Friday, January 16, 2009



Hegemoni, Gramsci dan Bahasa Inggeris

Sebuah tulisan ilmiah yang sangat baik untuk disoroti berjudul ‘Global English’: Linguistic Imperialism or Practical Lingua Franca?’ oleh Peter Ives. Peter Ives merupakan seorang Profesor Madya di Jabatan Politik University Winnipeg Kanada dan sudah menulis beberapa buku berkenaan politik antaranya Gramsci’s Politics of Language: Engaging the Bakhtin Circle and the Frankfurt School dan Language and Hegemony in Gramsci.

Tulisan ini mengangkat persoalan hegemoni (pengaruh atau dominasi negara ke atas negara lain) bahasa Inggeris kepada negara-bangsa yang lain dan sekitar persoalannya yang sebetulnya menjadi subjek yang agak hangat di awal tahun 2000. Lantaran negara-negara dilandai globalisasi yang tidak mengira sempadannya, dan Bahasa Inggeris pula dikatakan sebagai bahasa dunia, maka beberapa isu berbangkit mengenainya sehinggalah wujud pelbagai pandangan berkaitan dengannya.

Terdapat kelompok mengatakan Bahasa Inggeris tuntas sebagai sebuah bahasa dunia yang merentasi sempadan dan benua penggunaannya dan diperkuatkan pula dengan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara atau bahasa kedua di kebanyakkan negara (khususnya negara-negara kolonial tinggalan British) dan kepesatan teknologi hari ini menjelaskan betapa Bahasa Inggeris seharusnya menjadi utama kepada bangsa-bangsa lain.

Pandangan kedua pula menyatakan bahasa Inggeris merupakan bahasa yang mempunyai legasinya dalam dunia dan mampu menyatukan fikiran semua bangsa yang pelbagai warna dan akarnya. Cuma bahasa Inggeris akan bercabang mengikut kepada penerimaan bangsa atau masyarakat yang menggunakan Bahasa Inggeris itu. Maka wujud Inggeris Asia yang mirip kepada pemikiran Asia dan sebagainya. Hal ini boleh sahaja berlaku ia semacam satu pandangan yang menyatakan Bahasa Inggeris mampu berdiri sebagai lingua franca.

Pandangan ketiga, yang menolak kedua-dua pandangan ini menyatakan bahawa keberadaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan penobatannya sebagai lingua franca hanyalah satu propaganda yang tersembunyi bermaksud untuk berlindung di sebalik citra-citra murni dan keluwesannya sebagai sebuah bahasa kerana di samping itu terdapat motif politik yang mahu melakukan hegemoni kepada bangsa atau negara lain.

Hujah pandangan pertama adalah Bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai ‘hypercentral language’. Manakala bahasa-bahasa atau dialek-dialek daripada bangsa-bangsa lain dikategorikan sebagai ‘peripheral languages’ atau planetary languages’ atau supercentral languages’. Kesemua istilah ini dihasilkan apabila mengakui idea ‘English triumphalism’ yang mana mempunyai peranannya luas dan penuturnya yang besar. Ini dilihat juga apabila bahasa ini (secara ekonominya) memiliki ‘hypercentral good’ dan mampu melaksanakan ukuran piawaian kuantitatif ‘Q-value’ kepada semua bahasa lain. Bahasa ini juga mempunyai ‘Q-value’ dalam melaksanakan potensi komunikasi dan digunakan sesame individu dalam serba serba ruang atau keadaan.

Bagi Antonio Gramsci (1891– 1937), seorang pemimpin kelas buruh, ahli teori kebudayaan, ahli falsafah dan seorang banduan di bawah Fasict yang melahirkan idea hegemoni ini menekankan persoalan kuasa dominan yang digunakan untuk melakukan penindasan secara budaya, pemikiran dan fizikal. Dan hal ini selari dengan isu ‘global English’ yang mendatangi negara-negara bukan Barat. Gramsci sendiri mengkritik tentang ‘standardizing Italian’ pada penghujung abad 19; iaitu usaha kerajaan Itali di bawah usaha Alessandro Manzoni untuk menjadikan dialek Florence sebagai bahasa penghantar khususnya bagi kaum borjuis (kelas pertengahan) sebagai model bahasa kebangsaan Itali. Maka diadakan latihan untuk tujuan itu sedangkan pada masa itu di sekolah-sekolah telah diajarkan dengan bahasa umum Itali.

Dalam situasi sebegini diakrabkan pula dengan sikap dan pandangan Gramsci yang merupakan penaung kepada kelas bawahan dan sering mempertikaikan kuasa-kuasa atasan yang mengendalikan kuasa untuk menindas atau meminggirkan hak sebenar mereka. Maka dalam hal ‘global English’ di mana wujud satu usaha yang seragam dan terancang untuk menjadikannya global dan seakan-akan menidakkan bahasa-bahasa kebangsaan yang lain. Gramsci sendiri menyatakan “it is rational collaborate practically and willingly to welcome everything that may serve to create a common national language, the non-existence of which creates friction particularly in the popular masses among whom local particularisms and phenomena of a narrow and provincial are more tenacious than this believed”.

Dan bagi isu ini Ives menegaskan “ I have explored at length elsewhere how this position is related to his known political and cultural theory concerning hegemony. But suffice it to say here that he clearly connected the fragmentation of the subaltern classes of Italy, especially the lack communication between the southern peasantry and the northern urban workers, as an integral part of the condition that allowed the Fascists to create a successful alliance between the northern industrialists and the southern landowners”. Pertembungan kelas ini seolah sengaja diadakan bagi mewujudkan jurang ekonomi yang menguntung satu pihak iaitu golongan atasan dan menindas bawahan. Gramsci melihat ini satu usaha negatif untuk membelakangkan golongan bawahan walau ia melalui bahasa.

Hal ini sangat akrab dengan persoalan ‘global English’ yang ramai pengkaji mulai membangkitkannya di peringkat antarabangsa. Tulisan-tulisan yang menyatakan wujud usaha mengembang dan memperluaskan empayar Bahasa Inggeris adalah untuk mengaut keuntungan ekonomi dan mengekal kedudukan Barat di tahap yang paling ideal dalam hierarki kuasa-kuasa besar dunia. Walaupun kelihatan beberapa negara Barat masih mempertahankan bahasa ibunda demi melansungkan kekuasaan dan kemandirian bangsa dan bahasanya tanpa ragu. Malah di Jepun dikatakan bahasa ibundanyalah yang paling diutamakan sehinggalah masih sedikit bilangan penuturnya boleh berbahasa Inggeris.

Gramsci turut menolak pendapat sistem satu bahasa yang digunakan semacam lingua franca di peringkat global seperti penggunaan Bahasa Inggeris yang berleluasa katanya; “ The advocates of a single language are worried by that the fact that while the world contains a number of people who would like to communicate directly with one another, there is an endless number of different languages which restrict the ability to communicate. This is a cosmopolitan, not an international anxiety, that of the bourgeois who travels for business or pleasure, of nomads more than of stable productive citizens. They would like artificially to create consequences which is as yet lack the necessary conditions…”.

Dengan wujudnya kuasa pada satu bahasa yang digunakan di dunia, seperti mana lingua franca malah empunya bahasa ini adalah kuasa besar, tentu sahaja pandangan Gramsci, masalah tentu akan berpaut kepada ekonomi, politik, budaya dan sebagainya. Akan wujudnya penindasan secara pasif atau tersembunyi yang mana menghilangkan keseimbangan antara golongan bawahan dan atasan dan menyebabkan ia makin melebar dan mewujudkan ketidakadilan yang jelas.

Padahal asal perkara atau idea originalnya bahasa adalah alat pertuturan dan berkenal-kenalan sesama bangsa dan disalurkan untuk lain-lain tujuan yang positif. Malangnya apabila sesuatu bangsa menyerahkan bahasanya kepada yang lain, yang juga memberikan faedah besar kepadanya selain daripada status bangsa mempunyai ‘harga diri’ dan budaya yang tinggi, tentu sahaja kelebihan-kelebihan lain menyusul dan membesarkan bangsa itu ke atas bangsa lain.

Walaupun, dalam beberapa keadaan, pandangan ini agak keterlaluan. Tetapi untuk mendalami dan memahaminya adalah tentu sahaja baik. Kerana gejala peluasan empayar dan kuasa memang sedia ada dalam sejarah dan berlaku dalam putaran alam ini. Sentiasa waspadalah kepada bangsa yang kecil untuk menghadapi hegemoni dari bangsa yang besar. Malah Bahasa Inggeris hari ini sudah tidak pengaruhnya kecil dalam buku teks dan intenet, malah lebih membimbangkan sekiranya ia menusuk masuk dalam pemikiran yang sudah terkunci dengan nilai dan falsafahnya yang masih ‘kabur’ sedangkan kita mempunyai pertimbangan dan khazanah, cuma bagaimana dengan memanafaatkan Bahasa Inggeris untuk meninggikan martabat bangsa, itulah yang harus difikirkan formulanya. Hanya kitalah yang tahu kelemahan dan kekuatan sendiri.
.

No comments: