UMNO dan idea yang klise
Alhamdulillah, keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu telah zahir. Rakyat terus menilai impak dan situasi ini. Adakah ia akan memberikan tanda signifikan lain yang lebih besar kemudiannya atau akan memberikan keinsafan kepada parti lama pemerintah Melayu iaitu UMNO.
Dalam masa yang terdekat ini, masih banyak ruang untuk dilihat bagaimana impak politik baharu ini dijana. Melihat keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu ditelah ramai penganalisis, wartawan dan pemberi pandangan bebas yang menyatakan kemenangan parti PAS adalah disebabkan undi generasi muda. Jika hal ini UMNO belum menyedarinya, barangkali parti tua itu masih berada dalam awangan atau mitos dewa-dewi yang menghayutkannya daripada menemui titik realiti.
Seperti dikatakan pemimpin tertinggi UMNO sendiri, bahawa muhasabah akan diadakan bagi melihat kekalahan yang berlaku di Kuala Terengganu baru-baru ini. Sesetengahnya sudah mengeluarkan ‘kepastian’ itu yang dipaparkan di media massa arus perdana. Antara yang dinyatakan pemimpin UMNO tersebut, pemimpin UMNO tidak mendekati golongan bawahan dan tidak mesra dengan rakyat. Ini satu ‘kritikan diri’ yang jujur. Tentu sahaja bukan faktor-faktor ini sahaja yang memberikan keputusan sedemikian di Kuala Terengganu, mungkin di sana beberapa lagi faktor yang harus diuji oleh UMNO dalam menjalankan ‘post-mortem’nya.
Jika dilihat daripada reaksi Mursyidul Am PAS, selepas sahaja mendapat tahu kemenangan PAS, dalam kenyataan beliau ‘jangan lukai hati lawan’. Mungkin kerana cara atau pendekatan UMNO berkempen dengan agresif, menimbulkan ‘kritikan ringkas’ ini kepada UMNO. Inilah antara yang perlu dilihat bersama kerana persoalan pilihanraya yang baru-baru ini, adalah antara yang penting dilihat khususnya UMNO kerana kegagalannya untuk mengekalkan kerusi parlimen itu di bawahnya.
Namun apabila ditanya Tun Dr Mahathir, beliau menyatakan ‘bukan salah Najib’ dan kenyataannya yang lain berisi analisis tentang kekalahan UMNO di Kuala Terengganu, menunjukkan bahawa UMNO masih belum mampu ‘come back’ selepas tragedi PRU 12 pada tahun lalu. Rakyat masih dibayangi dengan ketidaktelusan UMNO dan jenteranya yang masih mengamalkan cara yang tidak disenangi rakyat.
Mungkin sahaja pendapat-pendapat lain akan menyusul. Dari UMNO sendiri lebih lagi absah dan tepat kerana dikatakan UMNO akan bermuhasabah dengan kekalahan itu. Banyak hal yang harus dipertimbangkan oleh parti Melayu itu kerana dalam tempoh yang terdekat ini, masih banyak isu-isu dalaman UMNO yang belum dirungkai bersungguh-sungguh. Walaupun sebelum ini UMNO dikatakan akan membawa perubahan kepada parti dan memberikan nilai yang baru pada parti itu mengikut arus semasa. Senario Kuala Terengganu mengalamatkan bahawa perubahan dan penjenamaan itu masih belum dilaksanakan. Barangkali ia hanya berlaku dalam bulan Mac akan datang, tetapi tetap dalam vakumnya lagi.
Harus dilihat beberapa sudut yang penting iaitu berkenaan dengan sikap UMNO yang inginkan kepada perubahan tetapi masih belum dimulai. Banyak hal yang harus ditanggani oleh UMNO memandangkan keadaan politik pyang semakin pragmatik disebabkan faktor pengundi (rakyat) yang semakin memiliki pengetahuan dan maklumat yang lebih ‘segar’ berbanding dahulu, dua puluh tahun yang lalu misalnya.
Antara masalah yang mesti UMNO hadapi adalah pengundi muda yang sekarang ini lebih maju memahami selok-belok politik dan memahami juga rantaiannya dengan persoalan semasa. Generasi muda sudah mulai bangun membuka mata daripada realiti politik yang kotor dan cacamarba. Generasi muda ini melihat kepada setiap aspek tentang politik pemimpin atas dari pemerintah sehinggalah pemimpin pembangkangnya. Malah mereka menjadi pembaca kepada persoalan politik, sosial dan ekonomi yang saling bertautan dalam hisup seharian. Kesedaran sebagai warganegara bertanggungajawab dan rakyat bagi sesebuah negara, menyebabkan keperihatinan mereka kepada negara dan fungi demokrasi yang harus ditingkatkan kepada tahap yang lebih baik.
Wajah khalayak politik baharu inilah belum diraikan oleh UMNO sepenuhnya. Sebetulnya UMNO belum membuat membuat apa-apa ‘perubahan’ atau pembaharuan untuk mendapat semula kedudukan selesanya seperti sebelumnya. Maka sebab itu, UMNO dalam kebanyakan hal masih dalam ‘oldies’nya. Masih suka dengan kenangan dan keindahan masa lalu yang sama sekali berbeza dengan realiti kini. UMNO masih mengekalkan ‘pembacaan sejarah’nya yang kaku kepada generasi muda. Soal-soal tanggungjawab yang klise (makna: tiruan (bukan asli), ungkapan yang sudah terlalu sering digunakan hingga tidak lagi terdapat keistimewaannya atau kesannya- Kamus Dewan), imbauan sejarah yang tidak lengkap, bahasa emosi yang tidak difahami dan aura yang tidak lagi dilayan generasi muda menyebabkan UMNO kurang mendapat tempat di hati orang muda.
Maka tidak terkejutlah jika UMNO hanya difahami oleh orang-orangnya yang sudah ‘tua’ (fizikal atau idea mentalnya) tapi tidak massa yang berada di bawahnya. Politik UMNO hari ini sudah tidak ‘muat’ dengan ukuran pemikiran zaman dan tidak lagi mampu memberikan impak yang aktif kepada golongan muda yang tidak berkepentingan dalam agenda-agenda yang ditaja.
Orang muda semakin melihat kepada isi daripada kulit pada masa kini. Mereka sudah makin maju memberikan komen yang bergeliga dalam banyak hal disebabkan ruang mendapatkan maklumat yang semakin rencam. Walaupun ia disekat, dalam konteks sekarang ini maklumat boleh sahaja disalurkan pelbagai medium. Dan orang muda biasanya selalu melihat kepada aspek citra politik yang ‘genuine’ dan bersifat idelistik. Mereka sudah mengenali siapa pemimpin yang dikatakan pejuang dan pengkhianat. Mereka sudah boleh memilih antara yang sederhana dan yang mahu bermaterial. Mereka mempunyai keberanian itu kerana mereka mahukan yang terarah itu yang memimpin mereka.
Dengan itu, medialah yang selalu menjadi mainannya, dari ‘isi dan kulit’ yang boleh memberikan mereka pengetahuan dan membuat keputusan. Media yang pelbagai dari sisi pemerintah dan yang bukan pemerintah, akan disedut dan difahami dengan pemikiran generasi muda yang terarah. Sebahagian mereka adalah anak-anak pasca kemerdekaan yang berpendidikan tinggi. Sekarang ini orang muda semakin terarah dengan maklumat kerana mereka lebih hampir kepada situasi semasa. Mereka lebih tahu dengan apa yang berlaku di akar umbi. Kerana itu tidak boleh diperkecilkan minda mereka dengan sajian media arus perdana yang begitu bertentangan dari apa yang ingin mereka lihat.
Kerana itulah apabila media arus perdana yang merangkap sebagai proksi dan jentera berkempen bagi parti pemerintah, ini dilihat sebagai satu ketidakadilan dalam menyalurkan sesuatu yang pada asal fungsinya adalah untuk hak bersama. Media adalah untuk rakyat dan dijadikan penyalur informasi yang berguna bagi rakyat. Jika sebaliknya berlaku, orang muda yang paling arif dan cekap mengesan hal ini. Pada mereka, inilah teknik yang paling klise dibuat dalam negara membangun yang mengejar status negara maju.
‘Klise’nya metod ini bersebabkan, media arus perdana umumnya sifat menyebelahi pihak yang memerintah, biarpun sebetulnya ia tidak harus menyebelahi mana-mana golongan. Sikap media arus perdana harus telus dan neutral dalam semua hal. Fokusnya harus mengisi ruang perdana dengan maklumat dan informasi yang memberikam faedah kepada rakyat. Juga mendedahkan persoalan semasa yang timbul. Menimbulkan perbincangan yang matang dan memberikan sentuhan kepada masyarakat supaya menghayati nilai-nilai kehidupan.
Malangnya, ia adalah sebaliknya, menghampiri kepada sikap propagandis, ini tentu saja ditolak mentah-mentah oleh generasi muda dan hal ini sangat mudah dikesan orang muda. Dari golongan mudalah wujud sama ada undi itu diberikan kerana menyokong pembangkang atau tidak setuju dengan sikap parti pemerintah, tapi ia adalah satu yang hal yang seakan sinonim dan sama. Maka dalam hal inilah yang masih dikekalkan oleh UMNO dalam pada masanya untuk membuat pembaharuan dalam apti, tetapi masih mengekalkan metod-metod klise yang sangat mudah dikesan oleh minda golongan muda. Orang muda yang segar tidak menerima idea ‘klise’ kerana ia hanya mengurungkan kebebasan yang terarah itu.
.
Wednesday, February 04, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment