruang ini dengan ‘bercerita’ secara peribadi melalui esei sebegini dan barangkali serba-sedikit ‘kenangan’ yang menarik ini amat baik untuk dibaca, direnungi dan diingati.

Selain kenangan, tersisip juga pengalaman peribadi, yang saya kira ia cerita-cerita yang tidak kita dapati pada karya A. Samad Said yang lain, esei ‘Almari Ajaib Li Po & Tu Fu’ membicarakan zaman persekolahannya selepas zaman Jepun, kala itu beliau mendapat bahan bacaan yang menarik beliau ke dunia sastera, hasil daripada galakan guru-gurunya pada ketika itu. Begitu penting dua nama penyair iaitu Li Po & Tu Fu. Esei ‘Ilham Cinta Dari Buku Warisan’ juga seakan-akan menyempurnakan bahagian ini yang saya kira sebuah cerita daripada A. Samad Said yang mungkin tidak diabadikan di tulisan-tulisanya tyang lain.

Kumpulan esei ini juga memperkenalkan pada para pembaca khususnya peminat sastera dunia karya-karya daripada dunia luar melalui ‘Seni Dari Luar’ dan ‘Langit Resah Di Gurun Pasir’. Ia dilengkapi dengan ‘Ilham Dan Tamsil’ dengan dua buah esei daripada menceritakan sasterawan-sasterawan atau penulis-penulis serta karya-karya mereka dari luar negara iaitu Bayangan Sastera Dan Jendela Kaca dan Boris: Jendela Dan Pintu Bagi Penulis.

Meskipun A. Samad Said tidak lagi menghasilkan novel atau, penulis kurang pasti mengenai ini, tetapi kumpulan esei ini merupakan salah sebuah karya yang penting kerana sejumlah esei di dalam ini menceritakn beberapa pandangan sasterawan ini dan beberapa kenangan-kenangan yang sebelum ini tersirat. Ia menjadi satu hadiah intelektula yang istimewa barangkali baut generasi muda hari ini. Wajarlah karya ini dibaca dan direnungi intinya oleh generasi muda. Dengan pengalaman yang luas dan pengamatan yang tajam, A. Samad Said masih lagi banyak berbicara tentang dan berpesan kepada pembaca tentang beberapa perkara yang menjadi ‘cerita’ dan renungan dalam hidup.

Tentulah karya berbentuk esei ini salah sebuah lorong untuk pembaca mengenali dan ‘mendekati’ wacana sastera A. Samad Said. Peluang seperti ini kadang-kadang harus dimanafaati sebaik mungkin. Dan sesungguhnya dalam kumpulan esei ini A. Samad Said tidak hanya menulis esei tapi menyediakan sebuah bilik untuk direnungi isi dalamnya. Seperti katanya pada pendahuluan buku ini ‘cubalah mendekatinya’.

No comments: