Ulul Albab: Kesinambungan Usaha
Negara mensasarkan pada tahun 2020 Malaysia akan diiktiraf sebagai negara maju sama taraf dengan negara-negara maju lain. Hasrat ini dicerna dan diusahakan bermula era kepimpinan mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir yang mencetuskan gagasan ini supaya negara Malaysia akan mencapai ke tahap yang sepatutnya pada masa akan datang.
Akhir-akhir ini kerajaan menekankan aspek modal insan yang dikatakan elemen yang terpenting bagi memenuhi hasrat negara sebagai negara Islam yang progresif. Hal ini menyebabkan kerajaan mulai kembali kepada penekanan dan fokus dunia pendidikan hari memandangkan pendidikan adalah bidang paling berpengaruh menyumbang ke arah modal insan yang diperlukan. Selain daripada menaik taraf sistem pendidikan, usaha seperti menwujudkan idea-idea yang bernas bagi meningkatkan pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia.
Maka kerajaan dengan berbesar hati memperuntukkan sejumlah wang yang besar dan banyak (bagi bahagian pendidikan sahaja) berbanding sebelum ini bagi mencapai matlamat dan visi negara ini. Keadaan ini juga menyebabkan penambahan guru, penambahan sekolah, wujud sistem yang baharu serta perbincangan-perbincangan lain berkaitan dengan isu pendidikan kian rancak diperkatakan.
Selain itu Perdana Menteri sentiasa menyatakan dengan yakin negara akan mencapai sasaran yang dimahukan melalui sokongan dan bantuan daripada rakyat supaya dapat merealisasikan bersama projek-projek kerajaan.
Kewujudan bidang agama di peringkat sekolah kebangsaan juga merupakan satu petanda yang jelas bahawa pendidikan yang menyeluruh mulai dititikberatkan. Maka di sinilah mungkin salah satu elemen yang ingin dibangunkan secara serius oleh kerajaan bagi melahirkan modal insan yang bukan sekadar mampu bersaing dalam dunia professional malah juga dalam bidang sahsiah dan peribadi. Keyakinan yang ditambah dengan keprihatinan kerajaan membantuk wacana-wacana yang berunsurkan Islam bagi membuka mata bahawa kerajaan ingin menunjukkan bahawa sebuah bentuk model negara Islam yang progresif harus dibentuk untuk masa depan umnat Islam.
Baru ini juga istilah Ulul Albab disebut oleh Perdana Menteri yang mana keperluan masyarakat melihat semula gagasan-gagasan yang Islamik menjadi tunjang kepada pemikiran hari ini. Tapi apakah maksud Ulul Albab dan peranannya yang dimaksudkan oleh pemimpin negara kita?.
Umumnya Ulul Albab yang difahami penulis adalah individu atau golongan yang menggunakan potensi akal dan pemikiran ke arah meningkatkan kemampuan diri dan sahsiah, berpengetahuan, mendapat hikmah dan sentiasa mengkaji dan mengambil iktibar daripada ciptaan Allah Taala. Perkataan Ulul Albab disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 269.
Dalam memperkatakan tentang Ulul Albab berdasarkan ayat tersebut, perkara yang menjadi inti adalah hikmah iaitu salah satu aspek yang mendalam dan berkait rapat dengan istilah Ulul Albab ini. Hikmah berasal daripada perkataan hakama yang mempunyai pecahan kata dari segi ilmu marfologinya. Secara amnya ia melahirkan dua makna yang sama penting saling mempunyai perkaitan antara satu smaa lain. Iaitu yang pertama, konotasi yang berkaitan dengan hukum-hakam atau undang-undang. Kedua yang berkaitan dengan keilmuan dan pemikiran.
Kaitan yang pertama merujuk kepada hal yang berkaitan undang dan hukum-hakam. Disebut didalam al-Quran, lafaz-lafaz ini digunakan merujuk kepada peraturan, ketetapan hukum dan keadilan. Ia disebutkan dalam Surah AnNisa’:58, Al-Maidah: 95, Al-Maidah 50, An-Nisa’: 30, 60 dan sebagainya.
Secara tidak lansung ia berkait dengan perkataan hikmah iaitu yang merujuk kepada keadilan. Sesuatu keadilan hanya boleh didapati setelah pertimbangan yang wajar dan munasabah dilakukan ke atas satu perkara.
Yang kedua, kaitan antara ulul albab dengan hikmah lebih jelas dalam konotasi ini, iaitu kebijaksanaan. Hikmah ditakrifkan Raghib Al-Asfahani sebagai mencapai kebenaran dengan ilmu dan akal fikiran.(Isobatul haq bililmi wal aql) - (Mu’jam Mufradat Alfaz Al-Quran,Darul Qalam). Takrif lain menyatakan hikmah adalah pengetahuan tentang Al-Quran, nasikh dan mansukh, ayat-ayat muhkam dan ayat mutasyabih. Pendapat ini sama dengan pendapat Ibnu Zaid. Takrif lain juga menyebutkan hikmah adalah nubuwah atau kenabian iaitu perkara khusus kepada para rasul Ulul Azmi dan nabi-nabi a.s.
Namun dalam konteks pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pemimpin negara tentang Ulul Albab yang dilahirkan adalah generasi berkemampuan, berjatidiri, berilmu dan bersahsiah tinggi menghadapi arus kemodenan yang lebih mencabar di masa akan datang.
Sebagai negara Islam yang progresif banyak keperluan yang harus diisi untuk mencapai visi dan misi negara iaiatu wawasan 2020. selain memperkuatkan fizikal negara dari segi kemapanan ekonomi, kemantapan politk, keseimbangan sosial dan pendidikan, elemen-elemen lain juga ditekanakan seperti sains dan teknologi.
Bagi sebuah negara Islam yang juga sentiasa melihat Islam agama yang memberikan ruang untuk maju dan sentiasa menjadi model kepada negara-negara Islam yang lain sudah tentu dengan menyarankan kepada satu konsep atau idea akan dapat membuka lagi horizon keupayaan berdasarkan matlamat yang ingin dicapai. Bagi Malaysia, tidak ada masalah untuk sebuah negara Islam untuk maju dan bersaing dengan negara-negara maju yang lain jika kemahuan itu dapat diterjemah dan diusahakan dengan baik.
Ini merujuk kepada kemampuan generasi Islam yang awal memupuk ruh cintakan ilmu pengetahuan sehingga mampu melahirkan cendiakawan-cendiakawan yang merintis sains dan teknologi hari ini. Ilmu merupakan asas dan kekuatanm bagi Ulul Albab kerana hikmah hanya didapati oleh individu dan golongan yang berilmu dan mengamalkan ilmu pengetahuannya. Generasi yang mencintai ilmu akan sentiasa mencari dan mengali khazanah alam dengan kemampuan ilmu yang ada.
Umat Islam pada satu ketika dahulu mencapai kemuncak kegemilangannya apabila seluruh dunia telah melihat dan berkiblatkan umat Islam ketika itu untuk mempelajari dan mendalami pelbagai displin. Hal ini dikenang hingga ke hari ini sebagai sebuah tamadun yang penting dan memberi banyak sumbangan dalam dunia moden. Malah penemuan-penemuan cendiakawan Islam yang dahulu masih lagi dikaji dan diteliti mengikut keperluan semasa.
Daripada sini mungkin Perdana Menteri melihat bahawa masyarakat harus didekatkan dengan sejarah dan tamadun yang pernah dibina oleh umat Islam suatu ketika dahulu. Dengan harapan bahawa umat Islam mampu kembali ke zaman kegemilangan mereka dengan beberapa syarat yang diperlukan. Seolah Ulul Albab menyedarkan kita tentang pemikir-pemikir muslim yang hebat satu ketika dahulu namun hari ini tidak lagi kelihatan pewaris dan penyambung usaha itu.
Memang kita sebagai umat Islam tidak seharusnya bergantung dan bermegah dengan kejayaan nostalgik umat Islam yang terdahulu, tapi yang menjadi harapan adalah cuba mengambil iktibar atas kemunduran dan kelemahan kita hari ini dan mengubah keadaan hari ini. Tentunya ia memerlukan usaha yang gigih untuk kembali seperti zaman keemasan dahulu.
Ulul Albab menyarankan gagasan supaya minda dan kesedaran muslim dianjakkan paradiqmanya . Mereka mempunyai keberanian dan semangat untuk menyelami pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan berusaha mengembali tamadun Islam yang ditinggalkan sejak berkurun lama.
Melihat kepada suasana global akhir-akhir ini yang memaparkan imej umat Islam diperkatakan dengan pelbagai tohmahan yang dikaitkan dengan terorisme, golongan yang melampau dan fanatik dan cuba menganggu keamanan dunia. Negara Iraq iaitu salah sebuah negara umat Islam yang rebah setelah mengalami peperangan dan kemusnahan, yang mana memerlukan masa dan pelbagai bentuk sokongan untuk kembali aman dan harmoni. Begitu juga dilema Palestin, yang terus menerus menghantui media massa dan menjadi isu dunia. Negara-negara Islam yang lain seperti Sudan, Afganistan masing-masing masih dalam kepompong pertelingkahan dan survivalitinya. Negara-negara Arab dalam kelekaaan kekayaaan yang mereka miliki masih tidak dapat melihat keutamaan untuk membangunkan semula tamadun dan perpaduan yang menjadi asas kepada kekuatan fizikal.
Umat Islam sendiri yang tertindas seperti di selatan Thailand dan Indonesia masih menemui jalan buntu. Suasana-suasana ini yang harus diperbaiki dengan kehadiran gagasan baru dan serius untuk mengembalikan umat Islam ke tempatnya yang sepatutnya. Seperti yang diketahui bahawa tidak ada yang mampu memperbaiki keadaan ini melainkan umat Islam sendiri.
Justeru usaha yang bersepadu dan berterusan seharusnya digembeling pada setiap lapisan masyarakat bermula daripada kesedaran individu, keluarga dan masyarakat. Usaha yang murni hanya akan menjadi retorik semata-mata sekiranya tidak ada sokongan dan keyakinan yang boleh diberikan.
Golongan muda merupakan generasi yang bakal menggantikan generasi pemimpin hari ini. Sudah tentu perancangan dan agenda yang ada hari ini dibuat melihat faedahnya untuk generasi akan datang. Tentulah jika hari Ulul Albab dibangkitkan kembali wacananya dan ia tidak dlahirkan dalam dua tiga tahun ini malah ia adalah untuk generasi akan datang yang mempunyai kapasiti, potensi dan ciri-ciri Ulul Albab yang unggul seperti yang diharapkan.
Masa depan masih terbuka dan mempunyai seribu satu perjuangan lain yang masih belum selesai. Golongan Ulul Albab inilah yang akan menjadi penyambung kepada usaha hari ini. Maka golongan muda perlu memainkan pernanan dan memberikan waktu untuk membina diri sendiri untuk menjadi generasi yang bakal memimpin zaman yang lebih mencabar.
Ulul Albab seperti kita insafi bukan hanya golongan yang dapat menguasai ilmu zaman dan kemajuan tetapi mempunyai rohani yang seimbang dan kekuatan yang berbeza bagi menangani cabaran zaman. Dia harus mencipta karyanya untuk sejarah yang bakal meninggalkan makna selama-lamanya.
Maka kesedaran cintakan ilmu dan penghayatan kepada nilai-nilai sejagat harus diterapkan terutama golongan muda supaya dapat menghayati inti pemikiran Ulul Albab. Setiap individu perlu merasai bahawa perubahan memerlukan usaha dan keazaman bagi mencapai matlamat yang dicita. Begitu juga dengan Ulul Albab seperti yang disebut dan diwar-warkan akan memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk berdaya saing dan berkesedaran untuk mencapai wawasan 2020 yang dihajati. Perubahan tidak akan berlaku secara mendadak namun setiap perubahan memerlukan pengorbanan yang gigih jika ingin mencapai satu matlamat yang pasti.
Thursday, January 18, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment