Thursday, October 19, 2006

Anekdot: Hari Raya 1427 H

Hari Raya semakin dekat, kira-kira seminggu lagi. Saya tidak menyedari begitu dekat dan cepatnya Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Kebetulan tahun ini saya baru dapat berdikari iaitu ada kerja sendiri. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t atas segala kurniaanNya yang melimpah-ruah. Namun usia juga semakin meningkat.

Dalam suasana sebegini saya mudah tersentuh dan terfikir sambil mengenang beberapa perkara tentang perjalanan hidup saya sebagai hamba Allah s.w.t, sebagai seorang lelaki, sebagai seorang pelajar dan sebagainya. Semua segi ini saling kait-mengait antara satu sama lain. Manusia kebiasaaanya pada satu titik dan saat dia akan memikirkan kembali apa yang berlaku di sekitarnya, dan paling biasa berlaku adalah memikirkan apa yang di laluinya selama kehidupannya.

Dengan cara bermunasabah dan merenung apa yang terjadi dan akan terjadi sebenarnya mampu membuatkan kita sebagai manusia kembali kepada rasa rendah diri dan insaf. Semuanya harus berlaku dan mesti dijadikan peringatan. Dari kecil dan hingga dewasa sebegini, perjalanan adalah bertujuan dan bermatlamatkan satu makna. Sehingga kini ada manusia menemuinya dan ada tidak menemuinya.

Beruntunglah bagi yang telah menemuinya dan dapat merasai kelazatan tujuan hidup itu namun di sana ada yang masih mencari dan tercari-cari makna kehidupannya. Seorang seorang muslim, saya dapat merasakan bahawa betapa Tuhan Maha Agung dan Maha Penyayang telah membentangkan dan mengurniakan apa yang disebutkan tujuan hidup. Tujuan hidup ini diajarkan dan diberitahu secara lansung melalui pendidikan. Seorang muslim akan melalui proses pendidikan ini yang diwajibkan bagi setiap yang dinamakan muslim. Maka muslim apabila menghadapi hidupnya sehari-hari akan tidak tertanya-tanya dan tercari-cari pengertian hidup dan matlamat hidupnya di muka bumi yang luas ini.

Ibarat seorang pengembara yang mencari-cari tempat berehat setelah lama bermusafir dan berkelana. Pencariannya tidak akan terhenti melainkan setelah ia menemui tempat rehat itu dan menikmati istirehat secukupnya. Ketika menikmati peristirehatannya, dia terlelap sebentar. Dalam keletihan itu, dia bermimpi bahawa dia bertemu suatu tempat yang indah dan amat mempersonakan. Suasana yang tidak digambarkan kerana sekian lama dia tidak merasai malah melihat keadaan seperti ini. Dia kaget dan kagum apa yang dilihatnya. Seolah ada satu kesenangan yang jelas di hadapannya. Namun pada hakikatnya kenikmatan itu amat sebentar kerana ia hanyalah mimpi. Manusia adakalanya menganggap mimpi itu benar dan adakalanya ia hanya mainan dan igauan.

Apabila dia bangun dari tidur dari dapat merasai suatu keadaan yang amat penting iaitu dengan menyakinkan dirinya bahawa matlamat yang dicarinya akan sempurna apabila dia sampai di tempat yang dimaksudkan. Lantas keyakinan dan kesedaran ini memotivasi dirinya untuk terus bersungguh-sungguh sampai ke destinasi yang dituju.

Semacam di dunia yang fana ini kita hanyalah singgah dan beristirehat sebentar. Sementara akan tiba waktunya untuk kita kembali dan meneruskan perjalanan yang masih jauh. Tuhan Mengingatkan bahawa biarlah perjalanan ini dibekali dengan iman, taqwa, ilmu dan amalan supaya menjadi satu bekalan yang bermakna untuk masa kana datang. Di kala melaksanakan perintahNya itu, kita bisa merasai keseronokkan dan kegembiraan yang tidak melampau batas. Dan inilah yang Tuhan ingatkan waktu bersinggah berehat. Kesimpulannya biar hidup dalam makna yang jelas, tidak sekadar melaluinya dengan tanpa tujuan dan persediaan.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…
Kepada yang sudi menyinggah dan membaca blog ini.

No comments: