untuk sebuah rencana atau hasil tulisan dikeluarkan dalam majalah terbitan DBP padaku memang agak menyukarkan. mungkin di sana ada prosedur atau apa-apa saja berkaitan dengan tatacara pemilihan sebuah tulisan yang sesuai untuk dikeluar. batasannnya terlalu nyata. itu yang dirasai...
Cabaran Lirik Lagu Melayu
Lirik bagi sebuah lagu umpama warna dalam sebuah lukisan. Lagu yang memiliki lirik yang baik boleh menyokong dan mengangkat sebuah lagu. Seorang pencipta lagu yang mahir mampu menghasilkan sebuah lagu berdasarkan lirik yang baik dan begitu juga sebaliknya. Begitu kuat dan jelas peranan sebuah lirik dalam sebuah lagu yang dicipta yang sering berkaitan dengan jiwa manusia itu sendiri hingga memberikan kesan yang mendalam bagi pendengarnya.
Lirik yang baik dihasilkan dengan idea, bahasa dan subjek yang jelas dapat dilihat dan dikesan melalui sebuah lagu yang menarik perhatian pendengar. Selain itu, lagu dan lirik yang baik adalah ciptaan yang menitikberatkan dua-dua aspek iaitu kesesuaian irama atau melodi serta inti liriknya.
Sehingga hari ini ramai penulis lirik tempatan masih mengekalkan Bahasa Melayu sebagai wahana lirik lagu ciptaan mereka. Penulis lirik seperti Habsah Hasan, Adnan Abu Hasan, Loloq, Siso, Pak Ngah dan ramai lagi terdiri daripada penulis lirik dalam Bahasa Melayu dan lirik-lirik yang ditulis sering mendapat perhatian pendengar muzik tempatan. Hasil mereka karya yang baik diiktiraf memenangi anugerah-anugerah pertandingan lagu di peringakat tempatan maupun luar negara.
Malah antara faktor karya-karya negara jiran iaitu Indonesia berjaya memasuki ke dalam industri hiburan negara disebabkan produk muzik atau filem yang dibawa ke dalam negara adalah menggunakan Bahasa Melayu yang boleh menarik peminat muzik di negara ini. Maka faktor bahasa dan budaya yang seakan hampir sama membolehkan sebuah produk hiburan diterima dan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat-peminat muzik.
Di sinilah antara faktor penting yang dilihat bahawa Bahasa Melayu mempunyai kemampuan sebagai sebuah bahasa yang merentangi keperluan setiap aspek dan medan kehidupan. Dalam konteks industri muzik, Bahasa Melayu masih dipilih sebagai bahasa penghantar dalam lirik-lirik lagu. Malahan muzik yang pelbagai jenis dan genre dapat menerima Bahasa Melayu dengan baik sebagai lirik. Ia mampu mengimbangi melodi dan irama genre muzik hingga mesej serta kesan sebuah lagu tetap .
Sebagai contoh, lagu-lagu tempatan hari ini disaratkan dengan kepelbagaian jenis dan genre muzik yang ternyata mengikut peredaran zaman. Genre muzik yang baharu begitu berbeza dan mempunyai kelainannya tersendiri dan mempunyai khalayak serta peminat yang tertentu. Hip hop adalah salah satu jenis muzik yang lahir hanya dengan penyanyinya tidak lagi menggunakan suara yang mendayu seperti mana cara nyayian balada dan pop. Justeru perbezaan, keunikan dan pembaharuan ini nyata memberikan cabaran baharu bagi pencipta lagu-lagu Bahasa Melayu .
Banyak muzik moden yang terhasil hari ini dan memberi pengaruhnya tersendiri terhadap pencipta lagu dan penulis lirik di negara. Ia fenomena yang tidak dapat dielakkan. Ramai di antara pencipta dan penulis lagu mencuba dan mencipta lagu-lagu mengikut genre lagu moden sedemikian untuk masyarakat kita. Penyesuaian antara genre muzik tadi dilakukan berdasarkan budaya, pemikiran dan bahasa tempatan supaya ia dapat diterima oleh peminat muzik tanahair. Keadaan ini menghasilkan beberapa usaha khususnya remaja yang meminati aliran muzik sedekian terlibat sama mengetengahkan budaya dan pemikiran malah bahasa daripada muzik yang asing tadi ke dalam realiti hiburan masyarakat di negara ini.
Setiap genre muzik baharu menghadirkan elemen yang terkadang berbeza daripada norma yang diamalkan dalam masyarakat. Ia mungkin juga bertentangan dengan bahasa, nilai dan pemikiran. Di sinilah pencipta lagu dan lirik berhadapan dengan kerenah serta ragam dan bentuk muzik yang baharu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan sejak lama dan terbukti mampu menyalurkan mesej dan gagasan dalam apa jua bentuk wadah yang digunakan. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan pemikiran, bahasa agama dan kemajuan, bahasa puitis dan sastera serta banyak aspek yang lain berkaitan dengan kehidupan dan kebudayaan.
Sebenarnya tidak wujud tanggapan bahawa Bahasa Melayu menyekat dan membataskan kreativiti, ekspreasi dan inovasi. Malahan Bahasa Melayu merintis dan menyokong pembaharuan dan kepelbagaian idea, mengikut peredaran zaman dan sebagainya. Maka Bahasa Melayu selain boleh menjadi wahana persuratan atau alat menghubungkan satu fikiran dengan fikiran yang lain. Ia juga memungkinkan kekuatan peribadi bertahan dan kejatidirian masih unggul dalam erti kata yang sebenarnya. Masyarakat perlu memahami bahawa bahasa adalah produk peradaban bangsa yang merdeka dan bermaruah selain menjadi saksi kepada masyarakatnya yang bertukar ganti dengan generasi dan penuturnya.
Namun sebahagiannya generasi baru tidak bertanggungjawab dengan bahasa ibunda kerana mengangkat martabat bahasa luar, contohnya Bahasa Inggeris lebih tinggi daripada bahasa ibunda.
Sikap ‘merendah diri’ terhadap kemampuan Bahasa Melayu harus diketepikan. Bahasa Melayu perlu diberikan keutamaan dalam menghasilkan produk terutama yang berkaitan dengan muzik. Bahasa melayu boleh saja menjadi wadah pengucapan yang baik dalam muzik dan filem seperti pembikin lagu dan filem di negara-negara lain. Malah mereka lebih yakin dan percaya dengan kemampuan bahasa ibunda mereka.
Kewujudan pencipta lagu dan lirik yang menghasilkan lagu berbahasa Melayu dalam genre baharu tapi disambut dengan cabaran-cabarannya. Genre baru yang mahu diketengahkan adalah berasal daripada negara luar daripada rumpun Kemelayuan serta mempunyai budayanya berbeza. Wujud cabaran antaranya mengadaptasi melodi, rentak dan gagasan genre tersebut dalam bentuk yang diterima dan bersifat tempatan. Beberapa kumpulan muzik contohnya V.E, Ahli Fikir dan TooPhat cuba menghasilkan lagu R&B dan Hip Hop yang berbahasa Melayu tapi mengekalkan intipati pemikiran tempatan dan budaya yang diterima di sini. Maka lirik merupakan elemen yang paling kuat mempengaruhi penghasilan sebuah lagu yang bergenre muzik luar seperti Hip Hop dan R&B.
Lirik memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sebuah lagu yang baik kepada pendengar. Kebanyakkan lagu yang memenangi anugerah di negara kita mementingkan kualiti melodi, lagu, penciptaan dan lain-lain lagi tapi menekankan juga tentang nilai dan pemikiran dalam sesebuah lagu dan lirik. Antara lagu yang baik didendangkan oleh penyanyi tempatan seperti Hijau oleh Zainal Abidin, Bonda oleh M. Nasir dan yang mengandungi nilai sejagat yang berkait tentang alam sekitar, kasih sayang dan nilai-nilai positif lain.
Malah lagu-lagu Allahyarham P. Ramlee mempunyai bahasa yang indah, mesej yang tinggi dan berbicara daripada nilai-nilai realis dalam kehidupan. Kekuatan manipulasi bahasa yang ada pada penulis lirik Bahasa Melayu sebenarnya menyediakan ruang yang lebar untuk menulis banyak lirik-lirik yang baik dan lebih bermutu berbanding bahasa-bahasa lain.
Selain itu lirik-lirik yang dihasilkan oleh penulis tempatan sebenarnya memperkenalkan Bahasa Melayu ke medium yang lebih luas khalayaknya. Jika dilihat dari segi pendengar sebuah lagu, ia mungkin melangkaui batas usia, umur, bangsa dan warganegara. Sebagai contoh lagu yang didendangkan oleh Raihan di luar negara, sebenarnya masih menggunakan Bahasa Melayu, tentunya khalayaknya adalah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Peranan lirik dalam Bahasa Melayu juga penting apabila ia turut membawa budaya dan seni pengucapan Melayu dalam lirik lagu. Ternyata sudah banyak lirik-lirik yang dihasilkan dalam Bahasa Melayu sejak dahulu namun dari segi idea, pemikiran dan keindahan Bahasa Melayu boleh lagi diterima ramai dan kekal menjadi bahasa muzik dan melodi yang bertahan.
Pada satu tahap lirik-lirik lagu yang berunsur tradisional masih dimainkan khususnya lagu irama Malaysia yang tegar dengan pantun dan peribahasa aslinya. Di sinilah kesinambungan Bahasa Melayu bernafas di setiap waktu walaupun hari ini masyarakat berhadapan dengan zaman globalisasi.
Peranan penulis lirik Bahasa Melayu terus dihargai apabila anugerah-anugerah industri muzik mengangkat nama dan potensi mereka di arena yang lebih baik. Justeru perlu adanya keyakinan pada setiap individu warganegara Malaysia ini bahawa Bahasa Melayu boleh membawa peranan lebih besar di zaman moden ini. Ke arah negara maju dan industri menjelang tahun 2020 kita memerlukan bangsa yang berwibawa dengan pemikiran, budaya, cara hidup, nilai dan bahasa mereka yang tersendiri supaya tidak mudah dipengaruhi oleh dunia material yang mencabar.
Maka lirik-lirik berbahasa Melayu memerlukan daya saingnya supaya lebih gagah menghadapi cabaran, sungguhpun Bahasa Melayu tidak pernah dilupai tetapi dengan sumbangan lirik-lirik lagu berbahasa Melayu yang baik dapat mengekalkan ciri-ciri dan sifatnya yang khusus. Lirik Bahasa Melayu mesti terus diisi dengan ketulenan dan kekayaan kreativiti yang dilentur daripada budaya tempatan supaya tidak menjadi bahasa dan muzik yang mudah dipermainkan dan berbunyi janggal akibat penuturnya sendiri. Selain itu perlulah sebuah hasil muzik mempunyai jatidirinya dengan tidak menidakkan adanya unsur tempatan yang menjadi elemen penting dalam sesebuah lagu bagi memberikan perbezaan antara hasil penulis atau pencipta lagu tempatan dengan yang luar.
Thursday, February 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment