Mencari Kematangan Politik Melayu Mutakhir
Sebahagian yang berpendapat politik Melayu tidak matang dan sering bermain dengan sentimen menjadikan ia semacam stigma yang kurang sihat dalam persekitaran semasa sekarang ini. Betul atau tidaknya bergantung kepada pandangan individu kerana politik selagi ia menjadi hak antara rakyat dan bukan semata-mata kerajaan (khususnya dalam sistem demokrasi) tentunya terlalu terbuka dengan kepelbagaian sikap dan pandangan sebegini. Jikalau ia melorong daripada satu pihak, tidak mustahil di pihak yang lain akan menyorong laluan yang lain pula.
Kenyataan politik Melayu berbau sentimen, balas dendam, emosional, terlebih bancuh dan sebagainya merupakan ungkapan yang boleh dikategorikan dalam satu kata yang wajar itu ketidakmatangan politik.
Sejarah negara yang sudah menggungguli 51 tahun kemerdekaannya bukan satu ukuran kepada kematangan politik. Mungkin sahaja sebuah negara yang baharu 20 tahun mencapai kemerdekaannya sudah mencapai kematangan politik. Hal ini harus dilihat segi massa (baca : khalayaknya) dan kepimpinannya. Rangka sebuah politik matang tidak dilihat daripada kaca mata usia negara dan kuantiti parti yang ditunjukkan melalui angka dan statistik malah kestabilan ekonominya. Kerana keperluan kepada tinjauan yang lebih menyeluruh dan mendalam seperti persoalan keterbukaan forum iaitu perbincangan, kewajaran kebebasan bersuara, perkongsian pandangan di parlimen, etika politik yang terpelihara dan sebagainya menjadi tanda kepada imej kematangannya.
Tidak semestinya negara yang rusuh seperti di beberapa buah negara Latin yang selalunya disiarkan dalam televisyen dengan bermacam-macam berita tentang demontrasi dan sebagainya sebagai tanda lemahnya kematangan politik atau melihat status sesebuah negara yang dianggap sudah maju dan sebagainya sebagai maksud kepada kematangan politik. Ini kerana politik adalah bidang atau seni yang memperbaharui bentuk dan nada pada setiap dan keadaan mengikut kepada waktu, manusia, pemikiran, sikap dan memerlukan kesedaran itu mengakarumbi termasuk golongan rakyat.
Perubahan yang berlaku politik misalnya merupakan satu daripada ciri-ciri kematangan politik sekiranya perubahan itu menanda kepada peningkatan kesedaran terhadap budaya politik. Media massa juga menjadi agen kepada pemupukan kemtangan politik sekiranya ia memberi sumbangan kepada rakyat kepada informasi yang benar dan seimbang. Begitu juga dengan peranan pihak intelektual yang selalu diberikan tempat untuk memberikan pandangan dan fikiran dalam masalah-masalah berkenaan bidang masing-masing, akan membentuk wadah pemikiran kritik yang berilmu menatijahkan kematangan politik akan berterusan.
Dari pihak politikusnya pula, perlu ada etika yang mendorong kepada perbincangan dan permuafakatan yang lansung tidak sekadar sesama ahli parti malah dengan parti lawan untuk melahirkan ruang politik yang lebih beradab dan bermaruah. Kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan berbanding hal-hal lain dan selalu memberikan kejujuran kepada tanggungjawan yang dipikulnya.
Senario politik tanahair yang agak baharu tentang perletakkan jawatan Dato Zaid Ibrahim misalnya dan penangkapan tiga orang iaitu masing-masing daripada wartawan, blogger dan ahli politik yang menjadi isu kepada bualan rakyat. Kedua-dua insiden tersebut harus dilihat di mana beberapa tanda kekenduran kematangan dan ia cuba dibicarakan secara terbuka.
Yang tersirat adalah di mana kepentingan untuk mencari ruang politik matang adalah satu ruang agak sukar untuk dicapai dalam masa terdekat ini. Ruang kematangan politik itu ditapisi dengan beberapa perkara dan rasionalisasi dari pihak atasan. Ia menyebabkan beberapa masalah yang ada tidak mungkin dapat diselesaikan dengan secara jujur.
Perletakkan jawatan sebagai menteri misalannya sangat besar dalam kerangka tindakan politik buat masa ini. Ramai yang akan bercakap dan bertanya tentang betapa besar sangatkah kepentingan untuk melaksanakan sesuatu sehingga ia tidak boleh dilakukan dan ia mendorong pula kepada perletakkan jawatan ?. Namun kepada empunya diri bahawa soal prinsip bagi menegakkan apa yang sepatutnya adalah penting buat masa ini. Kerana itu juga, Dato Zaid Ibrahim menyatakan belaiu bakal menjalankan kerja-kerja untuk meningkatkan usaha-usaha integrasi dan perpaduan yang ada. Baginya mungkin itu sebagai ganti kepada penarikan dirinya daripada menajdi sebahagian daripada kerajaan.
Sama ada ia merupakan bentuk cerita penyiasat thriller yang berusaha untuk merungkai persoalan yang ada atau cara mana mencari pembunuh, namun ia bukan semacam itu jalurnya. Yang perlu diperhatikan bagaimana secara tersirat Dato Zaid Ibrahim memandang terdapat tapisan yang perlu dilaluinya buat masa ini bagi melaksanakan beberapa perubahan dalam kerajaan terutama kementerian di bawahnya. Persoalan inilah antara yang berada di tengah-tengah idea untuk membuat anjakan paradigma pemikiran dalam politik, namun ia tidak mudah untuk melepasinya.
Secara tradisinya, pemikiran matang selalu dimanjai dengan pemikiran yang tradisi. Ia semacam sudah berulang-ulang dalam sejarah manapun. Akan wujud usaha-usaha tertentu bagi yang melakukan sedikit ‘lencong’ dalam tindakan bagi menghasilkan satu reaksi yang diharapkan sebagai titik mula sebuah dimensi pemikiran baharu, tetapi selalunya pasti ada yang mengganggapnya sebagai satu mudarat yang harus cepat dibendung.
Padahal bukan setiap yang ‘dilencongkan’ itu akan memusnahkan. Kerana sebahagian yang dilencongkan adalah kesengajaan dan penambahbaikan untuk satu anjakan kepada pengalaman yang sedia ada. Pemikiran pembaharuan sebegini seperti selalunya tidak akan dijayakan oleh manusia kecil dalam satu organisasi besar yang percaya kepada autoriti dan senioriti lantaran pengaruh kecil tidak mendorong kepada kewujudan itu. Maka itulah yang diungkapkan oleh Pak Lah tentang perletakkan jawatan itu ‘tidak sedikitpun rasa tergugat kerana kita bekerja sebagai satu badan yang saling bekerjasama’.
Jika kita kembali kepada sebelum mencapai kemerdekaan yang mana itulah satu-satu era di mana manusia Melayu dan bangsa Malaysia berwatakkan individu yang mempunyai kematangan politik yang rasional. Di mana manusianya menjadi arif kepada keperluan diri untuk merdeka dan menjadi tuan kepada bumi yang dipijak bukan menjadi hamba kepada yang lain. Manusianya harus bersama menolak penjajahan ke atas mereka dan berusaha menjadikan usaha untuk menekan peribumi itu kembali nihil.
Ini kerana kesedaran itu berhasil daripada tekanan dan cabaran yang dihimpitkan ke atas mereka. Cabaran kolonialisme yang berabad lamanya dan kesukaran pengalaman pada masa itu menjadikan bangsa ini bangun membentuk secara berdikari persekitaran kematangan politik itu walau dalam keadaan serba kekurangan.
Wujudnya suratkhabar Utusan Melayu dan sebagainya yang menjadi lidah kepada bangsa melawan penjajahan British dan memberikan kritikan kepada bangsa dan pemimpinnya yang mengalami krisis peribadi, dan daripada itulah pemikiran bangsa dicerahkan dengan pandangan-pandangan yang meluruskan rasional. Strategi itu juga tidak daripada suratkhabar malahan daripada penggerak-penggerak bangsa iaitu pejuang-pejuangnya seperti Dato Onn, Zaba, Pak Sako dan sebagainya memberi banyak sumbangan kepada tanahair ketika itu yang mendorong kepada kemerdekaan dan selepas kemerdekaan ia menjadikan gerakan itu diperlahankan oleh kejayaan yang telah dicapai.
Kematangan berpolitik inilah yang harus kembali kepada rentak dan tempo semasa. Politik yang tidak matang akan terus menghasilkan ruang cacamarba dan ketidakstabilannya. Bial politik tidak dirakyatkan dan hanya untuk segolongan tertentu, tentulah masalah tentang pemikiran juga membuntu.
Politik yang matang harus dijanakan kerana ia kesinambungan semangat generasi sebelum kemerdekaan yang berjuang sehingga berjaya dan kenapa perlunya buku-buku sejarah dan hari menyambutnya atas nama sempena sekian dan sekian tanpa kita ingat, adakah kita bekalkan secukupnya kematangan berpolitik kerana itulah hadiah yang berharga bagi generasi yang bakal memimpin masa depan. Generasi hari ini yang memimpin harus berikan pendedahan itu tanpa gusar.
.
1 comment:
i think you add more info about it.
Post a Comment