1.5 juta rakyat Palestin mencari sinar kebebasan
Oleh Zainab Mohd Yatim
SIRI serangan Israel yang bermula Sabtu lalu mengorbankan 384 nyawa dan hampir 1,700 cedera setakat ini.
Negara Islam diminta hulur bantuan diplomatik desak rejim Zionis hentikan penindasan KETIKA dunia meriah menyambut tahun baru 2009, rakyat Palestin sekali lagi diserang Israel di Gaza, menyebabkan ramai terkorban. Namun, seperti biasa dunia, termasuk badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengambil tindakan konkrit untuk menyekat keangkuhan Israel yang didokong Amerika Syarikat itu. Untuk mengetahui kisah lanjut, ikuti temu bual wartawan Berita Harian, Zainab Mohd Yatim bersama Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh di Kuala Lumpur.
RAKYAT Palestin menyambut Tahun Baru 2009, bukan dengan percikan bunga api dan tepukan gembira, sebaliknya dentuman senjata dan tangisan. Nampaknya penyelesaian sukar dicapai? Palestin sebenarnya, dijanjikan status negara berdaulat menjelang akhir 2008, malangnya janji tinggal janji. Malah realiti yang dialami begitu buruk apabila tanah ini diserang rejim Zionis tiga hari sebelum tirai 2008 dilabuhkan seolah-olah menggambarkan tiada harapan bagi rakyat Palestin.
Kehancuran berlaku di Gaza akibat tindakan ganas Israel dan rakyat Gaza menjadi mangsa dan menderita disebabkan tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Tahun 2008 yang baru lalu menandakan 60 tahun pencerobohan Israel di Palestin. Israel menggunakan darah rakyat Palestin sebagai alat untuk berkempen bagi memilih Perdana Menteri baru, menerusi pilihan raya pada Februari ini.
Sudah lebih setahun Gaza diceroboh. Tiada air, bahan bakar, mahupun perubatan dan rakyat tidak bebas keluar masuk dengan tiba-tiba. Untuk itu, rakyat Palestin merayu supaya cengkaman ini dilepaskan. Sudah lebih setahun kami merayu bagi kebebasan lebih 1.5 juta rakyat Palestin di Wilayah Gaza. Kami merayu simpati daripada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah yang sewajarnya terhadap pencerobohan ini, tetapi sebaliknya kita hanya mendapat serangan bertubi-tubi Israel terhadap rakyat awam Palestin di Gaza.
Sejauh mana kemusnahan serangan kali ini? Sejak serangan dimulakan Sabtu lalu, kami sudah kehilangan 384 nyawa dan hampir 1,700 cedera dalam serangan itu dan lebih 50 peratus adalah orang awam. Ini tidak termasuk kemudahan awam seperti sekolah, masjid, kediaman, hospital, pejabat pentadbiran, pejabat polis yang dibina untuk kegunaan rakyat Palestin. Ini juga bukan pertama kali Israel memusnahkan infrastruktur yang dibina untuk rakyat Palestin, tetapi sudah dua tiga kali.
Keadaan ini sudah pasti tidak akan mewujudkan keamanan di tanah air kami. Kami juga sudah menemui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya menjaga keselamatan di seluruh dunia. Malangnya majlis ini hanya mengeluarkan satu kenyataan yang sangat lemah dan tidak langsung menakutkan Israel untuk menghentikan keganasan. Kini kami merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel memberhentikan keganasan terhadap masyarakat awam Palestin.
Kami mencela keganasan Zionis dan mahukan komuniti antarabangsa untuk membantu dan menghentikannya. Kami juga merayu serangan dihentikan tanpa sebarang syarat. Serangan satu hala yang dilakukan tidak adil kerana rakyat yang diserang tidak bersenjata sedangkan Israel menggunakan segala kekuatan senjatanya yang ada. Kami mahukan pencerobohan dihentikan dan membenarkan rakyat Palestin untuk menyeberangi sempadan itu dan sekatan perlu ditarik balik atas dasar kemanusiaan. Rakyat Palestin harus dibenarkan tinggal di Gaza seperti masyarakat lain di dunia yang ada semua kemudahan untuk hidup dan bergerak bebas ke sana ke mari tanpa sekatan. Kebebasan dan kemudahan itu perlu diberikan secepat mungkin, kerana jika tidak kestabilan dan keamanan tidak akan wujud di rantau ini. Berapa lama Gaza dapat dipulihkan daripada serangan terbaru ini?
Pemulihan bukan matlamat utama ketika ini. Apa yang kami mahukan ialah keamanan. Bagi pembinaan negara kami, kami yakin mampu melakukannya, tetapi isu pencerobohan terhadap tanah kami perlu diatasi terlebih dulu. Perbuatan Israel seperti menunjukkan mereka menguasai peraturan dunia? Semua tahu Palestin dijanjikan sebuah negara berdaulat menjelang akhir 2008 oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush, yang juga sekutu Israel. Malangnya, apa yang kita lihat bukan saja negara Palestin, malah pencerobohan dan keganasan serta serangan bertalu-talu dan kemusnahan semua kemudahan di Gaza.
Pencerobohan ini akan berterusan dan pembahagian dunia yang diwujudkan Israel ini berlaku, termasuk pembunuhan rakyat Palestin yang terus berlaku. Namun, tindakan ini bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan termasuk undang-undang antarabangsa. Malangnya komuniti antarabangsa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk menghentikan perkara ini, seolah-olah Israel terkecuali daripada undang-undang kerana mereka yang terbabit tidak dikenakan tindakan.
Sokongan antarabangsa perlu muncul supaya kita boleh memulakan rundingan keamanan kerana jika ini tidak wujud, kita akan terus mendengar lebih banyak nyawa melayang. Kami meminta hak kami untuk mendapat negara Palestin dengan Jerusalem sebagai ibu negara. Saya tidak fikir perkara ini mustahil. Kanak-kanak negara kami mahu hidup seperti kanak-kanak negara lain dalam situasi aman dan menghormati hak orang lain dan mendapat hak yang perlu dimiliki setiap insan di dunia. Adakah bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mampu membawa perubahan kepada Palestin?
Kami berharap Obama (yang bakal menduduki Rumah Putih 20 Januari ini) akan menjadi seorang pemimpin yang serius bagi membantu menangani isu Palestin. Beliau juga diharap akan melaksanakan perjanjian dan Resolusi PBB, malah merealisasikan janji Bush untuk mewujudkan Negara Palestin yang berdaulat. (Bush pada Perjanjian Annapolis, iaitu persetujuan yang dicapai antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert di Annapolis, Maryland, di Amerika Syarikat pada 27 November tahun lalu, berjanji untuk merealisasikan kewujudan negara Palestin menjelang akhir 2008).
Kami berharap Obama tidak menunggu lebih banyak kemusnahan berlaku di Palestin dan kawasan persekitarannya dan mencari jalan berdasarkan keadilan. Kami optimistik. Kami berharap perkara ini akan berlaku dari sebuah kuasa besar. Kami menerima apa saja kompromi yang menjurus kepada keamanan. Daripada kerangka hala tuju, hingga penyelesaian Inisiatif Arab, bukan kami yang menolak cadangan keamanan. Tidak langsung, tetapi kami sebenarnya yang mahu inisiatif itu dilaksanakan. Malangnya, setiap kali Israel akan menggagalkan cubaan mewujudkan keamanan ini. Mungkinkah banyak negara Islam sukar memberikan sokongan kerana masing-masing tidak mempunyai kapasiti untuk membantu? Negara yang tak mampu untuk menolong, boleh memberi pertolongan dari segi diplomatik. Kami perlukan apa saja bentuk bantuan dan harapan.
Ketika ini kami berterima kasih kepada Kerajaan Mesir yang memberi banyak bantuan dan melindungi rakyat Palestin. Ada banyak cerita yang kami dengar dari segi kecaman politik mengenai bantuan yang diberikan Mesir, tetapi kami menghargai pendirian negara berkenaan. Mereka memberi bantuan kepada rakyat kami yang cedera dan ada lebih 50 rakyat Palestin yang sedang dirawat di negara berkenaan. Bagaimana pula dengan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)? Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC untuk membincangkan serangan Israel ke atas Gaza akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi, esok.
Kami tidak perlukan sebarang kecaman dalam mesyuarat ini, sebaliknya tindakan yang praktikal. Adakah kekuatan ummah tidak wujud dalam negara Islam untuk memperjuangkan hak Palestin? Kami tidak melihat pencerobohan terhadap Palestin ini dalam konteks agama. Kami adalah masyarakat yang menghormati semua agama dan kami juga mahu agama kami dihormati seperti kami menghormati agama lain. Namun, tidak adil Israel mencemari Masjid al-Aqsa, ketika kami menggunakannya.
Pencerobohan ke atas Baitulmaqdis dan pembinaan kependudukan Israel di sekitarnya, termasuk membina pagar di sekitarnya seperti masjid itu milik mereka, selain menghalang orang Islam menggunakan masjid itu sebagai tempat ibadat adalah perbuatan tidak menghormati agama lain. Bagaimanakah Israel mampu mendapat sokongan dengan keadaan ekonomi global yang parah dan rakan sekutunya masing-masing sedang ditimpa masalah? Sukar untuk dijelaskan. Mereka terus mendapat sokongan dan wang, walaupun keadaan ekonomi global tidak menggalakkan. Mereka adalah 'anak kesayangan'?
Berita Harian 2.1.2008
.
Thursday, January 01, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment