Thursday, March 29, 2007

Pidato pelajar asing memukau

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kepetahan pelajar asing bertutur menggunakan bahasa Melayu berjaya memukau kira-kira 500 penonton yang menyaksikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2007 di sini, hari ini.

Kebanyakan mereka yang hanya mempelajari bahasa itu ketika menuntut di universiti menunjukkan kebolehan berpidato sambil berpantun yang menyentuh pelbagai isu termasuk Wawasan 2020, Islam Hadhari dan Kejayaan Saintis Malaysia Mencipta Biodiesel.

Pelajar Moscow State University, Rusia, Olga Vadimovna Vasilevskaya, 19, berkata, dia mempelajari bahasa Melayu sejak tiga tahun lalu setelah mengambil pengkhususan Pengajian Bahasa dan Sejarah Malaysia di universiti terbabit.

Dia yang menyampaikan pidato bertajuk Mampukah Dunia Melayu Mencorak Arah Pentadbiran Dunia Masa Hadapan melahirkan perasaan kagum dengan sifat mesra ditunjukkan rakyat negara ini.

‘‘Saya telah bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur dan orang ramai nampaknya agak terkejut apabila melihat wanita asing berkulit putih serta berambut perang bertutur menggunakan bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan yang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang pertama kali diadakan disertai oleh 25 pelajar asing.

Hadiah wang tunai lebih RM32,000 serta piala pusingan berbentuk tiga bilah keris yang diperbuat daripada perak akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini.

Seorang lagi pemidato yang menuntut di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing, China, Wang Di, 20, berkata, dia mengambil Pengajian Bahasa Melayu sejak setahun lalu kerana berpendapat ia akan memberikannya kelebihan bekerja dengan syarikat China yang melabur di Malaysia.

Katanya, kegemaran mendengar lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menyebabkan dia lebih suka dikenali dengan nama timangan ‘Azizah’ iaitu tajuk salah satu lagu karya seniman agung itu.

‘‘Pada mulanya saya hampir berputus-asa untuk belajar bahasa Melayu disebabkan tidak boleh menyebut huruf ‘R’ kerana ia tidak terdapat dalam abjad yang dipertuturkan masyarakat China,” ujarnya.

Pelajar Universiti Leiden, Belanda, Tom Gunnar Hoogervost, 22, pula memberitahu minatnya terhadap kebudayaan penduduk rumpun Melayu yang dianggapnya unik menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh mempelajari bahasa itu.

Menurutnya, dia mampu menguasai bahasa berkenaan dengan pantas kerana mendapat tunjuk ajar daripada beberapa profesor dari Malaysia yang kini mengajar di universitinya dan juga kerana bercampur gaul dengan penduduk Ambon, Indonesia yang menetap di sana.

‘‘Sebelum ini saya hanya belajar bahasa Indonesia dan sejak setahun lalu tumpuan diberikan bagi mempelajari bahasa Melayu kerana tidak ramai pensyarah Belanda yang mahir bahasa ini,” katanya yang mengambil jurusan Pengajian Asia Tenggara di universiti berkenaan.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Pakistan, Saman Sheroz Khan, 21, berkata, dia mula mempelajari bahasa Melayu setelah belajar di Kuliah Kejuruteraan universiti itu sejak tiga tahun lalu.

Dia berkata, dua adik lelakinya yang masing-masing berusia 13 dan tujuh tahun juga fasih berbahasa Melayu kerana mereka menetap di Malaysia mengikut bapa yang menjadi pensyarah di UIAM.

Sementara itu, Pelajar Universiti Teheran, Iran, Mohamad Amjadi Golpaygani, 23, pula mengambil tindakan agak berbeza apabila mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal daripada seorang rakannya rakyat Malaysia yang menuntut di universiti sama.

Dia yang mengambil jurusan Ekonomi di universiti itu melahirkan perasaan kagum dengan kemampuan rakannya bertutur menggunakan bahasa Parsi sehingga membuatkannya berazam menguasai bahasa Melayu sebagai tanda penghargaan.

‘‘Saya selalu menghafal ayat-ayat yang diajar olehnya dan benar-benar mahir setelah tiga tahun berusaha bersungguh-sungguh,” ujarnya yang bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Malaysia.

sumber: Utusan Malaysia

No comments: